Saturday, July 9, 2011

Demonstrasi BERSIH: Pendek Kata Apa Selepasnya?

Alhamdulillah, kita sudah berganjak sehari dari 9hb Julai, hari yang mana sejak 2 bulan lalu banyak diperkatakan. Alhamdulillah Negara kita masih aman, tiada lapuran kerosakan teruk pada harta-benda, Kini keadaan Kula Lumpur kembali macam hari-hari biasa. Tidaklah sebagaimana yang digeruni sebelum ini, kita digerunkan yang akan berlaku rusuhan kaum- tetapi semalam kita melihat rakyat belbagai kaum berkejar-kejaran menyelamatkan diri dari semburan air berkimia dan gas pemedih mata sambil bantu-membantu antara satu sama lain.

Kita digerunkan yang kemungkinan ketumbukan PATRIOT yang sanggup menumpahkan darah atau PERKASA yang sanggup mengadai jiwa raga atau pasukan Silat yang sanggup berkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara dan Raja-raja Melayu: tetapi kita membaca lapuran yang peserta PATRIOT tidaklah begitu ramai apa lagi untuk bertindak secara berkesan, ahli PERKASA 20-30 orang dikatakan bersantai di restoren Tasik Titiwangsa, tiada pula lapuran tentang pasukan silat pimpinan Omardin beraksi di mana-mana.

Ada beberapa perkara yang agaknya menarik untuk kita mengimbas tentang peristiwa semalam:

1- Zaman kita ini semuanya boleh dirakamkan, semuanya tersebar dengan cepat semada dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa. Censorship atau black-out untuk sebarang berita sudah tidak relevan. Gambar polis kita bertindak dengan cara 'tegas' dan 'berani' itupun dirakamkan, tersebar di seluruh dunia. Masyarakat dunia memerhati kecekapan polis kita bertindak; semada baik atau buruknya. Semada membantu menaikkan nama negara atau nama negara terus merudum. Kita tahu polis bertindak atas arahan (di negara kita bukan sahaja polis hatta DYMM Agong, sebagai raja berpelembagaan, baginda pun hanya boleh bertitah dan bertindak mengikut nasihat daripada Perdana Menteri dan Jamaah Kabinet (sebagai yang dijelaskan oleh sendiri oleh Rais Yatim). Oleh itu jika berlaku sebarang kekasaran pada p[ihak [polis, wajarkah anggota polis dipersalahkan?

2-Anggota masyarakat yang tidak berparti merasa meluat membaca kenyataan pimpinan parti politik dari pihak berkuasa mahupun pembangkang. Pimpinan parti yang menyokong kerajaan sejak sebulan lalu telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan melampau tentang kemusnahan yang bakal diakibatkan oleh demonstrasi jalanan yang dirancang untuk diadakan selama 2 jam (dari jam 2 sehingga jam 4 petang). Sementara pimpinan parti pembangkang pula, mereka tidak sedarkan nasib untung mereka. Demonstrasi BERSIH bukan perancangan mereka, ianya adalah perancangan 60 NGO, bahkan dalam komitinya tidak terdapat nama-nama pemimpin pembangkang; tetapi tanpa rasa malu selepas demonstrasi ini, mereka menguggut dan mendakwa yang 9hb ini hanyalah permulaan bagi kebangkitan rakyat, mereka mungkin akan adakan lagi demonstrasi yang lebih besar. Kalau boleh kita ingin katakan " awak semua sekadar meramaikan demonstrasi itu, awak hanya umpama orang yang datang meramaikan jemputan kenduri perkahwinan, jangan pula awak merasa yang majlis itu majlis awak, dan awak tuan rumah".

