Monday, August 31, 2009

English Sojourn & Lainnya - himpunan karya-karya pengalaman

Buku yang mula saya baca dari tulisan Prof. Che Husna adalah Melor In Perspective, kerana tarikan yang kuat kepada kandungan buku itu, saya photostat buku itu 2 salinan; semata-mata untuk saya simpan. Saya tertarik kepada buku itu ialah kerana (1) cerita yang dipaparkan adalah cerita pengalaman hari-hari masyarakat kampong di Kelantan. (2) Jalan ceritanya licin dan banyak tempat kita akan tersenyum sendirian kerana unsur-unsur lucunya (3) banyak juga rakaman sejarah yang kita belum tahu sebelumnya seperti angkatan yang dihantar oleh Tok Pengawa Wan Mahmud dalam peristiwa Musuh Tok Janggut dan tandas jurah yang pertama di Kelantan (4) Ianya mengesahkan lagi secara bertulis tentang struktur masyarakat Kelantan, umpama hubungan antara orang gedebe dan orang alim, orang perempuan yang bujang, orang tidak pok yang ada indentiti (kalau di Kota Bharu Tok Awang dengan laungan merdeka, Mat Tropek dengan aktiviti menjaga lalu-lintas dan seumpamanya) (5) bagaimana seorang yang berumur 12 tahun dapat mengumpul sedemikian banyak cerita yang kemudiannya dirakamkan secara bertulis ketika dia sudah dewasa.

Buku ini ceritanya banyak merangkumi masyarakat di Pekan Melor pada tahun akhir 60'an secara amnya.

Kemudian Prof Che Husna menghadiahkan saya bukunya Puisi Ambo; saya tertarik kepada bentuk puisi yang mengekalkan hujung rangkap dengan bunyi sukukata yang sama, terutamanya itulah bentuk puisi Melayu tradisional. bunyi sedap (dan agaknya memerlukan ketelitian dalam berkarya berbanding penghasilan sajak bebas)

Puisi-puisi Prof Che Husna menyentuh isu kemanusian secara sentimental dan kritis: kita akan terasa simpati kepada Dah yang ditahan ketika menyeberang sungai yang menjadi sempadan kepada kelompok manusia yang sama. Kita akan tersenyum membaca tentang pintu gerbang yang banyak terpacak di Kelantan, bermula dari Gua Musang sehingga ke depan Balai Besar. Kita akan menghilai membaca tentang selagi huruf 'ha' tidak bunyi macam serati, jangan pengah nak berhenti. Kita baca rakaman betapa kasihnya orang Kelantan kepada negeri, kita baca tentang Abang Soh yang menjumpai jong lipat baju di Salor dengan senyum tetapi merupakan rakaman realiti orang parti.

Kemudian Prof Mek (nama panggilan bagi Prof CH)menghadiahkan lagi Rambutan Orchard. Buku ini merupakan complimentary kepada buku Melor In Perspective, skop ceritanya lebih terfokus kepada cerita keluarga, anak menantu dan keluarga besar Tuan Guru Haji Wan Abdul Kadir Melor. Ceritanya adalah yang sama dengan cerita kita anak-anak yang membesar sebelum zaman TV ada pada setiap rumah, kecuali Prof Mek memang tukang cerita, pengalaman harian hampir setiap orang dijadikan tulisan yang sungguh menarik dan membenarkan kita seakan-akan terlibat dalam pengalamannya ketika kanak-kanak di Pekan Melor.

Apa yang menarik sekalinya ialah cerita dalam pagar mu'tan (rambutan orchard) itu ialah cerita bagaimana Wan Yah (ibunda kepada Prof Mek) berintraksi dengan pohon-pohon yang ditanam.Bagaimana pohon-pohon yang diperdengar bacaan al-Quran itu bertindak balas, sehingga dalam pagar itu membentuk suatu alam mikronya sendiri, nyaman dan aman seakan-akan ianya adalah bayangan syurga. Dan apa yang menariknya memang dalam alam fantasi kanak-kanak sebaya Mek ketika itu, dalam pagar yang tidak berapa luas itupun dirasakan begitu luas dan mencukupi, laha, langah dan lawasnya.

