Minggu lepas, selepas maghrib malam jumaat seorang kenalan yang menjadi tenaga utama sebuah pondok pengajian telah menghubungi saya bertanyakan saya maksud 'bersemayam'. Beberapa hari berikutnya persoalan ini turut dibincangkan di kalangan rakan-rakan yang lain.
Saya menjawab secara spontan pada peringkat awalnya, kemudian saya rujuk kepada Kamus Dewan Edisi Baru cetakan 1989 yang ada dalam simpanan saya dan Kamus Besar Indonesia yang terdapat on-line, serta beberapa rujukan yang lainnya.
Biarlah kita mulakan dengan bersila-lendit: bersila adalah cara duduk yang bersilang kaki, kaki kanan di atas betis kiri atau kaki kiri di atas betis kanan, atau betis kiri di atas paha kanan atau betis kanan di atas paha kiri. (cross legged). Kita juga mengetahui cara-cara duduk selain daripada bersila; umpama duduk bertepuh (umpama dalam tahiyyat awal), duduk mencangkung, duduk berjuntai kaki (sekiranya di atas kerusi atau seumpama), duduk mengiring dan bersandar serta lain-lain cara duduk.
Lendik bermaksud pakaian yang tidak berkedut, sementara lendit pula diertikan tertib; itulah yang tercatit dalam Kamus Dewan.
Maka maksud bersila lendit : cara duduk yang bersilang kaki secara tertib. Perbuatan bersila lendit ini mungkin sahaja dilakukan oleh seorang raja yang berkuasa atau seorang faqir yang sangat papa. Ianya tidak mempunyai apa-apa significant lain kecuali menerangkan cara duduk seseorang.
Sementara bersemayam telah ditakrifkan sebagai : (1)duduk seorang raja di atas takhta, singgahsana atau peterana. (2) bermaksud tinggal atau berkediaman untuk seorang raja yang memerentah , umpama Tuanku bersemayam di Kuala Kangsar .
Bersemayam dikaitkan dengan kedudukan yang berkuasa dan memerentah. Umpamanya sekiranya sekalipun seorang rakyat biasa dapat duduk di atas peterana di istana, dia tidak akan dikatakan bersemayam di atas takhta. Adapun cara seorang raja yang berkuasa duduk, semada caranya bersila lendit, atau bersimpuh, atau berjuntai kaki atau mengiring tersandar sekalipun, duduk baginda itu dikatakan bersemayam di atas singgahsana. Bersemayam adalah istilah majestic yang menunjukkan kedudukan yang menjadi simbol memilki kuasa dan daulat bagi seorang raja.
Maka sudah tentu bersemayam tidak sama dengan bersila lendit, bukan sahaja kerana bersemayam adalah istilah majestic semata-mata, iaitu seumpama istilah bersantap bagi makan, beradu bagi tidur, bersiram bagi tidur. Sekiranya seorang Raja duduk di bawah pokok atau di atas bangsal, baginda tidak akan dikatakan 'baginda bersemayam di bawah pokok' atau 'bersemayam di atas bangsal'; tetapi raja bersemayam di atas takhta (singgahsana atau peterena). Ianya melambangkan kekuasaan dan daulat seorang raja yang memerentah.
Kemudian timbul pula keperluan memahami perkataan 'istiwa'. "Istiwa' adalah perkataan yang disebut berkali-kali di dalam al-Quran, 'istiwa' berasal dari perkataan 'sawa' yang membawa maksud 'persamaan'. Penggunaan perkataan 'istiwa' di dalam bahasa Melayu yang paling meluas ialah Khatu al-istiwa' ( garisan equitorial) yang menunjukkan ianya adalah garisan yang membahagikan dunia sama banyak antara yang di utaranya dan di selatannya.
Saya melihat kitab Mu'jam lafaz al-Quran bagi Syaikh Muhammad Fuad Abdul Baqi , di dapati :
(i)- istiwa 'ala al-Arasy [istiwa di atas Arasy] terdapat pada 8 tempat . Al-'Araf:45, Yunus:3, Ar-Ra'du:2, Taha: 5, Al-Furqan:59 as-Sajdah:4 dan al-Hadid:4.
