1. Gelora di Negara Arab.
a-Pagi tadi saya mengikuti berita dalam Tv al-Jazeerah, melihat bagaimana tunjuk perasaan berlaku di Bahrain, Yaman, Morrocco, Algeria, yang paling dahsyatnya di Libya. Rakyat negara-negara ini bangun berdemonstrasi dengan cekal dan sanggup berdepan dengan rintangan kerana mengharapkan akan berlaku perubahan ke arah kebaikan.
b-Terdapat interview dengan seorang senator dari Amerika di Yahoo News; senator ini mengatakan US tidak sepatutnya membiarkan Muslim Brotherhood berkuasa, walaupun beliau mengakui sekiranya diadakan pilihanraya di Masir, Muslim Brotherhood adalah kumpulan yang paling berpeluang untuk mendapat sokongan majoriti rakyat, alasannya mudah :1) mereka bukan demokrat sebenar, walaupun mereka menyertai atau menang pilihanraya sekalipun, kerana mereka sebenarnya berhasrat untuk menukar Masir menjadi negara Islamic Dictatorship. Amerika tidak boleh membenarkan ini. 2) kemenangan Muslim Brotherhood akan mengancam hak minoriti kristian dan hak kebebasan wanita,
Jadi Amerika hendaknya menyokong tentera, sebagai kuasa penentu di negara Masir. Aduhai itulah sebenarnya wajah demokrasi Amerika! Bukan kepatuhan kepada amalan dan nilai demokrasi yang mereka timbang, tetapi mereka mengutamakan kepentingan mereka sendiri, walaupun di dalam sebuah negara lain yang berdaulat. Sehingga siapa yang layak memimpin sebuah negara merdeka dan berdaulatpun , mereka yang mahu tentukan!
c-Di negara-negara arab yang mempunyai pilihanraya, adalah suatu perkara yang pelik sekiranya presiden yang berkuasa tidak menang pilihanraya dengan majoriti mengatasi 90%. Sekiranya dinilai populariti pemimpin-pemimpin negara arab berdasarkan keputusan pilihanraya, maka merekalah sepatutnya pemimpin dunia yang paling disukai oleh rakyat. Tetapi demostrasi yang sedang merebak ini telah menunjukkan keadaan yang di sebaliknya. Mereka sebenarnya sangat dibenci rakyat, mereka hanya sekadar menipu diri mereka sendiri dengan angka peratusan kemenangan yang mereka perolihi dalam pilihanraya itu. Sekiranya ingin ditukar pemipin arab melalui sistem pilihanraya, ,maka keinginan itu sudah tentu menghampiri garis kemustahilan.
Tetapi Allah mentakdirkan pertukaran itu berlaku di luar gelanggang pilihanraya, walaupun mereka mempunyai segala sokongan daripada jentera kerajaan, tenteranya, polisnya, akhbar dan siarannya, pegawainya tetapi masih lagi mereka itu sebenarnya sangat vunerable. Mereka tidak mampu dan tidak berupaya mencengkam arus penentangan dengan segala sokongan yang mereka ada.
Inilah pengajaran yang kita perlu ambil iktibar daripadanya. Kerajaan kita sendiripun, sekiranya bersungguh-sungguh ingin terus kekal berkuasa melalui kemenangan pilihanraya, sehingga sanggup melakukan perlanggaran kepada peraturan dan susila yang sedia ada, maka usaha itu belum tentu menjamin mereka akan kekal berkuasa. Ambillah pengajaran dari negara-negara Arab tersebut.
Kita mengharapkan keamanan dan kententeram negara kita akan terus menerus bertambah baik, oleh itu sangat diharap pihak berkuasa, di peringkat negeri atau di peringkat negara, jangan hendaknya menyalah gunakan procedure mahkamah dan undang-undang untuk mengenakan pihak lawan. Ingatlah bukan setakat doa orang yang dizalimi itu dimakbulkan Allah, tetapi kesan seorang yang berada di dalam penjara secara yang tidak sewajarnya akan jauh lebih parah daripada dia berada bebas. Terdiamnya seorang banduan yang sengaja 'dikenakan' akan mengaum secara yang lebih lantang dan lebih berkesan daripada suara-suara lantang dari corong speaker para penceramah.
