Wednesday, April 21, 2010

Pada Neraca Politik

Dalam minggu ini agak kerap menerima panggilan daripada rakan-rakan yang menyatakan perspektif mereka terhadap politik yang berkaitan Pilihanraya Kecil Hulu Selangur. Sebelum ke situ, saya pernah sampai ke Kawasan Hulu Selangur 2,3 kali. Saya sangat mencemburui kawasan Hulu Selangur, terutama bagi saya yang sampai ke Hulu Selangur dengan mendaki Lojing dan menuruni jalan ke Tapah; Hulu Selangur mempunyai kawasan persekitarannya cantik, sungainya sepanjang jalan Ulu Yam- Batu Caves cukup bersih, sehinggakan Empangan Batu yang hanya 12 KM lebih dari Kuala Lumpur pun airnya masih kekal hijau kebiruan. Sedangkan air pada anak-anak sungai di sepanjang jalan Gua Musang-Lojing cukup pekat warnanya. Khazanah alam di Hulu Kelantan tidak terpelihara sebagaimana ianya terpelihara di Hulu Selangur.

Berbalik kepada tajuk yang kita perkatakan, ada sahabat bertanya kenapa sianu dipilih sebagai calun, sedangkan dia bukan anak tempatan, samatelah dia juga banyak historical baggage. Bagaimana hendak kita julang sebagai pemimpin seorang yang bukan setakat amalan peribadinya yang bertentangan dengan nilai-nilai agama, bahkan pendirian resminya juga turut menyetujui loteri, dia memihak kepada pendapat kebebasan beragama tanpa kawalan kepada gejala murtad, dia tidak mempersetujui perlaksanaan hukuman terhadap kesalahan syariah yang akan menyebabkan terdapat dua himpunan undang-undang, yakni civil dan syariat.

Jawaban kepada persoalan itu agak sukar, mungkin bagi pemimpin tinggi yang memilihnya itu:
(1)- tidak merasakan pendirian yang pernah diambil oleh calun itu sebagai sesuatu liability; bahkan dia agak boleh bersetuju dengan sebahagian pendirian calun atau paling kurang menganggap ianya remeh-temeh. atau (2)-isu moral dan penghayatan agama tidak diambil kira, agenda parti yang dislogankan adalah menegakkan keadilan untuk semua, kebebasan dan pembahagian kemakmuran secara adil. Isu moral dan agama adalah isu lapuk (3) polariti sokongan di kawasan pilihanraya itu yang diutamakan, katakan sokongan daripada orang Melayu Islam tidak 'solid', maka ciri-ciri yang disukai oleh pengundi Melayu tidak perlu diutamakan. Sekiranya sokongan Cina dikira 'solid', yang boleh membawa kemenangan ,maka ciri-ciri yang dipersetujui oleh masyarakat cina akan diambil kira, begitulah seterusnya (4) imej parti itu yang ingin ditonjolkan, seorang pemimpin tinggi yang pluralist, pemimpin parti yang permissive, seorang pemimpin wanita yang open-minded dalam kehidupan kelaminnya sebagai lambang penting dalam politik alternative pasca pengumuman dasar 1-Malaysia?

Apakah kemenangan perjuangan itu semata-mata di perkirakan pada peringkat manusiawi semata-mata?. Apakah ertinya kemenangan yang sebegitu dalam kerangka usaha kita bagi memupuk amalan hidup beragama dan berbudi-pekerti? Apakah berpadanan untuk kita menghabiskan masa, tenaga, harta dan kehidupan untuk sebuah perjuangan, kalaulah ianya sebegini?. Kenapa kita asyik berdalih, kalau kita dikatakan buruk maka musuh kita sebenarnya lebih buruk, tanpa pula kita menyatakan azam kita untuk memerangi keburukan semada yang datang dari pihak lawan mahupun dari pihak kita sendiri? Kenapa kita bajai sikap asabiyyah (kepuakan) secara membuta-tuli sehingga ke peringkat ini, sedangkan kita laungankan kita tentang asabiyyah dan perkauman?

Akhirnya, agaknya dengan insaf dan hina diri kita perlu mengaku yang ahli politik, dari parti mana pun mereka datang sebenarnya mempunyai neraca mereka politik yang berbeza daripada neraca kita, neraca mereka tidak sama dengan neraca kita. Sayunya hati kita mengenangkan peristiwa yang berlaku kepada Badiuzzaman Said Nursi ketika beliau mendengar ceramah politik dari seorang yang agak beragama yang telah mencerca seorang tokoh yang berperibadi baik kerana dia dari parti lawan dan memuji seorang tokoh yang terkenal dengan peribadi buruk kerana dari parti sendiri. Lalu Badiuzzaman Said Nursi mengisyhtiharkan beliau sebagai Said yang Baru , dan melafazkan ungkapan nya yang terkenal "A'uzabillahi mina as-Syaitani wa as-Siyasah" (Aku minta perlindungan dengan Allah dari Syaitan dan politik!).

2 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Saya cukup menyampah orang yang meludah ke langit tetapi duduk dibumi.

    ReplyDelete
  2. Zaid Melayu.Dr.Halili pun Melayu. Tapi kenapa Anwar pilih Zaid dan bukannya Dr.Halili sedangkan Anwar tahu Zaid mempunyai 'personal baggage' yg sukar utk dipertahankan berbanding Halili.Sebenarnya Anwar amat praktikal dlm pemilihan ini-asasnya mudah: Zaid ada duit,banyak duit! dan Anwar tahu psyche orang Melayu-mereka cepat merasa kasihan dan mudah mengampunkan.Cuma bagi PAS, Zaid merupakan kahak yg sukar ditelan semula..........

    ReplyDelete