1-Menyantuni Sesama Muslim.
Penafsiran dan pemahaman agama dalam masyarakat kita banyak dicorakkan oleh aliran politik, apa yang diistilahkan sekarang ini sebagai 'political Islam'. Walaupun mungkin sahaja istilah ini banyak digunakan oleh orientalis, tetapi ianya juga telah lebih awal digunakan oleh ulama kita sendiri, seumpama Maulana Abu Hasan Ali an-Nadwi, terutama ketika Maulana mengeritik beberapa kefahaman dalam tulisan Maulana Maududi. Atau secara umumnya, aliran ini telah disanggahi oleh Badiuzzaman Said an-Nursi di banyak tempat dalam tulisannya. Ianya juga disentuh oleh Syaikh Said Ramadan al-Bouti, Syaikh al-Hadith Maulana Zakariyya al-Kandahlawi dan selain mereka.
Di tempat kita sendiri, kemuncak ungkapan kepada pengukuhan aliran 'political Islam' ini ialah apa yang dikenali sebagai Amanah Haji Hadi : "Siapa yang kata politik suku, agama suku, maka dia jadi kafir ; tak payah masuk kristian, atau masuk yahudi" (lebih kurang itulah mafhumnya.) Amanah Haji Hadi ini adalah kenyataan yang berbentuk 'very crude', dalam erti kata, tanpa ianya membeza politik itu politik apa, suku itu suku yang macam mana. Tetapi ianya pernah menjadi begitu laris dijaja dalam masyarakat kita. Kenyataan-kenyataan yang hampir-hampir senada, walaupun mungkin dalam bentuknya yang lebih lunak , masih kedengaran hingga kini terutama dari tokoh-tokoh umpama Ustaz Harun Taib dan Tuan Guru, Dato Nik Abdul Aziz.
Agaknya sudah tiba masanya kita renungkan semula tahap ketepatan penafsiran agama dalam acuan 'political Islam' ini, kita imbas kembali keberkesanan penghayatan Islam dalam acuan ini. Lalu dengan itu, diharapkan kita dapat mengekalkan apa-apa yang baik, meluruskan apa-apa yang terbengkuk dan menepikan apa-apa yang tidak sepatutnya.
Antara kesan daripada penerapan acuan kefahaman Political Islam ini ialah timbul keretakan sesama muslim. Kita banyak menilai saudara seagama kita berdasarkan kecenderungan politik mereka atau penglibatan mereka dalam parti yang mana. Kita sehingga mempersoalkan pegangan aqidah mereka hanya berdasarkan sokongan mereka terhadap sesuatu parti, tetapi pada masa yang sama boleh pula kita bertasamuh dengan mereka yang menganut fahaman aqidah yang jelas bertentangan dengan aqidah kita, umpama fahaman Shiah, tafsiran mujassimah, aliran takfir, ajaran batiniyyah dan aliran modernist serta seumpamanya, sekiranya mereka menganggotai parti yang sama dengan kita.
Marilah kita renung semula pendirian kita itu berdasarkan anjuran agama kita yang luhur tanpa dicemari oleh mana-mana kepentingan. Dalam nota ringkas ini, kita hadkan setakat dulu kepada perspektif kita serta orientasi kita kepada muslim yang lainnya.
