Kita berada pada suatu landskap & persekitaran pemikiran yang dianjurkan dan yang disayugiakan adalah angguk-angguk, tidak digalakkan berfikir di luar kotak-kotak kebiasaan Di pandang serong sekiranya berfikir dan berhujjah secara 'merdeka' dari pemikiran yang dikongsi ramai. mungkin bolehlah kita namakan pemikiran logik jama'ie. Antaranya kita dianjurkan secara tidak langsung mungkin secara tidak sedar untuk membetulkan dan mengiyakan segala tindak-tanduk dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin dan kumpulan yang kita beri wala'. Kita susun logik pemikiran kita untuk mencari hujjah bagi menyokong tindak-tanduk dan keputusan serta pendirian tersebut, sekiranya sukar untuk ditemui hujjah , maka kita akan memerentah otak kita agar mencari dalih, sekiranya sukar ditemui dalih, maka kita akan paksa otak kita agar dapat mencari muslihat untuk menyimpang (divert) dari fokus yang sebenar. Untuk tunduk kepada kebenaran yang berada pada pihak lain adalah sesuatu kesukaran yang hampir-hampir mustahil, kecuali kalaulah kita sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin dan kumpulan kita.
Kalau kita sudah menganggap seseorang atau sesuatu kumpulan itu menentang kita dan kumpulan kita, maka dengan mudah kita akan mempercayai berita-berita keburukan tentangnya. Kita rendahkan nilai kebaikannya sehingga serendah mungkin. Kita selak segala aibnya semada yang nyata atau yang kita reka-reka. Kita sebarkan pula keburukan itu, dan pada masa yang sama kita sembunyikan kelebihan yang ada pada mereka.
Zaman ini adalah zaman angguk. Zaman ini ialah zaman yang kaedah menyusun pemikiran kita sendiri tidak penting, yang penting ialah persediaan menyambut hujjah yang diturunkan dari pihak atasan, tokoh yang disegani atau kumpulan yang diberi wala'.
Maulana Jalaluddin ar-Rumi pernah mencatitkan sebuah cerita tentang seorang penduduk kampong yang mendapat mimpi yang benar tentang kampongnya akan mengalami gempa bumi, berikutan dengan gempa bumi itu maka air dalam telaga di seluruh kampong itu akan berubah sifat sehingga sesiapa yang meminumnya akan kehilangan akal. Maka apabila berlakulah gempa bumi tersebut, penduduk yang seorang itu telah menyelamatkan dirinya di atas sebuah bukit secara bersendirian. Lama-kelamaan dia merasa jemu dan bosan bersendirian, dia pun turun semula ke kampong asalnya. Dia begitu sukar untuk berhubung kerana semua penduduk kampong sudah sasau, mereka pula menganggap yang dia telah gila kerana logiknya berbeza dari logik sasau mereka. Penduduk yang seorang ini tidak mempunyai pilihan kecuali untuk kembali bersendirian di atas bukit, tetapi lama-kelamaan dia dirudung kebosanan dan kesepian hidup berseorangan dia tas bukit, lalu dia mengambil keputusan untuk meminum air dari telaga di kampong dan menyertai orang ramai yang telah sasau itu.....
No comments:
Post a Comment