Wednesday, May 13, 2009

Ciri-Ciri Pemilihan Penyandang Jawatan Mengikut Ajaran Islam

Petikan daripada Tulisan Imam Ibnu Taimiyyah[1] Dari Kitabnya: 

As-Siyasatu as-Syar‘iyyatu fi Islahi ar-Ra’ie wa ar-Ri’ayyah[2] 

Apabila dia telah mengetahui hal yang demikian ini (soal perlantikan penjawat), tiada patut dia melantik (seorang penjawat) kecuali orang yang paling layak. Memang kadang-kadang tidak terdapat orang yang sempurna kelayakan untuk sesuatu jawatan itu, maka hendaklah dipilih orang yang  paling sesuai bagi setiap jawatan mengikut keadaannya. Sekiranya dia melakukan sedemikian selepas berijtihad dengan sempurna,  dia telah mengisikan jawatan tersebut dengan sebenarnya, melaksanakan amanah dan mendirikan kewajiban dalam perkara ini.  Layaklah dia digolongkan  dari pemimpin-pemimpin yang adil dan saksama di sisi Allah, walaupun (mungkin sahaja) akan terdapat kekurangan pada sebahagian perkara yang berpunca dari sebab-sebab lainnya pula. Allah berfirman: 

“Oleh itu bertaqwalah kepada Allah sedaya upaya” [at-Taghabun:16] 

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”

[al-Baqarah:286] 

Demikian juga firman-Nya tentang jihad:

“Oleh itu berperanglah pada jalan Allah , engkau tidak diberati kecuali sekadar kewajiban dirimu sendiri, dan beri semangatlah kepada orang yang beriman (untuk berjihad)”

[an-Nisa:84] 

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah engkau menjaga diri kamu sendiri.  Tiada akan memberi mudarat kepada kamu oleh orang-orang yang sesat apabila kamu sendiri telah memperolihi hidayah” [al-Maidah:105] 

Sesiapa yang telah melaksanakan kewajibannya bererti dia telah mendapat petunjuk. 

Rasulullah bersabda:

Sekiranya aku memerentah kamu dengan sesuatu urusan,maka laksanakannya sedaya-mungkin”. [diriwayatkan dalam Bukhari-Muslim] 

Bagaimanapun  sekiranya terdapat pada urusan itu kelemahan yang mampu dielak  atau (berlaku) pengkhianatan, maka dia akan menerima akibatnya.  Sepatutnya dia perlu mengetahui orang yang paling layak  untuk menyandang setiap jawatan.. 

Kekuasaan itu mempunyai dua rukun: kekuatan (keupayaan) dan amanah sebagaimana dalam Firman Allah:

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja itu adalah seorang yang kuat serta amanah. [al-Qasas:26] 

Pemerentah Masir telah berkata kepada Saiyyidina Yusuf ’alaihi salam:

Sesungguhnya engkau pada hari ini mempunyai kedudukan yang teguh serta dipercayai di sisi kami [yusuf:54] 

Allah berfirman tentang sifat Saiyyidina Jibrail:

Sesungguhnya Ia (al-Quran) dituturkan oleh Utusan yang mulia(Jibrail). Yang memiliki kekuatan lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah pemilik Arasy. Seorang yang ditaati serta dipercayai (oleh para malaikat) [Takwir:19-21] 

Kekuatan bagi setiap pimpinan itu mengikut kesesuaiannya. Kekuatan pada pemimpin perang adalah kekuatan keberanian hati dan kemahiran dalam teknik perang serta strategi peperangan. Kerana peperangan adalah percaturan strategi, termasuklah  keupayaan menggunakan kemahiran tempur: daripada memanah, melempar, memukul, menunggang kuda, menyerang, berundur dan seumpamanya sebagai yang Allah berfirman:

Dan bersiap-siagalah untuk menghadapi mereka (musuh) dengan sehabis daya daripada segala jenis kekuatan dan daripada pasukan berkuda, untuk menakutkan dengan perkara itu musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu [al-Anfal:60] 

Rasulullah bersabda:

Panahlah dan naikilah tunggangan, aku lebih suka kamu memanah daripada kamu menunggang (ketika berperang). Sesiapa yang telah belajar memanah, kemudian melupakannya, maka dia bukan daripada golongan kami

Dalam riwayat yang lain:

Maka ia (kebolehan memanah yang dilupai itu) adalah nikmat yang dikufuri  [Muslim] 

Kekuatan pada memerentah di kalangan  manusia adalah  kekuatan pengetahuan tentang keadilan seperti mana yang telah ditunjukkan oleh al-Kitab dan Sunnah, termasuk juga keupayaan menguat-kuasa undang-undang. 