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
من صلى صلاتنا واستقبل قبلتنا وأكل ذبيحتنا: فذلك المسلم الذي له ذمة الله وذمة رسوله ولا تخفروا الله في ذمته رواه البخاري
"sesiapa yang sembahyang dengan sembahyang kami, menghadap Qiblat kami, makan sembelihan kami; orang yang demikian itu adalah seorang muslim, yang mana baginya perlindungan dari Allah dan perlindungan dari Rasul-Nya, janganlah khianati Allah pada perlindungan-Nya. "
Ketika disoal Imam Abdullah at-Tustari rahimahullah:
"bilakah kita boleh mengetahui yang sesungguhnya seseorang itu di atas aliran Ahlu as-Sunnah wa al-Jamaah ?"( متى يعلم الرجل أنه على السنة والجماعة ؟ )
Beliau mengatakan: " Apabila diketahui pada dirinya sepuluh perkara: Dia tidak meninggalkan al-Jamaah . Dia tidak mencemuh para sahabat Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam. Dia tidak keluar memerangi ummah ini menggunakan pedang. Dia tidak mendustakan al-Qadr (Qada Qadar Allah). Dia tidak ragu-ragu pada iman. Dia tidak berbantah-bantahan dalam soal agama ( ولا يمارى فى الدين)
Dia tidak meninggalkan sembahyang jenazah ke atas sesiapa yang mati dari kalangan ahli al-Qiblah kerana dosa yang telah dilakukan. Dia tidak meninggalkan amalan menyapu atas dua khuf (ketika dia memakai khuf iaitu sarung kaki yang biasanya diperbuat daripada kulit). Dan dia tidak meninggalkan al-Jamaah (sembahyang jamaah) di belakang setiap (imam) semada zalim atau yang adil.
(perkataan ini dipetik oleh Abdul Hamid al-Hindawi يdalam bukunya دراسات حول الجماعة والجماعات yang beliau mengatakan terdapat dalam kitab شرح أصول اعتقاد أهل السنة والجماعة للالكائى
Hari ini disebabkan acuan kefahaman agama yang kita gunakan, banyaklah di antara kita yang bersikap tegas dan menggunakan neraca yang cukup strict ketika menghukum ke atas orang Islam dari kumpulan yang lain, tetapi bersikap 'tak apa-apa' ketika berhukum ke atas diri sendiri dan orang kafir. Seakan-akan yang diri kita sendiri ini telah terjamin selamat daripada sifat munafiq atau rosak aqidah, hanya muslim dari kumpulan lain yang sentiasa terdedah kepada kemusnahan aqidah. Seakan-akan kekufuran orang kafir itu lebih ringan daripada dosa dan maksiat orang Islam. Oleh itu kita sering label-label sesama sendiri. Ya Allah selamatkan kami dari segala petaka.
Allah memperingatkan kita tentang layanan kita sesama Islam dalam ayat 9-12 surah al-Hujurat. Allah menyatakan bahawa kita sesama muslim adalah bersaudara, kita diperentahkan oleh Allah agar mengusahakan islah ( kehidupan yang aman-tenteram) sesama muslim. Allah melarangkan kita dari menghina muslim mahupun muslimat dari kumpulan yang berlainan, mungkin sahaja yang muslim dan muslimat yang dihina itu lebih baik di sisi Allah daripada yang menghina. Allah melarang kita dari cela-mencela sesama muslim, Allah melarang kita dari memberi gelaran-gelaran buruk kepada sesama muslim. Perbuatan sedemikina itu adalah maksiat, dan kita perlu bertaubat. Allah memerentah kita agar menjauhi sangka buruk sesama Islam, Allah melarang kita daripada mencari aib orang lain serta mengumpati saudara muslim yang lain.
Ayat-ayat ini adalah ayat-ayat muhkamat, pengajarannya sangat jelas dan tidak memerlukan ulasan yang panjang-lebar untuk kita segera memahami serta untuk beramal dengan suruhan dan menjauhi tegahan Allah. Sudah tentu suruhan-suruhan Allah di dalam ayat-ayat ini juga adalah hukum-Nya, yang wajib kita junjung. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada tergolong di kalangan mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah.
"Ya Allah janganlah engkau jadikan dunia (harta-benda, kekuasaan, pengaruh, pemerentahan atau anak-pinak) sebagai pertimbangan yang terpenting bagi kami, dan janganlah Engkau biarkan kami diperentah oleh mereka yang tidak mempunyai kasihan belas kepada kami (iaitu nafsu kami atau penguasa di dunia ini).
2- Mutlaknya Kuasa Allah.
