Monday, June 27, 2011

Demonstrasi BERSIH Umpama Kisah Pokok Berhantu

Kisah ini mempunyai belbagai versi , bagaimanapun ianya menceritakan terdapat sebatang pokok kayu yang besar dan redup, tumbuhnya di tepi jalan yang sunyi tidak berapa jauh dari tanah perkuburan, hampir dengan tasik. Tidak banyak pada awalnya orang kampong yang ambil kisah tentang pokok besar ini, ianya hanyalah sebatang pokok besar yang tumbuh begitu dan di situ.

Bagaimanapun saiz pokok serta kedudukannya itu memang boleh mengundang kegerunan pada mereka yang lemah semangat, apa lagi sekiranya terpaksa melalui jalan yang sunyi itu di waktu malam. Sehingga sebelum menghampiri pokok itupun, bayangannya yang terpantul dari cahaya bulan mengenai permukaan air dapat dilihat dari jauh. Aduhai kalaulah malam itu terdengar pula suara burung hantu yang mengalun sayu......

Maka dengan latar belakang beginilah, ada orang yang mula meletakkan kain kuning di batang pokok itu, ada yang mengantungkan panji-panji merah kuning pada julai pokok itu. Dengan ada kain-kain yang bergerak-gerak apabila ditiup angin ini, maka orang-orang kampong semakin takut kepada pokok ini. Mereka mulai percaya pokok ini mempunyai penunggu, mempunyai semangat yang keras.

Orang kampong mula meletak acak, membawa pulut kuning untuk diletakkan di banir pokok yang besar itu. Tok-tok bomoh hantu dari kampong-kampong sekitarpun menyatakan kepada pesakit-pesakit yang mereka rawat, yang mereka telah disampuk oleh pokok besar itu. Maka semakin takutlah orang ramai kepada pokok yang besar itu. Cerita-cerita kecil dan ringkas telah dikembangkan dan dipanjangkan dalam perbulan kedai kopi tentang puakanya pokok besar itu. Seolah-olah pokok besar itu memang benar-benar berpuaka. Beginilah mentaliti orang-orang kampong Melayu yang tidak banyak terdedah kepada sains dan teknologi, mereka masih mempercayai tahyul.....

Sekarang keadaan sudah berubah, orang Melayu sudah terdedah kepada sains dan teknologi, di kedai kopi pula mereka sudah membicarakan tentang keputusan ujian DNA serta perbezaan imej digital dan infra-red. Kemajuan tajuk perbincangan mereka rupanya mula terganggu apabila akhbar utama orang Melayu. Utusan Malaysia mula membesar-besarkan cerita Demonstrasi BERSIH.

Datuk Ambiga, bekas presiden Persatuan Peguam, bukanlah seorang tokoh masyarakat yang terkenal dan berpengaruh sangat. Dia melontarkan hasratnya untuk mengadakan demonstrasi BERSIH, lalu disambut oleh ahli-ahli parti dalam PR dan NGO-NGO yang sealiran.

Tetapi Utusan telah mempromosi demonstrasi ini dengan berkesan, di siarkan hampir setiap hari yang demonstrasi ini akan menggugat keamanan, polis akan bertindak, mungkin tentera pun akan bertindak, kerugian peniaga kecil dan pemandu teksi, ianya adalah perancangan licik pihak pembangkang, ianya dibiayai oleh pertubuhan kristian luar negara, ianya diserapi oleh golongan yang mahu menghidupkan semula faham kominisme dan lain-lain cerita tidak ubah cerita orang kampong tentang puakanya pokok besar di tepi jalan yang hampir dengan tanah perkuburan itu.

Maka 'bomoh politik' pun mula meramal itu dan ini, kata mereka sudah ada yang sudah disampuk oleh penunggu pokok BERSIH, maka pokok BERSIH semakin ditakuti. Ianya telah menjadi lebih besar dari saiznya yang asal, ianya lebih rendang dari rimbunnya yang sebenar, saiznya semakin digemburkan oleh bomoh media, terutama Utusan Malaysia dan bomoh politik lain yang tercunggap-cunggap.

PERKASA, melalui presidennya bercakap, persatuan silat melalui presidennya juga membuat kenyataan, polis juga membuat kenyataan, gambar Ambiga pula dibakar, lapuran polis tidak terhitung banyaknya dibuat di sana-sini. Maka semakin membesarlah pokok BERSIH, semakin berhantulah pokok BERSIH, semakin tersinarlah kehebatan Ambiga yang tidak seberapapun sebelum ini.

