Monday, May 18, 2009

Warkah Terbuka Untuk Al-Fadil Dato' Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi

Menemui al-Fadil Dato' Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi,
semoga Allah menyuluh kehidupan kita dengan cahaya hidayah, serta memperteguhkan pendirian kita di atas kebenaran, dan mematikan kita di atas agama-Nya dan dikandung keredaan-Nya.

Saya berdoa kepada Allah agar disampaikan warkah saya ini ke ribaan al-fadil Ustaz. Semoga ianya dikira Allah sebagai memenuhi saranan 'ad-dinu an-nasihah'; antaranya ialah nasihah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam.

Berita tentang al-Fadil Ustaz saban hari memenuhi dada-dada akhbar pada akhir-akhir ini. Hampir semua akhbar, semada Melayu atau Inggerisnya (yang Cina dan Tamil, saya tidak tahu) dan blog penyokong kerajaan menyiarkan kenyataan al-Fadil. Akbar-akhbar arus perdana yang biasanya sinis kepada perjuangan PAS dan memandang juling kepada golongan berpendidikan agama telah bertukar sikap, seolah-olah akhbar mereka mahukan PAS yang tulin, PAS yang kukuh dibawah pimpinan ulama. Al-Fadilpun telah mengambil peluang yang dibukakan ini dengan sebaiknya. Bukannya senang untuk mendapat peluang sebegini, mungkin dalam 20-30 tahun lagipun belum tentu dapat.

Jelas dari segala yang dilapurkan oleh akhbar-akhbar, yang pokoknya al-fadil Ustaz mahukan PAS dipimpin oleh presiden dan timbalan presiden yang berkelas ulama. Yang tersiratnya, begitupun ianya agak jelas sebagaimana yang disebut oleh wartawan NST, Zubaidah Abu Bakar pada 18hb Mei., al-fadil mahu menyekat individu tertentu dari dipilih sebagai pemimpin no.2 PAS. Lalu al-fadil Ustaz telah memberi takrifan ulama sebagai individu yang mendapat pendidikan formal. minimanya STU atau STAM dalam bidang agama.

Al-fadil Ustaz bimbang sekiranya PAS diserahkan kepada individu bukan ulama, maka perjuangan PAS mungkin akan menyeleweng, kerana mereka ini tidak memahami ajaran-ajaran Islam secara memadai.

Kemudian dalam keghairahan al-Fadil mempromosikan gagasana yang presiden & timbalan presiden mesti ulama ini, al-fadil juga telah mendedahkan perilaku buruk golongan yang bukan ulama yang mahu merebut kuasa dalam PAS, mereka telah melakukan amalan rasuah. Mereka mengadakan jamuan dan membahagi-bahagikan baju, dan al-fadil Ustaz telah dipetik berkata 'maka mereka boleh menanglah'.

Apabila suasana menjadi agak panas di kalangan penyokong PAS dan media massa kesan-akibat kenyataan al-fadil Ustaz itu, al-fadil Ustaz mengatakan yang sebenarnya al-Fadil Ustaz tidak memaksudkan kepada sesiapa, ianya sekadar peringatan agar perbuatan buruk dapat dihindar. Kemudian ada pihak yang mendesak agar al-Fadil Ustaz dipanggil oleh PAS pusat untuk memberi keterangan dan pertanggung-jawaban terhadap kenyataan tersebut. Al-Fadil membuat kenyataan akhbar yang al-fadil Ustaz tidak gentar, terutama memandangkan al-fadil Ustaz telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai ketua dewan ulama PAs dan juga usiapun sudah tua.