Maka marilah kita ajak para pemimpin kita, baik di peringkat negeri ataupun nasional agar mengutamakan tugasan untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanahair. Sekiranya mereka kalah sekalipun dalam pilihanraya, mereka akan dapat berdiri tegak (standing tall) dalam lipatan sejarah kerana record khidmat mereka yang baik dan ketulusan niat mereka. Sekiranya mereka menang, maka itu adalah peluang untuk mereka menyambung tanggung-jawab yang nantinya akan ditanya oleh Allah! Apalagi mengingatkan yang kalah-menang kita bukannya menjamin kelangsungan agama ini, bukan penentu syurga dan neraka!
2- Alunan Memuji Junjungan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam.
Alhamdulillah kita berada di dalam bulan Rabi' al-Awwal, bulan yang kebanyakan ulama mengatakan bulan yang mana Rasulullah dizahirkan di dunia ini.
Di antara tulisan yang sangat saya kagumi tentang sambutan maulid ar-rasul ini, ialah tulisan Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lataifu al- Ma'arif. Ianya mencatatkan hadith-hadith tentang keutamaan Rasulullah bukan setakat selepas baginda dilahirkan, bahkan keistimewaan baginda sebelum ditiup ruh ke dalam jasad Saiyyidina Adam lagi. Imam ini juga mendatangkan hadith tentang Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam berpuasa pada hari ithnin kerana ianya hari kelahiran baginda dan hari diturunkan ke ats baginda an-Nubuwwah.
"ذاك يوم ولدت فيه وأنزلت على فيه النبوة
Ini menunjukkan kita dimustahabkan puasa mana hari yang Allah anugerahkan Rahmat ke atas hamba-Nya. Dan sebesar-besar nikmat di atas ummah ini ialah dizahirkan Nabi Muhammad bagi mereka, dibangkitkannya dan diutuskannya kepada mereka, sebagaimana firman Allah:
لقد من الله على المؤمنين أذ بعث رسولا من أنفسهم
"Sesungguhnya Allah memberi anugrah ke atas golongan mukminin ketika Dia membangkitkan seorang Rasul dari kalangan mereka" (ali -'Imran :164)
Maka nikmat ke atas ummah ini dengan sebab terutusnya baginda lebih besar daripada nikmat bagi mereka berbanding dengan nikmat Allah jadikan langit dan bumi, matahari, bulan dan angin, dan siang serta malam, dan diturunkan hujan, dan dicambahkan tumbuhan serta lainnya
Kerana kesemua nikmat tersebut adalah umum kepada seluruh makhluq daripada Bani Adam. termasuk yang kufur kepada Allah, rasul-Nya dan pertemuan dengan-Nya di akhirat. Adapun nikmat terutusnya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam, maka dengan ialah sempurnanya kebaikan dunia dan akhirat, disebabkannyalah kengkaplah agama Allah yang diredai-Nya bagi hamba-hamba-Nya, menerima kerasulan bagindalah syarat kesempurnaan kebahagian dunia dan akhirat mereka, maka berpuasa pada hari yang mana Allah anugerahkan nikmat ke atas hamba-Nya yang mukmin adalah perbuatan yang baik lagi indah, ianya daripada perbuatan berdepan dengan nikmat pada masa ianya dianugerahkan dengan kesyukuran, ianya seumpama puasa pada Hari Asyura' , iaitu hari yang Allah selamatkan Nabi Nuh daripada banjir, hari yang Allah selamatkan Nabi Musa dan kaumnya dari Fira'aun dan tenteranya, Dan hari yang mana firaun dan tenteranya tenggelam lemas. Nabi Nuh dan Nabi Musa berpuasa kerana bersyukur kepada Allah, Rasulullah berpuasa padanya kerana mencontohi anbiya Allah, Baginda bersabda kepada penganut Yahudi :Kami lebih berhak ke atas Nabi Musa daripada kamu", Baginda berpuasa pada hari itu dan baginda memerentah para sahabat untuk juga berpuasa. (intaha)
Kita menerima yang sebahagian daripada upacara sambutan yang dibuat oleh manusia ramai ada yang bertentangan dengan ajaran Islam, umpamanya percampuran lelaki dan perempuan, permainan alat-alat bunyian yang terlarang, hampa daripada perasaan membesarkan Rasulullah tetapi menumpukan kepada hiasan yang zahir seperti perarakan, atau juga pembaziran. Tetapi semua ini masih tidak menolak yang amalan memperingati Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam pada hari dan bulan kelahiran baginda adalah sesuatu perbuatan secara intrinsic-nya adalah suatu kebajikan, bukannya suatu amalan yang bertentangan dengan syariat atau tidak digalakkan dalam agama.
