Hampir setiap minggu, hanya kadang-kadang setiap hari kita terpaksa mendengar ada saja kes buang bayi. Saya mengagak yang paling banyak buang bayi adalah orang kita, Melayu Islam. Sebagaimana yang paling banyak kena AIDS dan tagih dadah juga adalah orang kita.
Entah sampai bila permasalahan-permasalahan ini akan reda, untuk AIDS dah ada Pink Ribbon, untuk dadah dah ada Pengasih, Pemadam, ADK dan lain-lain. Tetapi kita masih dalam terowong masaalah yang belum nampak cahaya di penghujungnya.
Kenapa dalam petaka seumpama ini, maka kita orang Melayu yang beragama Islam lah yang paling ramai?, Setakat ini saya hanya mampu mengingati apa yang ditulis oleh Maulana Abul Hassan an-Nadwi yang menyebut orang bukan Islam umpama orang yang buta semenjak lahir, mereka tahu menyesuaikan diri dalam keadaan gelap gulita, mereka dapat melakukan aktiviti hidup dengan cara mereka. Sedangkan kita orang Islam lahir dalam cahaya , kita kemudiannya buta, maka amat susah untuk kita menyesuaikan diri. Dalam menjalani kehidupan , kita asyik terlanggar objek itu dan ini. Parahnya buta orang yang dilahirkan celek berganda-ganda dari buta orang yang lahirnya buta! Itulah keadaan bangsa kita sekarang ini......
Pada tahun 1990'an dulu, ada segelintir bijak-pandai yang mengesyurkan agar diberi condom percuma kepada sesiapa yang terlibat dalam kegiatan seks rambang dan pengguna dadah, kata Marina Mahathir kita tidak boleh mengharapkan uthopia yang mana tiada orang yang terlibat dengan seks luar nikah dalam masyarakat. Kita mesti praktikal, agaknya maksudnya mengakui terdapat perbuatan zina berlaku dan sekan-akan kita hendaklah mengesahkannya, hanya kita kawal biar zina itu selamat dari segi kesihatan.
Agaknya walaupun kesnya tidak sama; kita akui ada perbuatan mencuri, membunuh dan merogol dalam masyarakat kita. Apakah perlu kita memberi pengesahan kepada perbuatan ini dan sekadar mencari jalan agar ianya tidak memerbahayakan pelaku dan mangsa jenayah tersebut atau mengurangkan sedikit tahap bahayanya itu.
Kembali kepada petaka buang bayi, tentunya hampir keseluruhan kes buang bayi ini berpunca dari ibu mengandung anak luar nikah, lain perkataan anak zina. Petaka buang bayi ini adalah buah dari pokok yang beracun, ianya fenomena yang zahir dalam masyarakat yang mana zina berlaku berluasa. Kita perlu bertanya apakah faktor-faktornya yang mengheret anak muda kita ke dalam kancah jenayah zina; sekiranya kita menemui punca-puncanya, maka hendaklah kita rawat dari punca-punca tersebut. Adalah perbuatan yang meletihkan untuk kita bersungguh-sungguh membuang buah ranum yang sangat lebat dari pokok beracun yang sangat subur, dan adalah lebih bijak sekiranya kita berusaha untuk membuang akar-umbi pokok tersebut daripada kita mencari tangga dan sabit untuk mengerat buah-buahnya. Hanya kadang-kadang perbuatan membuang sebahagian buah itu akan menyuburkan lagi pokok, maka banyaklah lagi buah baru yang akan terhasil.
Kroniknya masyarakat kita ini kerana kita masih terikat dengan nilai-nilai agama dan budaya; kalaulah masyarakat, minta dijaukan Tuhan, menerima anak zina tanpa sebarang prejudice , agaknya kes buang bayi ini tidak akan seteruk sekarang, Sekiranya masyarakat kita sudah hilang pegangan agama dan adat-resam, maka akan terjadilah mekanisma tertentu dalam masyarakat yang membolehkan masyarakat mencapai equalibirium dalam kerangkanya sendiri.
Cadangan hukum bunuh terhadap pasangan yang membuang bayi pada pandangan saya adalah termasuk dalam usaha membuang buah , tetapi membiarkan pokok tumbuh subur. Pokoknya adalah perbuatan zina. Baja dan air siramannya adalah cara pergaulan, bentuk hiburan, penggunaan dadah, perbuatan meminggirkan agama. Selagi baja dan air siraman ini diperolehi oleh pokok itu, selagi itulah ia akan subur dan berbuah lebat.
Oleh itu agaknya adalah lebih wajar kita usahakan ke atas pokok tersebut, kita hindarkan ia daripada baja dan airnya. Kita kerat sebahagian batangnya, yakni kita hukumkan perbuatan zina dan yang membawa kepada penzinaan dengan hukuman setimpal. Dan tiada hukuman yang lebih setimpal kecuali hukuman yang Allah dan Rasul-Nya tentukan.
Lagipun adakah ibu-bapa yang membunuh anak mereka itu juga dihukum bunuh?. Di dalam kerangka sistem hukum mana yang kita berfikir?
No comments:
Post a Comment