Sunday, November 28, 2010

Fi Amanillah Cheng Ho

Seorang rakan saya dari Manila pernah memberitahu saya yang Bandaraya Manila itu asal sebutannya Fi Amnillah, ia dahulunya bandar pelabuhan Kesultanan Islam, sebelum dikalahkan Sepanyol. 'Fi amanillah' adalah sebutan doa perpisahan salam sebelum bermusafir; "semoga di dalam kesejahteraan daripada Allah".

Itulah sebutan yang kita rakamkan sempena berakhirnya persinggahan Expo Cheng Ho di Kota Bharu, Expo Cheng Ho menziarahi Kota Bharu kali ini dalam musim tengkujuh, pada musim banjir yang terburuk pernah terjadi di Kedah dalam masa 100 tahun. Alhamdulillah cuaca di Kota Bharu pula hanya kadang-kadang mendung dan hujan renyai-renyai di sepanjang seminggu expo itu berjalan. Sangkaan kita adalah Allah menilik usaha ini dengan Tilikan Rahmat, kita diberitahu yang Allah menilik kita pada hati kita, tujuan dan arah-tuju maksud kita.

Expo ini menyerlahkan beberapa renungan yang menarik:

1- Sukarelewan yang berkhidmat terdiri kebanyakannya daripada pelajar Sekolah Agama dan Sekolah Cina, suatu pandangan yang sungguh menarik. Kelicinan kerjasama dalam menjalankan tugasan masing-masing terserlah. Pelajar-pelajar Sekolah China menjadi jurubahasa bagi peserta-peserta dari Negara China, bahkan mereka menterjemahkan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan Islam secara khusus, seperti tulisan khat al-Quran dan hadith, terjemahan al-Quran dalam bahasa cina, peranan Cheng Ho sebagai seorang muslim, artifak Islam di China dan lain-lainnya. Mereka cuba memahamkan kita yang beragama Islam dan tidak memahami Mandarin tentang Islam dengan menterjemahkan apa yang diterangkan oleh peserta-peserta Islam dari China tanpa sebarang prejudis atau terasa digugat pegangan agama mereka. Saya sangat mengharapkan semua pengalaman ini akan menjadi permulaan yang bermakna bagi mereka dan yang lainnya untuk memahami Islam tanpa sebarang buruk-sangka. Sekiranya ada seorang sahaja di kalangan mereka yang akan mendapat hidayah, maka makna bagi expo ini tersangatlah besar. Lebih besar daripada dunia dan seisinya.

2-Rakyat Kelantan kehausan temasya. Kalau dulunya ada Pesta Puja Umur Sultan, permainan rakyat yang belbagai jenis dan pertandingan di belbagai peringkat, Maka kekosongan itu terisi secara positifnya dengan Temasya Expo Cheng Ho. Mereka boleh bersantai bersama anak isteri melihat Adili berjalan di atas tali, mereka boleh menonton pertunjukkan Shoalin serta persembahan lainnya, semuanya oleh saudara-saudara seagama mereka dari China.
Memberi peluang kegembiraan (surur) kepada orang Islam yang lain secara sewajarnya adalah sesuatu yang digalakkan oleh agama. Kegembiraan bagi manusia itu mengikut peringkat dan keadaan masing-masing, tidak hanya terdapat suatu jenis kegembiraan.

Tidak hairanlah punya bersemangat pengunjung yang datang berduyun-duyun dari hari pertama sehingga ke hari terakhir. Pada hari terakhir itu, walaupun sebahagian booth telah kosong, tetapi pengujung tetap tidak mengalah. Expo ini juga perlu dinilai sebagai hiburan alternatif yang berjaya dijalankan oleh pihak berkuasa negeri.

3-Ianya adalah suatu 'regional event'; bukan setakat di peringkat negeri atau kebangsaan. Ucaputamanya disampaikan oleh Dr. Surin Pitsuwan, SU Agong ASEAN . Pembentang lainnya datang daripada belbagai negara. Termasuk oleh generasi ke 19 Laksamana Cheng Ho sendiri. Suatu sejarah baru bagi Kelantan telah tercatit dengan megahnya. Sudah tentu event sebegini mustahak datangnya dari keazaman yang tinggi melampau sekatan dan hambatan setempat dan semasa. Datangnya dari seorang yang 'stand on a giant's shoulder".

4-Ianya bukan merupakan rhetorik politik yang mengajak masyarakat bukan Melayu untuk mengenali Islam, tetapi ianya bersifat amali. Kelihatan orang-orang cina, lelaki dan perempuan, yang sudah berumur dan remaja mengunjungi pameran Cheng Ho, mereka mengkagumi Mushaf al-Quran yang terpanjang dan Mushaf yang bersadurkan emas. Mereka dengan bangganya mengakui sumbangan ummah Islam berbangsa China kepada tamaddun ummah.

Dr. Tan, 75 tahun, seorang Kristian, yang merupakan pengerusi Persatuan Kajian Cheng Ho Sedunia, sangat berusaha untuk menyakinkan khalayak tentang relevannya theori dan amalan politik antarnegara yang disumbangkan oleh Cheng Ho. Cheng Ho mendatangi negara-negara lain dengan semangat 'sharing the friendship & prosperity", tanpa cuba mengalahkan negara lain seumpama yang diamalkan oleh kuasa-kuasa besar sekarang, terutamanya Amerika. Misi damai dan kemakmuran yang dibawa Cheng Ho, seorang Muslim itu besar maknanya apabila ditutur dengan penuh kekaguman oleh pengkaji-pengkaji bukan Islam.

5-Publisiti untuk Kelantan di China tidak pernah mendapat liputan sedemikian hebat. Agaknya jika dibelanjakan sejumlah wang yang berlipat ganda, dihantar trade-missions bertali-arus ke negara China, kesannya belum tentu sehebat kesan Expo Cheng Ho. Mana-mana manusia dan bangsa akan tersentuh apabila tokoh besar dalam sejarah mereka dijulang dan diketengahkan. Mereka akan bangga untuk terlibat dan berkerjasama untuk tujuan itu. Masyarakat dagang dan pentadbiran di China menilik Kelantan tidak seumpama sebelum persinggahan Expo Cheng Ho, mereka meletakkan Kelantan di suatu tempat tersendiri. Mereka menyebut Chilatan dengan mengangkat ibu-jari. Alhamdulillah.....

6-Sekarang ini selepas harapan sebahagian masyarakat dagang China tinggi menggunung kepada inisiatif yang dimulakan dengan Expo Cheng Ho ini, bagaimanakah pihak berkuasa Kelantan akan mengemudikan peluang ini agar menatijahkan hasil-hasil yang menguntung ummah, menguntungkan negeri dan negara?.

Sauh pelayaran Armada Cheng Ho baru diangkat, ianya bukan berlabuh di sini untuk selamanya tetapi akan terus membelah samudera mencari peluang dan kesempatan untuk berkerjasama dan saling menguntungkan. Kita telah bermula dengan jayanya, semoga kejayaan itu akan terus-menerus meningkat tanpa terbantut oleh kerenah kita sendiri...

bersambung....

1 comment:

  1. Di, galeri muszium dia kata Manna Allah is the right one for Manila...

    ReplyDelete