عن ابى هريرة رضى عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما نقصت صدقة من المال وما زادالله عبدا بعفو الا عزا وما تواضع احد لله الا رفعه-----مسلم
Rasulullah Salaallahu 'alaihi wasallam bersabda; " tidak berkurangan harta dengan bersedeqah, Allah tidak menambah bagi hamba-Nya yang memaafkan kecuali penghormatan, dan tidak merendah diri kerana Allah kepada sesiapa kecuali diangkat (kemuliaan)nya"
Lihatlah elemen keseimbangan di dalam bentuk pertentangan yang sentiasa berlaku di dalam kehidupan di dunia kita. Seolah-olah datangnya berpasangan. Ada kiri adalah kanan. Ada malam adalah siang. Ada susah adalah senangnya. Ada tinggi adalah rendahnya. Konsep ini di dalam peradaban Cina dipanggil Yin-Yang, ianya sangat ditekan di dalam kefahaman Toa. Kadang-kadang kita terlupa tentang konsep 'yin-yang' ini, apa lagi kita juga terlupa konsep berpasangan yang disebut berkali-kali di dalam al-Quran.
Dalam perkiraan biasa bagi manusia, harta akan berkurangan apabila kita mengeluarkan sedeqah. Katakan kita ada 10 barangan, kita sedeqahkan 2, logik matametik kita menyimpulkan secara tepat yang berbakinya adalah 8. 8 itu sudah tentu kurang daripada 10.
Sekiranya kita memaafkan keterlanjuran orang lain, mengikut perkiraan logik biasa, ini akan menutup pintu untuk kita untuk menebus balik (to get even) apabila terdapat peluang untuk kita. Tindakan ini seakan mempamirkan yang kita lemah dan rela kerugian mungkin dari segi nama baik atau harta kita yang telah dirosakkan. Maklumlah kemaafan itu hanya keadaan hati kita yang rela melepaskan kesalahan orang lain yang kemudiannya kita terjemahkan dalam bentuk perkataan atau tulisan. Sedangkan orang yang membuat kesalahan itu tidak perlu cucul (mengembalikan) sesuatupun kepada kita.
Agak sulit untuk kita mententeramkan hati kita untuk menyakini hakikat yang sikap merendah diri itu akan meninggikan kemuliaan kita. Bagi kita semakin merendah, maka secara relatifnya orang lain akan semakin tertinggi kerana kerendahan kita, walaupun bukan kerana bertambahnya tinggi mereka.
Tetapi itu semuanya itu khayalan dan andaian kita. Khayalan dan andaian ini berlaku kerana cara kita berfikir secara dua dimensi. Cara kita adalah cara menghitung sebab dan akibat tanpa mengambil kira musabbib (penyebab kepada sebab). Sedangkan peristiwa yang berlaku dalam alam kita diperanankan pada peringkat multi-dimensions; sebagaimana yang menyetujui dan diputuskan oleh Iradah Allah yang mengatasi dimensi itu.
Teringat kepada soalan dalam perumpamaan Tao: Tugas takar ialah untuk menyimpan air minuman. Maka bahagian mana daripada takar air yang menyimpan air? Adakah bahagian dinding takar daripada tanah liat atau ruang kosong yang berada di antara dindingnya itu? Kita kerap terlupa kepada hakikat kerana terpesona dengan kebiasaan.
Ada perkara yang di dalam kehidupan kita yang seumpama di atas nilaian kayu jongkang-jungkit. Semakin kita jongkang ke atas, maka semakin ujung satu lagi akan ke bawah. Semakin kita jungkit ke bawah, maka hujung satu lagi semakin naik ke atas. Apabila ada perkara yang naik, maka adalah yang turun.
Dalam Tao Teh King (English traslation)di sebut:
'The wise holds in his embrace the one thing( i.e: humility) and manifests it to all the world. He is free from self-display and therefore he shines, from self-assertion and therefore he is distinguished, from self-boasting and therefore his merit is acknowledged, from self-complacency and therefore he acquires superiority. It is because he is free from striving [to promote himself] therefore no one in this world is able to strive with him."
Teringat juga tulisan seoreang sarjana mathematics barat yang mengupas tentang krisis Israel-Palestine yang sedang berlaku sebagaimana yang tersiar di dalam New York Times beberapa masa yang lalu. Katanya masaalah ini adalah masaalah yang berkaitan dengan persoalan matematik. Bagi Israel , mereka mengira sekira terdapat 10 orang pejuang Palestine dan mereka berjaya membunuh 4 orang daripada mereka, maka yang tinggal hanyalah 6 orang. Penentangan semakin mengurang. Itu sifir mereka.
Bagi Palestine pula, sekiranya mereka ada 10 orang pejuang dan Israel membunuh 4 orang daripada mereka, maka 12 pemuda lain akan bangkit secara bersemangat menyertai perjuangan untuk menuntut bela. Jadi jumlah pejuang akan bertambah menjadi 18 orang. Katanya selagi sifir kedua pihak ini tidak dapat diselaraskan, selagi itulah krisis ini akan berpanjangan.
Sehingga di dalam algebra pun, muqabalah dilakukan untuk mengimbangi dua ekspresi bertentangan yang disempadani tanda persamaan.
nota sisipan:
Semoga sahabat kita , Ustaz Hasanuddin Muhammad Yunus dianugerahi Allah ketenangan dalam zikrullah, kemanisan dalam ibadah, taqarrub yang mengasyikkan serta dikira-kira Allah bersama angkatan Salahuddin al-Ayubi yang dikabulkan jihad mereka. Semoga keluarga beliau tabah menanti kepulangan beliau yang masih ditahan oleh pihak Israel. Semoga beliau masih ingat untuk memasukkan nama kami di dalam doa beliau walaupun beliau terhempit permasalahan. Doa seorang pejuang itu sangat hampir untuk dimakbulkan Allah sehingga dia kembali.
No comments:
Post a Comment