Wednesday, May 20, 2009

ADAB BERMASYARAKAT DALAM ISLAM

Pengajaran Dari Hadith Riyadu as-Solihin
Hadith ke 13 Dari Bab Menitik-beratkan Kehormatan Orang Islam


Abu Hurairah RD yang berkata yang Rasulullah SAW telah bersabda:

"Seorang muslim adalah saudara bagi orang muslim yang lainnya. dia tidak mengkhianatinya, dia tidak membohonginya, dia tidak membiarkannya. Setiap (kehormatan) orang muslim adalah haram (untuk dicerobohi) oleh orang muslim yang lain: baik dari segi kehormatan maruahnya, hartanya, darahnya.
Taqwa itu berada di sini (iaitu di dalam hati di dada). Memadailah jahat seseorang itu dengan dia menghinakan saudaranya yang muslim" [riwayat Imam at-Tarmizi]
(Hadith yang lafaznya hampir sama, hanya dengan tambahan di awalnya 'jadilah kamu hamba-hamba Allah,..."telah diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Imam an-Nawawi RH di dalam kitab al-Azkar telah memberi komentar tentang pengajaran dari hadith ini dengan katanya: "Tiada yang lebih besar ('azamu) manafaatnya dan lebih banyak faedahnya daripada hadith ini".

Pengajaran Hadith:
Tidak mengkhianati: khianat lawannya amanah. Bermaksud amanah dalam perkataan dan amalan perbuatan terhadap sesama muslim.
Tidak membohonginya: tidak memberitahu dia dengan sesuatu yang menyalahi kenyataan yang sebenar tanpa maslahah syar'ie.
Tidak membiarkan: tidak membiarkannya tanpa bantuan secara yang syar'ie. Membiarkan seorang muslim begitu sahaja adalah perbuatan haram yang dahsyat semada dalam perkara duniawi umpama kita mempunyai upaya untuk membantu orang yang kena zalim, atau menghindari kezaliman yang ada pada seseorang, hendaklah dilakukan, atau dalam perkara keagamaan seperti memberi nasihat agar ditinggalkan perbuatan mengumpat dan mencerca muslim yang lain.

'Irdi (yang diterjemah oleh pencatit ini sebagai maruah) :disyarahkan oleh Imam Muhammad Ibn 'Ijlan dalam Dalilu al-Falihin sebagai 'objek yang menjadi tempat pujian dan cemuhan' . Atau dalam penggunaan Inggeris semasa sebagai dignity,honor, reputation. Nama baik, harga diri

yuhaqqir akhahu al-muslim (menghina saudaranya yang muslim): Ini adalah perbuatan dosa dan jenayah yang amat besar. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada masuk syurga bagi sesiapa yang ada dalam hatinya sebutir zarah dari rasa takabbur". Orang yang memandang hina terhadap orang lain itu sudah tentu merasa dirinya mempunyai kelebihan terhadap orang yang dihinanya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya, semada dari segi maruah, atau harta, maka hendaklah dia meminta dihalalkan sebelum datangnya hari yang mana tiada (manafaat) dinar mahupun dirham, sesungguhnya akan diambil dari (catitan) kebajikannya (untuk diberi kepada yang dizaliminya), sekiranya dia tidak mempunyai kebajikan maka diambil dari kejahatan orang yang dizalimi itu lalu ditambah kepada (catitan)kejahatannya [Riwayat Imam Bukhari-Imam Muslim]

Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu siapakah orang muflis (bangkrap) ?
Lalu sahabat menjawab: Orang muflis pada kami adalah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta.
Rasulullah SAW bersabda: orang muflis daripada ummah-ku adalah orang yang datang pada hari Qiyamah dengan (membawa pahala) sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga telah menyakiti perasaan orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini, . Maka diambil daripada catitan kebajikannya (untuk dibayar tebusan kezalimannya terhadap orang yang dizaliminnya), apabila habis amalan kebajikannya sebelum selesai melunaskan apa yang berkewajiban atasnya, maka diambil daripada catitan kesalahan-kesalahan mereka dan dicampakkan ke atas (catitan)nya, kemudian diapun dicampakkan ke dalam neraka [riwayat Imam Muslim]


Rasulullah SAW dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlaq. Nah, inilah dia antara akhlaq-akhlaq yang wajib kita realisasikan dalam kehidupan kita, inilah antara tujuan kedatangan Islam, inilah juga persoalan yang kita akan hadapi selepas mati.

Apalah nilai pahala sembahyang yang banyak rakaat, puasa yang lama masanya, haji dan umrah yang diulangi, penguasaan ilmu dan hafazan matan-matan kitab sekiranya semua kebajikan itu hanya akan diserahkan kepada orang-orang yang kita zalimi, kita sakiti, kita cerca, kita pandang hina kepada mereka? Apakah ertinya manafaatnya kita menjaga tingkah laku zahir yang tertib, tutur kata yang lunak sekiranya amalan-amalan kejahatan orang yang kasar tingkah laku, kesat bahasanya ,kurang ilmunya akan dicampakkan ke atas pundak kita kerana kita menzalimi mereka?

Hadith ini tidak mensasarkan golongan yang menunaikan sembahyang secara yang tidak sempurna rukun dan sunnatnya, atau berpuasa sekadar lapar dan dahaga, atau bersedeqah untuk menunjuk-nunjuk, bahkan amalan mereka semuanya tertulis kebajikan. Hanya kebajikan itu akan terserah kepada orang lainnya!

Rasulullah SAW mengisyratkan taqwa kepada apa yang ada di dalam dada. Isyarat ini sangat penting untuk kita fahami, mulia hina seorang itu adalah kerana taqwanya. Yang paling mulia di kalangan kita di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa . Jangan diremehkan seseorang yang lain kerana kelebihan yang kita miliki secara zahir seperti rupa paras dan harta atau yang kita miliki secara maknawi seperti ilmu, keturunan dan kedudukan. Sedangkan hahap taqwa itu adalah rahsia seseorang yang hanya Allah mengetahuinya


Marilah kita amalkan isi pengajaran hadith ini terutama di zaman yang penuh kefasadan ini. Bagaimanakah kita berhasrat mahu mengislahkan alam yang luas di luar diri kita sekiranya alam yang kecil di dalam diri kita pun kita tidak punya iradah untuk meluruskannya!

Bagaimana kita dakwa kita berjuang untuk menegakkan dan melaksanakan hukum Allah di atas bumi yang sedang dikuasai oleh pihak-pihak lain . sedangkan kita tidak punya kesungguhan untuk melaksanakan hukum-hukum agama ke dalam kerajaan negeri dalam dada kita?. Bagaimana kita akan mempunyai kekuatan dalam melawan kerajaan zalim yang tidak melaksanakan undang-undang Allah, sedangkan diri dalaman kitapun diperentah oleh kerajaan' yang juga kuat meningkari perentah Allah? Atau kita sekadar membuat dakwaan bohong?

Marilah kita bersihkan hati, bersihkan lidah, bersihkan akhlaq agar kita dapat datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera




No comments:

Post a Comment