Friday, November 16, 2012

Nurul Izzah , Mahathir & Pak Lah: mentaliti sarang labah-labah



"Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani juga memperingati kita di dalam keghairahan  kita mahu mengislah masyarakat, semada pihak berkuasa mahu membetulkan rakyat atau rakyat mahu menegur  pihak berkuasa,  pertimbangan yang paling asas  yang perlu dibetulkan ialah qiblat hati kita masing-masing. Kita hendaklah hadapkan hati-hati kita kepada  Wajah Allah Syaikh memperingatikan kita dengan nasihatnya:

 (Dan dengan sebab) tiada sah niat  dan tiada ikhlas qasad  itu, dibalakan  beberapa banyak mereka itu yang menzahirkan menegah daripada mungkar padahal tiada membangkit [berpunca] akan dia atas menegah daripada mungkar itu melainkan semata-mata segala kehendak yang fasid atau barang yang bercampur dengan seperti dengki dan riya’  dan beberapa banyak melawani oleh yang kena engkar dengan sebenarnya akan mempunyai engkar [orang yang menegur] itu dengan sebab bencinya akan dengkinya dan riya’nya , maka tiada memberi faedah engkar itu melainkan menambahkan perpanjangan fitnah  dan mudarat. Wa  al-‘iyazubillahi Ta‘ala[1]


[1] Al-Fatawa al-Fataniyyah m/s203. 
Pencatit ini juga pernah menulis nasihat gurunya, Almarhum Haji Musa bin Yahya: “kemungkaran jangan mudah ditegur, kerana di dalam menegur satu kemungkaran, kita mungkin melakukan tiga kemungkaran. Kita mungkin menegur sesuatu kemungkaran dengan menganggap kita lebih baik daripada orang yang ditegur, ini adalah kemungkaran yang besar, iaitu takabbur. Kita mungkin mengintai-intai keaiban orang lain untuk menegurnya, ini juga adalah kemungkaran. Dan di dalam menegur, kita mungkin membuka aib orang lain dengan sengaja dan ini juga adalah kemungkaran. Oleh itu mengikut guru kami ini istita‘ah hati di dalam menegur kemungkaran itu ialah menghadirkan keikhlasan semata-mata kerana Allah. Apabila ada kekuatan istita‘ah itu, cegahlah kemungkaran semada dengan tangan, atau lisan atau dengan hati. Keikhlasan yang berakar-umbi di hati itulah yang akan memancarkan keredaan Allah di dalam tindakan

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Akhir-akhir ini timbul semacam keghairahan  di kalangan sebahagian rakan-rakan dakwah yang berada di luar lingkungan politik kepartian untuk 'menyerang kemungkaran' yang dituturkan oleh tokoh-tokoh politik dari pihak pembangkang. Mereka 'menyerang ucapan dan ungkapan'' yang mengambarkan sokongan tokoh-tokoh ini  kepada faham liberalisme dan pluralisme agama. Terakhir ini serangan terhadap ungkapan Nurul Izzah, sehingga ada rakan yang mendesak agar Nurul Izzah disiasat di bawah Akta Hasutan oleh pihak berkuasa. Keadaan bertambah panas apabila komen mereka disiar berselang-seli dengan komen dari ahli-ahli politik di luar  main-stream parties, seperti Hassan Ali, Ibrahim Ali atau Zulkifli Nordin. Kita tahu  yang komen ahli-ahli politik ini adalah komen politik, dibuat demi kelangsungan masa depan politik masing-masing, untuk  terapung , tidak tenggelam dalam arus politik.

Kita mengharapkan rakan-rakan 'dakwah' yang  membuat kritikan, telah melaksanakannya  dalam  kontek yang  jernih. mereka mengeluarkan kenyataan kerana menjalankan tanggung-jawab nahyu 'anni al-mungkar; dilakukan dengan ikhlas mencari reda Allah bukan atas pertimbangan peribadi dan keduniaan. Dilaksanakan kerana ghirah kepada kesucian Islam dan untuk pengislahan.

