Saturday, May 29, 2010

Siapakah Yang Tidak Pengkhianat di Kalangan Kita?

كان على ثقل النبى صلى الله عليه وسلم رجل يقال له كركرة فمات فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم هو فى النار, فذهبوا - ينظرون اليه فوجدوا عباءة قد غلها--البخارى وابن ماجه ,

Terdapat seorang lelaki yang mengurus tunggangan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang di kenali dengan gelaran Kirkirah. Dia telah mati dan Rasulullah Sallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Dia di dalam neraka", Maka terdapat sahabat yang telah mengunjungi jenazahnya dan memerhati keadaannya dan mereka dapati sepasang pakaian luar yang telah diambilnya secara khianat.

Terdapat hadith yang maksudnya hampir sama:
لما كان يوم خيبر اقبل نفر من اصحاب النبى صلى عليه وسلم فقالوا: فلان شهيد وفلان شهيد حتى مروا على رجل فقالوا فلان شهيد . فقال النبى صلى عليه وسلم :كلا انى رايته فى النار فى بردة غلها او عباءة --مسلم

Tatkala di dalam Peperangan Khaibar beberapa orang sahabat telah mengadap Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wasallam dan mereka berkata: "fulan telah syahid, dan sifulan telah syahid", sehingga sampai kepada seorang lelaki. Maka sahabat-sahabat tersebut mengatakan : Sifulan ini (juga) telah syahid". Lalu Nabi Sallahu 'Alaihi wasallam mengatakan: "tidak sekali-kali, sesungguhnya aku telah melihat dia di dalam neraka memakai selendang atau baju luar yang diambilnya secara khianat"


1-Bagi hadith yang pertama disebut di dalam syarahnya yang Kirkirah adalah seorang hamba berbangsa Nuba (Afrika), dia berkhidmat menuntun haiwan kenderaan Rasulullah ketika perang. Selepas kematiannya, Rasulullah mengatakan yang Kirkirah berada di dalam neraka. Hal ini sangat mengejutkan para sahabat, lalu mereka telah pergi menyiasat untuk mengetahui kenapa Rasulullah bersabda sedemikian. Mereka dapati kesalahan Kirkirah hanyalah beliau telah mengambil sepasang pakaian luar (outer garment) dari harta rampasan perang secara senyap-senyap sebelum ianya diagih secara sah oleh Rasulullah . Perbuatan khianat itu walaupun tidaklah melibatkan nilai yang banyak telah menyebabkan Kirkirah disabdakan oleh Rasulullah sebagai penghuni neraka.

Di dalam syarah hadith ini dikatakan Kirkirah diseksa di neraka setimpal dengan perbuatan khianatnya ini, atau dia disiksa sekiranya kesalahannya itu tidak diampuni oleh Allah.

Perbuatan mengambil harta secara khianat (iaitu yang bukan secara sah dari segi syara') dikira daripada perbuatan dosa-dosa besar. Lihatlah bagaimana Rasulullah yang sangat mengasihani ummahnya telah membuat kenyataan yang keras dan tegas tentang akibat buruk perbuatan mengambil harta secara khianat, sedang yang diambil hanyalah sepasang pakaian luar, apa lagi diambil oleh seorang yang tidak berharta dan berstatus rendah dalam masyarakat. (Terdapat perbezaan pandangan semada Kirkirah dimerdekakan atau mati sebagai seorang hamba).

Bagaimana pula kita mahu menilai diri kita pada hari ini? Kita telah membenarkan pengkhianatan dalam pemilikan harta dibuat oleh diri kita, anak-beranak kita, kaum kerabat kita, sahabat handai serta penyokong kita, sedangkan yang dikhianati bukan sekadar sehelai pakaian luar, sedangkan kita tidak sedaif Kirkirah. Kita telah berselindung di sebalik peraturan dan procedures sedangkan kita tahu perbuatan kita itu tidak menepati piawaian yang diajar oleh Rasulullah.

Kita merasa diri kita terpelajar, diri kita berilmu, punya akhlak dan pekerti bangsawan, berkedudukan dalam masyarakat. Kita juga tidak semiskin Kirkirah dan yang kita mahukan kekayaan di atas kekayaan yang sudah dimiliki. Kita sudah memiliki kenderaan, tetapi sekadar mahu yang lebih baik. Kita sudah ada tempat kediaman tetapi sekadar mahukan yang lebih besar. Sedangkan Kirkirah, sebagaimana sahabat yang pergi menyiasat selepas kematiannya dapat mengesan kewujudan sehelai pakaian luar yang diambilnya daripada rampasan perang; menunjukkan yang dia tidak mempunyai banyak pakaian. Sekiranya dia punya banyak pakaian sudah tentu terlalu sukar untuk diketahui asal-usul setiap helai pakaiannya.

