Saya masih teringat zaman saya muda-muda dulu; ketika itu rakan-rakan sering berbincang sesama sendiri berkisar tajuk betapa pentingnya kita menerajui kuasa pemerentahan. Dengan kuasa pemerentahan , maka banyaklah perubahan yang kita fikir akan mampu kita lakukan. Banyaklah keburukan yang dapat kita halangkan. Kuasalah penentu segala sesuatu, kuasa menentukan kemenangan kebaikan atau sebaliknya kemenangan keburukan. Sehingga rakan-rakan yang haraki menghafal kaedah : "Sesuatu perkara yang menjadi wajib tidak dapat disempurnakan tanpa ia, maka ianya turut menjadi wajib.". Seumpama ibadat sembahyang itu wajib, sembahyang tidak akan sempurna tanpa wudu, maka hukum wudu itu wajib", "Apabila wudu itu menjadi wajib, maka air yang perlu digunakan untuk wudu itu juga menjadi wajib". Begitulah seterusnya. Kaedah ini benar tanpa sebarang keraguan.
Memang diakui yang kita wajib melaksanakan hukum yang diturunkan oleh Allah, hukum yang ditentukan oleh Rasul-Nya. Sebahagian daripada perlaksanaan hukum itu berkaitan dengan kekuasaan untuk melaksanakannya di peringkat pemerentahan. Apa yang menjadi persoalan "adakah kekuasaan politik yang diperolihi melalui proses demokrasi pilihanraya ini mampu menyampaikan kepada penyempurnaan tujuannya -yakni perlaksanaan hukum Syara?". Sehingga apabila dikaitkan dengan tujuan itulah, maka dikatakan mengundi itu adalah suatu kewajiban agama - wajib mengundi, dan wajib mengundi parti tertentu"
Saya teringat kisah sedih yang pernah saya baca dalam Reader Digest ketika perjuangan kemerdekaan Timor Leste dari Indonesia, sebelumnya Timor-Timor (nama di zaman penguasaan Indonesia) ini dijajah oleh Portugis. Sudah tentu di zaman penaklukan Portugis, terdapat gerakan missionaries kristian di sana, dengan sekolah, gereja dan hospitalnya; tetapi sambutan dari penduduk pribumi terhadap dakyah kristain sangatlah terhad. Setelah Indonesia mengambil alih pentadbiran, maka pihak TNI (Tentera Nasional Indonesia) mentadbir kawasan ini.
Anggota tentera ini dikatakan telah gagal menunjukkan contoh yang baik, dikatakan terdapat penyalah-gunaan kuasa serta penganiayaan terhadap penduduk peribumi oleh anggota tentera yang rata-ratanya beragama Islam. Penduduk peribumi yang terasa dianiayai telah bingkas menentang apa yang mereka sifatkan dengan kezaliman itu. Maka reaksi itu antara lain ditonjolkan dengan mereka memeluk kristian beramai-ramai. Institusi gereja kerap dijadikan simbol tidak resmi penentangan terhadap penguasaan pihak TNI, yang dianggap mereka sebagai orang Islam itu. Perkembangan kristian di Timor-Timor menjadi jauh lebih pesat ketika pihak tentera TNI yang dianggap orang Islam itu berkuasa berbanding ketika masa pihak Portugis yang kristian itu berkuasa.
Di negeri saya, Kelantan; memang adalah kenyataan yang semenjak 1990 banyak syiar-syiar agama yang boleh dilihat, lebih ramai lelaki berkopiah, lebih ramai perempuan tutup aurat. Ada kaunter khas lelaki dan perempuan di pasar-pasar raya. Banyak pula pintu gerbang dan struktur hiasan lain yang mempunyai bentuk al-Quran di atas rehal. Ada banyak bangunan di Kota Bharu yang mempunyai arches dan kubbah, banyak pula pokok tamar yang ditanam di tepi jalan di bandar selain lafaz-lafaz zikir di banyak tempat. Perkara itu semua orang tidak mampu untuk menafikannya hatta yang buta-matanya sekalipun (kecuali yang buta hati).
Kita semua sedar yang Islam datang dengan Risalah penyucian aqidah daripada syirik, penjelmaan syirik yang paling jelas adalah penzahiran berhala. Tiada mungkin Islam agama tauhid dapat bersama dengan keberadaan berhala yang merupakan kemuncakan bagi penzahiran syirik. Tetapi di negeri saya, berhala-berhala bersaiz gergasi telah menjadi semakin prominent, sehingga seakan di sebahagian tempat berhala-berhala gergasi inilah yang menjadi syiar agama bagi kawasan tersebut.
Cita-cita murni untuk melaksanakan hukum hudud masih terbantut di negeri saya, persiapan masyarakat ke arah itupun kurang menyerlah; tetapi pembinaan berhala gergasi sebagai simbol kepercayaan dan amalan syirik semakin terserlah. Ada berhala lama yang berbaring tidur, katanya yang terpanjang di Asia Tenggara, kemudian ditambah berhala yang duduk bersila lendik, kemudian ditambah berhala yang bangun berdiri setinggi mungkinnya 3 kali pokok kelapa yang dapat dilihat dari tengah laut lagi . Mungkin semua berhala-berhala ini adalah yang terbesar di kalangan jenis mereka di Asia Tenggara. Ini tidak termasuk yang bersaiz sederhana dan kecil.
Tentunya kita, sebagai ummah tauhid tidak reda, jauh sekali dari berbangga melihat Tanah Serambi Makkah, Tadahan Wahyu, Tanah Rendah Sekebun Bunga menjadi tanah berhala-berhala gergasi!
Begitu jugalah dengan Serawak selepas pilihanraya negeri ini. Pimpinan negeri masih di tangan orang Islam. Apakah kita akan menyedarkan pimpinan ini agar mereka mampu disanjungi kerana akhlak Islami yang ada pada mereka, atau akan mereka dikagumi semua rakyat kerana tidak mengutamakan kepentingan diri dan keluarga?. Sekiranya pimpinan dari kalangan orang Islam menunjukkan tabiat dan pembawaan yang buruk dan jelek, maka mereka lah yang akan menjadi penghalang kepada orang lain daripada melihat keindahan Islam, apa lagi untuk berjinak dengan agama yang suci ini. Mereka bukan membantu membina Islam, tetapi mereka menconteng kekotoran kepada agama.
Kasihan lah rakyat yang beragama Islam yang telah menyokong pimpinan yang beragama Islam kerana mereka mahu melihat kesucian Islam akan terbela. Janganlah sokongan itu dibalas dengan sikap mengutamakan diri di atas kepentingan agama dan ummah, dengan mempamirkan akhlaq buruk dan tamak haloba. Atau sikap mengutamakan sokongan yang mungkin diraih daripada berdiri meninggikan syiar agama.
Sehingga hari ini, nampaknya kita di sini, kekuasaan di sana, kebenaran di lain pula. Huraian kebenaran masih berada di dalam kitab-kitab peninggalan ulama amilin yang mukhlisin, peribadi-peribadi pendukung kebenaran telah bersemadi dalam kubur mereka, sementara peribadi-peribadi yang terserlah kebenarannya jauh dari tampuk perebutan kuasa..... Ya Allah sertakanlah kami bersama mereka yang benar walaupun di mana mereka berada!
No comments:
Post a Comment