Amanah pula dimaksudkan kepada sifat takutkan Allah, dan tidak menjual ayat-ayat-Nya dengan harga yang murah (habuan dunia), meninggalkan takut kepada sesama manusia. Inilah tiga sifat yang dituntut Allah ke atas setiap orang yang memerentah manusia. Allah berfirman:

Dan jangan kamu takutkan sesama manusia,  takutlah kepada Aku (Allah), dan jangan jangan  jual ayat-ayat-Ku  dengan harga yang sedikit (habuan dunia), dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah  orang-orang  kafir  [al-Maidah:44] 

Untuk ini, Rasullullah bersabda:

Para qadi itu terbahagi tiga, dua golongan dalam neraka dan satu golongan dalam syurga. Adapun seorang lelaki yang mengetahui kebenaran dan berhukum bertentangan dengannya, maka dia di dalam neraka. Dan seorang lelaki berhukum di kalangan manusia di atas kejahilan, maka dia dalam neraka. Dan seorang lelaki yang mengetahui kebenaran dan berhukum dengannya, maka dia di dalam syurga [diriwayatkan oleh Ahlu as-Sunan] 

Perkataan ‘qadi’ adalah gelaran bagi setiap orang yang mengadili (sekurang-kurangnya) antara dua orang serta memutuskan hukum antara keduanya, semada dia adalah seorang khalifah, atau seorang sultan, atau timbalannya, atau wakilnya  atau orang yang berjawatan qadi mengikut syara’, atau timbalannya, bahkan sehingga pada seorang yang mengadili di antara kanak-kanak untuk memilih pemenang pertandingan tulisan cantik sekalipun. Demikianlah yang disebut oleh para sahabat Rasulullah, dan ianya yang  jelas.

 

Fasal Ke Tiga: Jarangnya Berhimpun Antara Sifat Amanah  dan Kekuatan (upaya) Pada Manusia Yang Sama.

Pergabungan  sikap amanah dan kekuatan pada seseorang adalah jarang ditemui, kerana itulah Saiyyidina Umar bin al-Khattaab berdoa:

Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kebiadaban orang yang fajir, dan kelesuan orang yang thiqah (yang dipercayai keikhlasannya) 

Maka yang dipertangggung-jawabkan tugas setiap pimpinan itu adalah orang yang paling layak mengikut kesesuaiannya. . Apabila mahu dipilih di antara dua orang lelaki, seorangnya lebih beramanah, dan seorang lagi lebih mempunyai lebih kebolehan (kekuatan), maka hendaklah diutamakan mana yang lebih bermanafaat (berkesan) bagi tugasan tersebut dan paling kurang memberi mudarat dalam perkara tersebut. 

Dalam pimpinan perang diutamakan  seorang yang gagah dan berani, walaupun dia seorang fajir (akhlaq yang buruk) berbanding dengan seorang yang  yang daif dan lemah walaupun dia seorang yang beramanah. Sebagaimana apabila ditanya kepada Imam Ahmad:

Yang manakah satu di antara dua lelaki yang patut diangkat menjadi ketua perang, seorangnya gagah tetapi fajir, atau seorang soleh tetapi daif, di belakang siapakah di antara keduanya yang sepatutnya mereka berperang? 

Imam Ahmad menjawab:

Adapun bagi orang fajir yang gagah itu, kegagahannya akan bermanafaat kepada muslimin, kefajirannya itu (akan memudaratkan) dirinya sendiri. Sedangkan orang soleh yang daif itu pula, kesolehannya akan bermanafaat untuk  dirinya sendiri, dan kedaifannya memudaratkan kepada muslimin, maka berperanglah di belakang orang fajir yang gagah itu 

Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya Allah  akan menolong agama ini dengan lelaki yang fajir 

Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda:

            Dengan  suatu kaum  yang tidak berakhlaq 

Sekiranya pemimpin yang dilantik itu (walaupun bukan alim tetapi) tidak seorang yang fajir, maka dia lebih layak  memegang pimpinan  perang  berbanding daripada orang yang lebih soleh dalam soal agama daripadanya, sekiranya tiada ditemui penganti (yang lebih berkelayakan). 

