Thursday, May 21, 2009
Sebaik-baik Pemimpin Vs Sebaik-baik Ulama
(peringatan dari Syaikh 'Ali bin 'Atiyyah al-Hamawi (w:936H)
Perkataan ini sangat popular dan disandarkan kepada Rasulullah SAW dalam banyak kitab-kitab turath yang membincangkan tentang akhlaq ulama.
Syaikh 'Ali al-Hamawi menyebut 3 keadaan dalam hubungan antara dua kumpulan elite ini:
1-ulama mendatangi umara: lazimnya inilah seburuk-buruk keadaan.
2-ulama didatangi oleh umara:
3-ulama meng'uzlah diri daripada umara: inilah yang paling selamat.
Ulama adalah pemegang amanah para rasul, Allah mengamanahkan mereka dengan ajaran syara' yang telah dibawa oleh rasul dari segi ilmu dan amalan. Allah telah mentaklifkan atas manusia untuk menuntut ilmu, maka ulama bertanggung-jawab ke atas penyebaran ilmu dan pengamalan terhadap ilmu tersebut, mereka memegang amanah dari segi pegangan aqidah dan ibadat, ke setiap sesuatu yang perlu ditasdiqkanke pada ilmu serta amalan yang muafakat dengan ilmu yang benar pada batin tersembunyi dan pada zahir yang kelihatan Mana-mana yang berjalan di atas sunnah anbiya' , maka dia adalah seorang beramanah, sesiapa yang menyalahi jalan yang tersebut, maka dia adalah pengkhianat. Mendekati pihak penguasa akan memenatkan hatinya, malah sekiranya dia mengira sebagai kebaikan tentang keburukan yang dilakukannya itu , maka ini adalah perbuatan yang mengkhianati Allah dan rasul-Nya. Terdapat perkataan dahulu-kala : sekiranya kamu melihat seorang alim yang cintakan dunia, awasilah dia dari (mempengaruhi) amalan agama kamu. Dan dikatakan orang: Tiada yang lebih menjelekkan daripada seorang alim yang ketika didatangi ke majlis ilmunya, dia tidak berada di situ, lalu ditanya tentangnya, maka dijawab: sesungguhnya dia sedang menjumpai sipenguasa. Ini ditujukan kepada sesiapa yang menjumpai pihak penguasa dan menghadap mereka dengan kata-kata kasar dan menyalahi kehendak mereka, bagaimanakah pula pada sesiapa yang berjumpa pihak penguasa dengan tuturan yang lemah-lembut dan mentaaati kehendak hawa-nafsu mereka?. Imam Sufian ath-Thauri telah berkata: apabila engkau melihat seorang qari (ulama) rapat dengan sultan, ketahuilah dia sebenarnya seorang perompak, sekiranya engkau melihat dia rapat dengan orang kaya-kaya, ketahuilah dia seorang yang bermuka-muka. Disebut oleh Ibnu Saad pada kitab Tabaqat: sesungguhnya seorang lelaki memasukki untuk menemui sultan, dibawa bersama agamanya, dan apabila dia keluar tiada sesuatu daripada agamanya yang tinggal
==================================
Dicatitkan bahawa Imam Ibnu Taimiyyah telah didatangi oleh seorang pedagang yang mengadu yang dia dikhianati oleh seorang penguasa di Damsyik. Lalu Imam itu telah pergi untuk menemui pembesar tersebut, ketika beliau berada di depan rumah pembesar itu, pembesar itu telah menyindir Imam Ibnu Taimiyyah dengan katanya "terhormatlah seorang pembesar yang berada di depan pintu rumah ulama, dan sebaliknya pada seorang ulama yang berada di depan pintu pembesar". Lalu Imam Ibnu Taimiyyah menjawab : "Diamlah engkau!, adakah hina Nabi Musa yang menadatangi istana Firaun?, Aku datang bukan untuk meminta sesuatu pemberian daripada engkau kecuali untuk menuntut keadilan kepada orang yang telah engkau zalimi"
Tulisan Imam 'Ali bin Atiyyah bertujuan untuk memperingati agar ulama menjaga kemuliaan ketinggian dan kejernihan ilmu yang ada pada mereka. Sehingga mereka melihat tugas mereka memimpin ummah dalam soal ilmu syariat dan bimbingan kerohanian itu lebih tinggi, lebih mulia dan mengatasi kedudukan dan penghormatan yang ada pada pemimpin politik.
Allah memilih orang-orang yang istimewa untuk dijadikan ulama yang sebenar, mereka adalah pewaris anbiya dan pemegang amanah Rasul. Sedangkan Allah membiarkan Firaun, Namrud dan pemerentah yang zalim lain untuk menjadi penguasa dan pemimpin siyasah. Hanya daripada kalangan muslim yang Allah muliakan sebagai ulama, tetapi orang kafir mulhid pun diizinkan Allah untuk menjadi pemimpin.
Imam al-Ghazali RH menyebut tentang pembahagian tugasan siyasah:
-siyasah para anbiya: untuk mentadbir dan memimpin golongan khawas dan orang awam dalam soal aqidah dan ibadat.
-siyasah para ulama: untuk memimpin golongan khawas yang menuntut ilmu agama dan membersihkan jiwa.
-siyasah salatin:untuk memimpin orang awam.
Di zaman sekarang, ulama seperti Syaikh Dr.Abdul Halim Mahmud menyebut terdapat dua bentuk kekhalifan dalam Islam, (1) khilafah dari segi siyasah yang terhenti dengan runtuhnya khalifah Uthmaniyyah (2) khilafah dari segi ilmu dan kefahaman agama yang masih kekal dengan adanya ulama muhaqqiqin, antara yang sepatut menjadi simbolnya adalah Syaikh al-Azhar.
Kalaulah dahulunya peribadi yang terbaik dari segi agama (tidak semestinya yang paling banyak ilmu dan maklumatnya tentang ajaran agama) dan paling layak memimpin telah dilantik menjadi pemimpin ummah, yang kita lihat pada susuk Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina Umar, Sayyidina Uthman, Saiyyidina 'Ali, kemudian pada susuk Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz pada zaman Umayyah, kemudian susuk tubuh pemimpin siyasah (umara) dan ulamanya telah terpisah.
Bagaimanapun secara keseluruhan pemerentah muslim yang terbilang di sepanjang zaman sentiasa menjalani kehidupan secara beragama, memanafaatkan kehadiran ulama dan solihin dalam ajaran dan doa mereka, memimpin tentera ke medan jihad serta terlatih dalam strategi perang, menitikkan beratkan kebajikan rakyat dan mempunyai hemmah yang tinggi terhadap penyebaran ilmu dan penghayatan agama.
Hal yang hampir serupa dibincangkan oleh Syaikh Said Hawwa tentang maksud Jamaah, yang disebut di dalam beberapa hadith yang wajib kita mengabungkan diri, iaitu jamaah ummah di bawah khalifah muslimin ketika ianya masih wujud dan juga jamaah ummah, dalam rupa mazhab ahlu as-sunnah di bawah imam-imam mujtahidin. Syaikh Said Hawwa juga menekankan kepentingan usaha bagi menghidupkan balik institusi pemerentah Islam sebagaimana yang diisyaratkan dalam syariat kita yang luhur itu.
============================================
Imam 'Ali bin 'Atiyyahal-Hamawi juga menyebut maksud perlaksanaan syariat oleh pihak pemerentah adalah:
1-Perkara ad-Daruriyyat: iaitu kesejahteraan agama, jiwa-raga, aqal fikiran, keturunan dan harta. Inilah perkara yang terpenting, di atas maksud inilah berdirinya urusan agama dan urusan dunia. Syara telah menjaga perkara ini dari dua aspek, (1)mewujudkan perkara ini dan melaksanakannya serta (2)melestarikan perlaksanaannya.
2-Perkara al-Ha jiyyat: perkara yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan kehidupan mereka, mengangkat kesulitan dan kepayahan daripada mereka, perkara ini berada di tempat kedua selepas perkara ad-Daruriyyat. Keseluruhan cabang hukum syara telah meringankan kesulitan untuk tidak membebani manusia, serta untuk memudahkan perjalanan kehidupan. Ini meliputi dalam urusan perlaksanaan ibadat, adat kebiasaan , muamalat dan hukuman jinayah.
