Wednesday, November 7, 2012

Nurul Izzah Serta Tafsiran Ayat 256-257 Surah al-Baqarah

Sehari dua ini akhbar utama berbahasa Melayu   kecoh tentang kegelinciran kalam YB Nurul Izzah tentang maksud ayat 256 dari Surah al-Baqarah.

لاَ إِكْرَاهَ فِي ٱلدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِٱلطَّاغُوتِ وَيْؤْمِن بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لاَ ٱنفِصَامَ لَهَا وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ


ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ يُخْرِجُهُمْ مِّنَ ٱلظُّلُمَاتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوۤاْ أَوْلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَاتِ أُوْلَـٰئِكَ أَصْحَابُ ٱلنَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

   Tiada paksaan di dalam agama, sesungguhnya telah jelas petunjuk daripada kesesatan, maka sesiapa yang kufur dengan taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada tali yang teguh, yang tiada akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.(256)
   Allah adalah Wali  bagi orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan-kegelapan kepada Cahaya, sedangkan orang-orang kafir, wali-wali mereka   adalah taghut, mereka mengeluarkan orang-orang kafir dari Cahaya kepada kegelapan-kegelapan, mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal  di dalamnya" (257)

"tiada paksaan dalam agama" secara historis-nya merujuk kepada bererapa sahabat dari kalangan Ansar yang mahu memaksa ahli keluarga mereka yang telah memeluk agama yahudi atau nasrani untuk menganut Islam. Lalu Allah menegaskan yang tiada paksaan ke atas sesiapapun untuk menganut Islam, mereka diberi pilihan semada untuk menganut Islam atau kekal; kafir terutama telah jelas perbezaan antara al-Haq dari batil, antara Hidayah dari kesesatan.

Setengah mufassir memahamkan yang ayat ini berkenaan ahlu al-Kitab, penguasa Islam tidak dapat memaksa mereka untuk memeluk Islam dan hendaklah dibiarkan mereka dalam keamanan selama mereka membayar jizyah, tetapi bukan keatas golongan musyrikin. Sebahagian mengatakan ayat ini muhkam sebelum turunnya ayat saif (ayat perang)

"Taghut" dimaksudkan syaitan atau sembahan selain daripada Allah Ta'ala atau golongan yang melampaui dari kalangan manusia.

".Tali yang Teguh" dimaksudkan  agama Allah yang tersimpul kuat dengan kejelasan hukum.Disebut  sebagai "Tali yang Teguh" juga bermaksud Tali yang menyampaikan kepada reda Allah Ta'ala. Ianya juga dimaksudkan dengan Dua Kalimah Syahadah.

"Yang tiada akan putus" itu merupakan keterangan bagi "Tali yang Teguh" tadi; bermaksud sesiapa yang brepegang -teguh secara benar kepada ketaatan bagi Allah maka tiada ketakutan baginya yang dia akan terpedaya dalam perkara itu dan dia akan mendapat ganjaran sehingga ke Akhirat.

"Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" bermaksud Allah Maha Mendengar keimanan mukmin kepada Allah dan kekufurannya kepada taghut. Allah. Allah Maha Mengetahui darihal azam orang mukmin atas ketaatan dan keiklasannya. Dikatakan juga Allah Maha Mendengar akan usaha dakwah kita mengajak mereka kepada Islam.

"Allah adalah Wali bagi orang yang beriman" yakni Allah adalah Pembantu dan Penolong mereka, Sebahagiannya memahami Allah mencintai mereka dan mengurus urusan mereka.

"Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan-kegelapan kepada Cahaya" yakni dari belbagai jenis kekufuran kepada cahaya iman yang satu.Dinamakan kekufuran sebagai kegelapan kerana ianya menutupi pandangan daripada melihat jalan, dinamakan iman sebagai cahaya kerana ianya cerah menderang menunjukkan Jalan. Allah Wali bagi orang mukmin  memperlihatkan mereka akan hakikat iman, jalan-jalannya, syara-syara'nya, hujah-hujahnya dan bukti-bukti yang dapat menghindari keraguan dan dapat membongkar dakyah lawan,