Disebabkan pertimbangan inilah, Rasulullah telah melantik Khalid bin al-Walid untuk memimpin perang, semenjak beliau memeluk Islam, Rasulullah bersabda:           

 Sesungguhnya Khalid adalah pedang yang Allah gunakan untuk memerangi Kaum  musyrikin
 Walaupun  Khalid ada ketikanya  telah mengambil tindakan yang tidak disukai (dibenci) oleh Rasulullah, sehingga baginda- pada suatu ketika- mengangkat kedua tangan baginda ke langit dan berkata:

Allahumma, sesungguhnya aku (berlepas-tangan)  menyerah kepada-Mu  apa yang dilakukan oleh Khalid. 

Iaitu ketika Rasulullah  mengutuskan Khalid kepada Bani Juzaymah, lalu dia membunuh mereka dan merampas harta mereka dalam keadaan yang syubhah, beliau melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan kepada beliau. Dan tindakannya itu telah diingkari oleh sebahagian sahabat yang bersama beliau ketika itu, keadaan ini sehingga memaksa Rasulullah telah membayar diyyah serta memberi jaminan ke atas keselamatan harta mereka.  Walaupun halnya sedemikian, baginda berterusan melantik beliau sebagai pemimpin dalam peperangan, kerana  dia lebih layak di dalam soal ini daripada orang yang lainnya, , walaupun dia telah melakukan kesalahan berdasarkan bentuk  takwil yang (difahaminya). 

Abu Zar  al-Ghifari  lebih baik daripada Khalid dari segi amanah dan kejujuran (sidq), walaupun halnya sedemikian, Rasulullah bersabda:

Wahai Abu Zar, aku melihat engkau seorang yang daif, aku menyukai untuk engkau apa-apa yang aku sukai untuk diriku sendiri, (oleh itu) janganlah engkau menjadi pemimpin (walaupun) ke atas dua orang yang lain, dan janganlah  engkau menjadi penjaga harta anak yatim [Diriwayatkan oleh Muslim] 

Rasulullah telah menegah Abu Zar daripada menjadi pemimpin dan penjaga [anak-yatim] kerana baginda melihat Abu Zar adalah seorang yang daif. Sedangkan Rasulullah (dalam pada itu) telah diriwayatkan bersabda:

Selama langit masih memayung dan bumi masih membentang, tiada ada orang yang lebih jujur perkataan melebihi daripada Abi Zar 

Pernah Rasulullah  melantik Amru bin al-‘As sebagai pemimpin dalam peperangan  Ghazwah Zat as-Salasil bertujuan bagi mejinakkan hati sanak-saudaranya yang tinggal di kawasan yang diutuskan beliau itu, sedangkan terdapat sahabat-sahabat yang lebih afdal daripada beliau dalam anggota tentera yang dipimpin oleh beliau itu.  Rasulullah melantik Usamah bin Zaid dalam rangka agar beliau membela kematian bapanya. Demikianlah baginda telah melantik seseorang mengikut kemaslahatan tertentu, walaupun terdapat bersama pemimpin yang dilantik itu orang yang lebih afdal daripadanya di dalam soal ilmu dan iman. 

Demikian juga halnya dengan Abu Bakar  radiyallahu ‘anhu, khalifah Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam, yang berterusan melantik Khalid dalam peperangan memerangi golongan yang murtad, dalam peperangan pembukaan Iraq dan Syam, Khalid telah melakukan beberapa kesilapan berdasarkan takwilnya,   sebahagian sahabat menganggap tindakan-tindakan  yang diambil Khalid itu berdasarkan hawa-nafsunya, begitupun Khalid tidak dilucutkan jawatannya kerana perkara tersebut. Saiyyidina Abu Bakar sekadar menegur kesilapan-kesilapan beliau. Pertimbangan terdapat maslahah yang melebihi daripada kefasadan telah mempengaruhi tindakannya mengekalkan kedudukan Khalid. Sekiranya Khalid ditukar, pengantinya mungkin tidak dapat menyamai kedudukan (kelayakan) Khalid. 