3-Perkara at-Tahsi nat atau al-Kamaliyyat: iaitu perkara yang berhubung dengan menjaga maruah (harga diri), dan menjaga susila adat kebiasaan. kemuliaan akhlaq, Sekiranya perkara ini hilang, tiadalah ianya merosakkan kehidupan, tetapi kehidupan akan menjadi jelek pada pandangan orang-orang yang beraqal, Ianya menduduki tempat ketiga . Kita akan temuinya dalam perkara ibadat, muamalat, hukuman jinayah dan adab kebiasaan , Allah juga mesyariaatkan selepas perkara-perkara demikian itu adalah mukammalat li ad-Daruriyyat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan asas), mukammalat li al-Ha jiyyat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan keperluan)dan mukammalat li at-Tahsinat (penyempurnaan bagi tuntutan-tuntutan keelukkan)
==========================
Pencatit ini sangatlah berharap kita dapat memahami perkataan Siyasah, kefahamannya dan tauladan perlaksanaannya berdasarkan susur-galur kefahaman yang dibawa oleh ulama ummah ini zaman berzaman. Pendekatan asas kefahaman kita sepatutnya adalah secara textual, kemudian melihat waqi' semasa dan setempat untuk memahami keadaan dan mencari peluang bagi melaksanakan kefahaman yang dibina di atas dasar textual itu setakat yang termampu. Pendekatan kita sepatutnya bukannya pendekatan kontekstual, iaitu pendekatan yang asasnya mengambil kira konteks semasa dan setempat lalu dicari nas-nas (jika ada keperluan) untuk menjadi justifikasi kepada pendekatan yang akan diambil.
Kadang-kadang kita juga tertanya-tertanya kenapa golongan yang menerima pendidikan formal secara agama sangat menuntut agar mereka dinobat dan ditabalkan menjadi pemimpin siyasah. Dari manakah mereka bina kefahaman ini? Bukankah syarat menjadi pemerentah yang disepakati di kalangan ulama itu adalah seorang yang mempunyai sikap adil?, Sementara syarat penguasaan ilmu itu pula menjadi perkara khilaf di kalangan ulama.Bahkan tahap ilmu pun terdapat perbezaan, adakah perlu seorang pemimpin itu mujtahid yang mampu mengintinbatkan hukum dari nas secara langsung atau seorang alim yang muqallid?.
Tetapi sekiranya kita berpegang kepada perlunya sikap adil, maka seorang yang berbohong secara terang-terangan, mentohmahkan orang lain tanpa sebarang baiyyinah, berjanji palsu dan mengkhianati amanah adalah dikira sebagai seorang yang tidak mempunyai sikap adil, walaupun dia mempunyai latar belakang pengajian agama atau memegang jawatan keagamaan sekalipun, maka dari segi feqahnya dia tidak layak diangkat sebagai pemimpin. Kecuali apabila keseluruhan masyarakat telah fasiq, maka yang kurang fasiq itulah yang mempunyai kelebihan.
Diharap pihak berpendidikan agama akan mencerahkan kita dengan ajaran suci agama tanpa kompromi walaupun seakan meminggirkan kepentingan golongan mereka sendiri di dunia ini, dan bukannya menjual-beli ajaran-ajaran agama (apa lagi mengikut tafsiran sendiri dan mempunyai kepentingan tertentu) dengan harga dan nilai dunia yang murah serta akan binasa ini.
Wednesday, May 20, 2009
ADAB BERMASYARAKAT DALAM ISLAM
Hadith ke 13 Dari Bab Menitik-beratkan Kehormatan Orang Islam
Abu Hurairah RD yang berkata yang Rasulullah SAW telah bersabda:
"Seorang muslim adalah saudara bagi orang muslim yang lainnya. dia tidak mengkhianatinya, dia tidak membohonginya, dia tidak membiarkannya. Setiap (kehormatan) orang muslim adalah haram (untuk dicerobohi) oleh orang muslim yang lain: baik dari segi kehormatan maruahnya, hartanya, darahnya.
Taqwa itu berada di sini (iaitu di dalam hati di dada). Memadailah jahat seseorang itu dengan dia menghinakan saudaranya yang muslim" [riwayat Imam at-Tarmizi]
(Hadith yang lafaznya hampir sama, hanya dengan tambahan di awalnya 'jadilah kamu hamba-hamba Allah,..."telah diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Imam an-Nawawi RH di dalam kitab al-Azkar telah memberi komentar tentang pengajaran dari hadith ini dengan katanya: "Tiada yang lebih besar ('azamu) manafaatnya dan lebih banyak faedahnya daripada hadith ini".
Pengajaran Hadith:
Tidak mengkhianati: khianat lawannya amanah. Bermaksud amanah dalam perkataan dan amalan perbuatan terhadap sesama muslim.
Tidak membohonginya: tidak memberitahu dia dengan sesuatu yang menyalahi kenyataan yang sebenar tanpa maslahah syar'ie.
Tidak membiarkan: tidak membiarkannya tanpa bantuan secara yang syar'ie. Membiarkan seorang muslim begitu sahaja adalah perbuatan haram yang dahsyat semada dalam perkara duniawi umpama kita mempunyai upaya untuk membantu orang yang kena zalim, atau menghindari kezaliman yang ada pada seseorang, hendaklah dilakukan, atau dalam perkara keagamaan seperti memberi nasihat agar ditinggalkan perbuatan mengumpat dan mencerca muslim yang lain.
'Irdi (yang diterjemah oleh pencatit ini sebagai maruah) :disyarahkan oleh Imam Muhammad Ibn 'Ijlan dalam Dalilu al-Falihin sebagai 'objek yang menjadi tempat pujian dan cemuhan' . Atau dalam penggunaan Inggeris semasa sebagai dignity,honor, reputation. Nama baik, harga diri
yuhaqqir akhahu al-muslim (menghina saudaranya yang muslim): Ini adalah perbuatan dosa dan jenayah yang amat besar. Rasulullah SAW bersabda: "Tiada masuk syurga bagi sesiapa yang ada dalam hatinya sebutir zarah dari rasa takabbur". Orang yang memandang hina terhadap orang lain itu sudah tentu merasa dirinya mempunyai kelebihan terhadap orang yang dihinanya.
Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya, semada dari segi maruah, atau harta, maka hendaklah dia meminta dihalalkan sebelum datangnya hari yang mana tiada (manafaat) dinar mahupun dirham, sesungguhnya akan diambil dari (catitan) kebajikannya (untuk diberi kepada yang dizaliminya), sekiranya dia tidak mempunyai kebajikan maka diambil dari kejahatan orang yang dizalimi itu lalu ditambah kepada (catitan)kejahatannya [Riwayat Imam Bukhari-Imam Muslim]
Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu siapakah orang muflis (bangkrap) ?
Lalu sahabat menjawab: Orang muflis pada kami adalah orang yang tidak mempunyai dirham atau harta.
Rasulullah SAW bersabda: orang muflis daripada ummah-ku adalah orang yang datang pada hari Qiyamah dengan (membawa pahala) sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga telah menyakiti perasaan orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini, . Maka diambil daripada catitan kebajikannya (untuk dibayar tebusan kezalimannya terhadap orang yang dizaliminnya), apabila habis amalan kebajikannya sebelum selesai melunaskan apa yang berkewajiban atasnya, maka diambil daripada catitan kesalahan-kesalahan mereka dan dicampakkan ke atas (catitan)nya, kemudian diapun dicampakkan ke dalam neraka [riwayat Imam Muslim]
Rasulullah SAW dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlaq. Nah, inilah dia antara akhlaq-akhlaq yang wajib kita realisasikan dalam kehidupan kita, inilah antara tujuan kedatangan Islam, inilah juga persoalan yang kita akan hadapi selepas mati.
Apalah nilai pahala sembahyang yang banyak rakaat, puasa yang lama masanya, haji dan umrah yang diulangi, penguasaan ilmu dan hafazan matan-matan kitab sekiranya semua kebajikan itu hanya akan diserahkan kepada orang-orang yang kita zalimi, kita sakiti, kita cerca, kita pandang hina kepada mereka? Apakah ertinya manafaatnya kita menjaga tingkah laku zahir yang tertib, tutur kata yang lunak sekiranya amalan-amalan kejahatan orang yang kasar tingkah laku, kesat bahasanya ,kurang ilmunya akan dicampakkan ke atas pundak kita kerana kita menzalimi mereka?
Hadith ini tidak mensasarkan golongan yang menunaikan sembahyang secara yang tidak sempurna rukun dan sunnatnya, atau berpuasa sekadar lapar dan dahaga, atau bersedeqah untuk menunjuk-nunjuk, bahkan amalan mereka semuanya tertulis kebajikan. Hanya kebajikan itu akan terserah kepada orang lainnya!
Rasulullah SAW mengisyratkan taqwa kepada apa yang ada di dalam dada. Isyarat ini sangat penting untuk kita fahami, mulia hina seorang itu adalah kerana taqwanya. Yang paling mulia di kalangan kita di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa . Jangan diremehkan seseorang yang lain kerana kelebihan yang kita miliki secara zahir seperti rupa paras dan harta atau yang kita miliki secara maknawi seperti ilmu, keturunan dan kedudukan. Sedangkan hahap taqwa itu adalah rahsia seseorang yang hanya Allah mengetahuinya
Marilah kita amalkan isi pengajaran hadith ini terutama di zaman yang penuh kefasadan ini. Bagaimanakah kita berhasrat mahu mengislahkan alam yang luas di luar diri kita sekiranya alam yang kecil di dalam diri kita pun kita tidak punya iradah untuk meluruskannya!
