Wednesday, August 10, 2011

Apabila Penjawat Agama Tiada Lagi Amanah Ilmu

1. Mufti Perlis VS Ustaz Uthman el-Muhammady Dalam Isu Wahabi

Mufti Perlis Dr.Juanda begitu beriya-iya mahu bersemuka dengan Ustaz Uthman bagi membincangkan isu Wahabi dan keganasan, atau faham Wahabi dikatakan mampu menggugat keselamatan negara. Dr.Juanda menghantar surat menjemput Ustaz Uthman ke Perlis untuk tujuan itu, kemudian beliau sendiri membuat kenyataan yang disiarkan dalam media yang Ustaz Uthman secara bertulis telah menolak pelawaannya.

Berikut adalah kandungan surat Ustaz Uthman kepada Dr.Juanda, sekiranya kita berlaku adil, maka kita dengan mudah mampu mengaku tiada sedikitpun terbayang Ustaz Uthman enggan untuk berdepan dengan Dr. Juanda, yang ada Ustaz Uthman mengesyurkan agar perjumpaan itu dianjurkan oleh pihak yang berwenang dan yang bertangung-jawab dalam isu ini.

Sesiapapun yang membaca buku tentang pegangan dan gerakan Syaikh Muhammad Ibn Abdul Wahab, semada dari tulisan aqidahnya sendiri yang dihimpunkan dalam Majmu at-Tauhid, atau membaca syarah bagi kitab aqidahnya seumpama Fath al-Majid, atau membaca kitab sejarahnya yang ditulis oleh pengikutnya seumpama kitab Tarikh an-Najdi atau Unwanu al-Majdi akan menemui kenyataan dan sikap Syaikh Muhammad Ibn Abdul Wahab yang mengkafirkan orang yang beriqrar dengan kalimah syahadah, akan menemui kenyataannya yang mengatakan musyrikin sekarang (yakni orang Islam yang mengamalkan tawassul) lebih berat kekufurannya daripada orang musyrikin yang diperangi oleh Rasulullah. Bahkan Syaikh Muhammad Abdul Wahab bukan setakat mengkafirkan orang yang bersembahyang, berzikir, menunaikan haji serta takut kepada Allah serta bertawassul dengan para rasul atau solihin , bahkan beliau menghalalkan darah (harus dibunuh) dan harta mereka (dijadikan ghanimah). Sekiranya kita membaca buku-buku mereka ini kita akan temui sikap mereka yang menganggap Hejaz sebagai Dar al-Kufur, kerana terdapatnya kubah-kubah dikuburan, sikap mereka yang menganggap Pemerentahan Uthmaniyyah sebagai kerajaan kafir, yang disebut disebahagian tempat dalam kitab mereka sebagai golongan Rom dan bahagain lain golongan Turk ; yang terdapat isyarat di dalam hadith sebagai golongan nyang diperangi oleh ummah.

Pengeritik dan penentang kepada gerakan Syaikh Muhammad Ibn Abdul Wahab bukan semuanya penentang 'aliran salafiyyah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah', bahklan sekiranya kita membaca secara jujur, maka kita terpaksa mengakui Syaikh Sulaiman Abdul Wahab, saudaranya Syaikh Muhammad sendiri, yang menentang Syaikh Muhammad Abdul Wahab adalah seorang yang berpegang kepada huraian Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Beliau menentang sikap Syaikh Muhammad yang terlalu bermudah dalam mengkafirkan serta menghalalkan darah sesama Islam. Begitu juga kritikan Syaikh Jarjis an-Naqsyabandi di Qaseem itu.

Dalam isu pendirian mengkafirkan sesama Islam, menghalalkan darah serta menghalal harta sesama Islam, menentang pemerentah ummah maka pendirian Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah berbanding dengan pendirian Syaikh Muhammad Abdul Wahab adalah sejauh timur dengan barat, sejauh langit dengan bumi (oriental hyperbole).

Ikatan fahaman dan amalan di Saudi kepada fahaman asal Syaikh Muhammad Ibnu Abdul Wahab adalah ikatan sejarah dan sentimen, sebenarnya mereka lebih hampir kepada faham salafi yang dibawa oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibnu al-Qayyim. (kecuali golongan minoriti dari mereka seperti aliran Syaikh Rabi' al-Mudkhali).

