Saturday, April 24, 2010

Antara Abu Dan Arang

Semenjak 20 tahun yang lalu saya sentiasa bertanyakan diri saya dan bertanyakan orang yang saya fikir layak " apakah faktor yang dapat merubah masyarakat?", "apakah anasir-anasir yang perlu ada untuk berlakunya perubahan ke arah kebaikan?"

Tokoh yang banyak meninggalkan kesan ke atas kerangka pemikiran saya tentang tajuk ini , agaknya ialah Maulana Abul Hassan 'Ali an-Nadwi. Maulana telah menyentuh tajuk ini dengan fasih dan menyakinkan , antara bukunyanya yang terserlah dalam tajuk ini ialah Ila al-Islam: min jadid, Road to madina, The saviours Of Islamic Spirit. Islam & Materialism (tafsir Surah al-Kahfi) dan lain-lain.

Ketika saya bertemu dengan Maulana di sebuah banglow di jalan Ampang, Kuala Lumpur pada sekitar pertengahan 1980'an, saya memohon agar dia menceritakan semula kisah Maulana Abdul Ghani & ayahnya, sebagaimana yang telah saya membacanya dalam buku-buku beliau, kisah yang merupakan 'the turning point' bagi penguasa kerajaan tartar yang berjaya mengalahkan ummah Islam untuk memeluk agama anutan golongan yang telah dikalahkan. Alhamdulillah dia telah menceritakan kisah ini dengan baik sekali, saya akan kenang sesi penceritaan ini sehingga bila-bila. Saya juga sentiasa teringat catitan Maulana tentang pengamatan yang dibuat oleh Maulana Abdul Qadir ar-Raiburi tentang kelemahan dan kemerosotan ummah. Ringkasnya mengikut Maulana kita kehilangan dua elemen penting yang akan membolehkan kita untuk mendapat Tilik Rahmat dari Allah, iaitu keikhlasan dan keasyikan. Keikhlasan dan keasyikan adalah amal-amalan dan hal hati, bukan amalan dan hal luaran anggota dan perkataan kita.

Perubahan adalah proses yang mengikut Maulana adalah proses inside-out, perubahan sebenarnya adalah rahmat anugerahan Allah, Allah pula bukan menilik kepada jasad luaran kita tetapi Allah menilik kepada hati-hati kita. Maka tazkiyyah an-nafs (pembersihan jiwa) adalah teras bagi perubahan diri, masyarakat dan dunia. Kita mesti mulakan perubahan dengan membetulkan orentasi hati kita terhadap Allah, serta mengawasi anggota zahir kita agar berada di dalam ruangan yang diharuskan oleh Allah dan mengawalnya dari ruangan tegahan Allah. Menghiasi hati-hati kita dan membasahi lidah-lidah kita dengan berzikir kepada Allah.

Di atas angan-angan apakah yang ingin kita bina masyarakat kita?. Ke arah manakah kita hasratkan agar masyarakat kita terubah?. Angan-angan dan hasrat ini akan mengembala kita untuk mengetahui jalan dan kaedah yang perlu kita lalui untuk merealisasikan angan-angan dan hasrat tersebut. Persekitaran yang hidup di dalam otak pemikiran kita itu sama pentingnya dengan persekitaran luaran yang kita hidup di dalamnya, kalau tidak lebih penting sekalipun.

Kita sedang memerhati sikap terlalu mengalah dalam proses timbal-terima di sebelah kita, ummah Islam, di Malaysia terutama dalam bidang politik akhir-akhir ini. Ianya dijelmakan dalam polisi pihak berkuasa dan juga pihak pembangkang. Kita terlalu bertasammuh, bukan kerana kefahaman kita tentang anjuran bertasammuh yang terdapat di dalam ajaran Islam, tetapi kita bertasammuh agar pihak-pihak bukan Islam akan menyertai dan menyokong kita. Kita menjadikan kuasa sebagai paksi perubahan, demi untuk mempertahankan paksi itu atau untuk sampai kepada paksi itu, kita sanggup bergolak-gadai apa sahaja, termasuk prinsip dalam pegangan dan kepentingan kita sendiri.

Alangkah malangnya pada mana-mana pihak semada pihak yang sudah berada pada kekuasaan atau pihak yang berusaha untuk memegang kekuasaan, sekiranya pada neraca agama dan sebagai bekalan persediaan akhirat, yang menang dan kalah itu sebenar seumpama bidalan orang tua-tua "yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu".

1 comment:

  1. Aoa wbt,

    Saya bersetuju benar dengan dua perenggan terakhir penulisan tuan. Dua perenggan tersebut cukup untuk menyimpulkan arah dan hala tuju siasah politik negara dewasa ini.

    Ruginya bila menang jadi arang dan kalah jadi abu.

    ReplyDelete