Kami  mengambil sempena perkembangan ini untuk memperingatkan diri kami dan rakan-rakan yang dikasihi tentang bahayanya fenomena mentaliti sarang labah-labah. Sarang labah-labah disifatkan Allah sebagai selemah-lemah rumah. [dalam surah al-Ankabut: secara asasnya tentang perumpamaan orang kafir yang mengambil sembahan selain Allah] . Sarang ini tidak dapat melindungi penghuninya dari basah hujan atau panas matahari. Begitupun kajian sains menunjukkan secara intrinsic-nya setiap urat-benang sarang itu secara relatifnya kuat, tetapi begitupun ,kesan keseluruhanny adalah lemah. Ia hanya mampu memerangkap serangga, selepas serangga terperangkap di situ, maka labah-labah akan meratah mangsanya. Haiwan yang agak besar tidak akan terperangkap di sarang labah-lanah, walaupun mereka melalui jalan yang sama yang telah dilalui oleh serangga yang telah menjadi mangsa pada sarang labah-labah tersebut.

Hujjatu al-Islam Imam al-Ghazali Rahmatullah 'alaihi dalam tulisannya 'Al-iqtisad fi al-I'tiqad' menarik pemerhatian kita agar merenung sarang labah-labah yang mana urat benangnya disusun  dalam jaringan berbentuk symmetrical , begitu mengkagumkan. Imam ini meminta agar kita taammul-kan "apakah labah-labah ini membuat sarangnya dalam bentuk yang sebegini  kerana kebijaksanaan dan pengalamnanya dalam bidang geometry, atau Allah yang mengajar kepada labah-labah untuk melakukan yang sedemikian?". Sarang labah-labah itu bukanlah sesuatu yang remeh,ianya complex dan punya keistimewaaannya sendiri.

Begitu juga agaknya yang berlaku pada sebahagian daripada kita. Kita akan segera bersuara memerangkap serta menentang kemungkaran dengan lantangnya sekiranya kemungkaran itu datangnya dari golongan yang belum berkuasa, pengaruh mereka belum penuh, akhbar-akhbar utama belum menyebelahi mereka. Kita jarang mencari takwil untuk 'menyelamatkan' mereka daripada serangan kita. Tetapi apabila perkara sama datangnya dari tokoh-tokoh yang berkuasa, sekiranya kita menegurpun, kita tidak selantang itu, kita berbisik kerana menjaga  adab dalam menegur pemimpin . Kita mungkin akan mencari takwil yang akan menyelamatkan mereka. Kita katakan "it was a political statement, it is not a  statement on aqidah".

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam menyatakan yang seafdal-afdal jihad adalah perkataan benar di depan penguasa yang zalim. Memang terlalu sukar untuk berkata benar di hadapan penguasa yang zalim,  Awal-awal lagi dia zalim, tambahan pula dia milik kuasa, menguasai apparatus penguat-kuasaan untuk bertindak ke atas kita, milik media-massa yang boleh digunakan untuk membantu kita atau menghancurkan  kita. Mereka mempunyai 'carrot & cane; carrot ' untuk mengumpani kita atau cane untuk mendera kita; kita mungkin tergoda pada 'carrot-nya' atau takut pada 'cane-nya'; bahkan mungkin kedua-duanya serentak.

Untuk menutur kebenaran di hadapan penguasa yang zalim itu memang sukar. Jauh lebih sukar daripada menyumpah-seranah, mengata nista atau menghina-umpat orang-orang yang berkuasa. Akhlak yang buruk itu memang mudah kerana ianya disokong oleh nafsu ammarah, dianggap wira oleh rakan sebaya serta mudah mendapat nama, sebagai seorang yang berani [sepatutnya seorang yang biadab] oleh masyarakat. Mengatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim memerlukan kekuatan dalaman untuk mengatasi ancaman bahaya, memerlukan kekuatan untuk mengekang luapan nafsu ammarah demi berlaku adil dan menjaga batas-batas kebenaran. Allah menyebut tentang perentah-Nya kepada Saiyyidina Musa 'alaihi as-salam:
"Pergilah kamu berdua (yakni berserta Saiyyidina Harun 'alaihi as-salam) kepada Firaun, sesungguhnya Firaun itu sangat melampau [durhakanya] , maka kamu berdua hendaklah berkata kepadanya dengan perkataan yang sopan supaya dia akan mendapat peringatan atau dia akan takut [azab Allah] . Keduanya berkata: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami takut yang dia akan menzalimi kami atau bertindak keterlaluan"  [Taha: 43-45]

Saiyyidina Abu Bakar as-Siddiq Radiyallahu 'anhu dalam khutbah sulungnya sebagai khalifah antara lainnya telah menyebut yang maksudnya lebih-kurang: "Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat pada perkiraanku sehingga aku mengkembalikan hak-haknya kepadanya .Orang yang paling kuat di kalangan kamu adalah terlemah dalam pandanganku sehingga dia memulangkan hak-hak orang lain.  Allah menurunkan kehinaan  ke atas mereka yang meninggalkan jihad di Jalan Allah. Allah menurunkan bala' kepada mereka yang melakukan maksiat".. 

