Jangan Undur Ke Belakang
Guru saya kerap menggunakan istilah "meningkat ke bawah, maju ke belakang" yang membawa makna seolah-olah ada peningkatan tetapi sebenarnya semakin merendah, seolah-olah ada kemajuan tetapi sebenarnya semakin terundur : beliau menyebut ungkapan ini dalam kaitan dengan amalan-amalan kerohanian dan keagamaan, atas maksudnya langit melambangkan ajaran Samawi dana alam syurga, sementara bawah mengisyaratkan keduniaan dan neraka, adapun depan maksudnya kebenaran dan cahaya sementara belakang maksudnya kepalsuan dan kegelapan.
Izinkan saya menggunakan ungkapan guru ini dalam konteks yang agak berbeza daripada yang telah digunakan oleh guru saya yang sangat saya hormati itu. Saya maksudkan pada pengalaman dan pengamatan tahap kehidupan harian kita.
Memandangkan kita namakan blog ini sebagai blog Muqabalah, saya ingin memulakan suatu perbincangan tentang sejarah penglibatan masyarakat kita dalam bidang politik kepartian menggunakan nama Islam di tanah air kita ini.
Sudah tentu kita akan teringat kepada gerakan Hizbu al-Muslim yang digerakkan oleh Ustaz Abu Bakar Bakir di Bukit Semanggul pada era sebelum merdeka. Kita akan temui yang setiausaha kerjanya adalah Muhammad Asri Muda, bendaharinya pula adalah Yaakub bin Hitam ( abang Tun Musa Hitam), dan seorang lagi tenaga pentingnya adalah Ir. Ariffin. Hizbu al-Muslimin mempunyai dua lokasi gerak-kerjanya yang penting; satunya di Perak dan satunya di Johor Bharu (memandangkan Yaakub Hitam dan IR. Ariffin menetap di Johor).
Kemudian kita melihat kepada penubuhan PAS, ianya diketuai oleh Ustaz Ahmad Fuad , seorang ulama berfahaman kaum tua yang rapat dengan Datuk Onn Jaafar. Ketika Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953, dia diganti oleh Dr.Abbas Elias, seorang doktor perubatan. Dr. Abbas adalah presiden PAS yang bertanggung-jawab mendaftarkan PAS sebagai pertubuhan politik pada 31 Mei 1955, iaitu seminggu sebelum pilihanraya yang didakan pada bulan jun pada tahun tersebut.
Kita dapat bayangkan pada era itu begitu ramai ulama yang besar-besar masih menganggotai PAS, lihatlah contohnya risalah kecil 'Muzakarah Ulama Se Malaya" yang mempamirkan besarnya pengaruh ulama kaum tua dalam PAS pada era itu. Tetapi ulama-ulama besar ini telah dapat menerima pimpinan seorang doktor perubatan sebagai presiden PAS, sedangkan masyarakat kita di waktu itu masih takutkan hospital!
Kita tidak mempunyai rekod sehingga kini yang menunjukkan golongan ulama ketika itu menolak kepimpinan Dr. Abbas kerana dia bukan seorang ulama, walaupun PAS ketika itu didukung oleh ratusan ulama yang hebat-hebat. Bahkan Ustaz Ahmad Fuad, seorang ulama, telah melucutkan jawatannya apabila cita-rasa politiknya untuk bersama Datuk Onn Jaafar telah ditolak oleh para perwakilan PAS ketika itu. Itulah sikap ulama dalam PAS serta perwakilan PAS ketika itu. Ulama PAS tidak terasa terancam dan bimbang takut-takut seorang doktor perubatan yang berpendidikan moden akan menyelewengkan arah-tuju perjuangan PAS.
Kerana kesibukan dengan tugasnya dihospital beserta beliau masih terikat kerana beliau adalah seorang kaki-tangan kerajaan, Dr. Abbas telah berundur dari menjadi presiden PAS.