Anak-anak muda pula semakin tercabar, semakin mereka mahu terlibat, semakin tinggi resiko semakin seronok mereka rasakan. Pihak yang sebenarnya tidak mahu campur dan tidak ambil peduli sebelum inipun mula mahu tahu, maklumlah berita ini sudah memekak sana sini. Terima kasih pada Utusan yang menjadi media penyiar promosi yang berkesan kepada kepuakaan BERSIH.

Apa yang mahu disuarakan pada Perhimpunan tersebut?. Mereka mahu suarakan yang mereka menuntut pilihanraya yang adail dan telus. Kalaulah begitu, maka sudah tentu tuntutan mereka itu dapat dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dalam politik, termasuk BN. Sekiranya pemimpin tertinggi UMNO dan BN dari awal lagi menyatakan sokongan mereka kepada tuntutan BERSIH, sudah tentu agak sukar untuk Ambiga menghimpunkan walupun 5'000 orang untuk berarak. BERSIH akan bersih dari penglibatan orang ramai , terutama anak-anak muda yang memang darah bergelora. Kerana tiada guna bagi mereka yang mahukan 'thrill' untuk berarak dalam perarakan yang direstui oleh pihak berkuasa, perarakan yang tiada 'ummph' kerana pihak keselamatan tidak menghalang,

Malangnya politik UMNO banyak diwarnai oleh bomoh politik Utusan Malaysia, bomoh yang gopoh dan celaru dalam mengenali penyakit, baginya semuanya berhantu. Sehinggakan pokok BERSIH yang kalau dibiarkan, akan hidup segan mati tak mahu itupun telah tumbuh semakin rendang setiap hari, semakin banyak panji-panji kuning-merah yang tergantung, semakin banyak pulut kuning yang diletakkan dibanirnya. Semakin kencanglah bomoh di Utusan membaca jampi serapah untuk mengahalau hantu daripada pesakit-pesakit yang sebenarnya menghidap sakit kuning biasa, yang sepatutnya tidak perlu dikaitkan dengan hantu hanya sekadar menyuruh minum air susu kambing bercampur pokok dukung anak.....

8 comments:

  1. huhu..sangat suka bc artikel ni...

    ReplyDelete
  2. Saudara.. Apa yang di laungkan Olih Bersih bukannya pokok berhantu tetapi manusia berhantu yang di belakangnya suka "mengusik" orang ramai. Manusia ini akan mengubah sesuatu benda yang tiada apa-apa kelainan menjadi sesuatu benda yang curigai dan setrusnya di benci olih Masyarakat. Sesungguhnya kisah pokok berhantu juga di mulai olih sekelompok manusia yang mempermainkan pemikiran orang ramai supaya takut, benci dan dendam pada sesuatu benda yang tidak ada kaitan sama sekali dengan apa yang di cannagnya. Manusia ini adalah dalang dalam pertubuhan Bersih yang cuba mencari sesuatu benda atau menaikan semangat orang ramai suoaya membenci SPR.

    Lima negeri di menagi olih pembangkang dan 20 tahun PAS memerentak Kelantan. Adakah pilihanraya tidak bersih! Lihat Pilihanaraya 2004 PAS secara teknikalnya memerintah kelantan dgn kelebihan undi kurang dari 10 undi kerana majoriti 2 kerusi dan satu kerusi di menenangi olih PAS dgn kelebihan kurang dari 10 Undi. Kalau tak bersih nescaya Kelantan dan jatuh ke BN dalam tahun 2004 kerana perlu memutarbelit kurang dari 2 undi sahaja.

    Kesian pada orang melayu dan Islam yang pada mulanya berkobar-kobar memarahi Presiden Majlis Peguam yang menolong murtadkan seorang Islam. Sekarang mereka menyangungi dia seperti seorang hero. Mungkin Orang melayu perlu lebih banyak pokok berhantu supaya mereka leka membicarakan kisah hnatu di kedai kopi sehingga ugama dan tanah air mereka tergadai...