Bagaimana kita dakwa kita berjuang untuk menegakkan dan melaksanakan hukum Allah di atas bumi yang sedang dikuasai oleh pihak-pihak lain . sedangkan kita tidak punya kesungguhan untuk melaksanakan hukum-hukum agama ke dalam kerajaan negeri dalam dada kita?. Bagaimana kita akan mempunyai kekuatan dalam melawan kerajaan zalim yang tidak melaksanakan undang-undang Allah, sedangkan diri dalaman kitapun diperentah oleh kerajaan' yang juga kuat meningkari perentah Allah? Atau kita sekadar membuat dakwaan bohong?
Marilah kita bersihkan hati, bersihkan lidah, bersihkan akhlaq agar kita dapat datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera
Monday, May 18, 2009
Warkah Terbuka Untuk Al-Fadil Dato' Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi
semoga Allah menyuluh kehidupan kita dengan cahaya hidayah, serta memperteguhkan pendirian kita di atas kebenaran, dan mematikan kita di atas agama-Nya dan dikandung keredaan-Nya.
Saya berdoa kepada Allah agar disampaikan warkah saya ini ke ribaan al-fadil Ustaz. Semoga ianya dikira Allah sebagai memenuhi saranan 'ad-dinu an-nasihah'; antaranya ialah nasihah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam.
Berita tentang al-Fadil Ustaz saban hari memenuhi dada-dada akhbar pada akhir-akhir ini. Hampir semua akhbar, semada Melayu atau Inggerisnya (yang Cina dan Tamil, saya tidak tahu) dan blog penyokong kerajaan menyiarkan kenyataan al-Fadil. Akbar-akhbar arus perdana yang biasanya sinis kepada perjuangan PAS dan memandang juling kepada golongan berpendidikan agama telah bertukar sikap, seolah-olah akhbar mereka mahukan PAS yang tulin, PAS yang kukuh dibawah pimpinan ulama. Al-Fadilpun telah mengambil peluang yang dibukakan ini dengan sebaiknya. Bukannya senang untuk mendapat peluang sebegini, mungkin dalam 20-30 tahun lagipun belum tentu dapat.
Jelas dari segala yang dilapurkan oleh akhbar-akhbar, yang pokoknya al-fadil Ustaz mahukan PAS dipimpin oleh presiden dan timbalan presiden yang berkelas ulama. Yang tersiratnya, begitupun ianya agak jelas sebagaimana yang disebut oleh wartawan NST, Zubaidah Abu Bakar pada 18hb Mei., al-fadil mahu menyekat individu tertentu dari dipilih sebagai pemimpin no.2 PAS. Lalu al-fadil Ustaz telah memberi takrifan ulama sebagai individu yang mendapat pendidikan formal. minimanya STU atau STAM dalam bidang agama.
Al-fadil Ustaz bimbang sekiranya PAS diserahkan kepada individu bukan ulama, maka perjuangan PAS mungkin akan menyeleweng, kerana mereka ini tidak memahami ajaran-ajaran Islam secara memadai.
Kemudian dalam keghairahan al-Fadil mempromosikan gagasana yang presiden & timbalan presiden mesti ulama ini, al-fadil juga telah mendedahkan perilaku buruk golongan yang bukan ulama yang mahu merebut kuasa dalam PAS, mereka telah melakukan amalan rasuah. Mereka mengadakan jamuan dan membahagi-bahagikan baju, dan al-fadil Ustaz telah dipetik berkata 'maka mereka boleh menanglah'.
Apabila suasana menjadi agak panas di kalangan penyokong PAS dan media massa kesan-akibat kenyataan al-fadil Ustaz itu, al-fadil Ustaz mengatakan yang sebenarnya al-Fadil Ustaz tidak memaksudkan kepada sesiapa, ianya sekadar peringatan agar perbuatan buruk dapat dihindar. Kemudian ada pihak yang mendesak agar al-Fadil Ustaz dipanggil oleh PAS pusat untuk memberi keterangan dan pertanggung-jawaban terhadap kenyataan tersebut. Al-Fadil membuat kenyataan akhbar yang al-fadil Ustaz tidak gentar, terutama memandangkan al-fadil Ustaz telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai ketua dewan ulama PAs dan juga usiapun sudah tua.
Al-Fadil Ustaz sudah tentu faham, sudah tentu sedar dengan keinsafan yang sebenar-benarnya yang al-fadil Ustaz berkedudukan sebagai ketua dewan ulama; imej ketua ulama itulah yang memberikedudukan kepada al-fadil Ustaz. Ulama yang dianggap masyarakat sebagai golongan yang bukan setakat memahami ajaran Islam, bahkan golongan yang terpamir daripada tingkah-laku mereka tentang kebenaran dan keindahan ajaran Islam, selayak mereka itu sebagai pewaris nabi. Ulama itu jugalah yang al-fadil Ustaz promosikan sebagai golongan yang mesti memimpin dan berada di atas dalam organisasi; ulama yang akan terserlah kewibawaan mereka sekiranya mereka diberi peluang untuk memimpin.
Maka mata dan telinga ahli masyarakat melihat. mendengar dan mungkin menilai penonjolan tingkah-laku dan pertuturan al-Fadil Ustaz sebagai model ulama yang dicanang oleh al-fadil sendiri sebagai pemimpin yang mesti dikeataskan. Al-Fadil Ustaz bukan lagi bercakap di atas kapasiti Ustaz Mat al-Iraqi secara peribadi, tetapi al-fadil Ustaz mewakili ulama PAS seluruhnya, kerana al-fadil Ustaz adalah ketua ulama.
Adakah damir al-Fadil Ustaz jelas dan tenteram dalam membuat tuduhan terhadap saudara-saudara dari parti sendiri (sudah tentu seagama dan sebangsa) baik yang tersiar di dalam akhbar mahupun yang al-fadil Ustaz gossip-gossip secara private? Adakah al-fadil Ustaz sudah jenuh menasihati golongan yang degil ini secara senyap-senyap, tetapi mereka keras hati dalam kedegilan?
Adakah ilmu dan kesedaran agama yang ada pada al-fadil Ustaz tidak mampu menahan al-Fadil Ustaz dari menyebar berita-berita buruk yang tidak tentu kesahihahan tentang orang lain ?
Apakah tujuan serta maksud al-fadil Ustaz mengatakan pihak yang mengadakan jamuan dan membahagi-bahagikan baju akan menang?, bukankah ini boleh menunjukkan betapa rendah nilai-budi ahli-ahli dan perwakilan PAS pada pemahaman al-fadil Ustaz sehingga pada al-fadil mereka akan memenangkan seseorang calun kerana hidangan makanan dan pakaian yang diberi?.Aduhai begitu rendahnya kesedaran moral ahli-ahli PAS, jauh lebih rendah dari ahli UMNO sekiranya kenyataan al-Fadil itu difahami dari sudut ini.
Adakah al-fadil Ustaz terlupa janji azab dalam al-Quran dan hadith yang begitu banyak di atas kerja-kerja mencarik maruah orang lain, sehingga al-fadil sanggup melakukannya?
Adakah al-Fadil Ustaz terlupa kepada pesanan Allah agar kita berlaku adil dan bertindak benar walaupun ke atas golongan yang kita benci? Itupun sekiranya ada orang-orang yang tertentu yang al-fadil Ustaz tidak senangi. Sekiranya begitu, adakah ini tidak termasuk dalam 'ghurur' dan takabbur, iaitu apabila kita memandang rendah kepada orang lain, sedangkan kedudukan rendah tingginya seseorang itu di sisi Allah ditentukan oleh taqwa mereka?
Adakah al-fadil Ustaz terlupa yang golongan salaf dan ulama terkemudian memberi takrif ulama itu sebagai golongan yang takutkan Allah?, Tanpa perasaan takutkan Allah, maka mereka pada hakikatnya bukan ulama walaupun sebanyak mana ilmu yang mereka miliki. Ulama salaf telah memperingatkan kita agar berwaspada dengan ulama su', ulama dunia yang mempedayakan kita seumpama tipu daya dajjal.Mereka menggunakan agama sebagai modal untuk mendapat habuan yang sementara, mereka menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Siapakah pula yang dapat memberi jaminan yang pimpinan individu berpendidikan agama yang paling minima-nya STU dan STAM atau berijazah sekalipun akan memastikan perjuangan berada di atas landasan yang benar?