(ii) -istiwa ila as-Sama' [istiwa menuju langit] ada pada 2 tempat. al-Baqarah:26 dan Fussilat:11
(iii)Di dalam Surah al-Fath:29, ianya digunakan untuk menunjukkan proses semakin membesar serta semakin kukuh [established] pertumbuhan pokok .
(iv) Di dalam Surah an-Najm:52 , ianya digunakan untuk menunjukkan 'menzahirkan dan menunjukkan rupa yang sebenar [ revealed/established] oleh Saiyyidina Jibrail.
(v) Di dalam Surah az-Zukhruf ayat 13, disebut dua kali dengan membawa maksud menetap duduk [ride] di atas belakang tunggangan.
(vi)Di dalam Surah Hud ayat 44, di sebut dengan membawa maksud berlabuhnya [settle] bahtera Saiyyidina Nuh di atas Gunung Judy.
(vii) Di dalam Surah al-Muk'minun ayat 28, disebut dengan membawa maksud menaiki bahtera semunya, Saiyyidina Nuh serta semua pengikut baginda .
Saya juga cuba memahami apa yang dicatit oleh Imam Ibn Manzur di dalam kamus Lisanu al-Arab. Di dalam penggunaan bahasa Arab klasik terdapat beberapa maksud yang selain daripada yang telah disebut. Antaranya, umpamanya apabila dikatakan 'lelaki itu istiwa' bermaksud dia telah mencapai kemuncaknya, atau dikatakan mencapai umur 40 tahun. Istiwa juga bermaksud urusan seseorang itu berpindah tempat, Istiwa juga bermaksud menguasai, umpama "seorang lelaki itu telah istiwa (mendapat kekuasaan) ke atas Iraq tanpa peperangan tanpa pertumpahan darah".
Istiwa juga digunakan seumpama "Sebelumnya dia berdiri, maka dia istiwa dengan duduk" juga "Sebelumnya dia duduk, maka dia istiwa dengan berdiri".
Bermacam-macam pengertian istiwa yang dibincangkan di dalam Kamus Lisanu al-Arab, antaranya yang kerap disebut oleh ulama ketika membincangkan 'istiwa 'ala al-Arash' adalah perkataan Imam al-Ummah, Imam Malik bin Anas ketika ditanya tentang bagaimana istiwa' , Imam ini mengatakan: "Bagaimana (kaifa) istiwa itu tidak boleh difikirkan (ghairu ma'qul), istiwa itu tidak pula tidaklah tersembunyi (dari segi pengertian bahasanya), beriman dengannya adalah wajib, menyoal tentangnya adalah perbuatan bid'ah".
Mengatakan Tuhan bersila lendit di atas Arasy zahirnya menunjukkan bagaimana cara Tuhan beristiwa di atas Arasy, dan ini adalah ditegah oleh syara secara jelas. Hampir kita tiada menemui khilaf di antara ulama Islam yang melarang kita dari menentukan cara istiwa dengan mengatakan cara duduk 'bersila-lendit'. Imam Fakhruddin ar-Razi, ulama besar dari aliran Asya'irah menyebutkan di dalam kitabnya Asasu fi at-Taqdis bahawa Sifat-Sifat Allah yang mungkin difahami menyerupai anggota makhluk haram diterjemahkan kepada bahasa selainnya (ajam) kecuali perlu kekal dalam istilah Qurani. Kerana skop pemahaman terhadap sesuatu istilah itu membawa makna yang berbeza-beza antara satu bahasa ke satu bahasa, agaknya larangan itu termasuklah juga dengan istilah istiwa ini.
