Antara lain al-Habib menyebut tentang athar (kesan) ad-dakwah, athar at-tarbiyyah, cabaran-cabaran semasa yang melibatkan wasilah, tujuan , ilmu dan suluk.
1-Al-Habib memperingatkan kita yang kita berada di era 'revolusi maklumat'. Begitu banyak maklumat yang diperolihi di zaman ICT ini, sehingga mustahil untuk mengetahui semuanya, sedangkan maklumat yang diketahui itu pula memerlukan neraca untuk menentukan benar atau salahnya. Kemudian bagaimana pula persiapan kita selepas menyaring maklumat-maklumat tersebut.
2-Al-Habib menyebut tentang zaman kita ini adalah zaman 'specialization', pangkhususan yang sangat khusus. Di zaman terdahulu, memang terdapat ilmuan yang mempunyai kepakaran di dalam bidang-bidang ilmu tertentu, tetapi mereka masih mempunyai ilmu yang sangat memadai dalam bidang-bidang yang lain. Di zaman kita pula, seorang yang sangat pakar di dalam sesuatu bidang, mungkin sahaja tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang yang selainnya.Umpamanya dalam bidang perubatan ,seorang doktor pakar tulang, kemudian pengkhususannya mungkin sangat 'specific', umpama bahagian sendi , atau cartilege sahaja. Begitu jugalah yang berlaku pada pengetahuan agama sekarang ini. (pencatit ini teringat sebagai contoh; seorang yang pakar dalam 'instrument perbankan Islam' ; mungkin tidak mampu menjawab persoalan asas dalam feqah ibadah; atau seorang yang pakar dalam sejarah era Abbasiyyah mungkin tidak mampu memberi input dalam persoalan post-modernism ).
Dengan kepakaran yang sangat tinggi dalam bidang tertentu itu, maka ilmuan itu mempunyai kelebihan yang sangat nyata di dalam bidangnya, tetapi mungkin sahaja dia adalah 'orang awam ' di dalam bidang-bidang yang lebih luas. Tetapi kelebihannya itu boleh sahaja mendorong dia untuk mimiliki ego yang tinggi, walaupun pada bidang-bidang yang dia tidak mempunyai penguasaan yang mencukupi. Dia seakan bersikap 'sangat tahu' walaupun bukan bidang pengkususannya. Perkara ini lebih kritikal sekiranya di dalam bidang ilmu agama. Dia sudah tidak mampu menjadi tawadu' untuk bertindak sebagai pelajar di dalam cabang ilmu yang bukan bidangnya.
Al-Habib menggunakan istilah 'nano' untuk menghurai perkara ini, tamaddun nano ini telah mendindingi akal manusia dari melihat kiri dan kanan, seakan kuda yang di pasang topeng pada matanya, kuda hanya memandang apa yang dihadapinya tanpa mengambil-kira perkara selainnya. Inilah sebagai daripada realiti masyarakat yang perlu kita hadapi dengan cara bijaksana.
3-Dengan maklumat yang datang secara mencurah ini, masyarakat kita pada segala peringkat terdedah kepada slogan human rights, democracy, liberty , equality, liberalism, pluralism dan lain-lain slogan yang berwarna-warni. Masyarakat semakin menuntut agar nilai-nilai yang dilaungkan dalam slogan itu dilaksanakan. Maka bagaimana sikap kita dalam menghadapi segala pembukaan maklumat dan tuntutan seumpama ini?