Yang lebih buruk dan jijiknya ialah apabila kita masih menganggap yang kita adalah pejuang Islam, kita dakwa kita bertindak di atas nama Islam. Sekiranya Rasulullah menilai kita sebagaimana baginda menilai Kirkirah, agaknya di manakah kita dalam penilaian Rasulullah?

2- Di dalam hadith yang kedua disebutkan peristiwa ini berlaku selepas usainya peperangan Khaibar, para sahabat membilang nama-nama mereka yang telah gugur satu persatu di depan Rasulullah. Atau mungkin mereka menemui mayat mereka yang gugur, satu demi satu dan mereka menyebut bagi setiap jenazah itu yang mereka telah syahid sehingga para sahabat ini menyebut nama salah seorang yang telah gugur dalam Peperangan Khaibar itu. Rasulullah dengan tegasnya mengatakan orang itu adalah penghuni neraka kerana dia telah mengambil sehelai pakaian untuk dimiliki ketika pertempuran sedang berlaku sebelum menyerahnya sebagai harta rampasan perang untuk dibahagi-bahagikan secara sah. Rasulullah melarang para sahabat tersebut dari menyebut simati yang itu sebagai syahid, suatu darajat yang sangat mulia di dalam syara, dijanjikan kenikmatan syurga , dilepaskan daripada kesakitan menjelang kematian dan selepasnya.

Janganlah kita ambil mudah untuk beranggapan yang kita dari segi agamanya sudah selamat kerana bergabung dalam perjuangan Islam, sedangkan perjuangan itu sendiripun belum tentu menepati perjuangan Rasulullah ataupun tidak. Sekiranya pada perkiraan kita ianya menepati perjuangan yang diredai Allah dan Rasul-Nya, maka di mana pula kedudukan kita, walaupun kita mendabik dada mengaku pejuang Islam? Dimanapula pemimpin-pemimpin kita yang kita ingin bertumpang naungan ilmu dan amal mereka? Adalah sesuatu perbuatan yang menunjukkan kesedaran keinsafan tentang diri, beradab lagi berakhlaq untuk kita tidak mencari-cari dalih mempersamakan tindakan kita yang secara zahirpun jelas berkepentingan dunia dengan akhlaq Rasulullah yang merupakan penzahiran isi kandungan a-Quran yang mulia itu.

Membaca kisah-kisah sebegini, menyelusuri beratnya amaran Rasulullah seumpama ini menyebabkan terasa rendahnya langit seakan menimpa kepala, terasa sempitnya bumi seakan menghempit dada, bagaimanakah kita dapat selamat?. Ya Allah,, hanya Rahmat-Mu, Kasihan Belas
-Mu, keampunan-Mu yang dapat menyelamatkan kami. Tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Engkau Ya Allah!

4 comments:

  1. apa nak cerita daa. .. buang masa .. hang pun dah tentu buat khianat asyik dok tuduh orang buat khianat . Bila mana kita rasa kita saja betul maka kita tu dah tak betul .....

    ReplyDelete
  2. terima kasih di atas peringatan, semoga Allah memperlihatkan 'aib diri kita sendiri mendahului daripada melihat 'aib orang lain serta diberi-Nya kekuatan untuk mrmbaiki diri. Semoga Allah tidak menjadikan kepentingan dunia sebagai matlamat dan tujuan kehidupan kita. Semoga usia dan masa kita dapat dimanafaatkan dalam zikir dan tafakkur kepada-Nya

    ReplyDelete
  3. Baru ambil pakaian dah masuk neraka...

    mendapatkan kekayaan dengan mengkhianati perjuangan islam dengan cuba membawa parti Islam bergabung dengan parti nasionalis....

    masuk neraka yang ke berapa...??

    ReplyDelete
  4. Muqabalah, indah pekerti kamu mudah2an begitu lah hendaknya isi hati yg melahirkan kenyataan indah itu.

    Anon 7.59am diatas sebenarnya telah menghianati diri dia sendiri kerana kebodohan diri(maaf kalau basa ni bunyi kasar) dia telah menutup kebenaran.

    Sama2lah kita doakan diri kita dan Anon diatas supaya dikurniakan Allah taufik, hidayah dan innayah dan sentiasa berada dlm kebenaranNya utk diberikan perpisahan roh dr jasad dlm keadaan "husnulhatimah".

    ReplyDelete