3-Ketua Polis Negara terlalu gopoh menafikan berita Anwar Ibrahim tercedera akibat terkena canister gas pemedih mata. Mungkin kecederaan beliau itu tidak serious, tetapi menafikan suatu kejadian yang terakam adalah cerita yang berbeza. Atau mungkin sungguh Ketua Polis hendak memberitahu :"memang ada orang lain yang raut mukanya macam DSAI; oleh itu imbasan digital raut muka yang terlantar di hospital itu perlu terlebih dahulu dihantar ke Amerika atau ke Korea untuk pakar-pakar di sana menganalisa ketulenan gambar tersebut". Ya lah , di zaman sekarang ini, semua rakaman boleh dimanipulasi mengikut kehendak yang berkepentingan.........
4-Rais Yatim menyebut di Kuala Terengganu tentang pengkhianatan siKitul yang telah akhirnya meruntuh kerajaan Melayu Melaka, Rais memang banyak mengeluar kenyataan berkaitan dengan demonstrasi BERSIH ini, maklumlah dia Menteri Penerangan, dan PhD-nya pula dalam undang-undang serta beliau diakui oleh kakitangan DBP sendiri sebagai seorang yang berbudaya dan punya ketinggian bahasa. Hanya kadang-kadang kenyataan dan kencaman beliau itu terlalu tinggi nilai estetika-nya sehingga jauh dari sasaran yang sebenarnya. Beliau bercerita tentang siKitol di zaman Melaka, maklumat sejarah beliau mantap; sepatutnya beliau juga bercerita tentang peranan Haman dan Qarun; menteri dan penasihat Firaun serta tokoh ushawan yang serba kaya dalam mengapi-apikan Firaun agar terus menerus menyiksa Bani Israel, yang akhirnya Fiaraun yang mati kelemasan di Laut Merah. Jangan disalahkan siKitol sahaja, salahkan juga peranan Haman dan Qarun....... Lagipun kedua VIP disebut adalam al-Quran, bukan setakat dalam Sejarah Melayu.

5-Sebahagian ahli masyarakat kita mendakwa merasa rimas melihat gandingan penunjuk perasaan antara yang yang beragama Islam dan bukan beragama Islam, antara Haji Hadi dengan Ambiga. Kedua tokoh ini ada sejarah dan latar belakang mereka sendiri-sendiri. Kenapa hal sebegini dtimbulkan?. Adakah agama kita atau undang-undang negara melarang?. Apa yang lebih penting ialah tuntutan 8 perkara yang dibuat oleh BERSIH, adakah antara 8 perkara itu ada yang bertentangan dengan agama atau dengan undang-undang negara?. Atau apakah agama kita melarang kita untuk berkerja-sama dengan pihak yang berlainan agama sehingga dalam perkara-perkara yang kita semua mempunyai kepentingan bersama?. Atau adakah pihak berkuasa hari ini mempunyai kepentingan agama dan bangsa untuk tidak melayan tuntutan 8 perkara oleh BERSIH itu? Kenapa pihak berkuasa terlalu liat untuk melayani 8 tuntutan yang tidak memihak secara jelasnya kepada pembangkang itu?

6-Pendek kata rupa-rupa sebahagian daripada penyokong parti pemerentah (bukan setakat penyokong pembangkang) mempunyai pendirian yang sangat mencurigai rakyat dari bangsa yang berlainan, bacalah sebahagian blog-blog kendalian individu yang menyokong kerajaan, terlalu banyak sangat sentimen 'Melayu dan Islam terancam' yang telah dimain-mainkan...... Takan lah selepas 50 tahun parti Melayu berkuasa di Tanahair kita, bangsa dan agama kita semakin terancam sebegitu rupa kecuali yang berkuasa itu tidak menjalankan amanah dan tanggung-jawab mereka.

1 comment:

  1. Saudara Muqabalah,

    Saya rakyat Malaysia dan tidak berparti. Saya tersangat lah meluat melihat gelagat mereka-mereka yang berdemo dan lakonan para pemimpin pembangkang. Begitu juga kawan2 dan saudara2 saya namun pihak penganjur demo ini merasakan seolah-olah mereka mewakili seluruh rakyat Malaysia. Pada hal nya tidak sama sekali. Saudara masih tidak sedar bahawa demonstrasi di taja oleh pihak pembangkang. Apakah saudara tidak fikir kesusahan & kerugian yang di alami oleh para peniaga, pemandu teksi, pekerja bandaraya, kesesakan lalu lintas dan lain-lain. Jgn salahkan Patriot atau Perkasa kerana mereka hanya bertindak balas di atas kedegilan Ambiga. Saya menyokong penuh Perkasa & Patriot dalam hal ini walau pun saya bukan penyokong mereka sebelum ini. Sokongan terhadap KJ & Perkasa semakin bertambah kerana keberanian mereka menentang puak-puak yg tidak sedar diri ini dan di sebabkan kerajaan di lihat terlalu berlembut kepada pendemo-pendemo. Hero sebenar dalam demonstrasi ini adalah pihak Polis dan FRU yg berjaya mengekang mereka-mereka yg tidak sedar diri. Paling rugi adalah para pembangkang yg semakin hilang sokongan kerana rakyat sudah meluat & dapat melihat gelagat & lakonan sebenar mereka. Tahniah UTUSAN, KERAJAAN, POLIS & FRU ..!

    ReplyDelete