Golongan daif , golongan terpinggir, tertindas dan dizalimi mempunyai kedudukan dan kekuatan mereka tersendiri. Walaupun dalam perkiraan politik amali semasa, mungkin  kelompok ini dianggap  adalah kelompok pinggiran tanpa banyak pengaruh. 

Sementara pihak yang memegang kuasa pula memang berpengaruh. Pengaruh bukan sahaja di dalam perkara kebaikan bahkan dalam perkara keburukan, sehingga golongan kafir yang dimasukkan di dalam neraka telah menyeru Allah :

 "Pada Hari ketika muka mereka dibolak-balikkkan dalam neraka, mereka berkata: "alangkah baiknya seandainya kami mentaati Allah dan kami mentaati Rasul".   Mereka menyeru: " wahai Tuhan kami, kami telah mentaati pemimpin-pemimpin kami dan pembesar-pembesar kami, maka mereka telah menyesatkan kami dari Jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berikanlah mereka azab yang berganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar" [al-Ahzab 66-68]

Kita sepatutnya mengetahui bahawa subjek utama dakwah kita adalah anggota masyarakat yang kebanyakan,  kita menyedari berapa ramai sangatlah barisan pimpinan dan penguasa  yang bersedia untuk menyahut dakwah secara jujur ikhlas tanpa kepentingan . Katakan demi dakwah, kita ingin membina imej yang baik di kalangan pembesar, maka jangan sampainya  kita bina jarak atau benteng pemisah dari orang kebanyakan. Antara benteng saikologi yang memisahkan pendakwah dengan orang kebanyakan  adalah perspektif masyarakat yang tidak dapat menerima sikap pendakwah yang lunak atau double standard kita terhadap pihak yang sedang berkuasa  atau  berpihak kita kepada mana-mana kumpulan berkepentingan termasuk pihak pembangkang. Kita perlu mempunyai neraca pertimbangan yang sama, perlu membina sikap yang adil untuk semua pihak hatta ke atas diri dan kumpulan kita sendiri. Itulah yang Allah perentahkan kita:

"Wahai orang yang beriman,hendaklah kamu menjadi penegak keadilan, menjadi saksi bagi Allah, walaupun ke atas diri kamu atau atas kedua ibu-bapa kamu dan kerabat kamu,  baik terhadap golongan yang kaya atau golongan yang miskin, maka Allah lebih mnegetahui tentang keduanya. Maka jangan kamu mengikut hawa-nafsu  daripada berlaku adil. Sekiranya kamu menyeleweng atau berpaling (daripada berlaku adil), maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah  Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"  [an-Nisa': 235]

Kemarahan kita terhadap seseorang atau terhadap sesuatu kumpulan, walaupun marahnya kita itu adalah kemarahan kerana Allah,  tidak sepatutnya marah itu menyekat kita daripada menilai mereka secara adil. Kita dilarang 'menzalimi' musuh kita dengan membina perspektif yang juling, melihat melalui kanta yang hitam semata-mata.. Allah memperingatkan kita:

"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang teguh berdiri  bagi Allah sebagai saksi-saksi dengan keadilan. Janganlah kamu terdorong (untuk tidak berlaku adil)  disebabkan kebencian kamu terhadap sesuatu kumpulan daripada kamu berlaku adil, Berlaku adilllah, kerana ianya dekat kepada taqwa, Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan " [ al- Maidah :9 ]