Apabila akhlaq pemimpin utama cenderung kepada lemah-lembut, sepatutnya akhlaq timbalannya cenderung kepada ketegasan. Apabila pemimpin utama cenderung kepada ketegasan, sepatutnya akhlaq timbalannya cenderung kepada lemah-lembut, ini untuk mengimbangi suasana. 

Kerana  inilah, Saiyyidina Abu Bakar as-Sidiq bertindak melantik Khalid, sementara Saiyyidina Umar  bertindak melucutkan Khalid serta melantik Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah, kerana Khalid peribadinya tegas sebagaimana peribadi Umar bin al-Khattab, sementara Abu Ubaidah berperibadi lemah-lembut sebagaimana  Abu Bakar,  Tindakan melantik timbalan sedemikian adalah tepat bagi setiap kedua pemimpin ini, supaya keadaan menjadi seimbang dan selayaknya bagi mereka sebagai khalifah Rasulullah, kerana baginda adalah seorang yang sangat seimbang. Baginda bersabda: 

Aku adalah Nabi yang membawa rahmat, aku adalah Nabi  yang bertempur di medan perang 

Baginda bersabda:

            Aku adalah seorang yang periang serta seorang panglima perang 

Ummat baginda adalah ummah pertengahan, Allah berfirman:

Mereka bertegas ke atas golongan kuffar, beramah-mesra sesama sendiri. Engkau melihat mereka ruku’ dan sujud, mereka mencari anugerah daripada Allah dan keredaan-Nya [al-Fath:29] 

Allah berfirman:

Mereka merendah diri ke atas orang mukmin dan mereka bersikap tegas ke atas orang kafir             [al-Ma idah:54] 

Dengan demikianlah apabila Saiyyidina  Abu Bakar dan Saiyyidina Umar dilantik, mereka berdua menjadi pemimpin yang sempurna dalam pentadbiran mereka. Sikap keduanya menyerlah kedua aspek daripada kehidupan Nabi sallahu ’alaihi wa sallam, seorangnya lemah-lembut dan seorang lagi tegas dan keras, sehingga Rasulullah bersabda:

            Tauladanilah  kedua orang (yang memimpin) selepas aku, Abu Bakar dan Umar 

Telah zahir (kemudiannya) daripada Abu Bakar (yang lemah-lembut ) sikap keberanian (ketegasan) hatinya dalam memerangi golongan murtad dan golongan (penentang) yang lainnya sehingga mengatasi (ketegasan) Umar dan seluruh sahabat yang lain, semoga Allah meredai mereka semua. 

Sekiranya terdapat keperluan(penekanan) yang lebih kepada sikap amanah, hendaklah diutamakan  seorang yang kepercayaan (jujur), seperti (dalam urusan) menjaga harta-benda atau seumpamanya. Adapun (dalam urusan) perbelanjaaan dan mengawasi harta tersebut, tidak dapat tidak daripada sifat keupayaan (kekuatan) dan sifat amanah. Sepatutnya dilantik penguasa ke atas harta tersebut seorang yang memiliki kekuatan(keupayaan) untuk mengurus kewangan dengan penuh keupayaan, dan (dilantik) seorang pencatit untuk menyelia harta dengan catitannya (akaun) dan dengan sifat amanahnya. Demikian jugalah dalam pimpinan perang, sepatutnya seorang ketua tentera mentadbir dengan mengadakan mesyuarat bersama ahli ilmu dan ahli agama, bertujuan mengabungkan antara kedua-dua maslahat (dari pandangan ilmu dan dan ajaran agama)., Demikianlah bagi setiap pimpinan, apabila tidak akan sempurna sesuatu urusan berdasarkan keputusan peribadi,  maka himpunkan beberapa orang (yang mempunyai kemahiran),  agar dapat diputuskan tindakan yang lebih tepat. Atau dilantik beberapa orang pemimpin (pimpinan secara kolektif) , apabila tidak memadai seorang pemimpin sahaja untuk mencapai kesempurnaan (pada yang dimaksud). 

Bagi jawatan qadi diutamakan orang yang lebih alim, lebih wara’dan lebih upaya.Sekiranya seorang dari dua calun itu ada yang lebih alim, dan ada yang lagi lebih wara’; maka dalam mengendali kes yang jelas hukumnya serta  ditakuti (keputusan qadi itu) dipengaruhi oleh hawa-nafsu- pilihlah yang lebih wara’. Sementara dalam pengendalian kes yang rumit bagi memutuskan hukumnya serta ditakuti (keputusannya) tersasar- maka pilihlah yang lebih alim. 