Sekiranya kita mengambil sikap untuk berada di atas, dengan menjatuhkan hukuman : "itu haram, itu seleweng,itu dosa, itu merupakan kemurtadan" , tanpa terlebih dahulu kita bersemuka dengan faham-faham ini, tanpa berusaha meluruskan apa yang terseleweng dengan kasih-sayang, tanpa mengambil sikap lapang dada dan meraikan fahaman-fahaman yang berbeza yang kemudiannya dijinakkan dengan hujah yang bernas; dibimbangi kita mengulangi sikap golongan gereja di zaman pertengahan Eropah . Golongan gereja berhukum dan melaksanakan hukuman ke atas anggota masyarakat yang diselar sebagai penyeleweng. ( agaknya sikap ini terlebih dahulu dikupas oleh Imam Hassan al-Hudaibi dalam buku beliau"Duah la Quddah'; yang menolak faham yang diketengahkan oleh Maulana Maududi))
4-Tindak balas anggota masyarakat terutama golongan mudanya bukannya mereka menjadi takut dan patuh kepada ketentuan golongan agama tetapi mereka protes dan bangun melawan. Akibatnya institusi gereja semakin terpinggir dari masyarakat. (bacalah sejarah awal secularism di barat). Kita wajib menjaga dan melestarikan kesucian Islam, untuk itulah kita perlu sangat mengawasi sikap dan amalan kita.
Pendekatan 'do' dan "don't" adalah pendekatan golongan yang tidak beriman, pendekatan kita adalah cara dialogue & engagement. Kita menggunakan hujjah dan mengajak kepada perbincangan. Untuk itu, kita para daie zaman ini perlu kita mengetahui sesuatu dari segala ilmu, dan benar-benar berusaha untuk mengetahui segala di dalam ilmu yang kita kuasai.
5-Kita perlu mempunyai keupayaan untuk:
i) berkominikasi secara berkesan dengan anggota masyarakat yang beragam,
ii) sedia mengaku kesilapan dan kekurangan yang ada pada kita dengan lapang dada
iii) berbicara dalam bidang yang kita kuasai, tanpa melangkaui bukan bidang-bidang kita
Iv) berusaha supaya dapat sumbangan kita dapat dimanafaat dan dicontohi oleh orang lain.
6-Kita melihat sebahagian anggota masyarakat yang mempersoalkan kewajaran Islam itu sebagai golongan yang sebenranya menghampiri kebenaran. Sikap ini mungkin timbul daripada pertentangan dalaman mereka dalam menimbang di antara kebenaran Islam dengan kepalsuan kesesatan. Maka menjadi tugasan kita untuk menjelaskan kebenaran Islam kepada mereka dan juga tentang kepalsuan yang selainnya.Bukan sedikit orang yang menepikan huraian ajaran agama disebabkan kurang faham atau tersalah perspektif terhadap Islam. Maka tugasan kitalah untuk meluruskan fahaman mereka dengan baik dan menyakinkan. Lihatlah bagaimana Saiyyidina Umar radiyallahu 'anha yang mendatangi adiknya sebagai penentang Islam, tetapi selepas membaca ayat-ayat al-Quran telah bertukar menjadi seorang pembela dan tokoh bagi ummah ini.
7-Kita hendaklah melakukan perubahan ke arah kebaikan dengan diri kita sendiri, kemudian kita mempengaruhi orang lain,. walaupun seorang. Kita bermula dengan diri kita sebagai suatu permulaan bagi gerak-kerja semakin membesar; ianya bergantung kepada kekuatan kerohanian kita.
Kita tidak sepatut memandang kecil kepada amalan kebajikan walaupun sekecil mana; termasuklah untuk memberi senyuman kepada orang lainnya. Kita mampu memulakan perubahan dengan mengamalkan perkara-perkara 'kecil' seumpama ini.
8- Kita memerlukan pimpinan dalam suluk kita, pemimpin yang mampu dijadikan ikutan dan memberi tauladan kepada kita. Pemimpin itu menunjukkan suluk secara amali .
Falsafah akhlak yang beredar di dalam dunia kita kini adalah falsafah yang bersikap evolutionary dan relative, bukan yang absolute. Kita sendiri telah terlalai daripada faham akhlak Islam. Kita memerlukan usaha tajdid dalam falsafah akhlak; antaranya kita perlu kembali memanafaatkan kitab Arbai'nu fi Usuluddin , karangan Imam al-Ghazali. Kita hendaklah kembali memahami 'perkembangan semasa' dalam suluhan huraian dan fahaman warisan kita.