Al-Fadil Ustaz sudah tentu faham, sudah tentu sedar dengan keinsafan yang sebenar-benarnya yang al-fadil Ustaz berkedudukan sebagai ketua dewan ulama; imej ketua ulama itulah yang memberikedudukan kepada al-fadil Ustaz. Ulama yang dianggap masyarakat sebagai golongan yang bukan setakat memahami ajaran Islam, bahkan golongan yang terpamir daripada tingkah-laku mereka tentang kebenaran dan keindahan ajaran Islam, selayak mereka itu sebagai pewaris nabi. Ulama itu jugalah yang al-fadil Ustaz promosikan sebagai golongan yang mesti memimpin dan berada di atas dalam organisasi; ulama yang akan terserlah kewibawaan mereka sekiranya mereka diberi peluang untuk memimpin.

Maka mata dan telinga ahli masyarakat melihat. mendengar dan mungkin menilai penonjolan tingkah-laku dan pertuturan al-Fadil Ustaz sebagai model ulama yang dicanang oleh al-fadil sendiri sebagai pemimpin yang mesti dikeataskan. Al-Fadil Ustaz bukan lagi bercakap di atas kapasiti Ustaz Mat al-Iraqi secara peribadi, tetapi al-fadil Ustaz mewakili ulama PAS seluruhnya, kerana al-fadil Ustaz adalah ketua ulama.

Adakah damir al-Fadil Ustaz jelas dan tenteram dalam membuat tuduhan terhadap saudara-saudara dari parti sendiri (sudah tentu seagama dan sebangsa) baik yang tersiar di dalam akhbar mahupun yang al-fadil Ustaz gossip-gossip secara private? Adakah al-fadil Ustaz sudah jenuh menasihati golongan yang degil ini secara senyap-senyap, tetapi mereka keras hati dalam kedegilan?

Adakah ilmu dan kesedaran agama yang ada pada al-fadil Ustaz tidak mampu menahan al-Fadil Ustaz dari menyebar berita-berita buruk yang tidak tentu kesahihahan tentang orang lain ?

Apakah tujuan serta maksud al-fadil Ustaz mengatakan pihak yang mengadakan jamuan dan membahagi-bahagikan baju akan menang?, bukankah ini boleh menunjukkan betapa rendah nilai-budi ahli-ahli dan perwakilan PAS pada pemahaman al-fadil Ustaz sehingga pada al-fadil mereka akan memenangkan seseorang calun kerana hidangan makanan dan pakaian yang diberi?.Aduhai begitu rendahnya kesedaran moral ahli-ahli PAS, jauh lebih rendah dari ahli UMNO sekiranya kenyataan al-Fadil itu difahami dari sudut ini.

Adakah al-fadil Ustaz terlupa janji azab dalam al-Quran dan hadith yang begitu banyak di atas kerja-kerja mencarik maruah orang lain, sehingga al-fadil sanggup melakukannya?

Adakah al-Fadil Ustaz terlupa kepada pesanan Allah agar kita berlaku adil dan bertindak benar walaupun ke atas golongan yang kita benci? Itupun sekiranya ada orang-orang yang tertentu yang al-fadil Ustaz tidak senangi. Sekiranya begitu, adakah ini tidak termasuk dalam 'ghurur' dan takabbur, iaitu apabila kita memandang rendah kepada orang lain, sedangkan kedudukan rendah tingginya seseorang itu di sisi Allah ditentukan oleh taqwa mereka?

Adakah al-fadil Ustaz terlupa yang golongan salaf dan ulama terkemudian memberi takrif ulama itu sebagai golongan yang takutkan Allah?, Tanpa perasaan takutkan Allah, maka mereka pada hakikatnya bukan ulama walaupun sebanyak mana ilmu yang mereka miliki. Ulama salaf telah memperingatkan kita agar berwaspada dengan ulama su', ulama dunia yang mempedayakan kita seumpama tipu daya dajjal.Mereka menggunakan agama sebagai modal untuk mendapat habuan yang sementara, mereka menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Siapakah pula yang dapat memberi jaminan yang pimpinan individu berpendidikan agama yang paling minima-nya STU dan STAM atau berijazah sekalipun akan memastikan perjuangan berada di atas landasan yang benar?