Di dalam hadith dari Rasulullah , sesungguhnya baginda bersabda:

Sesungguhnya Allah menyukai pandangan (kefahaman) yang tajam ketika berlakunya kesamaran, dan Allah menyukai aqal (yang sempurna) ketika munculnya syahwat. 

Kedua-dua sifat ini (lebih alim dan lebih wara’) didahulukan daripada keupayaan, ini apabila qadi tersebut mendapat sokongan yang sepenuhnya dari pimpinan perang dan orang awam. 

Diutamakan (kriteria) keupayaan dalam suasana apabila (institusi) kehakiman memerlukan kepada kekuatan dan sokongan kepada qadi tersebut serta (dalam keadaan yang mana)keperluan kepada keupayaan itu melebihi daripada keperluan kepada kelebihan ilmu dan kelebihan wara’.Bagi (jawatan) qadi yang mutlak, ia memerlukan seorang yang alim, adil dan mempunyai upaya (dalam melaksanakan tugasan), Bahkan itulah sebenarnya ciri-ciri bagi setiap pimpinan bagi kaum muslimin. Apabila mana-mana sifat daripada sifat-sifat yang tersebut berkurangan, maka akibatnya akan terdapatlah ruang kepincangan kerana kekuarangan itu. 

Keupayaan (dapat di realisasikan) semada dengan sifat ketegasan dan ancaman, atau dengan sifat ehsan dan galakan (motivasi), pada hakikatnya pimpinan memerlukan kedua-duanya sekali. 

Sebahagian ulama telah disoal:

Sekiranya tiada terdapat orang yang layak  memegang jawatan qadi kecuali  , seorang ’alim yang fasiq atau seorang jahil yang beragama, maka siapakah antara keduanya yang diutamakan? 

Ulama tersebut menjawab:

Dalam keadaan yang  timbul keperluan untuk (memulihkan) kehidupan beragama dalam suasana yang dikuasai oleh kefasadan, utamakanlah orang yang beragama.Dalam keadaan yang timbul keperluan kepada ilmu agama dalam suasana kerumitan dalam memutuskan hukum-hakam, utamakanlah orang yang alim. 

Kebanyakan ulama mengutamakan orang yang beragama kerana para Imam (mazhab)  bersepakat tidak dapat tidak (yakni menjadi syarat) bagi pemegang jawatan (pemimpin)  mestilah seorang yang adil, (iaitu seorang) yang layak diterima sebagai saksi (dalam kehakiman syariah)[3]

Adapun syarat (bagi menjadi pemimpin) memiliki ilmu itu telah diperselisih (tiada persepakatan) di kalangan para ulama. (Dalam syarat berilmu itu pula): adakah menjadi syarat perlu seorang pemimpin itu alim yang mujtahid, atau harus dilantik orang yang bertaqlid atau wajib dilantik seorang yang paling layak dalam konteks yang ada mengikut kesesuaian (tanpa membebankan).  Terdapat tiga pendapat ulama (dalam hal ini), bagaimanapun keperinciannya bukan tempatnya di sini untuk dibincangkan. 

Bagaimanapun  harus juga dilantik seorang yang tidak berlayakan  kerana darurat tetapi dengan syarat dia merupakan yang paling baik di kalangan ada. Apabila dalam keadaan sedemikian,  dia (yang dilantik) wajib mempertingkatan kemampuan  dirinya sehingga dia dapat menunaikan tangggung-jawab yang wajib ke atasnya terhadap manusia lain dalam urusan kepimpinan, penguasaan dan seumpamanya. 

Sebagaimana menjadi wajib  di atas orang yang kesempitan dari segi kewangan dalam melunaskan janji pembayaran hutangnya, walaupun tidak dituntut ke atasnya kecuali apa yang termampu. Begitu juga kewajiban mengadakan persediaan untuk jihad dari penyediaan kekuatan tentera dan pasukan kuda  ketika persediaan tersebut tidak dilakukan kerana kelemahan (kecuaian). 

