Saya masih teringat pada hari penamaan calun pada PRU 1990, Gemulah ayah mertuanya mengajak saya dan isteri ke rumah anak sulungnya di Taman Wangi, Gua Musang. Setiba di sana dia menyatakan hasrat sebenarnya ke Gua Musang ialah untuk menyertai perarakan mengiringi Tengku Razaleigh . Saya memberitahunya menjadi prinsip saya untuk tidak menyertai upacara kegiatan politik kepartian yang sedemikian. Maka dia turun seorang di pekan Gua Musang dan saya berjanji akan datang mengambilnya selepas perarakan itu.
Dia memberitahu saya yang dia agak rapat dengan Tengku Razaleigh, memandangkan dia pernah bertugas sebagai kontraktor penyelengara istana. Dia mencerita yang Tengku Razaleigh adalah seorang remaja yang suka membaca, dia membawa buku hatta ketika berkelah bersama keluarga di Pantai Semerak. Tengku Razaleigh memanggil bapa mertua saya sebagai 'Pak Man'. Dia juga pernah menyebut tentang Ku Serimah(Tengku Sri Maharaja), ayahandanya Tengku Razaleigh.
Apa yang jelas kepada saya, sentuhan Tengku Razaleigh kekal lama melekat pada ingatan ayah mertua saya, walaupun sepanjang saya menjadi menantunya, mereka tidak pernah berjumpa. Mungkin ramai lagi orang yang mempunyai penglaman seperti mertuanya, Ku Li mempunyai sentuhan peribadinya yang tidak ramai di kalangan kita miliki.
Ku Li nampaknya tahu membaca 'gerak' orang Kelantan, dia tahu bagaimana menggubahnya mengikut resonance, dari getaran yang kecil menjadi besar. Lihatlah peranan Ku Li dalam menjatuhkan PAS pada tahun 1978, menjatuhkan UMNO 1990 dan kini 'merampas semula' Galas.
Asabiyyah di kalangan orang Kelantan masih kuat, sesama baka Kelantan dipanggil "orang kita", sementara yang selainnya dipanggil "orang luar". Hinggakan sekiranya ada pergaduhan sesama "orang kita', kemudian meletus pergaduhan satu pihak "orang kita" dengan "orang luar", maka 2 pihak "orang kita" yang bergaduh itu akan bersatu untuk sementara kerana bersama menghadapi ancaman "orang luar". Ku Li faham premise ini, tetapi mungkin Datuk Mustafa Muhammad dan Datuk Awang Adek tidak faham perkara ini. Mereka berdua sanggup membelakangkan kepentingan "orang kita" kerana ingin bersama dengan pihak "orang luar" di Lembah Kelang. Lihatlah soal tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri.
Ku Li telah berjaya menjadi pertarungan di Galas sebagai pertarungan anak beranak, sama-sama "orang kita" belaka. Ku Li membuat kenyataan akhbarpun masih dalam nada berbalah kira-kira sesama orang kita. PAS pula masih dalam sangkar gempurnya yang sama. Oleh itu PAS kelihatan 'terlebih lajak dari laju'. Lihatlah kenyataan Datuk Abd. Halim Abdul Rahman, kenyataan-kenyataannya mungkin relevant pada tahun 1980'an dan 1990'an, seolah-olah ianya kenyataan sebelum era internet, yang bersifat"rough & dry".
Rakyat tidak memilih antara dua 'agama', sebagaimana yang ingin digambarkan dalam kenyataan TGNA, tetapi rakyat terpengaruh dan memilih berdasarkan faktor-faktor yang lebih nyata dan tangible (bukan berdasarkan kefahaman). Lagipun mungkin kedua parti mendakwa berlainan bahkan bertentangan faham, tetapi dari segi akhlaq dan gaya , keduanya tidak banyak berbeza. Satu bagi duit cash, satu lagipun bagi duit cash juga. Satu janji projek, satu janji hak-milik tanah. Satu belum menunaikan janji yang ditabur dalam pilihanraya dulu-dulu, satu lagipun serupa juga. Satunya banyak ahli bercakap "I- you" , satu lagi banyak ahlinya bercakap "ana-anta". Pemimpin dari satu parti datnga dengan kereta mewah, pemimpin yang satu lagipun datang dengan kereta mewah juga,
Rakyat tempatan merasai persaingan ini adalah persaingan antara "orang kita", pihak satunya tidak banyak mendatangkan jentera dari luar negeri, pihak satu lagipun begitu. Hanya untuk masyarakat cina, satu itu hampir menyerahkan peranan kempen kepada DAP, DAP adalah parti luar, orang cina Kelantan hampir serupa tabiatnya dalam soal ini dengan orang Melayu Kelantan. Kalau di universiti sebagai contoh, siswa Cina Kelantan banyak bergaul sesama cina Kelantan, mereka tidak banyak bergaul dengan cina luar, kalau tidak ramai cina Kelantan, mereka akan bergaul dengan Melayu Kelantan. Sama-sama makan budu!