3- Saiyyidina Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam adalah Semulia-mulia Makhluq Allah
Akhir-akhir ini timbul kecenderungan untuk beranggapan yang Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam itu adalah manusia biasa, hanyalah baginda diturunkan wahyu. Anggapan sebegini biasanya disandarkan kepada beberapa ayat yang merakamkan pengakuan para anbiya termasuk rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam sendiri. Antara ayat tersebut ialah : ayat 11 Surah Ibrahim, ayat 93 surah al-Isra', ayat 110 surah al-Kahfi, ayat 6 Surah Fussilat. Ayat-ayat ini merakamkan pengakuan anbiya yang mereka adalah juga manusia. Pengakuan para anbiya ini tidak sedikitpun mengganggu penghormatan kita kepada para anbiya. Bahkan dengan ayat-ayat ini kita melihat kelebihan pada mereka, yang mereka begitu tawaddu' tanpa dakwaan itu dan ini secara yang tidak sepatutnya.
Kita juga seharusnya melihat tuduhan golongan kafir kepada para anbiya yang mereka ini hanya pembohong, mereka hanya mengada-ngada dalam dakwah mereka kerana mereka, para anbiya' ini hanyalah manusia. Hujjah para anbiya itu adalah manusia biasalah yang dijadikan sandaran untuk menolak agama yang dibawa mereka oleh golongan kafir. Lihat ayat 10 surah Ibrahim, ayat 3 al-Anbiya, ayat 24 dan ayat 33 surah al-Mukminun, ayat 154 & 186 surah as-Syu'ara, ayat 15 surah Yasin, ayat 6 surah at-Taghabun, ayat 27 surah Hud.
Begitu juga Iblis yang engkar sujud kepada Saiyyidina Adam kerana katanya Adam adalah (hanya) manusia yang dijadikan daripada tanah liat kering daripada lumpur hitam yang dibentuk bentuk. (ayat 33 surah al-Hijr). Orang kafir menolak ajaran yang dibawa rasul kerana mereka terlindung dari kebenaran kerana terlalu memandang dan mengambil berat kepada kemanusian para rasul. Mereka hanya nampak para rasul makan dan minum, berjalan di pasar, serupa dan sama sahaja dengan mereka. Antaranya al-Quran menyebut perkataan orang kafir yang menolak kebenaran yang dibawa oleh para anbiya:
ومامنع الناس أن يؤمنوا أذ جاءهم الا ان قالوا أبعث الله بشرا رسولا
Dan tidak ada sesuatu yang menghalangi manusia untuk beriman tatkala datang pertunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka: "Adakah Allah mengutuskan seorang manusia menjadi rasul?" ( al-Isra: 94)
Kita belum bertemu penyataan daripada golongan beriman di dalam al-Quran yang menekan aspek manusianya seorang rasul kecuali Saiyyidina Abu Bakar membaca ayat 144 surah ali-'Imran di masa para sahabat masih tidak dapat menerima hakikat kewafatan Rasulullah, ayat itu pun dengan jelas menekankan aspek kerasulan Rasulullah:
وما محمد الا رسول قد خلت من قبله الرسول أفائن مات او قتل انقلبتم على اعقابكم ومن ينقلب على عقبيه فلن يضرالله شيئا وسيجزى الله الشاكرين
Muhammad itu tidak lain kecuali seorang Rasul, sungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul, Apakah apabila dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)?. Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.
Sempena bulan Rabi' al-Awwal yang diwangikan dengan selawat dan salam kepada Junjungan Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam, marilah kita memerhati serta memperlunakkan adab kita terhadap Rasulullah, Kekasih Allah ini, Rasul yang sangat kita harapkan syafaat baginda di akhirat kelak, Rasul yang ingin kita habiskan segala milik kita untuk menatap wajahnya yang mulia. Serta marilah kita menghayati pengajaran dari surah al-Hujurat.
No comments:
Post a Comment