Buku yang dihadiahkan juga kepada saya oleh Prof Mek ialah buku English Sojourn; buku ini adalah lanjutan daripada dua buku pengalaman hidup Prof Mek. Mek kini bukan lagi budak Pekan Melor tetapi pelajar Melayu di England. Pengalamannya diceritakan secara santai tetapi kandungan dan messagenya adalah berat berbanding dengan dua buku yang terdahulu. Ia bukan setakat rakaman pengalaman hidup, bahkan dailog aqal tentang nilai serta kecenderungan intelektual dan spiritiual.

Mek berada di England di masa zaman Gerakan Dakwah (movement oriented) baru mula bercambah di kalangan sebahagian daripada pelajar Melayu. Zaman baru sentiasa diwarnai dengan kesungguhan dan ketaksuban, kedangkalan dan kekitaan yang kuat. Zaman itu terdapat MISG walaupun semakin mengecil, IRC yang penuh kerahsian, Suara Islam yang revolusionis paa satu pihak. Darqawi/murabitun dan Syiekh Nazim Haqqani al-Qubrusi, selain Jamaah Tabligh pada pihak yang lain.

Ketika itu antara key-words di kalangan pelajar kita ketika itu adalah Islamic State, sistem jahiliah, Islam yang syumul dan mutakammil, aqidah yang menghidupkan, ulama haraki, wahdatu al-amal dan lain-lain istilah yang agak asing daripada istilah yang ada dalam kandungan kitab agama yang lama. Tidak sedikit aktivis/amilin yang dek kerana terlalu menumpukan kepada aktiviti-aktiviti membina Islamic State in exile itu telah kandas dalam pengajian formal mereka, terutama di kalangan sisters. Banyak juga di kalangan brothers dan sisters sekembali ke tanahair yang meneruskan aktiviti usrah dan lainnya, dan tidak sedikit yang bertukar arus. ( ada seorang ex-brother baru-baru ini membuat remark 'kalau dulu ruku, yang jatuh dari poket ialah Milestones, loni kalau ruku yang jatuhnya Malboro')

Prof Mek banyak menyentuh tentang hubungan harmonis sunni-syiah di kalangan pelajar di sana sehingga membawa kepada perkahwinan . Prof Mek mengimbau keakraban dan kehangatan persahabatan antara sunni-shiah yang bersembahyang di kabin yang sama, berbuka puasa dan melakukan kegiatan yang lain bersama. Itulah pengamatan yang memang benar, pengamatan secara kontekstual. Hanya kadang-kadang kita juga perlu melihat kepada pengamatan yang dibuat secara tektual.

Saya pernah menyuarakan pandangan kepada seorang simpatis shiah yang kita ahli sunnah bersama mereka dalam menyanyangi ahli-bait, imam-imam daripada keturunan Saiyyidina Ali, mungkin kasih kita melebihi daripada kasih mereka kepada ahli bait, tetapi kita tidak berkongsi kebencian dengan mereka. Mereka membenci Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina Umar, Saiyyidina uthman dan lain-lain sahabat. Kita tahu yang Saiyyidina Umar berkahwin dengan anak Saiyyidina Ali sebagai contoh, hubungan ahli bait dengan sahabat-sahabat utama adalah akrab kerana mereka semua adalah innner circles kepada Saiyyidina Rasulullah. Kasih mereka kepada baginda begitu mendalam, sehingga seumpama Saiyyidina Umar mengaku yang akhirnya beliau mencintai Rasulullah melebihi cintanya kepada diri sendiri.

Bagaimanapun catitan Prof Mek adalah catitan naratif terbaik yang bagi saya setakat ini tentang era budak-budak dakwah di England. Semoga Prof Mek akan menulis untuk merakamkan pengalamannya sebagai student TKC, tentang Ustaz Azhari yang kita hanya tahu sekadar dari nama sekolah arab Azhariyyah. Saya rasa kita juga boleh tumpang melayari pengalaman-pengalaman tersebut seolah-olah cerita itu juga adalah cerita kita

1 comment:

  1. zi,

    Kawe ikut sokmo blog demo...this is good. How can I get a copy of the books that you mentioned above ? Nasir Hassan, Cambodia

    ReplyDelete