Sesungguhnya perkara yang tiada dapat sempurna sesuatu kewajiban kecuali dengannya, maka hukum (mengadakan)nya adalah wajib .  Ini berbeza dari syarat keupayaan dalam melaksanakan ibadat haji dan perkara seumpama itu, kerana tiada wajib  ke atas kita menghasilkan penyediaan baginya, oleh sebab tuntutan (melaksanakan haji) itu tidak menjadi wajib dengan adanya keupayaan[4]

Alhamdulillah, selesailah terjemahan yang serba kurang ini bersama beberapa catita ringkas; dikuti dengan jeputan dari kitab ini pada tempat-tempat yang pada perkiraan pencatit ini terdpat keperluan.

=========================================

Imam Ibn Taimiyyah pada bahagian akhir kitab ini  telah menyenaraikan tujuan beberapa  golongan yang mahu merebut menjadi pemimpin. 

1-Golongan pertama: Bermatlamatkan kedudukan yang tinggi (terhormat)  di kalangan manusia serta kefasadan di bumi, ianya adalah maksiat kepada Allah. Mereka adalah golongan pemerentah, ketua-ketua yang fasad, umpama Firaun dan gerombolannya. Mereka adalah seburuk-buruk kejadian. Allah berfirman:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku sombong di bumi, dia telah menjadikan penduduknya berpuak-puak, dia menindas sekumpulan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah dari golongan mufsidin

[al-Qasas:4] 

Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya daripada Ibn Mas’ud RD yang berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada masuk ke dalam syurga sesiapa yang pada hatinya seberat zarah daripada takabbur (sombong). Dan tidak masuk neraka sesiapa yang pada hatinya seberat zarah daripada iman”. Lalu seorang lelaki bertanya: “sesungguhnya saya suka pakaian yang cantik (kemas) dan kasut yang cantik, adakah demikian itu dikira takabbur?”

Rasulullah SAW bersabda: “tidak, Allah adalah cantik, dan Dia menyukai kecantikan, takabbur itu (sifat) mengingkari kebenaran dan merendahkan manusia lain”

Mengingkari kebenaran bermaksud menolak dan menentang kebenaran. Merendah manusia bermaksud menghina mereka dan mencemuh mereka. Inilah perihal golongan yang bermatlamatkan kesombongan dan kefasadan. 

Golongan kedua: Bermatlamatkan kefasadan tanpa kedudukan yang tinggi (terhormat).Mereka umpama kumpulan pencuri dan penjenayah, mereka adalah sampah masyarakat. 

Golongan ketiga: Bermatlamatkan kedudukan yang tinggi tanpa kefasadan. Seumpama mereka yang mempunyai (pendidikan) agama, mereka ingin menonjol dengan ilmu mereka ke atas orang lain 

Golongan  keempat: Mereka adalah ahli syurga, mereka yang tidak ingin kedudukan yang tinggi di bumi, dan tidak inginkan kefasadan, pada hal mereka berkedudukan tinggi di kalangan manusia lain, sebagaimana Allah berfirman:

Janganlah kamu merasa lemah, dan jangan kamu bersedih, sesungguhnya kamu berkedudukan tinggi sekiranya kamu beriman [ali ’Imran:139] 

Allah berfirman:

Jangan kamu merasa lemah dan lalu kamu mengajak kepada perdamaian, sesungguhnya kamu mempunyai kedudukan yang tinggi, Allah bersama kamu (membela kamu untuk mencapai kemenangan), dan Dia tidak sekali-kali mengurangi (pahala) amalan kamu  [Muhammad:35] 

Allah berfirman:

Bagi Allah-lah kehebatan (kemulian), bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman.   [al-Munafiqun:6] 

Berapa ramai yang berusaha mahukan kedudukan yang tinggi, tetapi tiadalah bertambah untuknya kecuali kerendahan, berapa ramaikah pula yang berkedudukan tinggi sedangkan dia tidak bertujuan mencapai ketinggian pangkat dan (tidak sanggup) melakukan kefasadan. Demikian itulah (dapat difahamkan) iradah (kehendak) untuk memperolihi ketinggian  di sisi makhluk itu adalah kezaliman, kerana manusia seluruhnya daripada jenis (genus) yang satu., iradah (nafsu) manusia mahukan agar dia mempunyai kedudukan tinggi dan orang lain seumpamanya berada di bawahnya, ini merupakan kezaliman. 