Pengantinya yang dicari dan diangkat adalah Dr. Burhanuddin al-Helmi, seorang pengamal perubatan homeopati, yang meminati ajaran tasauf serta beramal dengan tariqah Naqsyabandiyyah. Begitupun, agaknya kerana terpengaruh dengan pendidikannya di India, beliau mempunyai faham feqah kaum muda dan terlibat dalam Debat Najis Anjing di Istana Kota Bharu. Bagaimanapun beliau dipilih untuk mengetuai PAS adalah kerana pengalaman dan penglibatan beliau serta penonjolan bakat kepimpinan beliau dalam gerakan perjuangan Melayu sebelum itu.Soal faham feqahnya itu dipinggirkan oleh ulama pondok ketika itu.
Dia dibantu oleh timbalannya, Zulkifli Muhammad, seorang yang pernah belajar di Universiti al-Azhar dan Universiti Amerika Kaherah, Zulkifli merupakan seorang intelek yang sangat tajam pemikirannya, seorang ahli sastera yang sangat tertonjol, sehingga beliau diamanahkan untuk mengasaskan Kolej Islam Kelang dan dilantik menjadi panel juri dalam menentukan pemenang penulis novel Melayu terbaik. Beliau bersama A.Samad Ahmad yang bermesyuarat di Port Dickson telah memilih novel Salina karangan Pak Samad, walaupun juri-juri yang lain menganggap novel itu tidak bermoral kerana watak utamanya adalah seorang pelacur. Tetapi bagi Zulkifli nilai seni dan jalan penceritaan novel tersebut sangat menarik secara nisbinya berbanding dengan novel-novel yang lain. Akhirnya pilihan beliau itulah yang telah dinobatkan sebagai pemenang.
Kemudian PAS kehilangan kedua-dua pemimpin utamanya, jawatan presiden telah disandang pula oleh Muhammad Asri Muda, seorang berpendidikan agama, muridnya Tuan Guru Hj Joned dan aktivis Hizbu al-Muslim. Bagaimanapun Muhammad Asri akhirnya dikritik hebat oleh sebahagian ahli-ahli PAS pada awal 1980'an bukanlah pada dasarnya kerana beliau tidak seorang ulama, tetapi mereka tidak bersetuju dengan beliau di atas perkara-perkara yang lain.
Berkebetulan zaman itu adalah zaman semangat Revolusi Iran tengah memuncak, maka timbullah ungkapan Pimpinan Ulama, mengikut corak pimpinan Khomeini di Iran, Majlis Syura diilhamkan oleh Wilayatu al-Faqih di Iran, sementara Murshid al-am, walaupun namanya dipinjam dari jawatan tertinggi dalam organisasi Ikhwan al-Muslimin, tetapi ianya juga seakan-akan Supreme Spiritual Leader di Iran.
Mengambil kira semua ini, apakah perlu ahli dan perwakilan-perwakilan PAS mengambil sikap undur ke belakang?. Mahu menyekat golongan yang tidak mendapat pendidikan formal di institusi pengajian berjurusan arab atau memegang jawatan-jawatan dalam bidang keagamaan dari dilantik untuk bersama menerajui pimpinan PAS.
Kalaulah sekira mahu, lantiklah seorang yang berpendidikan jurusan arab walaupun kemampuannya untuk memimpin dipersoalkan, visinya kabur serta track-recordnya lemah, maka majulah ke belakang, meningkatlah kebawah. Pejamlah kedua mata kepada sejarah ummah, dan sejarah organisasi sendiri!
Kalau begitulah pemahaman saudara, saya bersetuju kalau saudara cadangkan HUSAM BERTANDING PRESIDEN. TAPI SKRG SUDAH TERLEWAT....2 TAHUN LAGI PASTIKAN HUSAM BERTANDING PRESIDEN PAS. KALAU JADI TIMBALAN PRESIDEN PUN, BUKANNYA BOLEH MENENTUKAN HALATUJU PAS.
ReplyDelete