Sunday, May 30, 2010

Tegahlah Kemungkaran Semampu Kita

قال رسول صلى الله وسلم: من راى منكم منكرا فليغيره بيده فان لم يستطع فبلسانه فان لم يستطع فبقلبه وذالك اضعف الايمان --مسلم وابو داود و ابن ماجه
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa sallam: "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menukarnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka tukarkanlah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah sedaif-daif iman"

Saya termenung selepas guru saya memperlihatkan huraiannya terhadap hadith ini ; sesuatu yang saya tidak terduga sebelumnya. Beliau menyandarkan huraian itu kepada gurunya Syaikh Muhammad Ali al-Maliki, syaikh besar di kalangan ulama Makkah pada era 50'an dan sebelumnya. Hadith ini meminta kita menegur untuk mencegah kemungkaran berdasarkan kemampuan kita, dan yang paling daifnya adalah kita tukar(yakni tegur) dengan hati kita. Katanya teguran yang paling daif ialah apabila hati kita mengingkari kemungkaran itu semata-mata kerana Allah. Keingkaran terhadap kemungkaran itu tidak didorong oleh sebab-sebab lain kecuali dan selain menjunjung perentah Allah.

Sekiranya timbul keikhlasan di dalam hati, maka bertindaklah dengan tangan atau dengan lidah untuk menegur kemungkaran itu mengikut kesesuaian. Jika tidak timbul keikhlasan semata-mata menjunjung perentah Allah, ini bermaksud kita tidak mempunyai keupayaan hatta di peringkat yang paling daif. Aduhai, keupayaan yang paling minima itupun terlalu sukar untuk kita hayati dengan sebenarnya; maka apalah lagi untuk menentukan gerak tangan dan lidah yang tulus semata-mata menjunjung perentah Allah tanpa sebarang kepentingan sampingan.

Beliau mengingati sekiranya kita tidak mempunyai keupayaan yang minima itu, dan kita bertindak menggunakan tangan dan lidah kita walaupun atas nama mencegah kemungkaran , maka mungkin sahaja kita memperolihi dosa melebihi kebajikan. Umpamanya ianya adalah perbuatan maksiat untuk mengintai aib orang lain, ia adalah perbuatan maksiat untuk membuka aib orang lain., Ianya dosa besar untuk merasai diri kita lebih baik daripada orang lain, kerana itu adalah sifat takabbur. Sifat yang mengeluarkan Iblis dari golongan muqarrabin dan diharamkan rahmat Allah.

Kita mencegah kemungkaran semata-mata kerana menjunjung perentah Allah yang ditaklifkan ke atas kita, tanpa tujuan untuk membuka aib orang lain , tanpa perasaan yang kita lebih baik daripada mereka yang ditegur. Semoga Allah merahmati Almarhum guru saya itu!

Beberapa tahun lalu saya membaca apa yang dicatitkan oleh Syaikh Said al-Bouti, ulama besar dari Damsyik tentang pengalaman peribadinya berkenaan perkara ini:

"Pada suatu hari dalam bulan Ramadan, saya melihat seorang lelaki datang ke arah saya. Di suatu jalan ketika dia melihat saya, segera dia memasukkan rokok ke dalam mulutnya lalu mengeluar asapnya supaya saya nampak yang dia tidak berpuasa di hadapan orang ramai.
Perbuatan lelaki itu menyebabkan saya sangat marah. Adakah marah tersebut kerana Allah? Saya segera bertanya kepada diri saya tentang hal ini. Saya berusaha untuk mendapat jawaban yang sebenar. Sesungguhnya saya dapati jawaban yang menyedihkan, sebahagian besar kemarahan saya itu berpunca dari sakit hati saya kerana sikap lelaki itu tidak mempunyai rasa segan silu dan meremehkan diri saya yang dianggap ulama.

Sekiranya saya berpenampilan biasa, tanpa pakaian yang dibiasai oleh ulama dan lelaki itu secara terang-terangan tidak berpuasa di hadapan saya dalam bulan Ramadan, dia tidak sedikit pun menunjukkan segan-silu atau menghirau saya; saya bertanya diri saya soalan yang sama. Saya dapati kemarahan saya tidaklah sekuat marah saya sekarang ini.

Sekiranya begitu, jelaslah marah saya itu bukan marah kerana Allah, kemarahan itu berpunca dari rasa tidak dihormati selayaknya. Begitu ramai manusia yang ingin sekali dihormati oleh orang lain kerana merasa dirinya memilki ilmu agama yang luas, dia merasakan yang dia mempunyai kelebihan ke atas orang lain.

Hal seperti ini kerap juga berlaku antara guru agama dengan murid-muridnya yang suka berbohong, antara seorang muslim dengan yang bukan muslim yang berdebat kerana yang bukan muslim itu dikata menghina kepribadian yang muslim. [bukan kerana kebenaran agama]"

Syaikh Said al-Bouti menyebut kemudiannya:

Maka apabila kita ikhlas kerana Allah dalam urusan dakwah, hendaklah kita akui bahawa kesombongan yang telah bersarang di dalam diri dan kemudiannya kita namakannya sebagai 'marah kerana Allah' itu lebih banyak berbanding amalan yang tulus ikhlas yang kita telah persembahkan untuk Allah. Hendaklah kita akui ini adalah penyakit tenat di dalam kehidupan para daie' dan orang-orang yang terlibat secara langsung atau tidak dengan kerja-kerja dakwah

Semoga Allah menganugerahi kita kecermatan dalam soal-soal yang sebegini. Semoga kita lebih banyak menjenguk ke dalam diri, merasai Tilik Allah itu lebih berharga daripada tilik segala makhluk. Allah menilik kepada hati kita , sedangkan makhluk menilik zahir kita. Semoga kita difahamkan tabiat dan ajaran agama yang mulia ini oleh Allah serta ditaufiqkan untuk beramal semata-mata mencari keredaan-Nya.

No comments:

Post a Comment