Adakah al-fadil Ustaz tertinggal daripada menyebut tujuan mengetahui al-Quran dan tujuan mempelajari agama adalah untuk memupuk sifat-sifat rabbabi di dalam diri sendiri dan kehidupan kita?, Bukan untuk berbangga diri di atas golongan yang tidak berpendidikan, bukan untuk menundukkan orang lain dalam perbahasan, bukan untuk menarik sokongan dari masyarakat luas, bukan mahukan kedudukan tinggi kerana perkiraan dunia

Bagaiamana boleh al-fadil Ustaz sampai hati dan tergamak untuk mengatakan yang al-Fadil Ustaz tidak gentar menghadapi tindakan disiplin parti memandangkan al-fadil Ustaz akan melepaskan jawatan dan sudah tua . seakan-akan al-Fadil memberi isyarat yang al-Fadil tidak kisah lagi tentang kesejahteraan parti kerana al-fadil Ustaz sudah tidak berada dalam saf pimpinan parti. Sepatutnya kita mahu memastikan ketika kita meninggalkan parti , parti itu semakin kuat, utuh dan sejahtera. Kita takut kita akhiri hari-hari akhir dalam parti dengan catitan yang buruk, sebagaimana kita takut sangat-sangat mengakhiri hari-hari akhir kehidupan kita dengan su'u al-khatimah. Kita berdoa semoga Allah memasukkan kita dalam sesuatu suasana itu dengan benar dan Allah keluarkan kita dari suasana itu pun dengan benar. Kita tidak mahu kita keluar dengan catitan yang buruk di sisi manusia, apa lagi di sisi Allah.

Saiyyidina Ibrahim berdoa agar supaya baginda diingat dengan sebutan yang baik benar di kalangan manusia yang datang terkemudian, Allah menyebut yang Saiyyidina Musa dan Saiyyidina Harun kekal dengan sebutan yang baik pada masyarakat yang datang terkemudian. Seingat saya , hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang membuat kenyataan yang beliau tidak kisah tentang pandangan dan fahaman orang lain terhadap beliau selepas beliau meninggal kelak.

Masa dan peluang untuk menjernihkan suasana masih ada di pihak al-Fadil Ustaz. Setiap anak Adam membuat silap-salah, sebaik-baik yang membuat salah adalah orang yang bertaubat daripada kesalahannya. Terdapat perkara yang rupa zahirnya seakan kebajikan dan keutamaan tetapi ia menjerumuskan empunyanya kepada kemurkaan Allah. seperti kebaikan dan keutamaan yang diselimuti oleh takabbur, riya. sum'ah, umpama Iblis. Ada perkara yang rupa zahirnya kesilapan dan kelemahan, tetapi ianya membawa kasih-sayang daripada Allah, seperti kesalahan yang diikuti oleh rasa remuk hati, keinsafan dan taubat, umpama Saiyyidina Adam.

Saya memohon agar al-fadil Ustaz sudi memaafkan kekasaran bahasa saya, saya lakukan catitan ini dengan rasa kasih dan mengharapkan yang baik bagi al-fadil Ustaz ,saya sangat berharap sekiranya saya melakukan kesilapan, maka akan ada yang sudi menegur saya sebelum saya terseleweng jauh.

Semoga kita semua dapat menghadap Allah dengan hati yang sejahtera pada hari yang tiada memberi manafaat oleh harta-benda dan anak-pinak.

sekian wasallam

Abu Bashir
24jamadil al-awwal 1430.

3 comments:

  1. Tulisan yang bagus

    ReplyDelete
  2. Tulisan yang berhikmah dan sarat dengan fakta. Saya ingin belajar dari saudara. Wassalam.

    ReplyDelete
  3. ape sebenarnye engkau nak bgtau nak bg amaranke atau nak perlekehke atau kau nak ape ni sbb ader kena mengena dgn org yg kau suke

    ReplyDelete