"Mereka mengeluarkan orang kafir dari Cahaya kepada kegelapan-kegelapan" yakni dari cahaya iman kepada pelbagai jenis kegelapan kufur. Persoalan yang timbul bagiaman taghut disebut mengeluarkan orang kafir daripada cahaya iman kepada kegelapan-kegelapan kufur, sedangkan mereka sebelum itupun telah kufur?. 
Ulama mengatakan antaranya : umpama orang yahudi yang beriman dengan kerasulan Saiyyidina Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam sebelum baginda dibangkit dan mereka kemudiannya kufur kepada baginda selepas baginda dibangkitkan. Juga dikatakan dalam penggunaan bahasa Arab dikatakan " Ayahku telah mengeluarkan aku dari memilki harta pusakanya", sedangkan ayahnya masih hidup, belum pun dipuasaki hartanya, tetapi dia membahagikan harta-hartanya kepada anaknya yang lain. Atau di dalam al-Quran menyebut ucapan Saiyyidina Yusuf berkata : " sesungguhnya aku tinggalkan agama mereka yang tidak beriman kepada Allah", sedangkan baginda tidak pernah beriman dengan agama mereka. 
Ia juga bermaksud sekiranya tiada taghut yang menghadang mereka dari melihat cahaya kebenaran, tentunya mereka dapat melihat cahaya kebenaran tersebut.

" mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya" yakni golongan yang kafir akan kekal di dalam neraka kerana kekufuran mereka,.

Walaupun ada mufassir yang memahamkan  ayat "tiada paksaan pada agama" tiada lagi muhkam atau hanya terlaksana bagi ahlu al-Kitab yang mengeluarkan jizyah: begitupun di dalam sepanjang sejarah ummah ini semada ketika mereka berkuasa di Persia mahupun kemudiannya berkuasa di India, mereka tidak memaksa penduduk tempatan yang bukannya terdiri daripada yahudi dan nasrari (ahli al-Kitab) untuk memeluk Islam. Mereka telah menjalankan kerja-kerja dakwah dan menyediakan suasana yang kondusif untuk penduduk tersebut memeluk Islam.

Ayat ini juga tidak pernah dulunya dibincangkan tentang orang Islam yang murtad daripada Islam, ianya tiada mempunyai sangkut-paut pun  dengan subjek tersebut. 

Dalam Islam , kita diajar yang kejadian atau kewujudan manusia di atas dunia ini adalah untuk beribadat kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya dan mentaati suruhan serta menjauhi larangan-Nya. Itulah asas tujuan kejadian manusia, tiada lain. Kehidupan yang selain itu merupakan penentangan kepada asas tersebut.

Kita wajib menjayakan asas ini pada dalaman kita, kehidupan peribadi kita, keluarga kita, masyarakat kita dan dunia kita sedaya yang kita mampu. Kita hendaknya mencegah penyelewengan, yakni kemungkaran yang merupakan lawan kepada asas ini sedaya mungkin. Allah tidak pula memberati kita dengan apa yang di luar kemampuan kita.

Atas asas ini kita menoleh semula kepada kenyataan YB Nurul Izzah, adakah terdapat sebarang kekeliruan daripada apa yang kita fahami berdasarkan  kefahaman tradisional Islam? Agaknya kita boleh katakan pada dua perkara:

(i) Adakah ayat "Tiada paksaan pada agama" itu terpakai kepada semua manusia, tanpa mengira ianya muslim atau tidak?. (1)Jawabnya "ya", nisbah tiada sesiapapun dapat memaksa seseorang yang lain, termasuk terhadap anak sendiri supaya memeluk Islam, semada si pemaksa itu muslim atau tidak muslim. (2) "tidak" sekiranya dimaksudkan tiada paksaan itu ialah sikap memberi kebebasan kepada seorang penganut Islam (semada Melayu atau tidak) untuk memilih keluar daripada Islam. (3) jawaban "ya dan tidak" sekiranya dimaksudkan hukuman mahkamah terhadap seorang yang keluar Islam kerana kebanyakan ulama memahami perbuatan murtad itu adalah perbuatan jenayah yang mewajibkan hukuman bunuh, sebahagian ulama memahami murtad itu sebagai maksiat yang terbesar tetapi bukannya jenayah, sehingga dimasyhurkan kemurtadannya kepada awam dan ini  mungkin menimbulkan kekacauan dalam masyarakat, maka si-murtad itu dihukum di bawah hukuman bughah.

Walaupun secara hukuman mahkamahnya , di kebanyakan negara Islam tidak dapat dilaksanakan, tetapi penduduk Islam telah bertindak secara kesatuan dalam memboikot bahkan menghukum orang-orang yang murtad. Hukuman syara' dan sikap tegas  ummah ini telah memberi tamparan yang begitu menyukarkan pihak kristain untuk memurtadkan ummah ini pada masa lampau. Hukuman mahkamah ataupun tindakan masyarakat telah berjaya menghalang dakyah mereka sebelum ini, ini berkesan walaupun dalam  masyarakat muslim yang minima amalan agamanya. Semoga tiada siapapun dari ummah kita akan sanggup meruntuh dinding kukuh yang telah sedia lama melindungi kita ini.