Adapun khilaf di antara sebahagian ulama yang mengikut mazhab Imam Ahmad dengan jumhur yang mengikut Aya'irah-Maturidiyyah itu adalah di dalam persoalan mengithbatkan makna istilah-istilah secara zahir bahasa atau perlu ditafwidh (serahkan maknanya kepada Allah) atau ditakwil sesuai dengan pengertian istilah tersebut di dalam bahasa Arab yang murni. Yang paling menonjol dari kalangan sebahagian pengikut Imam Ahmad bin Hanbal adalah Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, aliran yang dikutinya dalam soal ini ialah mengithbat dahulu segala Sifat Allah atas makna zahir bahasa dan menyerahkan kaifiat Sifat tersebut kepada Allah , serta ditanzihkan daripada menyerupai sifat dan bentuk makhluk.
Sedangkan golongan yang mentafwidh perkara ini di kalangan ulama jumhur , mereka mentanzihkan dahulu Sifat Allah dari menyerupai sifat dan bentuk makhluk, kemudian mereka menetapkan lafaz istilah-istilah tentang sifat Allah yang terdapat di dalam al-Quran tanpa memberi makna apalagi menentukan kaifiat, mereka serahkan makna dan kaifiatnya kepada Allah.
Sementara ulama yang mentakwilkan istilah-istilah ini malukukannya berdasarkan penggunaan istilah tersebut bagi makna-makna yang tidak zahir, tetapi digunakan secara simbolik (majaz) bagi istilah-istilah tersebut sebagaimana yang telah digunakan dalam bahasa Arab yang murni, kerana sememangnya al-Quran turun di dalam bahasa Arab dan di dalam uslub Arab.
Tetapi ketiga-tiga aliran ini tidak pernah memberi erti istiwa' dengan cara duduk bersila-lendit, bahkan golongan mujasimmah yang disepakati sesat oleh ummah ini sekalipun tidak juga memberi cara duduk yang begitu specific bagi istiwa-nya Allah di atas Arasy. Jadi kenapa perlu ada yang berani menterjemahkan dan memberi makna Istiwa Tuhan di atas Arasy sebagai Tuhan duduk bersila lendik di atas Arasy?. Selepas menterjemahkan sedemikian, kemudiannya dikatakan bersila lendit itu sebagaimana yang sesuai bagi Allah. Kebijaksanaan apakah ini?
Keterlanjuran sebegini wajib ditegur, ianya keterlanjuran yang menyentuh soal asas Aqidah, iaitu kepercayaan kita kepada Allah dan Sifat-Sifat-Nya. Walaupun kita boleh terima bahawa sipenutur yang terlanjur ini berniat untuk menjelaskan sejelas-jelasnya kepada masyarakat, Tetapi kita perlu sedar yang mana mungkin kita mahu menjelaskan sesuatu yang dikatakan oleh Imam Malik dan sepakati oleh ummah sebagai perkara-perkara yang kaifiat-nya adalah majhul? Kita perlu ada batas di antara perkara-perkara yang memerlukan keimanan yang mutlak terhadap soal-soal ghaib sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul daripada keyakinan yang dibina berdasarkan percubaan dan huraian setakat garapan otak dan pancaindera.
Marilah kita cegah keterlanjuran ini kerana Allah, bukan kerana geram peribadi, bukan kerana dorongan kuasa dan darjat duniawi. Marilah kita tegur keterlanjuran walaupun dari mana ianya berpunca; semada dari kumpulan kita atau kumpulan lawan,, semada dari golongan bawahan atau atasan. Jangan hendaknya kita bina mentaliti dan sikap seumpama sarang labah-labah, walaupun setiap benang-benang sarangnya agak kuat, tetapi ianya hanya memerangkap mangsa-mangsanya yang kecil-kecil, sedangkan yang besar-besar akan terlepas. Marilah kita mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi cinta kita dan hormat kita pada yang selain daripadanya. Kita suburkan budaya nasihah kerana mencari reda Allah, serta kita jauhi sikap membisu di atas kemungkaran kerana pertimbangan dunia, harta dan kuasa.