Secara jujurnya, mana-mana pemerentahan termasuk Saudi sendiripun akan bermasaalah sekiranya sebahagian rakyatnya menghayati ajaran Syaikh Muhammad Ibn Abdul Wahab secara totok, lihat lah sejarah perpecahan dan tuduhan sesama mereka apabila sebahagian nya telah meminta pertolongan Uthmaniyyah untuk memegang tumpuk kuasa.

Lagipun kenapa perlu Dr. Juanda mengkaitkan perbincangan fahaman Wahabi dengan hubungan kerajaan dengan Saudi?. Sepatutnya kita bahaskan sesuatu fahaman itu bertujuan untuk mencari kebenaran, hubungan antara negara adalah isu yang berbeza dan di dalam lingkup yang berlainan. Apakah selepas ini kita terpaksa berdiam diri kepada gejala Syiah yang merebak di kalangan sebahagian rakyat kerana menjaga hubungan baik dengan Iran, negara yang mengimport minyak kelawa sawit dan lain-lain pengeluaran kita?. Apakah kita tidak lagi boleh mengeritik dasar luar Amerika kerana ianya adalah rakan dagang penting negara? Apakah kita hanya berdiam diri terhadap liberalisma faham agama dan budaya barat kerana ini merupakan nilai-nilai negara barat yang kita masih bergantung kepakaran dengan mereka?. Kalaulah begitu logiknya yang kita pakai dari Dr. Juanda, maka kita terpaksa tutup minda tutup mulut dari mengeritik kebanyakan faham agama dan falsafah kebendaan kerana menjaga kepentingan-kepentingan tertentu......

Kalaulah kenyataan ini keluar dari pihak Kementerian Luar Negara, atau Tabung Haji atau pemimpin politik, kita akan menerima logik tersebut dengan lapang dada, tetapi apabila logik ini datangnya dari seorang mufti, maka kita tertanya di manakah ada amanah ilmu dan faham pada penjawat agama hari ini?


Berikut adalah kandungan surat jawapan Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady:

*******

Bertarikh 1 Ogos, 2011

Kepada Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis dengan alamatnya

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Tuan

Dengan merujuk kepada surat tuan (…) bertarikh 27hb Julai 2011 dinyatakan dengan hormatnya, surat itu itu telah dibaca dan difahami.

2. Bagi menjawabnya, oleh kerana kenyataan-kenyataan saya dalam sesi berkenaan dibuat dalam majlis anjuran KDN Bahagian Keselamatan Dalam Negara, menyentuh aliran-aliran tertentu, dalam Islam, saya meminta pihak tuan memohon kepada JAKIM dan Majlis Keselamatan Negara (yang merupakan pihak-pihak yang berwenang tentang sesi itu) untuk mengadakan satu Persidangan Pakar bagi menangani masalah kebocoran maklumat rahsia ini dan menyelesaikan masalah salah tanggapan oleh pihak-pihak yang berpandangan tidak tepat itu dengan kadar yang segera.

3. Ahli-ahli yang mengambil bahagian itu hendaklah pakar-pakar yang ditentukan oleh JAKIM dan MKN, dan orang-orang yang tidak berkenaan hendaklah dikecualikan daripada hadir di dalamnya kalau perlu dengan “screening” dilakukan oleh MKN.

4. Maklumat-maklumat rahsia itu kalau diputuskan oleh MKN munasabah disebarkan kepada sasaran yang sesuai barulah ia disebarkan. Atas nama individu-individu penyebarannya tidak dibenarkan.

5. Dalam hubungan itu, dengan ini tidak timbul “bahaya’ dari mana-mana kerajaan tertentu (saya tambah lagi di sini: juga tidak timbul “sesat” mana-mana kerajaan tertentu, dan “keganasan” kerajaan tertentu, itu tuduhan tidak benar, fitnah) dan masalah ibadat haji tidak perlu ditunda sebab saya sendiri pun baru menunaikan haji akhir tahun 2010.