Apabila difahami ianya adalah kezaliman, tentuynya manusia akan benci untuk berada dalam keadaan sedemikian dan memusuhinya, kerana seorang yang adil daripada kalangan mereka, dia tidak suka yang dia dikerasi oleh orang yang seumpamanya. Sedangkan orang yang tidak adil di kalangan mereka juga bercita-cita mahu menjadi orang yang paling berkuasa. Walaupun halnya sedemikian, sudah tentu pastinya –pada pertimbangan aqal dan ajaran agama- yang sebahagian mereka akan berkuasa ke atas sebahagian yang lain., sebagimana yang telah kami sebutkan. Sebagaimana tubuh tidak akan sempurna tanpa adanya kepala. Allah berfirman:

Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan Dia mengangkat sebagaian kamu beberapa darjat di atas sebahagian yang lain , untuk dia menguji kamu pada apa yang dianugerahi kepada kamu   [al-An’am:65] 

Allah berfirman:

Kami membahagi-bahagikan di kalangan kamu keperluan hidup di dalam kehidupan dunia, dan Kami angkatkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain beberapa darjat supaya mereka memperolihi  kemudahan di antara satu sama lain [az-Zukhruf:32] 

Maka demikianlah datangnya syariat (Islam dalam) mengurus kekuasaan politik  (sultan) dan kekayaan pada Jalan (yang diredai) Allah.



[1] Imam Ibnu Taimiyyah, nama penuhnya Ahmad Bin Abdul Halim Bin Bin Abdul Salam, Abu Abbas, Taqiyyudin Ibn Taimiyyah, dijuluki al-Imam Syaikhu al-Islam. Lahir pada tahun 661H. Meninggal pada 20 Syawal 728H.  Seorang ulama besar, menulis di dalam cabang ilmu yang bermacam. Seorang yang dikagumi dan disanjung oleh pengikutnya, dan diselar oleh yang menentangnya. Bagaimanapun sebagaimana yang disebut oleh Syaikh Muhammad Yusuf Ismail an-Nabhani dalam tulisannya yang mengeritik pandangan Imam besar ini masih menyebut bahawa Imam Ibn Taimiyyah telah mengeluarkan ribuan fatwa, hanya dalam beberapa fatwa yang tertentu sahaja fahaman  beliu telah tergelincir , Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani mendoakan agar Allah menghimpunkan beliau di dalam syurga bersama Imam Ibn Taimiyyah berserta Imam as-Subki.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada seluruh imam-imam serta ulama Islam yang telah banyak kita terhutang ilmu dan budi kepada mereka.

[2] Naskhah yang dirujuk adalah terbitan Daru al-Jil, Beirut, cetakan ke 3, 1408H- 1988M. Walaupun Imam Ibnu Taimiyyah dikritik hebat oleh ulama yang tidak menyetujui aliran fahaman beliau, dalam huraian aqidah, feqah dan tasauf, tetapi belum diketemui sebarang penolakan terhadap apa yang dicatit oleh Imam besar ini di dalam kitabnya ini.

[3] Maulana Abu Hassan Ali an-Nadwi menyebut yang sejarah ummah  telah mencatitkan bahawa kerja-kerja penyebaran agama (nasyruddin)  telah dilakukan dengan jayanya oleh panglima perang, pedagang dan pemerentah yang soleh, kerap pula melebihi keupayaan sebahagian ulama. Tetapi kerja-kerja menjaga kemurnian ajaran agama (hifzuddin) terutamaapabila  berdepan dengan  kecenderungan kepada penyelewengan dan bid’ah, maka tugasan ini tiada dapat diambil alih oleh golongan lain secara berkesan bagi menangani syubhah-syubhah yang timbul kecuali oleh golongan ulama kerana ianya memerlukan ilmu yang mendalam dan terperinci.

[4] Sangat diharapkan kepada para ulama dan cendiakawan  muslim agar menyemak terjemahan yang dilakukan ini dengan teks kitab arabnya yang asal, barang sudah tentu ada maksud yang tidak kesampaian; terutama menyedarai keterbatasan upaya pencatat ini dalam bahasa Arab dan kecetekan ilmu agamanya. Kepada Allah juga disandarkan harap.

2 comments:

  1. Saya telah baca tulisan ini (walaupun agak lewat) dan bersetuju dengan pendapat ini. Tuan google tajuk FALSAFAH FAKEH KHALIFAH SAKA dan insyallah akan mencapat lebih cerahan....

    FAKEH KHALIFAH SAKA

    ReplyDelete