Saya sangat terkilan membaca lapuran dalam beberapa akhbar dan blogs tentang kenyataan seorang pemimpin Islam tempatan yang mengatakan Allah campur-tangan dalam kejatuhan Mubarak itu . Bagaimana boleh kenyataan sdemikian dapat terlatah keluar dari seorang yang berilmu yang kita hormati. Semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita dan keterlanjurannya.
Agaknya inilah sebahagian daripada faedahnya kita belajar aqidah melalui kaedah Sifat 20. Kita diajar tentang taaluk Iradah dan Qudrah Allah. Berdasarkan huraian ilmu aqidah berdasarkan Sifat 20 ini, kita diajar yang semua ini berlaku dengan Iradah Allah, Allah lah yang menjadikan kita dan perbuatan kita. Apa-apa yang Allah tidak kehendaki tetap tidak akan berlaku, apa-apa yang Allah tidak jadikan tetap tidak akan terjadi. Kita akan disoal tentang perbuatan kita oleh Allah, Allah tidak akan disoal tentang perbuatan-Nya.
Bagaimana tergamak kita mengatakan Allah campur tangan?. Ungkapan 'campur-tangan' biasanya bermaksud awalnya orang lain yang mengusahakan sesuatu, lalu ada pihak lain yang turut melibatkan diri semada secara positif atau negatifnya. Sedangkan pemahaman sebegitu tidak layak kita sandarkan kepada Allah. Iradah Allah adalah mutlak, Qudrah Allah adalah mutlak. Agaknya istilah yang lebih sesuai untuk digunakan adalah kemenangan itu terhasil dengan pertolongan Allah.
Allah mengajar kita supaya jangan kita didindingi oleh batasan pancaindera dan lintasan pemikiran kita semata-mata
فلم تقتلوهم ولاكن الله قتلهم ومارميت اذ رميت ولكن الله رمى
Maka sebenarnya bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melontar, tetapi Allah lah yang melontar (al-Anfal:18)
Imam al-Hafiz Abu bakar bin Abu Shaibah (w:235h), imam ini merupakan salah seorang daripada syaikh kepada Imam Bukhari dalam kitabnya Kitabu al-Adab mendatangkan sebuah athar:
حدثنا ابن نمير عن الأعمش عن ابي راشد أن أختا لعبيد بن عمير استشفعت برجل عليه فقالت : أنما هو بلله وبك, فغضب وقال: انا وهو با لله
Ibnu Numair menceritakan dari al-'Amasy dari Abi Rashid sesungguhnya , saudara perempuan bagi 'Ubaid bin 'Umair telah menggunakan syafaat (recommendation) seorang lelaki untuk mendapat sesuatu dari abangnya. (Selepas dia mencapai hajatnya) dia berkata: "sesungguhnya ia (tercapainya hajatnya itu) dengan kerana Allah dan dengan engkau".. Maka lelaki itu menjadi marah dan mengatakan: (Dengan) saya?, Ianya (semata-mata) kerana Allah".
Atau apa yang dikatakan dalam hadith yang diriwayat oleh Ibnu Umar Radiyallahu 'anhuma dalam Sunan ad-Darimi , sebagaimana pada nota kaki bagi athar di atas:
لا تقولوا مشاء الله وشاء محمد ولكن قولوا شاء الله, ثم شاء محمد
Jangan kamu katakan "apa yang dikehendaki Allah dan dikehendaki Muhammad", tetapi katakanlah " yang dikehendaki Allah, kemudiannya dikehendaki Muhammad".
Semoga Allah menjadikan kita daripada golongan yang menjaga adab dengan Allah, menjaga adab dengan Rasul-Nya, menjaga adab dengan pewaris Rasul-Nya. Semoga kita melihat kebenaran sebagai kebenaran, dan dijadikan kita mampu mengikutnya. Semoga kita melihat kesalahan sebagai kesalahan walaupun darimana ianya datang,, dan dijadikan kita mampu menjauhinya.
No comments:
Post a Comment