6. Saya menanti dengan penuh harapan agar permohonan pihak tuan dilaksanakan oleh MKN dan JAKIM.

Wassalam,
Yang benar
tt Muhammad Uthman El-Muhammady
ISTAC IIUM
Kuala Lumpur Campus

Dengan cc kepada YAB Menteri Dalam Negeri, KP JAKIM, dan Setiausa Bahahagian Keselamatan Dalam Negeri KDN.

***********

Nota tambahan: Tidak timbul daripada surat ini saya tidak mahu bertemu dalam dialog, hanya saya mahu ia menyelesaikan masalah, menjamin kesejahteraan negara, menjaga hubungan negara dengan negara-negara lain, tanpa sensasi, budaya benci membenci, mencari nama, mencaci orang, menangguk di air keruh. Allahumma sallimna wal-muslimin.

Tentang orang hendak menuduh saya itu dan ini respon saya ialah: hasbuna’Llahu wa ni’mal-wakil ni’mal maula wa ni’man-nasir. Kita serah kepadaNya Amin.

Yang benar

Muhammad Uthman El-Muhammady ISTAC Campus KL 9-8-11 3.03 ptg



3 comments:

  1. Saudara,

    Kalau sesama bijak pandai dalam agama pun masih tidak boleh sehaluan dah bercanggah pendapat, bagaimana untuk umat Islam di Malaysia bersatu ? Sesungguh nya Islam itu mudah, tidak perlu di sukar kan pemahaman nya sehingga kita berpecah belah kerana berlainan pendapat.

    Cerdik pandai Islam di Malaysia sepatutnya bersatu, ketepikan fahaman politik dan mengambil initiatif utk menjadi golongan ketiga yg menyatukan seluruh umat Islam di negara kita yg telah berpecah kerana perbezaan idealogi politik. Ini ada lah perjuangan & cabaran sebenar yang sepatut nya di sahut oleh para cerdik pandai islam bukan menegakkan siapa yg lebih pandai. Para ulamak & cerdik pandai Islam harus mengambil jalan tengah untuk menyatukan orang Islam tanpa mengira fahaman politik. Setakat ini tidak ada initiatif tersebut di buat. Kalau ada pun saya rasa tidak berkesan kerana saya sendiri tidak mengetahui kewujudan nya.

    ReplyDelete
  2. Para tokoh agama & cerdik pandai Islam di Malaysia nampak nya tidak bersatu. Terdapat perbezaan pendapat, masing-masing hanya berminat mahu menunjukkan siapa benar dan siapa salah. Lihat saja kes serbuan di gereja baru-baru ini. Masing-masing bertelagah mengeluarkan pendapat yg tidak konsisten. Bagaimana umat Islam nak bersatu kalau di peringkat tokoh & ahli agama sendiri pun sudah mempunyai perbezaan pendapat.

    Initiatif utk menjernihkan keadaan & menyatukan umat Islam di Malaysia harus di gerakkan secepat mungkin oleh para tokoh agama tanpa mengira fahaman politik. Ini lah yg harus di perjuangkan buat masa ini. Tak perlu kita bertelagah berkenaan fahaman2 yg kompleks yg saya sendiri & kebanyakan org lain pun tidak faham walhal perkara asas yg lebih mudah iaitu menyatukan umat islam pun tidak dapat kita laksana kan. Sekiranya terdapat usaha-usaha penyatuan ini di jalankan oleh pihak tertentu, saya ingin menyertainya kerana saya sudah muak & loya dengan perangai pemimpin2 parti politik di Malaysia samada dari PAS, PKR atau pun UMNO yg asyik berbalah menunjukkan kehebatan masing2. Saya juga sudah muak dengan cerdik pandai agama yg hanya pandai bercakap mengenai hukum itu & ini & yg cenderong ke arah fahaman politik masing2 tetapi membelakangkan soal yg jauh lebih penting iaitu menyatukan umat Islam di Malaysia ini.

    ReplyDelete
  3. Saya menyokong penuh komen di atas. Harap pihak berwajib teruskan usaha utk menghimpunkan ulama (tidak termasuk ulamak politik) utk mrncsri jslsn menyatukan umat Islam di Msia.

    ReplyDelete