Thursday, September 11, 2014

Angkara Mencarik Perjanjian (Tahalluf) Yang Telah Sedia Dipersetujui : Menyelusuri Peringatan Allah Melalui Tafsiran Ayat 91-95 Surah An Nahl

 وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ ٱللَّهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ ٱلأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ ٱللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ  وَلاَ تَكُونُواْ كَٱلَّتِي نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِن بَعْدِ قُوَّةٍ أَنكَاثاً تَتَّخِذُونَ أَيْمَانَكُمْ دَخَلاً بَيْنَكُمْ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِيَ أَرْبَىٰ مِنْ أُمَّةٍ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ ٱللَّهُ بِهِ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَامَةِ مَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Ayat 91-92 Surah an Nahl 

"Dan sempurnakanlah perjanjian  Allah apabila kamu berjanji , dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya, dan sesungguhnya kamu telah menjadikan Allah saksi ke atas (perjanjian dan sumpah)kamu , sesungguhnya Allah Maha mengetetahui apa yang kamu kerjakan.

Dan janganlah menjadi seperti perempuan yang telah merungkai  satu persatu benang tenunannya yang telah ditenun menjadi kuat itu terburai (semula). Jangan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya antara kamu, disebabkan(kecederungan kamu) kepada kumpulan yang lebih berpengaruh daripada kumpulan (yang telah kamu adakan perjanjian sebelumnya). Sesungguhnya Allah menguji kamu dengan perkara ini, Dan Allah akan menjelaskan bagi kamu pada Hari Qiyamah tentang apa yang kamu berselisih-faham."

Imam Fakhru ar Razi dan Imam Ibn al- Jauzi serta lain ulama tafsir mengatakan  perjanjian Allah di sini meliputi perjanjian manusia dengan Allah dan juga perjanjian manusia sesama manusia..

Allah yang menjadi kafil, yakni saksi  di atas kepatuhan kepada perjanjian dan kesetiaan kepadanya. , Allah menyebut yang :
إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
 Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Yakni Allah mengetahui siapa yang memenuhi perjanjian dan siapa yang mengkhianati perjanjian tersebut.

Imam al-Qurtubi menyebut  "dan sempurnakan perjanjian Allah" adalah lafaz yang berbentuk umum  bagi semua urusan yang disepakati secara perkataan dan dipegang (iltizam) oleh manusia daripada urusan jual beli, perhubungan dan perjanjian dalam perkara yang muafakat  (tidak bercanggah) dengan agama. Ayat ini termasuk di bawah firman Allah (dalam ayat sebelumnya):

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلإحْسَانِ
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu dengan (menegakkan) keadilan dan ehsan.

Ada ulama yang mengatakan ayat ini diturunkan  berkaitan dengan bai'ah kepada Rasulullah Sollallahu 'alaihi wassallam untuk kekal Islam, dan ada ulama yang mengatakan  ayat ini diturunkan  tentang kewajiban iltizam kepada tahalluf  yang dibuat di masa jahiliyyah (sebelum Islam); yakni hendaklah mematuhinya. Ini adalah pandangan Qatadah, Mujahid dan Ibn Zaid.

Terdapat riwayat hadith yang sahih  dari Saiyyidina Jabir bin Mut'im radiyallahu 'anhu yang Rasulullah Sollallahu 'alaihi wassallam bersabda:

لا حلف فى الأسلام وأيما حلف كان فى الجاهلية لم يزده ألا  شدة

Tiada tahalluf dalam Islam, mana-mana tahalluf yang telah  dilakukan pada zaman jahiliyyah, tiada yang bertambah padanya kecuali semakin berkuat kuasa


Yakni (yang bertammah kuat-kuasanya itu adalah ) perjanjian dalam perkara membantu dan  mendirikan kebenaran dan dalam perkara-perkara kebajikan. Seumpama perjanjian' Hilfu al Fudul' (tahalluf Fudul) yang disebut oleh Ibn Ishaq daripada  Ibn Shihab yang berkata Rasulullah Sollallahu 'alaihi wassalam bersabda:

لقد شهدت فى دار عبد الله بن جدعان حلفا أحب أن لي حمر النعم لو أدعى به في الأسلام لأجبت
"Aku telah menyaksıkan pada rumah Abdullah bın Jud'an sebuah tahalluf yang aku lebih sukai daripada aku memiliki unta merah , sekiranya aku diajak uuntuk menyertainya ketika sudah Islampun, aku akan memenuhinya"

Tahalluf ini berlaku di zaman jahiliyyah, inilah seumpama tahalluf yang syarat-syaratnya akan semakin perkuat-kuasakan oleh Islam , ianya khusus (pengecualian) daripada larangan yang umum : (لا حلف في الأسلام) "Tıada tahalluf dalam Islam". 

