1-Guru kami memberitahu yang dia di datangi oleh seorang pensyarah universiti tempatan pada akhir tahun 80'an, pensyarah tersebut memberitahu dia yang Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri dalam satu majlis dailog dengan pelajar di England telah memberi peringatan kepada pelajar Malaysia di sana yang Iran tidak boleh dicontohi, kerana Iran adalah negera Syiah.
Ada dari kalangan pelajar bertanya kepada Mahathir "siapa yang lebih baik, orang syiah yang melaksanakan hukum Islam atau ahlu as-Sunnah yang tidak melaksanakan hukum Islam?. Katanya Mahathir terpukul dan tidak menjawab soalan tersebut. Cerita ini sahih atau tidak, tidak pula dapat dipastikan.
Guru kami memberi respon yang semerta kepada pensyarah tersebut "kenapa ditanya kepada Mahathir yang jahil". Pensyarah itu bertanya balik "kalau ditanya kepada Abang Haji, bagaimana Abang Haji jawab?". Guru kami segera menjawab "ahlu as-sunnah yang tidak melaksanakan hukum Islam itu sudah tentu lebih baik daripada pengikut Syiah yang mengamalkan Islam".
Pensyarah itu nampak keliru dan sukar menelan jawaban itu. Guru kami menyambung "sekiranya ahlu as-sunnah meninggalkan hukum Islam, dia wajib tahu yang dia berdosa, dalam beberapa perkara dia wajib qada, sekurang-kurangnya dia wajib bertaubat, sekiranya dia tidak merasa bersalah dan tidak merasa keperluan untuk bertaubat kerana meninggalkan hukum Islam, maka dia bukan daripada ahli as-Sunnah; sementara bagi orang syiah, ketika dia melakukan kemaksiatan seperti sekiranya mempercayai wujudnya Mushaf Fatimah, yang berbeza daripada al-Quran yang ada, atau berpegang Saiyyidina Abu Bakar dan Omar beserta sahabat-sahabat lain itu khianat dan murtad, dia tidak akan bertaubat kerana dia menyangka semua itu adalah kebajikan dan kebenaran. dia mati di atas pegangan dan amalan yang sedemikian, jadi siapa yang lebih baik?"
2-Ketika musim reformasi, seorang yang bersemangat tinggi datang ke rumah guru kami dan mengatakan Mahathir telah nyanyok, banyak kenyataan-kenyataannya yang bertentangan dengan ajaran agama. Guru kami menjawab "Mahathir tidak nyanyok". Orang itu bertanya "bagaimana kita hendak faham kenyataan-kenyataannya yang menyeleweng ini?". Guru kami mengulas "nyanyok ini ialah keadaaan pemikiran sesorang yang bertukar menjadi celaru sedangkan sebelumnya berkeadaan baik, adakah pemikiran Mahathir dulunya selaras dengan ajaran agama?". Orang itu secara spontan menjawab 'tidak". Lalu sang guru membuat kesimpulan "kalau sedemikian, dia tidaknya nyanyok, tetapi dia seorang yang jahil"
3-Pada suatu petang dalam bulan Ramadan, rombongan yang menemani qari yang buta dari Iran telah datang untuk berbuka puasa. Guru kami menyantuni mereka sementara menunggu masuk waktu maghrib. Dalam rombongan itu terdapat pelajar Melayu yang belajar di Qum , dia telah mengambil peluang tersebut untuk menjelaskan kesahihan pegangan dan amalan syiah kepada guru kami. Agaknya dari segi penampilan, dia tidak menyangka tahap penguasaan ilmu yang ada pada guru kami. Dia mula menerangkan belbagai aliran syiah dan kesahihan pegangan syiah yang diamalkan di Iran.