Ulama dan solihin di zaman salaf tidak melihat perdampingan dengan pihak berkuasa itu sebagai suatu kelebihan. Sekiranya sebahagian mereka mendampingi pihak berkuasa, itu adalah  kerana melaksanakan tanggung-jawab agama, sedangkan perdampingan itu dilihat sesuatu yang tidak baik. Saya teringat dalam kitab sekecil 'Taalim wa Muta'alim' karangan Imam  Az-Zurnaji Rahmatullahi 'alahi ada menyebut apa yang dikatakan hadith Rasulullah  Sollallahu 'alahi wasallam yakni  'sekiranya pelajar tidak menjaga wara ketika belajar, beliau akan ditimpa 3 bala: mati muda atau berada di kalangan orang-orang bodoh  atau berkhidmat kepada penguasa'. . Tersebar juga ungkapan : "sebaik-baik penguasa adalah mereka yang menunggu di depan pintu ulama, seburuk-buruk ulama adalah mereka yang menunggu di depan pintu penguasa".

Menarik juga diperhatikan kandungan sebuah hadith yang disebut oleh Imam Bukhari berkali-kali di dalam kitab Sahih-nya, dengan text penuh dan ada text yang ringkas. Ianya tentang soal jawab Saiyyidina Abu Sufian Radiyallahu 'anhu di dalam majlis Heraclius, ianya berlaku selepas kaisar tersebut menerima perutusan surat dari Rasulullah Sollallahu yang mengajak kepada Islam. Abu Sufian antara lain ditanya tentang pengikut Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam : "adakah mereka dari kalangan bangsawan atau dari kalangan du'afa ". Abu Sufian menjawab "bahkan mereka adalah dari golongan du'afa". Selepas bersoal jawab yang agak panjang, Heraclius mengulas jawaban Abu Sufian dengan mengatakan : "sememangnya (kebanyakan )pengikut para rasul adalah golongan du'afa".

Tidak terlintas pun pada pemikiran kami yang Islam menutup pintu dakwah kepada golongan bangsawan [shurafa'] , tetapi  janganlah pula biarkan penumpuan dakwah kepada golongan bangsawan itu sampai meliarkan golongan du'afa dari menerima dakwah. Peranan dakwah ialah untuk menjinakkan manusia seramai mungkin kepada Islam serta mengelak sebarang tindakan yang akan meliarkan manusia ramai dari ajakan dakwah tersebut,

Imam an-Nawawi Rahmatullahi 'alaihi , yang merupakan rujukan kita dalam belbagai bidang; dari bidang hadith-nya, feqah mazhab Imam as-Shafi'ie sehingga  tasauf-nya. Dikatakan beliau adalah Imam dalam 3 bidang, Imam dalam bidang ilmu, imam dalam bidang zuhd dan imam dalam bidang menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran. Kita mendapat manafaat yang banyak dari ajarannya tentang larangan syara' ke atas kita daripada mendurhaka kepada pihak berkuasa Islam. Kita wajib patuh dlam perkara kebajikan selagi tiada termasuk dalam hal-hal yang diharamkan oleh Allah serta sabar dengan kerenah pihak penguasa,

Ketika ulama di bumi Shams yang lain menyokong agar dibenarkan rancangan Sultan al-Malik Zahir mengutip sebahagian harta dari rakyat demi mempertahankan tanahair mereka daripada serangan tentera Tartar yang kafir, Imam Nawawi dengan tegasnya tidak bersetuju. Katanya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam mengutip harta daripada para sahabat untuk pembiayaan jihad, sedang Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam memang tiada memiliki harta. Sedangkan Sultan al-Malik Zahir  mempunyai hamba-hamba dan isteri-isteri yang berhias dengan barang kemas serta kemewahan yang lainnya yang terdapat di istana baginda. Imam nawawi mengatakan : "seandainya Tuanku Sultan menjual semua hamba-hamba baginda itu dan membelanjakan semua barang kemas yang ada pada mereka untuk keperluan perang dan ternyata masih belum mencukupi, maka saya bersedia mengeluarkan fatwa bagi membenarkan Tuanku mengambil harta rakyat".

Sultan begitu murka dan memerentah agar Imam Nawawi diusir keluar dari Damsyik walaupun begitu rancangan baginda terbatal begitu sahaja. Imam Nawawi kembali ke kampongnya di Nawa dan meninggal di sana. Konsep kepatuhan kepada pihak berkuasa tidak menghalang Imam Nawawi daripada memperkatakan yang benar kepada pihak berkuasa. Semoga Allah memanafaatkan ilmu dan amal Imam Nawawi kepada kita di dunia ini dan di akhirat kelak.