Adakah al-fadil Ustaz tertinggal daripada menyebut tujuan mengetahui al-Quran dan tujuan mempelajari agama adalah untuk memupuk sifat-sifat rabbabi di dalam diri sendiri dan kehidupan kita?, Bukan untuk berbangga diri di atas golongan yang tidak berpendidikan, bukan untuk menundukkan orang lain dalam perbahasan, bukan untuk menarik sokongan dari masyarakat luas, bukan mahukan kedudukan tinggi kerana perkiraan dunia
Bagaiamana boleh al-fadil Ustaz sampai hati dan tergamak untuk mengatakan yang al-Fadil Ustaz tidak gentar menghadapi tindakan disiplin parti memandangkan al-fadil Ustaz akan melepaskan jawatan dan sudah tua . seakan-akan al-Fadil memberi isyarat yang al-Fadil tidak kisah lagi tentang kesejahteraan parti kerana al-fadil Ustaz sudah tidak berada dalam saf pimpinan parti. Sepatutnya kita mahu memastikan ketika kita meninggalkan parti , parti itu semakin kuat, utuh dan sejahtera. Kita takut kita akhiri hari-hari akhir dalam parti dengan catitan yang buruk, sebagaimana kita takut sangat-sangat mengakhiri hari-hari akhir kehidupan kita dengan su'u al-khatimah. Kita berdoa semoga Allah memasukkan kita dalam sesuatu suasana itu dengan benar dan Allah keluarkan kita dari suasana itu pun dengan benar. Kita tidak mahu kita keluar dengan catitan yang buruk di sisi manusia, apa lagi di sisi Allah.
Saiyyidina Ibrahim berdoa agar supaya baginda diingat dengan sebutan yang baik benar di kalangan manusia yang datang terkemudian, Allah menyebut yang Saiyyidina Musa dan Saiyyidina Harun kekal dengan sebutan yang baik pada masyarakat yang datang terkemudian. Seingat saya , hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang membuat kenyataan yang beliau tidak kisah tentang pandangan dan fahaman orang lain terhadap beliau selepas beliau meninggal kelak.
Masa dan peluang untuk menjernihkan suasana masih ada di pihak al-Fadil Ustaz. Setiap anak Adam membuat silap-salah, sebaik-baik yang membuat salah adalah orang yang bertaubat daripada kesalahannya. Terdapat perkara yang rupa zahirnya seakan kebajikan dan keutamaan tetapi ia menjerumuskan empunyanya kepada kemurkaan Allah. seperti kebaikan dan keutamaan yang diselimuti oleh takabbur, riya. sum'ah, umpama Iblis. Ada perkara yang rupa zahirnya kesilapan dan kelemahan, tetapi ianya membawa kasih-sayang daripada Allah, seperti kesalahan yang diikuti oleh rasa remuk hati, keinsafan dan taubat, umpama Saiyyidina Adam.
Saya memohon agar al-fadil Ustaz sudi memaafkan kekasaran bahasa saya, saya lakukan catitan ini dengan rasa kasih dan mengharapkan yang baik bagi al-fadil Ustaz ,saya sangat berharap sekiranya saya melakukan kesilapan, maka akan ada yang sudi menegur saya sebelum saya terseleweng jauh.
Semoga kita semua dapat menghadap Allah dengan hati yang sejahtera pada hari yang tiada memberi manafaat oleh harta-benda dan anak-pinak.
sekian wasallam
Abu Bashir
24jamadil al-awwal 1430.
Wednesday, May 13, 2009
Petikan daripada buku Wasiat Zulkifli Muhammad
Komentar Oleh Amaluddin Darus. Pustaka Abad, Kuala Lumpur 1981.
Selain daripada menyalin ucapan terakhir Allahyarham Ustaz Zulkifli Muhammad yang disampaikan pada 6 mei 1964, Amaluddin Darus telah membuat komentar tentang perjalanan PAS di zaman Kerajaan Campuran-kemudian Barisan Nasional dan selepasnya, antara lain beliau mencatat pada m/s 37-40:
Malangnya, perjuangan PAS bertambah merosot, dan setelah melalui suasana selepas pilihanraya 1969 yang diikuti dengan pengisytiharan darurat dan lahirnya Majlis Gerakan Negara, bermulalah pinang-meminang di antara UMNO dan PAS bagi maksud akan mengadakan kerajaan campuran.
Justera kerana istiadat pinang meminang ini dijalankan secara bisik-bisik di dalam dan di luar negeri, maka sekalipun saya pada masa itu (1972?) berkedudukan sebagai ahli Jawatankuasa Agung PAS, Namun secara resmi baru diberitahu yaitu apabila segala syarat dan rukunnya telah dibincangkan untuk mengahwinkan PAS dengan Perikatan, dengan berselindung di sebalik kata-kata perpaduan dan persefahaman di antara Melayu dengan Melayu, yaitu antara PAS dengan UMNO.
Semuanya telah dirundingkan. Dato Mohd.Asri telah tetap menjadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan. Jawatankuasa Agung PAS dipanggil bersidang di rumah Dato Asri, di Petaling Jaya.
Pendapat yang telah saya utarakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS itu ialah:
a) Rancangan ini adalah perangkap ke arah menghancurkan perjuangan Islam dan PAS sendiri di dalam negara ini
b) Bagaimanapun kerana perkara ini telah dibincangkan dan telah dipersetujui awal-awal lagi di luar keputusan J.K.A, saya dapat bersetuju pada dasarnya, kerana di Malaysia memang tidak ada sebuah partai politik, seperti yang ada, dapat memerentah kerajaan pusat tanpa campuran.
c) Kerajaan campuran Perikatan-PAS hendaklah setakat kerajaan pusat, dan tidak melibatkan kerajaan negeri Kelantan
d) Oleh kerana PAS sebuah partai yang kedua besar pengaruhnya sesudah Partai Perikatan di Semenanjung, PAS mesti mendapat tidak kurang dari dua jawatan menteri, yang mana satu daripadanya hendaklah Menteri Penerangan. Adapun yang satu lagi menteri apa-apapun tidak mengapa
e) Dato Mohd Asri, selaku Yang Dipertua Agung PAS, hendaklah tidak menyertai kabinet, yang akan menjadikan beliau berada di bawah Tun Ab. Razak yang menjadi Perdana Menteri, sebagai Ketua Kabinet. Dato Asri hendaklah tetap sebagai Menteri Besar Kerajaan PAS di Kelantan, di mana dengan demikian tarafnya sama dengan Tun Razak sebagai Ketua Parti.
f) PAS hendaklah menyusun diri kembali untu menjadikan dirinya partai Muslimin yang berpolitik, sebagai ganti kepada bersikap seperti pari politik melulu.
g) PAS hendaklah mengemaskan organisasinya supaya pada masa pilihanraya yang akan datang, akan bertanding bersendirian, di mana sekiranya ditakdirkan oleh Allah, PAS menadpat sejumlah kerusi di Malaysia Barat dan di Malaysia Timur yang menjadikannya partai yang terbanyak ahli-ahli di dalam Dewan Rakyat, maka pada masa itu pembentukan kabinet dan Perdana Menteri sudah tentu menjadi hak PAS untuk bertindak ke arah membentuk kerajaan campuran, di mana orang PAS yang menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Demikian di antara lain perkara-perkara yang yang telah saya utarakan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS. Sebelum kerajaan campuran dilahirkan
Suara saya seperti ,menuang air di daun keladi juga!
PAS mula berpecahan, maka akhirnya rancangan memecah-belahkan PASpun mula memperlihatkan taringnya,
Apa yang kita dapat perhatikan daripada catatan Amaluddin Darus untuk dijadikan iktibar adalah, antara lain:
1- Pada peringkat awal, muzakarah sesama PAS atau muzakarah perbincangan tentang isu Kerajaan Campuran (coalition government) dengan wakil UMNO telah dimesyuaratkan oleh kumpulan tertentu sahaja dalam PAS, Tidak semua ahli jawatankuasa dimaklumkan tentang muzakarah tersebut sehingga keputusan telah hampir dimuktamadkan. Dikatakan motif muzakarah yang telah diadakan itu adalah demi perpaduan dan kepentingan ummat Islam dan Melayu
2- Pada asalnya PAS tidak bercadang untuk menjadi komponen dalam Kerajaan Perikatan, bahkan tujuan asalnya adalah untuk membentuk Kerajaan Campuran (Coalition government) yang merupakan itu adalah kerjasama di antara PAS dengan Parti Perikatan.