Guru kami menjawab "alangkah besarnya kebajikan yang dilakukan oleh pemerentah Iran dengan menghantar qari untuk memperdengarkan Kalam Allah kepada manusia lain, sebagaimana besarnya kebajikan kerajaan Saudi membahagi-bahagi mushaf al-quran kepada jamaah haji secara percuma. Tetapi apakah kebajikan besar yang dilakukan oleh pemerentah Saudi itu dapat menutupi kesalahannya kerana berserongkol dalam usaha menahan impot makanan (food saction) ke atas Iraq (zaman saddam) yang menyebabkan hatta nyawa seorang kanak-kanak Islam hilang?. Begitu juga dengan pemerentah Iran, apakah kebajikan yang sedemikian besar itu, seperti menghantar qari untuk memperdengarkan kalam Allah itu dapat menutupi kemaksiatan mereka mencerca Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar?".
Dia menyambung lagi "sedikit sebanyak yang saya belajar tentang syiah di Makkah dahulunya, sringan-ringan daripada aliran Syiah ialah mereka yang memfasiqkan Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar, tidak sampai mengkafirkan kedua mereka. Sedangkan aliran-aliran Shiah yang lain mengkafirkan keduanya".
Pelajar yang menuntut di Qum itu agak kaget, perbincangan berhenti di situ, tanpa tuan rumah mengetahui apa yang telah dibincangkan di ruang tamu, kerana dia sibuk menyediakan hidangan untuk berbuka puasa di dapur.
4-Ketika Khomeini mengeluarkan fatwa bunuh dan tawaran harga kepala bagi Salman Rushdi, ada seorang dari kalangan yang sama-sama menadah dengan guru kami telah memberi komen " Khomeinilah pemimpin Islam yang paling berani, sedangkan pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain hanya bisu dalam kes ini". Guru kami tidak memberi apa-apa reaksi, dia seakan-akan tidak mendengar kenyataan itu.
Selepas majlis pengajian tammat, dia memberitahu saya secara perseorangan yang dia sengaja tidak menjawab kenyataan itu kerana bimbang jawabannya akan mengecilkan hati sipembuat kenyataan. Katanya "apalah yang hendak dinamakan keberanian atas kenyataan yang sedemikian, rakyat Iran tidak akan menentang pengisytiharan fatwa tersebut, kalau Khomeini benar-benar berani berdepan dengan resiko,dia patut mengumumkan yang dia mahu rakyat Iran berhenti mencerca Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar, itu barulah sikap berani dalam menegakkan kebenaran".
Sehingga kini saya masih terus mengkagumi ketajaman dan kecepatan beliau berhujjah. Saya telah berkesempatan berjumpa ahli-ahli akademik dan intelektual yang lain, tetapi saya belum berkesempatan menemui manusia yang sedemikian tajam dan cepat berhujjah umpama beliau. Dalam penampilannya yang serba sederhana, terdapat ketajaman ilmu dan hujjah pada dirinya.
Saya masih ingat ketika kami menadah kitab Durru ath-Thamin dan Jawharatu at-Tauhid dengan beliau, bagaimana asyiknya beliau memperincikan huraian kedua kitab tersebut pada mana-mana tempat yang perlu. Kecenderungan dan kemampuan beliau dalam ilmu aqal begitu terserlah
ketika itu, dan kerana keseronokkan menyunsuri perbincangan kitab-kitab ini, kami biasanya sembahyang Isya' agak lewat berbanding biasa.
Alhamdulillah di atas nikmat Tuhan yang mempertemukan saya dengan guru ini; guru yang datang mengajar kami kandungan kitab turath dan menunjukkan sebahagian kandungan kitab itu secara amali dalam hidupnya yang serba sederhana itu, kecuali pada penguasaan aqal dan ilmu yang jauh lebih mewah daripada kebanyakan kita.
Ya Allah rahmatilah ruhnya, janganlah Engkau timpakan ke atas kami fitnah selepas ketiadaannya, janganlah Engkau putuskan kebajikannya untuk kami. Rahmatilah kami dan dia, ya Allah!
(Terasa kerinduan terhadap guru ini , terutama selepas menghadiri majlis aqad-nikah anak bongusnya, semoga kedua mempelai akan dianugerahi zuriat yang soleh dan berfikiran tajam sebagaimana nenda mereka. Amin!)
No comments:
Post a Comment