Hikmah daripada larangan umum itu kerana syara' kita telah pun  menetapkan yang kita perlu membantu menentang golongan zalim,  mengembalikan hak kepada golongan yang dizalimi, sikap sebegini telah  diwajibkan di dalam usul syari'ah secara umum mengikut kadar kemampuan individu yang  mukallaf. Hal ini disebut oleh Allah:

إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَظْلِمُونَ ٱلنَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي ٱلأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ أُوْلَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanya terhadap mereka  yang berbuat zalim kepada manusia, serta terhadap mereka bermaharajalela di muka bumi tanpa  alasan sebenarnya, bagi mereka ini azab yang sangat menyakitkan  (Al Shura':42)

Imam Tabari menyebut sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qurtubi yang sebahagian ulama mengatakan Ayat 91 an -Nahl ini diturunkan  pada tahalluf yang dilakukan oleh  musyrikun di zaman jahiliyyah, Allah memerentah mereka selepas mereka memeluk Islam agar mematuhi tahalluf tersebut dan jangan dileraikan.

Mujahid memahamı ayat: وَلاَ تَنقُضُواْ ٱلأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا
Allah menekan-beratkan mereka untuk memenuhi tahalluf  (yang telah mereka di zaman jahiliyyah).

Ibn Zaid berkata:  (di zaman jahiliyyah)  sebahagian kaum telah membuat tahalluf  dengan satu kaum yang lain, mereka mengadakan perjanjian. Kemudian datang kaum yang lain dan berkata:" kami lebih ramai, lebih hebat,  lebih kuat pertahanan, lebih baik kamu leraikan perjanjian dengan mereka itu (kaum yang telah mereka adakan tahalluf) dan adakan tahalluf dengan kami". Maka mereka pun lbersetuju, Allah menurunkan ayat 91 sebagai larangan terhadap sikap sebegini .

Allah memperingatkan kita agar memenuhi butiran perjanjian seperti ayat 152 Surah al-An'am dan ayat 34 Surah al Isra;

وَبِعَهْدِ ٱللَّهِ أَوْفُواْ ذٰلِكُمْ وَصَّـٰكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ 
  Dan dengan perjanjian Allah, hendaklah dipenuhi, yang demikian itu kamu diwasiatkan agar kamu diperingatkan.

وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ ٱلْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً

Dan penuhilah perjanjian, kerana sesungguhnya (memenuhi) perjanjian itu akan dipertanggung-jawabkan


Kenapa manusia sanggup merungkai perjanjian dengan kumpulan yang telah mereka meteraikan perjanjian?

Allah menyebut kerana  adanya kecenderungan atau tawaran daripada kumpulan yang  lebih kuat, lebih ramai pengikut, lebih berharta, lebih berkuasa berbanding dengan kumpulan yang telah diadakan perjanjian sebelumnya. Kita sebenarnya mempunyai selera dan kepentingan yang kita bayangkan akan tercapai dsekiranya kita  mengenepikan perjanjian yang sedia ada, dan mengadakan perjanjian yang lebih strategik dan menguntungkan dengan pihak yang lain. Syaikh Said Hawwa menaqalkan tulisan Syaikh Sayyid Qutb dalam Fi Zilal-nya, yang antara lain mengulas:

 وَلاَ.. تَتَّخِذُونَ أَيْمَانَكُمْ دَخَلاً بَيْنَكُمْ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِيَ أَرْبَىٰ مِنْ أُمَّةٍ

Dan jangan kamu mengambil (menjadikan) sebagai tipu daya antara kamu,  disebabkan (kecenderungan kamu) kepada kumpulan yang lebih besar pengaruhnya daripada kumpulan (yang telah kamu adakan perjanjian sebelumnya)