Kita mengajak kepada kebaikan dan kita mencegah kemungkaran dengan semangat 'sayangkan saudara kita" , "menolong saudara kita semada yang kena zalim mahupun yang membuat zalim" [menolong yang membuat zalim dengan menegahnya daripada melakukan kezaliman]. Dengan semangat 'tiasa sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". Dengan semangat "ruang dlam syurga begitu luas, sekiranya mereka semua dengan rahmat Allah memasukki syurga sekalipun , ruang untuk kita tidak terjejas sedikitpun". Di atas dasar semangat inilah Imam Abdullah al-Haddad mengatakan:

"Sekiranya para pendakwah dan ulama  terpaksa menggunakan jalan keras dalam berdakwah kepada orang yang tiada dapat menerima kebenaran kecuali melalui kekerasan, hendaknya kekerasan itu hanya pada zahirnya sahaja.Tidak menimbulkan rasa benci, dan menyebabkan manusia bercerai-berai. apabila pendakwah dan ulama sampai merasa disakiti oleh golongan jahil, sebab menyampaikan dakwah secara keras, hendaklah mereka berpaling dan berkata secara baik: Allah berfirman:  "jadilah engkau pemaaf, suruhlah dengan yang makruf, serta berpalinglah daripada golongan yang jahil" [al-'Araf:199]

Firman Allah: "Dan hamba-hamba Ar-Rahman, ialah orang yang berjalan di atas bumi  dengan rendah-hati, apabila disapa oleh orang-orang jahil, mereka mengungkap kata keselamatan" [al-Furqan:63]

Bertolak dari fahaman sebeginilah, kita meletakkan  kenyataan Anwar, Nurul Izzah, Pak Lah, Mahathir,  Najib, Mahyuddin Yasin serta lainnya pada neraca yang sama. Yang benar daripada mereka adalah benar. Yang salah daripada mereka adalah salah. Mana yang perlu ditakwilkan, kita takwilkan tanpa 'prejudice' .Mana yang jelas tidak memerlukan kepada takwilan.  Dalam pada itu kita tidak sepatutnya naive sehingga diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan , sebagaimana kita tidak sepatutnya mengambil pihak sehingga melihat pihak yang satu lagi  semuanya hitam.


Sebagaimana kita membincangkan kenyatan Nurul Izzah yang menimbulkan kontraversi, kita juga perlu melihat kenyataan Pak Lah pada tahun 2007 tentang perkara yang sama. kita juga perlu melihat pendirian Mahathir tentang kedudukan hadith terutama sahih Bukhari, tentang  kehidupan akhirat lebih utama daripada dunia,  tentang menutup aurat dan lain-lain amalan agama yang dianggapnya sebagai bentuk luaran, tentang keperluan menafsir semula al-Quran dan lain-lain. Kita juga sepatutnya peka terhadap salah guna harta negara dan salah guna kuasa  yang dilakukan secara sedar oleh mereka yang berkuasa. Semua ini menuntut kita bersikap lapang dada, pemaaf serta  mengharapkan kebaikan untuk diri kita dan saudara-saudara kita yang lainnya. Serta kita sentiasa memohon kepada Allah supaya kita di cenderungkan dan disertakan dengan golongan yang mahukan kebenaran. Diperlihatkan kebenaran sebagai kebenaran, serta direzkikan kita untuk beramal dengannya. Diperlihat kemungkaran sebagai kemungkaran, serta direzkikan kita untuk menghindarinya.

"Sabarkan diri kamu untuk bersama dengan orang-orang yang menyeru Allah pagi dan petang, sedang mereka mengkehendaki Wajah-Nya, jangan palingkan pandangan mata kamu  dari mereka kerana kamu mengkehendaki perhiasan hidup dunia. Dan jangan kamu taat-patuh [menjadi pengikut] kepada orang yang Kami lalaikan hatinya  daripada berzikir kepada Kami sedangkan dia mengikut hawa nafsunya, dan adalah perbuatannya itu melampaui"  [al-Kahfi:28]

Wallahu 'alam.



1 comment:

  1. alhamdulillah...

    teguran tuan, diterima dengan hati yang amat lapang.

    ReplyDelete