3- Disebabkan masalah teknikal dan praktikaliti, konsep Kerajaan Campuran yang diluluskan oleh Muktamar telah bertukar wajah, pada tahun 1974 PAS telah sekadar menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional. Amaluddin Darus mencatitkan pendirian beliau: (m/s:49)
“Saya mematuhi arahan Rasulullah s.a.w. Maka saya bersabar sekalipun tidak menyukai kerajaan cara campuran yang merupakan perangkap maut kepada PAS. Tetapi bila PAS diheret masuk ke dalam Barisan nasional dalam tahun 1974, maka ceritanya adalah berlainan sekali dari cerita campuran (coalition Goverment)
Yang Demikian saya mengambil sikap seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w yangbermaksud: Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku, dan bulan pada tangan kiriku, demi Allah, aku tidak akan tingla seruanku ini”
4- Percubaan dan pengalaman PAS itu telah menimbulkan perpecahan di kalangan ahli PAS sendiri.
5- Pada pilihanraya 1969. jumlah kerusi yang PAS berjaya menangi semakin berkurangan, beserta peristiwa hitam 1969 merupakan antara pertimbangan bagi sebahagian pemimpin PAS untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO dan Perikatan.
6- PAS akhirnya disingkir dari Kerajaan BN, kehilangan kerajaan di Kelantan dan memerlukan masa yang panjang untuk memulehkan kekuatan dan memenagi kepercayaan rakyat untuk berpengaruh semula.
7- Renungkan apa yang telah terjadi itu, walaupun peristiwa sejarah itu telahpun berada di luar keupayaan kita untuk membaikinya. Hanya janganlah hendaknya dijerumusi lubang yang sama berulang-kali. Bagaimanakah pula sikap pemimpin dan penyokong PAS dengan peristiwa yang sedang mereka lakarkan pada hari ini?.
Fikir, fikirkan, sementara esuk masih ada.
8-
Ciri-Ciri Pemilihan Penyandang Jawatan Mengikut Ajaran Islam
Petikan daripada Tulisan Imam Ibnu Taimiyyah[1] Dari Kitabnya:
As-Siyasatu as-Syar‘iyyatu fi Islahi ar-Ra’ie wa ar-Ri’ayyah[2]
Apabila dia telah mengetahui hal yang demikian ini (soal perlantikan penjawat), tiada patut dia melantik (seorang penjawat) kecuali orang yang paling layak. Memang kadang-kadang tidak terdapat orang yang sempurna kelayakan untuk sesuatu jawatan itu, maka hendaklah dipilih orang yang paling sesuai bagi setiap jawatan mengikut keadaannya. Sekiranya dia melakukan sedemikian selepas berijtihad dengan sempurna, dia telah mengisikan jawatan tersebut dengan sebenarnya, melaksanakan amanah dan mendirikan kewajiban dalam perkara ini. Layaklah dia digolongkan dari pemimpin-pemimpin yang adil dan saksama di sisi Allah, walaupun (mungkin sahaja) akan terdapat kekurangan pada sebahagian perkara yang berpunca dari sebab-sebab lainnya pula. Allah berfirman:
“Oleh itu bertaqwalah kepada Allah sedaya upaya” [at-Taghabun:16]
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”
[al-Baqarah:286]
Demikian juga firman-Nya tentang jihad:
“Oleh itu berperanglah pada jalan Allah , engkau tidak diberati kecuali sekadar kewajiban dirimu sendiri, dan beri semangatlah kepada orang yang beriman (untuk berjihad)”
[an-Nisa:84]
Allah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah engkau menjaga diri kamu sendiri. Tiada akan memberi mudarat kepada kamu oleh orang-orang yang sesat apabila kamu sendiri telah memperolihi hidayah” [al-Maidah:105]
Sesiapa yang telah melaksanakan kewajibannya bererti dia telah mendapat petunjuk.
Rasulullah bersabda:
Sekiranya aku memerentah kamu dengan sesuatu urusan,maka laksanakannya sedaya-mungkin”. [diriwayatkan dalam Bukhari-Muslim]
Bagaimanapun sekiranya terdapat pada urusan itu kelemahan yang mampu dielak atau (berlaku) pengkhianatan, maka dia akan menerima akibatnya. Sepatutnya dia perlu mengetahui orang yang paling layak untuk menyandang setiap jawatan..
Kekuasaan itu mempunyai dua rukun: kekuatan (keupayaan) dan amanah sebagaimana dalam Firman Allah:
Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja itu adalah seorang yang kuat serta amanah. [al-Qasas:26]
Pemerentah Masir telah berkata kepada Saiyyidina Yusuf ’alaihi salam:
Sesungguhnya engkau pada hari ini mempunyai kedudukan yang teguh serta dipercayai di sisi kami [yusuf:54]
Allah berfirman tentang sifat Saiyyidina Jibrail:
Sesungguhnya Ia (al-Quran) dituturkan oleh Utusan yang mulia(Jibrail). Yang memiliki kekuatan lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah pemilik Arasy. Seorang yang ditaati serta dipercayai (oleh para malaikat) [Takwir:19-21]
Kekuatan bagi setiap pimpinan itu mengikut kesesuaiannya. Kekuatan pada pemimpin perang adalah kekuatan keberanian hati dan kemahiran dalam teknik perang serta strategi peperangan. Kerana peperangan adalah percaturan strategi, termasuklah keupayaan menggunakan kemahiran tempur: daripada memanah, melempar, memukul, menunggang kuda, menyerang, berundur dan seumpamanya sebagai yang Allah berfirman:
Dan bersiap-siagalah untuk menghadapi mereka (musuh) dengan sehabis daya daripada segala jenis kekuatan dan daripada pasukan berkuda, untuk menakutkan dengan perkara itu musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu [al-Anfal:60]
Rasulullah bersabda:
Panahlah dan naikilah tunggangan, aku lebih suka kamu memanah daripada kamu menunggang (ketika berperang). Sesiapa yang telah belajar memanah, kemudian melupakannya, maka dia bukan daripada golongan kami
Dalam riwayat yang lain:
Maka ia (kebolehan memanah yang dilupai itu) adalah nikmat yang dikufuri [Muslim]
Kekuatan pada memerentah di kalangan manusia adalah kekuatan pengetahuan tentang keadilan seperti mana yang telah ditunjukkan oleh al-Kitab dan Sunnah, termasuk juga keupayaan menguat-kuasa undang-undang.
Amanah pula dimaksudkan kepada sifat takutkan Allah, dan tidak menjual ayat-ayat-Nya dengan harga yang murah (habuan dunia), meninggalkan takut kepada sesama manusia. Inilah tiga sifat yang dituntut Allah ke atas setiap orang yang memerentah manusia. Allah berfirman:
Dan jangan kamu takutkan sesama manusia, takutlah kepada Aku (Allah), dan jangan jangan jual ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (habuan dunia), dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir [al-Maidah:44]
Untuk ini, Rasullullah bersabda:
Para qadi itu terbahagi tiga, dua golongan dalam neraka dan satu golongan dalam syurga. Adapun seorang lelaki yang mengetahui kebenaran dan berhukum bertentangan dengannya, maka dia di dalam neraka. Dan seorang lelaki berhukum di kalangan manusia di atas kejahilan, maka dia dalam neraka. Dan seorang lelaki yang mengetahui kebenaran dan berhukum dengannya, maka dia di dalam syurga [diriwayatkan oleh Ahlu as-Sunan]
Perkataan ‘qadi’ adalah gelaran bagi setiap orang yang mengadili (sekurang-kurangnya) antara dua orang serta memutuskan hukum antara keduanya, semada dia adalah seorang khalifah, atau seorang sultan, atau timbalannya, atau wakilnya atau orang yang berjawatan qadi mengikut syara’, atau timbalannya, bahkan sehingga pada seorang yang mengadili di antara kanak-kanak untuk memilih pemenang pertandingan tulisan cantik sekalipun. Demikianlah yang disebut oleh para sahabat Rasulullah, dan ianya yang jelas.
Fasal Ke Tiga: Jarangnya Berhimpun Antara Sifat Amanah dan Kekuatan (upaya) Pada Manusia Yang Sama.
Pergabungan sikap amanah dan kekuatan pada seseorang adalah jarang ditemui, kerana itulah Saiyyidina Umar bin al-Khattaab berdoa:
Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kebiadaban orang yang fajir, dan kelesuan orang yang thiqah (yang dipercayai keikhlasannya)
Maka yang dipertangggung-jawabkan tugas setiap pimpinan itu adalah orang yang paling layak mengikut kesesuaiannya. . Apabila mahu dipilih di antara dua orang lelaki, seorangnya lebih beramanah, dan seorang lagi lebih mempunyai lebih kebolehan (kekuatan), maka hendaklah diutamakan mana yang lebih bermanafaat (berkesan) bagi tugasan tersebut dan paling kurang memberi mudarat dalam perkara tersebut.
Dalam pimpinan perang diutamakan seorang yang gagah dan berani, walaupun dia seorang fajir (akhlaq yang buruk) berbanding dengan seorang yang yang daif dan lemah walaupun dia seorang yang beramanah. Sebagaimana apabila ditanya kepada Imam Ahmad:
Yang manakah satu di antara dua lelaki yang patut diangkat menjadi ketua perang, seorangnya gagah tetapi fajir, atau seorang soleh tetapi daif, di belakang siapakah di antara keduanya yang sepatutnya mereka berperang?