Pengkhianatan terhadap perjanjian yang sedia ada  ini disebabkan kecenderungan kepada  kumpulan lain yang lebih ramai bilangan anggotanya dan kekuatannya berbanding dengan kumpulan sebelumnya. Maka dicari maslahah (yang lebih) pada kumpulan yang lebih besar itu. Nas dalam ayat ini dengan jelas menyebut bahawa pengkhianatan kepada perjanjian ini dilakukan  dengan dalih merealisasikan  apa yang dipanggil sekarang 'kemaslahatan negara', umpama  sebuah negara mengadakan perjanjian dengan sebuah negara lain atau dengan kumpulan negara-negara, kemudian negara tersebut memutuskan perjanjian tersebut disebabkan terdapat negara lain yang lebih besar kuasanya atau kumpulan negara-negara yang lebih besar kuasa mereka sebelum habis tempuh perjanjian , demi untuk mencapai kemaslahatan negara. Islam tidak menerima  justifikasi seumpama ini, Islam menetapkan yang  perjanjian mesti dipatuhi, tiada tempat dalam agama yang janji setia itu diadakan untuk tipu helah dan dikhianati. Maka sebelum perjanjian itu dimanterai ,perlu diteliti yang  tiada perjanjian , tiada kerjasama kecuali bagi usaha kebajikan dan  taqwa . Tiada dibenarkan diadakan perjanjian atau kerjasama  atas perbuatan dosa, kefasiqan dan kemaksiatan, perkara-perkara melanggari hak-hak kemanusian, menjajah negara dan rakyat lain. Di atas asas inilah terbinanya Jamaah Islamiyyah, terbinanya  Daulah Islamiyyah. Dengan asas sedemikianlah dunia akan menikmati ketenangan dan saling percaya mempercayai (trust),tiada noda dalam mualamat mereka di peringkat kehidupan  peribadi dan antara negara, hari yang kepimpinan manusia dipimpin oleh Islam.

"Disebabkan (kecenderungan kamu) kepada kumpulan yang lebih besar pengaruhnya daripada kumpulan (yang telah kamu adakan perjanjian)" perkara merupakan ujian daripada Allah kepada mereka, untuk menguji iradah (will power) mereka, kepatuhan mereka kepada perjanjian, dan penghargaan mereka terhadap harga-diri mereka sendiri.

Mereka yang telah memeterai sesuatu perjanjian itu yang kemudiannya dijadikan sebagai tipu helah adalah mereka yang tiada teguh pegangan dalam diri mereka, mereka sebenarnya sedar yang mereka mengkhianati perjanjian. Mereka ini tidak berupaya untuk tetap-teguh dalam pegangan mereka, tiada berupaya untuk tetap-teguh dalam pendirian perjuangan mereka. .

Sejarah mencatitkan yang ramai  memeluk Islam, kumpulan-kumpulan manusia dan rakyat sesebuah negeri,  disebabkan mereka menyaksikan bagaimana orang Islam patuh pada perjanjian mereka, sikap benar mereka pada janji mereka, keikhlasan mereka pada sumpah setia mereka, tiada noda dalam muamalah mereka. Sesungguhnya usaha sebegini mendatangkan banyak kebaikan berbanding kerugian seketika (disebabkan kecenderungan untuk berkhianat ) kerana sikap patuh mereka kepada perjanjian.


Sementara Abdullah Yusuf Ali membuat catitan tentang peringatan Allah ini:
"jangan jadikan agama kamu itu sebagai permainan [demi] menjadikan golongan kamu itu lebih ramai dari segi bilangannya dengan mengambil kawan-kawan dengan mengadakan sumpahan-sumpahan untuk menguatkan perhubungan itu, yang kemudian kamu dengan senang sahaja melanggar perjanjian itu bila ada golongan yang lebih ramai lagi yang menawarkan  kepada kamu persahabatan dengannnya. Orang-orang Quraish itu sudah menjadi tabiat mereka melakukan  perbuatan jahat demikian itu. Dalam siayasah antarabangsa hari ini, ini nampaknya menjadi hampir-hampir sebagai ukuran bagi maruah kebangsaan dan kecekapan  cara iniuntuk orang-orang perseorangan dan juga bangsa-bangsa. Sesuatu perjanjian itu hendaklah dipandang sebagai sesuatu yang berat dan bukan main-main, bukan boleh diadakan dengan begitu sahaja melainkan dengan niat yang sehabis ikhlas  untuk menjalankannya; dan ianya adalah perkara yang mesti dijalankan walaupun golongan yang ramai menentangnya"