Kemudian isu Melayu, sekiranya istilah Melayu sebagai-mana difahami di Tanah Melayu, maka Melayu itu adalah sebahagian daripada ummah Islam yang bertutur bahasa Melayu dan beradat-resam sesuai dengan resam Melayu; maka maksudnya tiada erti Melayu itu tanpa Islam. Maka wajib kita bertahankan Melayu ini dari menganut selain Islam dengan sedaya-upaya kita. 

Bagaimanapun dalam pertimbangan politik UMNO, sebagai badan parti politik  Melayu , yang sepatutnya dianggotai oleh orang Melayu itu, telah menerima pribumi Sabah sebagai anggota penuh parti, begitu juga dengan rakyat keturunan Siam dan Geragau di Semenanjung; seakan mereka telah diterima sebagai orang Melayu walaupun mereka itu bukan Islam. Maka Melayu dalam konteks keanggotaan UMNO ini tidak lagi terikat kepada orang yang beragama Islam.Maka "Melayu yang ini" tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam.

(ii) Adakah boleh disamakan  "rakyat tertakluk kepada perlembagaan negara" dengan "ummah tertakluk dengan hukum syara'" ?. Sudah tentu keduanya tidak sama, walaupun dilihat dari sudut mana sekalipun . Hukum syara adalah ketetapan yang human interpretation on divinely inspired texts , ianya asal samawi. Sedangkan perlembagaan adalah human interpretaion on humanly inspired ideas. ianya asal duniawi. 
Perlembagaan dilembagakan sesuai dengan kehendak manusia, ianya akan diubah apabila kehendak itu berubah. Sedangkan hukum syara dilembagakan sesuai dengan fahaman kita terhadap kehendak Allah, kita yang perlu berubah untuk meyesuaikan diri dengan tuntutan hukum tersebut.

Walaupun mungkin timbul justifikasi, yang sebagai penganut Islam ummah terikat dengan hukum syara' yang mengharamkan murtad serta mempunyai hukuman had ke atas orang yang murtad ; dan sebagai warga negara rakyat tertakluk kepada ketetapan yang jelas iaitu bukan muslim tidak dibenarkan mendakyah agama mereka kepada muslim, dan Melayu ditakrifkan beragama Islam. Pun begitu, kenyataan umum YB Nur Izzah yang membariskan hukum syara' dan perlembagaan seakan-akan pada paras yang sama itu sangat mengelirukan. Kenyatan awam yang dbuat sepatutnya jelas dan tidak perlu kepada penjelasan untuk memahami penjelasan yang sebelumnya.

(iii) Perkara ketiga yang disentuih oleh YB Nurul Izzah iaitu tentang kepentingan dakwah demi mempertahankan kemurnian aqidah ummah. Perkara ini sangat perlu diberi perhatian. Allah menyebut ummat ini sebagai "Khairu al-Ummah" kerana peranan dakwah yang kita sepatutnya kerjakan.. Akhir-akhir ini kita, sebagai ummah,  banyak marah dan banyak protes. Ianya merupakan tindak-balas terhadap kerja orang lain, kerap bersikap salbiyyah. (sekiranya pada kesihatan  manusia secara peribadi, terlalu banyak sikap ini tidak baik untuk kesihatan, memudahkan untuk mendapat darah-tinggi, serangan jantung atau stroke). Kita tidak sebanyak itu menyusun gerak-kerja kita sendiri, berlandaskan perancangan dan kurikulum kita. Kerja yang disusun berdasarkan fahaman agama dan tuntutan syara tanpa dipengaruhi oleh keadaan semasa dan tempat. Kita mahu bencikan kegelapan, kita juga harus membuat lampu penerangan. Kita juga perlu bercakap bahasa kasih-sayang yang meruntun hati.
Kita salahkan pihak kristian, pihak barat serta pihak-pihak lainnya, tetapi kita seharusnya juga sedar tanpa menanam rasa kasih kepada Allah, kasih kepada Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam, kasih kepada agama Islam di kalangan kita, fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam akan terus menyelinap masuk atas nama apa sekalipun.
Ummah ini tidak akan kuat dan teguh dengan kekuasaan pengaruh serta politik, tidak akan kuat dan teguh kerana pemilikan harta serta kekayaan tetapi ummah ini akan kuat dan teguh apabila ia memikul kembali tugasnya sebagai khairu al-ummah; yang beriman kepada Allah, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Sepatutnya segala pengaruh serta kuasa politik, segala harta dan kekayaan dibelanjakan untuk menjayakan tugas ini, Bukan sebaliknya, kita tidak patut berdakwah demi meraih sokongan politik, demi mengaut kekayaan atau sebarang habuan duniawi.