Imam Ahmad menjawab:
Adapun bagi orang fajir yang gagah itu, kegagahannya akan bermanafaat kepada muslimin, kefajirannya itu (akan memudaratkan) dirinya sendiri. Sedangkan orang soleh yang daif itu pula, kesolehannya akan bermanafaat untuk dirinya sendiri, dan kedaifannya memudaratkan kepada muslimin, maka berperanglah di belakang orang fajir yang gagah itu
Rasulullah bersabda:
Sesungguhnya Allah akan menolong agama ini dengan lelaki yang fajir
Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda:
Dengan suatu kaum yang tidak berakhlaq
Sekiranya pemimpin yang dilantik itu (walaupun bukan alim tetapi) tidak seorang yang fajir, maka dia lebih layak memegang pimpinan perang berbanding daripada orang yang lebih soleh dalam soal agama daripadanya, sekiranya tiada ditemui penganti (yang lebih berkelayakan).
Disebabkan pertimbangan inilah, Rasulullah telah melantik Khalid bin al-Walid untuk memimpin perang, semenjak beliau memeluk Islam, Rasulullah bersabda:
Walaupun Khalid ada ketikanya telah mengambil tindakan yang tidak disukai (dibenci) oleh Rasulullah, sehingga baginda- pada suatu ketika- mengangkat kedua tangan baginda ke langit dan berkata:Sesungguhnya Khalid adalah pedang yang Allah gunakan untuk memerangi Kaum musyrikin
Allahumma, sesungguhnya aku (berlepas-tangan) menyerah kepada-Mu apa yang dilakukan oleh Khalid.
Iaitu ketika Rasulullah mengutuskan Khalid kepada Bani Juzaymah, lalu dia membunuh mereka dan merampas harta mereka dalam keadaan yang syubhah, beliau melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan kepada beliau. Dan tindakannya itu telah diingkari oleh sebahagian sahabat yang bersama beliau ketika itu, keadaan ini sehingga memaksa Rasulullah telah membayar diyyah serta memberi jaminan ke atas keselamatan harta mereka. Walaupun halnya sedemikian, baginda berterusan melantik beliau sebagai pemimpin dalam peperangan, kerana dia lebih layak di dalam soal ini daripada orang yang lainnya, , walaupun dia telah melakukan kesalahan berdasarkan bentuk takwil yang (difahaminya).
Abu Zar al-Ghifari lebih baik daripada Khalid dari segi amanah dan kejujuran (sidq), walaupun halnya sedemikian, Rasulullah bersabda:
Wahai Abu Zar, aku melihat engkau seorang yang daif, aku menyukai untuk engkau apa-apa yang aku sukai untuk diriku sendiri, (oleh itu) janganlah engkau menjadi pemimpin (walaupun) ke atas dua orang yang lain, dan janganlah engkau menjadi penjaga harta anak yatim [Diriwayatkan oleh Muslim]
Rasulullah telah menegah Abu Zar daripada menjadi pemimpin dan penjaga [anak-yatim] kerana baginda melihat Abu Zar adalah seorang yang daif. Sedangkan Rasulullah (dalam pada itu) telah diriwayatkan bersabda:
Selama langit masih memayung dan bumi masih membentang, tiada ada orang yang lebih jujur perkataan melebihi daripada Abi Zar
Pernah Rasulullah melantik Amru bin al-‘As sebagai pemimpin dalam peperangan Ghazwah Zat as-Salasil bertujuan bagi mejinakkan hati sanak-saudaranya yang tinggal di kawasan yang diutuskan beliau itu, sedangkan terdapat sahabat-sahabat yang lebih afdal daripada beliau dalam anggota tentera yang dipimpin oleh beliau itu. Rasulullah melantik Usamah bin Zaid dalam rangka agar beliau membela kematian bapanya. Demikianlah baginda telah melantik seseorang mengikut kemaslahatan tertentu, walaupun terdapat bersama pemimpin yang dilantik itu orang yang lebih afdal daripadanya di dalam soal ilmu dan iman.
Demikian juga halnya dengan Abu Bakar radiyallahu ‘anhu, khalifah Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam, yang berterusan melantik Khalid dalam peperangan memerangi golongan yang murtad, dalam peperangan pembukaan Iraq dan Syam, Khalid telah melakukan beberapa kesilapan berdasarkan takwilnya, sebahagian sahabat menganggap tindakan-tindakan yang diambil Khalid itu berdasarkan hawa-nafsunya, begitupun Khalid tidak dilucutkan jawatannya kerana perkara tersebut. Saiyyidina Abu Bakar sekadar menegur kesilapan-kesilapan beliau. Pertimbangan terdapat maslahah yang melebihi daripada kefasadan telah mempengaruhi tindakannya mengekalkan kedudukan Khalid. Sekiranya Khalid ditukar, pengantinya mungkin tidak dapat menyamai kedudukan (kelayakan) Khalid.
Apabila akhlaq pemimpin utama cenderung kepada lemah-lembut, sepatutnya akhlaq timbalannya cenderung kepada ketegasan. Apabila pemimpin utama cenderung kepada ketegasan, sepatutnya akhlaq timbalannya cenderung kepada lemah-lembut, ini untuk mengimbangi suasana.
Kerana inilah, Saiyyidina Abu Bakar as-Sidiq bertindak melantik Khalid, sementara Saiyyidina Umar bertindak melucutkan Khalid serta melantik Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah, kerana Khalid peribadinya tegas sebagaimana peribadi Umar bin al-Khattab, sementara Abu Ubaidah berperibadi lemah-lembut sebagaimana Abu Bakar, Tindakan melantik timbalan sedemikian adalah tepat bagi setiap kedua pemimpin ini, supaya keadaan menjadi seimbang dan selayaknya bagi mereka sebagai khalifah Rasulullah, kerana baginda adalah seorang yang sangat seimbang. Baginda bersabda:
Aku adalah Nabi yang membawa rahmat, aku adalah Nabi yang bertempur di medan perang
Baginda bersabda:
Aku adalah seorang yang periang serta seorang panglima perang
Ummat baginda adalah ummah pertengahan, Allah berfirman:
Mereka bertegas ke atas golongan kuffar, beramah-mesra sesama sendiri. Engkau melihat mereka ruku’ dan sujud, mereka mencari anugerah daripada Allah dan keredaan-Nya [al-Fath:29]
Allah berfirman:
Mereka merendah diri ke atas orang mukmin dan mereka bersikap tegas ke atas orang kafir [al-Ma idah:54]
Dengan demikianlah apabila Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar dilantik, mereka berdua menjadi pemimpin yang sempurna dalam pentadbiran mereka. Sikap keduanya menyerlah kedua aspek daripada kehidupan Nabi sallahu ’alaihi wa sallam, seorangnya lemah-lembut dan seorang lagi tegas dan keras, sehingga Rasulullah bersabda:
Tauladanilah kedua orang (yang memimpin) selepas aku, Abu Bakar dan Umar
Telah zahir (kemudiannya) daripada Abu Bakar (yang lemah-lembut ) sikap keberanian (ketegasan) hatinya dalam memerangi golongan murtad dan golongan (penentang) yang lainnya sehingga mengatasi (ketegasan) Umar dan seluruh sahabat yang lain, semoga Allah meredai mereka semua.
Sekiranya terdapat keperluan(penekanan) yang lebih kepada sikap amanah, hendaklah diutamakan seorang yang kepercayaan (jujur), seperti (dalam urusan) menjaga harta-benda atau seumpamanya. Adapun (dalam urusan) perbelanjaaan dan mengawasi harta tersebut, tidak dapat tidak daripada sifat keupayaan (kekuatan) dan sifat amanah. Sepatutnya dilantik penguasa ke atas harta tersebut seorang yang memiliki kekuatan(keupayaan) untuk mengurus kewangan dengan penuh keupayaan, dan (dilantik) seorang pencatit untuk menyelia harta dengan catitannya (akaun) dan dengan sifat amanahnya. Demikian jugalah dalam pimpinan perang, sepatutnya seorang ketua tentera mentadbir dengan mengadakan mesyuarat bersama ahli ilmu dan ahli agama, bertujuan mengabungkan antara kedua-dua maslahat (dari pandangan ilmu dan dan ajaran agama)., Demikianlah bagi setiap pimpinan, apabila tidak akan sempurna sesuatu urusan berdasarkan keputusan peribadi, maka himpunkan beberapa orang (yang mempunyai kemahiran), agar dapat diputuskan tindakan yang lebih tepat. Atau dilantik beberapa orang pemimpin (pimpinan secara kolektif) , apabila tidak memadai seorang pemimpin sahaja untuk mencapai kesempurnaan (pada yang dimaksud).