Imam  Al Mawardi dalam kitab tafsirnya menyebut antara lain bagi ayat:

 وَلاَ تَنقُضُواْ ٱلأَيْمَانَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا 
 Ayat ini diturunkan  ke atas setiap perjanjian yang telah  bersumpah setia manusia pada perjanjiannya yang dibuat secara sukarela[ tanpa paksaan], Oleh yang demikian, wajib ke atasnya  mematuhi perjanjian tersebut  selagi ianya tiada sampai peringkat darurat [tiada dapat tiada: yakni wajib] untuk meleraikan perjanjian tersebut. Perlu diihtimalkan maksud sabdaan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam dalam hadith yang panjang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam an- Nasaie daripada Saiyyidina Tamim at- Ta ie:

فليأت الذي هو خير
"Maka ambilkah yang lebih baik" itu sebagaı dalam perkara-perkara darurat [wajib] dan bukan dalam perkara-perkara yang hukumnya mubah [harus].

Syaikh Said Hawwa mengingatkan kita pengajaran bagi Firman ayat 94:
وَلاَ تَتَّخِذُوۤاْ أَيْمَانَكُمْ دَخَلاً بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌ بَعْدَ ثُبُوتِهَا وَتَذُوقُواْ ٱلْسُّوۤءَ بِمَا صَدَدتُّمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَكُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ 

Jangan kamu menjadikan sumpahan (termasuk ikrar dan perjanjian)  sebagai tipu helah di antara kamu,maka  niscaya tergelincir kaki pendirian kamu selepas ianya telah  tetap teguh , dan kamu akan merasai  keburukan disebabkan apa yang kamu halangi (manusia ) dari Jalan Allah, bagi kamu azab yang yang besar.

Syaikh Said Hawwa mengisyaratkan : kamu halangi diri kamu sendiri dari agama Allah atau kamu menghalang orang lain daripada Islam. Mereka, yakni orang kafir telah  menjauhi agama kamu kerana perbuatan kamu itu, atau orang kafir melihat keburukan perbuatan kamu  dan mereka menyangka (yang agama kamu mengajar sedemikian),  maka mereka menjauhinya. Allah memperingatkan kita supaya jangan menjadikan sumpah (termasuk ikrar dan perjanjian) sebagai tipu helah kerana sikap  ini akan mengelincirkan pendirian kita daripada landasan kebenaran  selepas ianyatelah  tetap teguh. Perkara ini terjadi kerana ketiadaan sikap  istiqamah,menyebabkan tergelincir daripada Jalan Hidayah, ianya juga   menghalang daripada Jalan Allah, kerana orang kafir apabila melihat yang orang Islam yang telah membuat perjanjian, kemudiannnya melanggari perjanjian tersebut, maka tiada lah lagi ada pada orang kafir itu kepercayaan dengan keelukan ajaran Islam , dan ini menghalang dia daripada memeluk Islam itu sendiri.

Allah membuat perumpamaan perbuatan mereka yang meleraikan perjanjian yang telah dikuat-kuasakan secara bersama itu dengan perbuatan perempuan yang bodoh yang telah meleraikan semula urat-urat benang kain tenunan yang telah siap tertenun kukuh. Dikatakan terdapat seorang perempuan di Makkah yang kuat was-wasnya sehingga membawa kepada kebodohan , bernama Rabtah  binti 'Amr  bin Kaab bin Saad , dikenali sebagai Umm Akhnas bin Sariq az-Zuhri. Dia bersama hamba-hamba perempuannya akan memintal dan menenun benang sutera dan bulu sehingga menjadi kain dari pagi hingga separuh hari, kemudian dia berusaha untuk meleraikan benang-benang  kain yang telah siap ditenunnya pada separuh hari lagi.

Alalh memperingatkan kita jangan dileraikan butiran-butiran perjanjian yang telah kita lakukan sebagai perempuan ini meleraikan semula benang-benang kain yang telah teguh ditenunnya menjadi kain. Imam at-Tabari mengatakan apakah ada perbuatan yang lebih bodoh daripada ini ?. Dan perbandingan inilah yang Allah datangkan bagi mereka yang mengkhianati perjanjian yang telah buat.