    ReplyDelete
  3. cerita hantu orang Melayu diterajui oleh Utusan Malaysia, sehingga kadang-kadang saya tertanya adakah Utusan berperanan untuk membuat orang melayu muak kepada kerajaan melalui strategy 'reverse pyschology' atau dalam bidalan Melayu 'sokong yang membawa rebah'.
    Sekiranya saudara tergamak melihat majalah Mastika terbitan Utusan Malaysia, agaknya saudara sendiripun akan bersetuju peranan besar Utusan Malaysia dalam menyburkan cerita-cerita hantu dan puaka di tengah-tengah masyarakat.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih tidak terhingga kepada Utusan Malaysia kerana bersuara lantang & berani menyanggah pihak-pihak yang suka memfitnah dan kononnya memperjuangkan keadilan dan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu. Syabas Utusan ..! Jangan tunduk kepada pihak-pihak yang suka mempersendakan perjuangan Utusan dalam mempertahankan maruah dan hak-hak orang Melayu. Hanya Melayu yang tidak sayangkan bangsa nya yang akan mempersendakan perjuangan Utusan termasuk tuan punya blog sendiri ..!

    ReplyDelete
  5. Memang sikap orang Melayu .. senang dah mudah di manipulasi oleh bangsa lain kerana kebodohan sendiri dan sikap malas nak berfikir. Tak sedar diri di pergunakan secara halus. Kalau bercakap macam la depa tahu semua .. kalau berdemo depa la jaguh tapi dari segi ilmu dan ekonomi - HAPRAK ..! Bercakap fasal Islam, depa la jaguh, orang lain semua tak betul. Harap sangat biar FRU tangkap & sumbat depa dalam ISA. Jangan melalak kata tak adil pulak bila kena tangkap nanti. Berani buat berani tanggung ..!

    Syabas & terima kasih Utusan kerana mendedahkan tujuan sebenar demo BERSIH yang sebenarnya KOTOR dan penuh dengan agenda tersendiri. Hanya mereka yang tidak sedar diri di pergunakan akan menyokong demo KOTOR ini.

    ReplyDelete
  6. Saya agak BN akan menang besar dalam PRU 13 nanti kerana sikap pemimpin PR sendiri yang semakin angkuh, riak dan ego. PR gagal menunjukkan kebijaksanaan dalam pentadbiran, emosi dan menangani isu-isu ekonomi & berkaitan rakyat. Hanya tahu bercakap dan berdemo. Masih menggunakan isu perkauman, menyalahkan orang lain, mengutuk & memaki hamun apabila keputusan tidak berpihak kepada mereka.. Perjuangan PAS telah jauh tersasar bila di permainkan oleh DAP & PKR seperti demo BERSIH yg sebenarnya adalah KOTOR macam Mat Depatch komen kat atas. Mat Sabu sepatutnya masuk program Maharaja Lawak bukan politik. Kalau setakat bercakap saja tak cukup utk jadi pemimpin. Pemimpin harus bijak dan berwawasan. Pemimpin BN Walaupun di kutuk, ejek dan di maki hamun, namun di bawah Najib nampak lebih konsisten & berintegriti dalam perjuangan & lebih bijak apabila menangani isu-isu rakyat. Mereka jugak tidak memaki hamun, memperkecil & mempersendakan orang lain seperti yang di buat oleh pemimpin PR terutama dari PAS yang konon nya paling Islamik di Malaysia ini.

    ReplyDelete
  7. Aku heran jgk .. orang yg menyokong demo kat ofis aku ni kebanyakannya jenis orang yg bebal, pemalas, kepala angin & jenis yg suka komplen. Fasal kerja langsung depa x kisah. Cuma pandai bercakap jer. Elok jgk kalau depa gi demo & kena tangkap ngan FRU. Aman sikit ofis aku.

    Yang rajin bekerja tak de pulak dok sibuk menyokong & nak berdemo-demo. Macam mana tu tuan punya blog ?

    ReplyDelete
  8. Sokong komen Orang Kuala ... pemimpin PR semakin bongkak dan angkuh. Kalau berceramah x sah kalau tak mengutuk & maki hamun orang lain. Tapi idea & buah fikiran untuk pembangunan, ekonomi & sosial langsung tak dak. PAS memang dari dulu hanya pakar dalam mengutuk, mengejek & memaki-hamun orang lain tetapi SUPER HAPRAK dari segi kebijaksanaan & pembangunan ekonomi .. Sekarang di pergunakan oleh PKR & DAP utk demo BERSIH yang sememang nya KOTOR. Percaya lah cakap aku, PR akan menggunakan alasan pilihanraya raya x bersih sebab dia org tahu dia orang akan kalah besar dlm PRU 13 nanti... !

    ReplyDelete