Bagi jawatan qadi diutamakan orang yang lebih alim, lebih wara’dan lebih upaya.Sekiranya seorang dari dua calun itu ada yang lebih alim, dan ada yang lagi lebih wara’; maka dalam mengendali kes yang jelas hukumnya serta ditakuti (keputusan qadi itu) dipengaruhi oleh hawa-nafsu- pilihlah yang lebih wara’. Sementara dalam pengendalian kes yang rumit bagi memutuskan hukumnya serta ditakuti (keputusannya) tersasar- maka pilihlah yang lebih alim.
Di dalam hadith dari Rasulullah , sesungguhnya baginda bersabda:
Sesungguhnya Allah menyukai pandangan (kefahaman) yang tajam ketika berlakunya kesamaran, dan Allah menyukai aqal (yang sempurna) ketika munculnya syahwat.
Kedua-dua sifat ini (lebih alim dan lebih wara’) didahulukan daripada keupayaan, ini apabila qadi tersebut mendapat sokongan yang sepenuhnya dari pimpinan perang dan orang awam.
Diutamakan (kriteria) keupayaan dalam suasana apabila (institusi) kehakiman memerlukan kepada kekuatan dan sokongan kepada qadi tersebut serta (dalam keadaan yang mana)keperluan kepada keupayaan itu melebihi daripada keperluan kepada kelebihan ilmu dan kelebihan wara’.Bagi (jawatan) qadi yang mutlak, ia memerlukan seorang yang alim, adil dan mempunyai upaya (dalam melaksanakan tugasan), Bahkan itulah sebenarnya ciri-ciri bagi setiap pimpinan bagi kaum muslimin. Apabila mana-mana sifat daripada sifat-sifat yang tersebut berkurangan, maka akibatnya akan terdapatlah ruang kepincangan kerana kekuarangan itu.
Keupayaan (dapat di realisasikan) semada dengan sifat ketegasan dan ancaman, atau dengan sifat ehsan dan galakan (motivasi), pada hakikatnya pimpinan memerlukan kedua-duanya sekali.
Sebahagian ulama telah disoal:
Sekiranya tiada terdapat orang yang layak memegang jawatan qadi kecuali , seorang ’alim yang fasiq atau seorang jahil yang beragama, maka siapakah antara keduanya yang diutamakan?
Ulama tersebut menjawab:
Dalam keadaan yang timbul keperluan untuk (memulihkan) kehidupan beragama dalam suasana yang dikuasai oleh kefasadan, utamakanlah orang yang beragama.Dalam keadaan yang timbul keperluan kepada ilmu agama dalam suasana kerumitan dalam memutuskan hukum-hakam, utamakanlah orang yang alim.
Kebanyakan ulama mengutamakan orang yang beragama kerana para Imam (mazhab) bersepakat tidak dapat tidak (yakni menjadi syarat) bagi pemegang jawatan (pemimpin) mestilah seorang yang adil, (iaitu seorang) yang layak diterima sebagai saksi (dalam kehakiman syariah)[3].
Adapun syarat (bagi menjadi pemimpin) memiliki ilmu itu telah diperselisih (tiada persepakatan) di kalangan para ulama. (Dalam syarat berilmu itu pula): adakah menjadi syarat perlu seorang pemimpin itu alim yang mujtahid, atau harus dilantik orang yang bertaqlid atau wajib dilantik seorang yang paling layak dalam konteks yang ada mengikut kesesuaian (tanpa membebankan). Terdapat tiga pendapat ulama (dalam hal ini), bagaimanapun keperinciannya bukan tempatnya di sini untuk dibincangkan.
Bagaimanapun harus juga dilantik seorang yang tidak berlayakan kerana darurat tetapi dengan syarat dia merupakan yang paling baik di kalangan ada. Apabila dalam keadaan sedemikian, dia (yang dilantik) wajib mempertingkatan kemampuan dirinya sehingga dia dapat menunaikan tangggung-jawab yang wajib ke atasnya terhadap manusia lain dalam urusan kepimpinan, penguasaan dan seumpamanya.
Sebagaimana menjadi wajib di atas orang yang kesempitan dari segi kewangan dalam melunaskan janji pembayaran hutangnya, walaupun tidak dituntut ke atasnya kecuali apa yang termampu. Begitu juga kewajiban mengadakan persediaan untuk jihad dari penyediaan kekuatan tentera dan pasukan kuda ketika persediaan tersebut tidak dilakukan kerana kelemahan (kecuaian).
Sesungguhnya perkara yang tiada dapat sempurna sesuatu kewajiban kecuali dengannya, maka hukum (mengadakan)nya adalah wajib . Ini berbeza dari syarat keupayaan dalam melaksanakan ibadat haji dan perkara seumpama itu, kerana tiada wajib ke atas kita menghasilkan penyediaan baginya, oleh sebab tuntutan (melaksanakan haji) itu tidak menjadi wajib dengan adanya keupayaan[4].
Alhamdulillah, selesailah terjemahan yang serba kurang ini bersama beberapa catita ringkas; dikuti dengan jeputan dari kitab ini pada tempat-tempat yang pada perkiraan pencatit ini terdpat keperluan.
=========================================
Imam Ibn Taimiyyah pada bahagian akhir kitab ini telah menyenaraikan tujuan beberapa golongan yang mahu merebut menjadi pemimpin.
1-Golongan pertama: Bermatlamatkan kedudukan yang tinggi (terhormat) di kalangan manusia serta kefasadan di bumi, ianya adalah maksiat kepada Allah. Mereka adalah golongan pemerentah, ketua-ketua yang fasad, umpama Firaun dan gerombolannya. Mereka adalah seburuk-buruk kejadian. Allah berfirman:
Sesungguhnya Firaun telah berlaku sombong di bumi, dia telah menjadikan penduduknya berpuak-puak, dia menindas sekumpulan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah dari golongan mufsidin
[al-Qasas:4]
Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih-nya daripada Ibn Mas’ud RD yang berkata Rasulullah SAW bersabda:
“Tiada masuk ke dalam syurga sesiapa yang pada hatinya seberat zarah daripada takabbur (sombong). Dan tidak masuk neraka sesiapa yang pada hatinya seberat zarah daripada iman”. Lalu seorang lelaki bertanya: “sesungguhnya saya suka pakaian yang cantik (kemas) dan kasut yang cantik, adakah demikian itu dikira takabbur?”
Rasulullah SAW bersabda: “tidak, Allah adalah cantik, dan Dia menyukai kecantikan, takabbur itu (sifat) mengingkari kebenaran dan merendahkan manusia lain”
Mengingkari kebenaran bermaksud menolak dan menentang kebenaran. Merendah manusia bermaksud menghina mereka dan mencemuh mereka. Inilah perihal golongan yang bermatlamatkan kesombongan dan kefasadan.
Golongan kedua: Bermatlamatkan kefasadan tanpa kedudukan yang tinggi (terhormat).Mereka umpama kumpulan pencuri dan penjenayah, mereka adalah sampah masyarakat.
Golongan ketiga: Bermatlamatkan kedudukan yang tinggi tanpa kefasadan. Seumpama mereka yang mempunyai (pendidikan) agama, mereka ingin menonjol dengan ilmu mereka ke atas orang lain
Golongan keempat: Mereka adalah ahli syurga, mereka yang tidak ingin kedudukan yang tinggi di bumi, dan tidak inginkan kefasadan, pada hal mereka berkedudukan tinggi di kalangan manusia lain, sebagaimana Allah berfirman:
Janganlah kamu merasa lemah, dan jangan kamu bersedih, sesungguhnya kamu berkedudukan tinggi sekiranya kamu beriman [ali ’Imran:139]
Allah berfirman:
Jangan kamu merasa lemah dan lalu kamu mengajak kepada perdamaian, sesungguhnya kamu mempunyai kedudukan yang tinggi, Allah bersama kamu (membela kamu untuk mencapai kemenangan), dan Dia tidak sekali-kali mengurangi (pahala) amalan kamu [Muhammad:35]
Allah berfirman:
Bagi Allah-lah kehebatan (kemulian), bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang yang beriman. [al-Munafiqun:6]
Berapa ramai yang berusaha mahukan kedudukan yang tinggi, tetapi tiadalah bertambah untuknya kecuali kerendahan, berapa ramaikah pula yang berkedudukan tinggi sedangkan dia tidak bertujuan mencapai ketinggian pangkat dan (tidak sanggup) melakukan kefasadan. Demikian itulah (dapat difahamkan) iradah (kehendak) untuk memperolihi ketinggian di sisi makhluk itu adalah kezaliman, kerana manusia seluruhnya daripada jenis (genus) yang satu., iradah (nafsu) manusia mahukan agar dia mempunyai kedudukan tinggi dan orang lain seumpamanya berada di bawahnya, ini merupakan kezaliman.