Begitu juga Syaikh Said Hawwa  memperingatkan kita pengajaran ayat 95 :

 وَلاَ تَشْتَرُواْ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَناً قَلِيلاً إِنَّمَا عِنْدَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ  *  مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوۤاْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

Dan jangan kamu jual Janji-Janji Allah  (perjanjian dengan Allah dan perjanjian sesama manusia) dengan harga yang sedikit, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.

Apa yang ada di sisi kamu akan binasa dan apa yang ada di sisi Allah kekal, dan Kami akan menganugerahi  orang-orang yang sabar dengan pahala untuk mereka denganbalasan yang  lebih baik daripada apa mereka kerjakan

Jangan tukarkan perjanjian dengan Allah itu dengan kemewahan hidup dan perhiasan dunia, kerana semua itu adalah kerdil. Sekiranya diperolihi dunia dan segala kekayaannnya dengan mengkhianti perjanjian itu , masih apa yang di sisi Allah jauh  lebih baik baginya.

"Apa yang di sisi Allah" itu ialah  pahala dan balasan dari-Nya ,ianya lebih baik bagi mereka yang mengharapkan Allah, beriman kepada-Nya, beriltizam diri dengan-Nya, menjaga perjanjian-Nya dan mengharapkan janji-janji-Nya. Kerana itulah Allah sebutkan " sekiranya kamu mengetahui" akan sebab-sebab ini.

Allah menyebut lagi "apa yang ada di sisi kamu" iaitu daripada  perhiasan dunia "akan binasa" apabila sampai ajalnya yang terhad serta terbatas itu. " Dan apa yang di sisi Allah"  daripada khazanah rahmat-Nya  "kekal" iaitu ganjaran dari-Nya di syurga kekal tanpa terputus, tiada berubah dan tiada hilang.


1- Apabila kita mengadakan sesuatu perjanjian dengan mana-mana kumpulan, Allah lah yang menjadi kafil [ Saksi dan Pemerhati] bagi perjanjian yang kita adakan itu, maka tergamakkah kita mengkhianati sesuatu yang Allah sendiri mengaku menjadi kafil?.

2- Kita wajib patuh kepada butiran perjanjian yang telah disepakati walaupun dilakukan di zaman jahiliyyah walaupun dengan golongan kafir dalam perkara-perkara yang mubah , apa lagi dalam perkara yang baik.

3- Pekerjaan untuk meleraikan perjanjian yang telah berkuat kuasa adalah umpama pekerjaan perempuan yang tidak siuman yang merungkai semula tenunannya yang telah terpintal kukuh.

4- Kecenderungan untuk meleraikan ikatan perjanjian yang sedia ada kerap disebabkan oleh tawaran yang lebih menarik dari pihak ketiga, pihak yang lebih kuat dan berkuasa daripada rakan perjanjian yang sedia ada. Dan fenomena ini sebenarnya  adalah ujian daripada Allah untuk menguji kepatuhan kita kepada perjanjian.

5- Keingkaran kepada perjanjian yang telah dimeterai bersama adalah perbuatan 'menghalang manusia daripada agama Allah'. Sikap kita itu dibaca oleh orang sebagai anjuran daripada agama kita.

6- Allah menjanjikan sikasa dan kerugian kepada pihak yang melanggari perjanjian, serta balasan baik yang berkekelan kepada pihak yang setia kepada [erjanjian yang telah dimeterai.

7- Keuntungan yang kita bayangkan adalah keuntungan duniawi yang sementara, sedangkan balasan baik daripada Allah lebih utama dan berkekalan

Wallahu 'alam


[  Catitan ini dibuat untuk diri sendiri bagi mendapat kefahaman  Islam dalam memahami beberapa perkembangan semasa. Subhanallah, apa yang disebut dalam ayat-ayat ini begitu relevan untuk kita wujudkan paradigm Islami yang bersifat alami dan abadi  tanpa dipengaruhi oleh propaganda dan perkembangan semasa . Semoga Allah dengan limpah rahmat-Nya membimbing diri ini serta rakan-rakan ke arah kefahaman Islami yang luhur, jernih daripada kepentingan diri, puak atau tuntutan duniawi semasa. Kepada Allah juga dipanjatkan harapan, serta semoga  berserah jiwa ini kepada-Nya  ]

11hb. September 2014







No comments:

Post a Comment