Lagipun cina Kelantan , di kawasan Kota Bharupun ramai yang mengundi PAS atas dasar kerajaan Negeri tidak menyusahkan mereka dalam urusan perniagaan mereka dan juga mereka bimbang kalau BN menang di Kelantan, ramailah cina luar akan berhijrah ke sini. Dan mereka, cina Kelantan, tidak mampu untuk bersaing dengan cina luar yang lebih banyak modal, lebih ke depan dalam banyak hal.
Semangat asabiyyah Kelantan boleh dilihat pada semangat penyokong The Red Warriors, mana ada penyokong negeri lain yang segitu taasub dengan pasukan negeri mereka sebagaimana penyokong Kelantan. Datuk Abd Halim Ab.Rahman mungkin terlepas pandang tentang fenomena ini.
Dari segi 'track-record' kedua parti yang bertanding bagi penduduk Gua Musang, mereka sudah lupa kelemahan-kelemahan pentadbiran UMNO dulu, kerana jarak masa yang lama. Bahkan sebahagian pengundi sekarang masih anak-anak ketika UMNO terguling pada tahun 1990.Tetapi mereka menyaksikan apa yang sedang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan sekarang, mereka mengalami bagaimana sebahagian tanah-tanah pusaka mereka yang telah diterokai oleh datuk nenek mereka sebelum Perang Jepun, sebelum darurat, sebelum UMNO jatuh pun telah di'ladang rakyatkan', dianugerah kepada NGO, diberi kepada syarikat-syarikat Ali- Baba dan bukan bumiputra dari kalangan 'orang luar' atau 'cina luar'. Bahkan ada tanah perkuburan lamapun disukat untuk dijadikan ladang kelapa-sawit.
Orang Asli jarang melihat pemimpin negeri di kampong mereka, tetapi air sungai yang menjadi sumber air minuman mereka banyak tercemar kerana pembukaan tanah ladang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Paling kurang dekat pilihanraya, satu pihak berjanji untuk memberi mereka projek pembangunan, wang tunai yang lebih banyak, ada minuman dalam kopi, ada rokok walaupun pihak satu lagi juga menghulur tetapi tidak semewah itu. Itupun wang tersebut kemudiannya didakwa sebagai duit zakat, yang diberi secara sangat tidak formal tanpa sebarang majlis, ya sambil-sambil duduk di atas batang kayu lalu dihulurkan wang yang bergulung........
Semoga pilihanraya kecil ini membawa pengajaran kepada semua pihak, ada orang umpama Ku Li yang semakin berumur semakin matang politiknya, ada orang seumpama Datuk Ab. Halim yang semakin berumur semakin berkarat strateginya. Pihak negeri perlu melihat semula isu ladang komersial, isu kawasan balak- siapa taukeh , siapa dalang di belakang semua ini?. Pihak PAS sentiasa menekankan kewajiban secara agama bagi rakyat untuk menyokong calon mereka, tetapi adakah mereka menekankan juga kewajiban secara agama wakil rakyat mereka terhadap rakyat, selain daripada mendapat imbuhan dan berkempen untuk parti?.
Dan UMNO Kelantan pula mungkin kekal di takuk lama tanpa banyak perubahan , sekiranya dipimpin terus oleh pemimpin sekarang seumpama Datuk Pa, Datuk Awang Adek yang tidak faham-faham mekanisma politik dan sosial masyarakat Kelantan. Ya mungkin UMNO perlu berubat dengan Tok Bomohnya yang asal yang faham 'angin' rakyat walaupun dia telah berusia lanjut
PAS akan menjadi relevant sekiranya ia tidak menganggap ianya lebih suci daripada parti lain kerana namanya Islam, tetapi nama Islam padanya itu menyebabkan ianya lebih takut kepada kemurkaan Allah kerana bimbang menyalah-gunakan nama agama. PAS sepatutnya 'talk the walk' , hanya malangnya hingga sekarang ianya tidak berperanan 'walk the talk'; sekadar 'talk the talk'.
Jadilah bahagian hulu bagi Kelantan digenggam UMNO, ia akan terus menikam, tetapi sekiranya PAS cekap bersilat walaupun UMNO menggenggam hulu dan menghunusnya kepada PAS, PAS mampu dan berupaya untuk menangkis dan tikaman itu akan terhunam mencarikkan dada UMNO sendiri, mungkin membawa ajal.....
No comments:
Post a Comment