Tuesday, August 4, 2009

Pendirian Jeff Ooi : Wajah Sebenar Seorang 'Liberal'?

Nampaknya YB Jeff Ooi, yang kita kenali sebelum ini sebagai seorang blogger yang mempromosi sikap keterbukaan dan persamaan hak bagi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar-belakang agama dan bangsa telah menunjukkan wajahnya yang sebenar. Wajah yang tidak dapat berkrompomi dengan apa yang dituduhnya sebagai religious extremist. Wajah yang tidak senang untuk berkerja-sama dengan orang-orang yang mungkin mempunyai ideal politik dan sosial yang berlainan daripadanya. Orang yang sedemikian baginya mesti dicantas!

Agaknya, bagi Jeff Ooi seorang muslim yang bercita-cita melihat dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya, dunianya ditadbir secara syariat, secara yang sewajarnya mengikut ajaran Islam bukan sahaja tidak layak dilantik memegang jawatan awam, bahkan merbahaya bagi sistem pentadbiran hari ini. Jeff Ooi mungkin sedar yang orang muslim yang sebenar, tanpa terkecuali beriman yang Allah menurunkan syari'at, yang perlu dilaksanakan:
1- ke atas dalamannya: menjaga keikhlasan hatinya, menjaga kesedaran tentang kehadiran Allah yang Maha Melihat dan Maha Mendengar segala sesuatu.
2-ke atas dirinya: menunaikan ibadat dari bersuci, sembahyang, puasa, zakat dan haji.
3-ke atas keluarganya: melakukan aqad-nikah, menjaga hubungan suami-isteri, menjaga hubungan dengan sanak saudara dan jiran, mendidik anak
4-ke atas masyarakatnya: menyuruh perkara kebajikan, mencegah perkara keburukan, menegakkan keadilan, membela anak yatim dan golongan daif, menjalankan tanggung-jawab kemasyarakatan, melaksanakan hukum hakam ke atas ahli masyarakat sebagai yang dikehendaki oleh syariat dalam lingkungan keupayaan dan maslahah umum.

Paling kurang 4 perkara ini disepakati oleh semua mazhab dalam agama Islam, mereka hanya berbeza dalam menentukan syarat pemahaman, keupayaan dan persediaan masyarakat dalam menerima dan syarat perlaksanaan hukum hakam yang berkaitan khususnya perlaksanaan hukum jenayah serta hal-hal yang berkepentingan umum yang lain.

Oleh itu sekiranya Jeff Ooi mahu 'memancung' semua yang muslim yang mempunyai pegangan dan fahaman sebegini, maka hampir semua muslim yang mencintai agamanya, yang berusaha untuk hidup mengikut ajaran agamanya turut 'terpancung'. Yang selamat dari 'pancungan' hanyalah muslim yang tidak bersungguh-sungguh mahu mengikhlaskan diri mereka kepada agama mereka sendiri.

Jeff Ooi sepatutnya mengambil masa untuk memahami ajaran agama Islam, memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, agama resmi negara adalah agama Islam, agama yang telah bertapak dari segi sejarahnya ditanah air kita, sebelumnya Francis Light menjejak kaki di Pulau Pinang adalah Islam.

Oleh itu Jeff Ooi bukan menyerang Razali Abdullah berseorangan, Jeff Ooi telah memukul gendang pengisytiharan perang terhadap ramai orang Islam yang berusaha untuk menghayati ajaran agama mereka. Entahlah adakah Jeff Ooi terlalu berani membabi-buta menyatakan pendiriannya atau beliau tidak mempunyai gerak hati untuk menghormati ajaran agama orang lain. Kalaulah agama yang dianuti Jeff Ooi tidak mengajar kaedah-kaedah menyusun dan mentadbir masyarakat, janganlah Jeff Ooi beranggapan yang agama lainpun tidak menyentuh perkara-perkara tersebut dalam ajarannya.

Jeff Ooi bukan sahaja menunjukan sikap tidak toleran kepada ajaran agama yang dianuti oleh orang lain, bahkan Jeff Ooi juga menunjukkan sikap yang tidak menghoirmati amalan-malan demokrasi. Bukankah sistem demokrasi adalah umpama 'open-market', mana-mana pihak yang mahu menjual fahaman masing-masing dibenarkan menjualnya, asalkan patuh kepada aturan-aturan dan norma-norma demokrasi?. Bilakah pula amalan demokrasi menegah kita daripada memperkenalkan dan menjual fahaman kita, termasuklah fahaman untuk melaksanakan syariat, ya sekiranya kita diberi sokongan dan menang besar sehingga dapat mengubal undang-undang ke arah itu?

Kenapa perlu dipecat seorang yang dilantik secara berperaturan dan menuduh perlantikannya merbahaya; semata-mata kerana dia mengganggotai sebuah pertubuhan yang berdaftar secara resmi dengan pihak kerajaan? Adakah menyertai pertubuhan yang berdaftar sebegitu dikira jenayah oleh Jeff Ooi?. Lainlah sekiranya Jeff Ooi tidak bersetuju dengan seorang yang menganggotai gerakan bawah tanah, atau menganggotai pertubuhan militant atau berbaik-baik dengan anggota kongsi gelap (sebagai tuduhan YB Wee dan YB Azmin Ali)

Dapatlah sedikit sebanyak kita bayangkan sekiranya Jeff Ooi dan orang-orang yang berfikiran dan bersikap seumpamanya menjadi pemimpin-pemimpin negara. Apakah golongan ini akan mengahapuskan ISA, atau akan menambahkan lagi peruntukan-peruntukan bertujuan mengekang orang-orang yang tidak sebulu dengan mereka daripada mempunyai apa-apa kedudukan dalam pentadbiran dan pimpinan masyarakat? Apakah kita akan terpedaya yang Jeff Ooi dan orang-orang yang berfikiran umpamanya akan memberi kebebasan kepada kita untuk mengajak anggota masyarakat melalui saluran-saluran yang diizinkan oleh perlembagaan dan undang-undang negara dalam memenuhi anjuran-anjuran ajaran agama kita? Itupun belum kita berbicara tentang pegangan muslim yang Rasulullah selain seorang pentadbir, baginda juga adalah ketua tentera.

Kita memerlukan pemimpin yang menggunakan rationality bukan emosi, pemimpin yang berusaha memahami bukan bersangka-khianat terhadap kumpulan yang berlainan faham dan amalan. Agaknya tulisan Karen Amstrong, bekas seorang nun,( kalau tidak mahu membaca tulisan-tulisan sarjana muslim sekalipun), tentang beberapa aspek ajaran Islam termasuk tajuk sensitif seperti jihad bermanafaat dibaca oleh Jeff Ooi.

Luahan Jeff Ooi itu hanya rakaman apa yang sanggup dizahirkan oleh beliau, bagaimanakah agaknya bangkangan dan'kebencian' yang tersirat di dalam dada Jeff Ooi yang belum sanggup diluahkannnya?

No comments:

Post a Comment