Apabila difahami ianya adalah kezaliman, tentuynya manusia akan benci untuk berada dalam keadaan sedemikian dan memusuhinya, kerana seorang yang adil daripada kalangan mereka, dia tidak suka yang dia dikerasi oleh orang yang seumpamanya. Sedangkan orang yang tidak adil di kalangan mereka juga bercita-cita mahu menjadi orang yang paling berkuasa. Walaupun halnya sedemikian, sudah tentu pastinya –pada pertimbangan aqal dan ajaran agama- yang sebahagian mereka akan berkuasa ke atas sebahagian yang lain., sebagimana yang telah kami sebutkan. Sebagaimana tubuh tidak akan sempurna tanpa adanya kepala. Allah berfirman:
Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan Dia mengangkat sebagaian kamu beberapa darjat di atas sebahagian yang lain , untuk dia menguji kamu pada apa yang dianugerahi kepada kamu [al-An’am:65]
Allah berfirman:
Kami membahagi-bahagikan di kalangan kamu keperluan hidup di dalam kehidupan dunia, dan Kami angkatkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain beberapa darjat supaya mereka memperolihi kemudahan di antara satu sama lain [az-Zukhruf:32]
Maka demikianlah datangnya syariat (Islam dalam) mengurus kekuasaan politik (sultan) dan kekayaan pada Jalan (yang diredai) Allah.
[1] Imam Ibnu Taimiyyah, nama penuhnya Ahmad Bin Abdul Halim Bin Bin Abdul Salam, Abu Abbas, Taqiyyudin Ibn Taimiyyah, dijuluki al-Imam Syaikhu al-Islam. Lahir pada tahun 661H. Meninggal pada 20 Syawal 728H. Seorang ulama besar, menulis di dalam cabang ilmu yang bermacam. Seorang yang dikagumi dan disanjung oleh pengikutnya, dan diselar oleh yang menentangnya. Bagaimanapun sebagaimana yang disebut oleh Syaikh Muhammad Yusuf Ismail an-Nabhani dalam tulisannya yang mengeritik pandangan Imam besar ini masih menyebut bahawa Imam Ibn Taimiyyah telah mengeluarkan ribuan fatwa, hanya dalam beberapa fatwa yang tertentu sahaja fahaman beliu telah tergelincir , Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani mendoakan agar Allah menghimpunkan beliau di dalam syurga bersama Imam Ibn Taimiyyah berserta Imam as-Subki.
Semoga Allah mencucuri rahmat kepada seluruh imam-imam serta ulama Islam yang telah banyak kita terhutang ilmu dan budi kepada mereka.
[2] Naskhah yang dirujuk adalah terbitan Daru al-Jil, Beirut, cetakan ke 3, 1408H- 1988M. Walaupun Imam Ibnu Taimiyyah dikritik hebat oleh ulama yang tidak menyetujui aliran fahaman beliau, dalam huraian aqidah, feqah dan tasauf, tetapi belum diketemui sebarang penolakan terhadap apa yang dicatit oleh Imam besar ini di dalam kitabnya ini.
[3] Maulana Abu Hassan Ali an-Nadwi menyebut yang sejarah ummah telah mencatitkan bahawa kerja-kerja penyebaran agama (nasyruddin) telah dilakukan dengan jayanya oleh panglima perang, pedagang dan pemerentah yang soleh, kerap pula melebihi keupayaan sebahagian ulama. Tetapi kerja-kerja menjaga kemurnian ajaran agama (hifzuddin) terutamaapabila berdepan dengan kecenderungan kepada penyelewengan dan bid’ah, maka tugasan ini tiada dapat diambil alih oleh golongan lain secara berkesan bagi menangani syubhah-syubhah yang timbul kecuali oleh golongan ulama kerana ianya memerlukan ilmu yang mendalam dan terperinci.
[4] Sangat diharapkan kepada para ulama dan cendiakawan muslim agar menyemak terjemahan yang dilakukan ini dengan teks kitab arabnya yang asal, barang sudah tentu ada maksud yang tidak kesampaian; terutama menyedarai keterbatasan upaya pencatat ini dalam bahasa Arab dan kecetekan ilmu agamanya. Kepada Allah juga disandarkan harap.
Sunday, May 10, 2009
pengertian muqabalah
1- Ilmu Algebra cabangan daripada ilmu hisab sebenarnya berasal daripada perkataan arab 'al-Jabru wa al-Muqabalah' . Al-jabr bermaksud menghimpun apa yang berpecah, sementara muqabalah bermaksud meletakkan di depan, untuk mengimbangi, untuk menentang, untuk menyama-ratakan, atau usaha 'reduction'.
2. Sementara kelompok Maulana Jamaluddin ar-Rumi memberi erti muqabalah sebagai amalan 2 orang yang menghadapkan wajah masing-masing dengan penuh hormat dan sikap memuliakan antara satu sama lain.
Di dalam blog ini, kita tidak perlu sangat terikat dengan definasi mathematiks mahupun Mathnawi itu.....
Thursday, May 7, 2009
Taqlid dianjurkan oleh ulama untuk kita orang awam dalam persoalan ilmu dan amalan feqah kerana terlalu sukar untuk kita orang awam untuk memahami proses pendalilan dan memutuskan sesuatu hukum. Tetapi kita, walaupun orang awam, dilarang bertaqlid dalam soal aqidah. Kita mesti mempunyai hujjah dan dalil semada naqli atau aqli untuk mengithbat atau menafikan sesuatu pegangan faham yang kita ambil.
Pencambahan pemikiran yang dibuat secara tertib amat penting dalam kehidupan manusia. Kita dianjurkan supaya berfikir, merenung, bertafakkur dalam menjalani kehidupan seharian. Bila terdapat perbezaan dalam pendapat dan fahaman , kita perlu adakan hewar, muzakarah dan muqabalah untuk mencari yang murni dan yang lebih wajar. Kita dilarang dari jidal yang bertujuan untuk memenangkan hujjah kita atau pendirian kumpulan kita tanpa mahu tunduk kepada kebenaran pihak lain dan keserlahan hujjah yang berlawanan.
Dalam semangat inilah blog seumpama ini diketengahkan, supaya sebahagian daripada kita berkesempatan menjenguk latar belakang penghujjahan kepada pendirian-pendirian yang mungkin berbeza. Semoga Allah memelihara hati-hati kita dari ketaksuban tanpa sandaran nas yang kukuh, dari perasaan takabbur iaitu merasakan kumpulan kitalah yang lebih baik, lebih faham dan pandangan-pandangan pihak lain tidak setara dengan pegangan kita.
Lihatlah bagaimana sikap Imam Ahmad bin Hanbal rahmatullahi 'alaihi ketika beliau dipenjara kerana isu al-Quran dikatakan makhluq oleh golongan muktazilah dan fahaman ini disokong kuat oleh pihak khalifah. Ketika dalam penjara itu, beliau telah didatangi oleh ramai ulama yang menasihati beliau agar demi keselamatan nyawanya, beliau mengiyakan secara zahir pegangan yang dipaksakan oleh pihak berkuasa, menyembunyikan pegangan sebenar beliau untuk sementara. Para ulama ini berhujjah yang memang terdapat ruang dalam syara yang membenarkan perbuatan demikian demi keselamatan nyawa. Bagaimanapun Imam Ahmad tetap teguh dengan pendiriannya. Pada suatu hari, rakan banduan yang dipenjara kerana kesalahan mencuri telah menasihati Imam Ahmad, yang walaupun dia seorang pencuri, memang telah melakukan jenayah tersebut, telah sanggup untuk tidak mengaku salah ketika didesak keras oleh pihak berkuasa, kenapa pula Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Ahmad) mahu mengalah kerana desakan dan deraan pihak berkuasa sedangkan apa yang dipegang beliau adalah benar. Imam Ahmad kemudiannya mengiystiharkan kepada banduan itu yang walaupun ramai ulama yang menasihati beliau supaya secara luarannya mengalah kepada desakan pihak berkuasa tetapi beliau telah memilih untuk mengikut nasihat si-banduan, sipencuri itu. Alhamdulillah sikap sebeginilah yang antara lain menyumbang kepada penerusan dalam menjaga kemurnian aqidah ummah.
Ayuh, semua pihak dipersilakan untuk mempertengahkan hujjah, semada daripada golongan terpelajar ataupun golongan awam, asalkan sahaja dilakukan secara beradab dan menjaga niat untuk mencari kebenaran dan memperolihi reda Allah. Sesungguhnya hikmah (wisdom) bukan dimonopoli oleh sesuatu golongan sahaja, Allah menganugerahi anugerah ini kepada orang yang Dia kehendaki. Sesiapa yang dianugerahi Allah dengan hikmah sesungguhnya dia memperolih anugerah yang amat berharga.