Bagaimanapun setelah mendengar percakapan YB Nurul Izzah dalam You-Tube selama lebih-kurang 13 minit itu, apa yang lebih menganggu saya bukannya kenyataan Nurul Izzah yang tersasul faham dengan mengatakan 'Tiada paksaan dalam agama" meliputi seluruh manusia, di dalam al-Quran tiada dikecualikan Melayu. Itu kesalahan pada butiran yang boleh diperbetulkan dengan penjelasan yang baik. Tetapi apa yang lebih mendegup perasaan saya ialah meluasnya pendekatan contextual dalam memehami Islam. Islam seakan dilihat sebagai fenomena budaya yang berubah mengikut penyesuaian konteks. Pemikiran ini semakin bertapak di kalangan kita tanpa mengira faham parti politik atau latar-belakang akademik..

Secara mudahnya agama adalah anugerah Allah yang diturunkan dari sisi-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, asas agama dan penerangan kepada asas-asas itu datangnya daripada Allah yang bersifat mengatasi ruang dan masa atau melalui perantaraan Rasul-Nya, kemudian dihuraikan dalam kapasiti manusia oleh para ulama. Kita beriman semua yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku itu semuanya dengan Kehendak dan Kekuasaan Allah, Tuhan yang menurunkan agama kepada kita. Kejayaan dan kegagalan hidup kita sebagai individu mahupun ummah ditentukan oleh sejauh-mana kita dapat menjalankan tuntutan-tuntutan agama yang ditaklifkan ke atas kita oleh Allah.Allah-lah yang menjadikan suasana (context) , yang mengadakan sebab musabbab, dan Dialah Musabbib. Sedangkan Iradah dan Qudrah-Nya tidak terikat kepada sebab, kerana sebab itu adalah makhluq bagi-Nya.

Kadang-kadang kita tertanya diri kita sendiri, berapa banyak perbuatan yang kita lakukan hatta yang di atas nama Islam sendiri pun yang kita lakuakan semata-mata mencari reda Allah, tanpa dicampuri kepentingan  duniawi? Apakah kita pada realitinya mencari reda makhluq melebihi mencari reda Khaliq?. Ya Allah ampunilah kami yang daif ini, Ya Allah perteguhkan yakin kami terhadap kuasa mutlaq-Mu , Ya Allah perlihatkan kepada kami kecilnya dunia ini dan segala isinya, serta luasnya reda-Mu serta kehidupan akhirat kelak!

Saya teringat pesanan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani  tentang kepentingan nasihat, berapa banyak perkataan yang berupa nasihat dan mengandungi kebenaran, tetapi qasad yang mengungkapkannya itu bukan bermaksud mencari reda Allah dan bukan untuk emngislahkan keadaan, maka akibatnya bertambah-tambahlah bala' yang menimpa (bukan kebaikaan), orang yang dinasihati itu juga tidak dapat menerima manafaat daripada nasihat tersebut kerana terhalang oleh oleh tujuan kata-kata yang berupa nasihat itu dilakukan. 

Sehingga guru kami yang kami kasihi berkali-kali mengingatkan kami  tentang hadith "barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia tengur dengan tangannya, sekiranya lemah dengan lidahnya, sekiranya lemah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman". Maksudnya kemampuan membuat teguran dan perubahan yang paling minima itu ialah hadirnya keikhlasan pada hati; kita lakukannya bukan kerana kita lebih baik dari orang yang ditegur, bukan untuk membuka aib kelemahan orang lain, tetapi sekadar ikhlas menjalankan tanggung-jawab agama yang ditaklifkan Allah ke atas kita. Kita harapkan kebaikan (nasihah) kepada semua. Semoga catitan ini tidak lari dari peringatan guru yang sangat saya kasihi ini.

1 comment:

  1. mohon diizinkan untuk dipanjangkan kalam yang berguna ini untuk tatapan khalayak

    ReplyDelete