9-Kita hendaklah berusaha memahami cara berfikir orang muda-muda.Kita hendaklah sedar yang kekuatan pengaruh emosi pada orang muda kerap mengatasi kekuatan pengaruh logik. Kita hendaklah menghindari sikap yang menganggap 'faham agama kita' adalah ' agama itu sendiri'., Sehingga sesiapa yang menyalahi kita, kita anggap dia menyalahi agama. Kita perlu menyoal diri kita : apakah sebenarnya kita mengajak kepada Islam, atau kita mengajak kepada apa yang kita faham tentang Islam, kepada al-Quran sebagaimana yang kita faham, kepada sunnah sebagaimana yang kita faham' . Sehingga kita beranggapan penentangan terhadap kita adalah penentangan terhadap agama. Kelainan daripada yang kita faham, akan dianggap penyelewengan.
10-Anggota masyarakat kita pula sangat dahagakan bimbingan kerohanian, mereka merindui untuk menyaksi dan mengalami keindahan Islam. Kita pula asyik memberi khutbah dan ceramah yang panjang untuk menyerang golongan-golongan yang menentang ajaran Islam. Seakan-akan sekiranya tiada lagi cabaran dari golongan penentang, maka tiadalah lagi ceramah dan khutbah yang dapat disampaikan.
Kita hendaklah berusaha untuk menjadikan aqidah kita dan amalan perbuatan kita sebagai sumber rahmat bagi diri dan masyarakat kita.
Kita perlu mengelak keadaan yang mana golongan ulama bertindak seakan-akan mereka mengatasi golongan muda secara mutlak, sementara golongan muda pula bertindak seakan-akan mereka mengatasi golongan ulama secara mutlak
.
Kita perlu sedar adanya kelebihan pada kelompojk-kelompk yang berbeza serta keterbatasan yang ada pada mereka. Penguasaan ilmu agama lebih pada ulama, tetapi mungkin mereka kurang pada ilmu-ilmu semasa. Sementara golongan muda pula di sebaliknya.
11- Sedangkan pemahaman dan amalan tasauf dalam masyarakat kita pula sedang menghadapi serangan daripada luar lingkungan tasauf, dituduh sebagai bid'ah, menyeleweng, khurafat dan sebagainya. Ia juga menghadapi keruntuhan dari dalam ; di kalangan mereka yang mendakwa sebagai golongan tasauf. yang mempunyai pegangan yang salah, amalan yang bertentangan dengan syara' , dengan dakwaan kerohanian yang sebegitu sekali.
Kita perlu kembali kepada kemurnian tasauf dan ajaran akhlak sebagaimana yang dibawa oleh Hujjatu al-Islam Imam al-Ghazali.
Marilah kita menukarkan cemburu kerana diri sendiri dan kerana kelompok kita kepada cemburu kerana Allah; kasih kerana diri sendiri dan kerana kelompok kita kepada kasih kerana Allah, Bertindak dari kerana diri sendiri dan kerana kelompok kita kepada kerana Allah.
12- Kita perlu memberi masa yang khusus untuk bermunajat kepada Allah dengan membaca al-Quran dan zikir, Kita perlu bangun mendirikan malam dengan solat dan ibadat yang lain. Kita perlu menjalin hubungan hati yang berterusan dengan Allah. Inilah bekalan kita, inilah makanan kerohanian kita , inilah kekuatan kita dan inilah juga pengerak serta pencetus amalan-amalan kita.
Saya sekadar mencatit apa yang sempat dicatit, serta setakat apa yang dapat difahami dalam keterbatasn faham saya dalam bahasa Arab dan subjek yang dilontarkan oleh Habib Ali al-Jufri. Semoga ianya tidak lari dari inti-pati yang disampaikan oleh al-Habib. Semoga saya dan saudara-saudara saya mendapat manafaat dari peringatan yang nadir serta sangat bernilai dari al-Habib.
No comments:
Post a Comment