Maulana Abu Hassan an-Nadwi memperingati kita dalam belbagai tulisannya agar kita bersikap menegur kemungkaran atau kegelinciran seseorang yang memegang kuasa, kerana niat kita untuk menjalankan tanggung-jawab agama, kerana didorong oleh kecintaan kepada kemulian dan kemurnian faham tanpa dicemari oleh hasutan untuk menjatuhkan sesiapa, tanpa dorongan untuk mengambil-alih kedudukannya atau dalam rangka melemahkan struktur organisasinya. Dalam semangat itulah Maulana Abdu Hassan an-Nadwi menulis kritikan terhadap fahaman Maulana Maududi, kerana itulah juga Maulana Manzoor Numani, Maulana Yusuf Binuri, Maulana Zakaria al-Kandahlawi menghujjah fahaman dan tulisan Mualana Maududi. Begiru jugalah yang dilakukan oleh Imam Hasan al-Hudaibi ketika menulis 'Duah la Qudah'.
Maulana Abu Hassan an-Nadwi memperingatkan kita yang Imam Ahmad bin Hanbal bangun untuk meluruskan anutan faham Khalifah al-Makmun tetapi tidak pernah terpetik dalam catatan sejarah yang Imam ini pernah terlibat dalam usaha menjatuhkan baginda. Begitu juga Imam Mujaddid Alif ath-Thani yang bangun menentang penyelewengan Maharaja Akbar di India tetapi dia juga tidak langsung terlibat dalam percaturan politik merebut kekuasaan. Bagi Maulana Abu Hassan itulah rahsia kejayaan dakwah imam-imam ini.
Maka marilah kita contohi jejak mereka yang dianggap The Saviours Of Islamic Spirit, kita tegur kegelinciran kerana ianya merupakan kegelinciran, tanpa sebarang niat apalagi usaha untuk mempergunakan kegelinciran seseorang itu sebagai modal politik untuk menggugatnya. Tinggalkanlah soal politik dan kekuasaan kepada 'pemain-pemainnya' kerana mereka sudah ramai, lebih dari mencukupi , kita tumpukan hemmah kita kepada bidang yang mereka sering abaikan .
Saya teringat pesanan Allahyarham Sasterawan Negara S.Othman Kelantan di suatu majlis makan malam di Hotel Perdana suatu masa dahulu ketika memberi respon kepada kenyataan tentang terjemahan kepada salah satu daripada Nama-Nama Allah yang Indah yang telah diulang-ulang tanpa sebarang teguran yang tegas sebelum itu dengan mengatakan : "bukalah kamus sebelum bercakap menggunakan sebarang istilah". Di atas saranan itulah saya memberanikan diri untuk merujuk kepada kamus-kamus yang ada walaupun saya bukannya ahli bahasa. Semoga Allah mengampuni kita diatas kekurangan dan kealpaan kita dalam menyatakan kebenaran ketika ada orang yang menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang tidak selayaknya , menceritakan perihal Saiyyidina Rasulullah dengan meremeh-remehkan kemulian peribadi dan keturunan baginda. Ya Allah perlihatkan kami kebenaran, sebagai kebenaran serta berilah kami kekuatan untuk melakukannya, Ya Allah perlihatkan kami kemungkaran sebagai kemungkaran serta berilah kami kekuatan untuk menjauhinya. tiada daya tiada upaya kami kecuali Daya dan Upaya Engkau, Ya Allah yang Maha Berkuasa.
Semoga Allah ampuni segala keterlanjuran zahir dan batin kita, Allah menunjukkan kita Jalan kebenaran dalam i'tiqad, niat dan amalan, Allah menunjukkan kita hudud di dalam agamanya, serta diberi taufiq kepada kita untuk patuh kepada suruhan-suruhan-Nya dan tidak melanggari larangan-Nya. Sekiranya kita tergelincir dalam apa-apa pegangan dan amalan , kita harapkan semoga Allah akan bangkitkan orang-orang yang menasihati kita sehingga kita sedar dari kesalahan tersebut.Semoga gembira kita dan marah kita berdasarkan kecintaan kita kepada Allah, Rasul-Nya dan Agama-Nya.
No comments:
Post a Comment