Dalam cuba memahami sedikit sebanyak perbincangan di sekitar Dinar-Dirham, saya membaca beberapa kitab feqah jawi dan arabnya, yakni perbincangan oleh ulama mazhab Imam as-Shafi'ie rahmatullahi 'alaihi. Perbincangan-perbincangan mereka sangat menyegarkan kita, Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani agaknya di kalangan ulama Melayu klasik yang paling banyak membincangkan persoalan dinar dan dirham. Syaikh besar ini bukan setakat membahaskan kenapa 'zahab '(emas) dipanggil zahab, kenapa 'fiddah' (perak) dipanggil fiddah. kenapa dinar dipanggil dinar dan kenapa dirham dipanggil dirham, bahkan beliau membandingkan berat kedua logam ini dengan sukatan berat orang Melayu; berapa biji saga , berapa keping duit kupang, Feqahnya juga sangat beradunkan ajaran kerohanian.
Peliknya dari segi mineralogy kedua logam mulia (precious metals) ini sahaja secara tabie yang minerals-nya wujud sebagai 'native metals'; tanpa oxide, sulphide, carbonate....... Bererti ianya tulin dari mula asalnya lagi. Kemudian saya menjumpai catitan Syaikh Najib al-Muti'ie dalam ta'liq-nya kepada kitab al-Majmu' , Syarah Muhazzab tentang beberapa keistimewaan kedua jenis logam ini.
Saya juga sangat menyukai buku ' زكاة النقود الورقية المعاصرة' tulisan ideolog Hizbut Tahrir; Dr. Mahmud al-Khalidi. Tulisannya berfakta serta ilmiyyah dalam beliau membela pengasas H.T, Taqiyyudin an-Nabhani yang menulis tentang perlunya ummah kembali kepada matawang Dinar-Dirham pada tahun 1950 lagi. Sehingga kalau kita membaca blog yang dikendalikan oleh penyokong H.T, kita akan dapati dakwaan yang tokoh semasa yang terawal mengajak ke arah itu adalah Taqiyyudin an-Nabhani. Jauh lebih awal daripada kelompok Murabitun.
Dalam saya membelek buku-buku alMarhum Ustaz Dato' Muhammad Che Wok, mantan mufti kerajaan Kelantan, saya menjumpai sebuah buku lusuh berjudul ,بحوث اقتصادية
yang ditulis oleh Dr. Muhammad Ibrahim . pensyarah ekonomi dan politik di University Paris. Buku ini diterbitkan pada tahun 1936 (1354H) . Perbincangannya tentang matawang adalah terlebih detail dan menarik secara perbandingan, sangat-sangat bermaklumat, Turut dibincangkan tentang monometallisme dan bimetallisme bagi penggunaan matawang logam dan belbagai jenis serta peranan matawang kertas. Secara jujur saya tidak pernah menjumpai tulisan se-detail ini dalam tajuk ini kecuali dalam buku ini. Subhanallah
Satu lagi yang saya temui dalam pembacaan saya yang menyebabkan saya tersenyum sendiri, antara riwayat yang masyhur tentang penempaan dinar dan dirham dalam ummah ini ialah di zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Beliau telah memerentah Hajjaj Yusuf ath-Thaqafi, gabenor yang dicatit sebagai zalim dan keras itu untuk menempa dirham pada tahun 75H.
Sejarah seakan memberitahu kita tidak semesti seorang yang wara' dan adil sahaja yang Tuhan tentukan untuk melakukan perubahan besar dalam sejarah ummah ini, Selain daripada menempa dinar-dirham, Hajjaj yang seorang hafiz al-Quran jugalah yang dikatakan memberi tanda-tanda bacaan bagi al-Quran. Seakan-akan sejarah memberitahu kita yang sekiranya adalah terdapat perkara-perkara yang tidak kita senangi pada mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk menjulang sebahagian daripada tanggung-jawab ummah, ketidak-senangan kita itu hendaklah kita simpan dan bantulah mereka dalam melaksanakan kebajikan.
Rupa-rupanya tajuk Dinar Dirham ini sangat luas diperbincangkan oleh ulama silam, termasuk ulama Melayu kita. Ianya sangat menarik dan mengkagumkan. Sebelum mana-mana kelompok mahu menolaknya, hendaklah mereka terlebih dahulu menyelidik perbincangan ulama bagi perkara ini. Bagi mereka yang menganggap Dinar Dirham adalah segala sesuatu, ianya terlalu pokok sehingga mengatasi kepentingan-kepentingan lain dalam syara juga perlu menyelidik semula perbincangan ulama kita, yang kita warisi zaman berzaman.
Marilah kita menyambut kelahiran semula Dinar Dirham ,nuqud shari'ah, ke dalam masyarakat kita dengan rasa tawaddu dan bersyukur. Kita cuba fahamkan kepentingan dan peranannya mengikut feqah Islami. Marilah kita utamakan sabdaan Rasululullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, niscaya dia difeqahkan di dalam kefahaman agama". Kita ketepikanlah sentimen dan emosi kita.....
No comments:
Post a Comment