Kita sudah berada, takdirnya, pada zaman yang kerap-kali kebenaran dilihat sebagai kelemahan dan kepalsuan dilihat sebagai kekuatan. Kita sudah berada di zaman yang mana ramai yang mempercayai perkara palsu sebagai kebenaran, akibat daripada kepalsuan yang jijik telah dihiasi dengan sedemikain rupa dan diulang-ulang sehingga mampu menimbulkan keraguan yang kemudiannya ditelan sebagai kebenaran.
Di atas nama strategi perjuangan, di atas nama demi mempertahankan kekuasaan, di atas nama helah peperangan, di atas nama untuk mengelak mudarat yang lebih besar; maka pembohongan telah diperlihatankan sebagai putih. Pembohongan dibina atas pembohongan, pembohongan melahirkan pembohongan, pembohongan mengandakan pembohongan. Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
أن الصدق يهدى ألى البر وأن البر يهدى الى الجنة وأن الرجل ليصدق حتى يكتب عند الله صديقا وأن الكذب يهدى ألى الفجور وأن الفجور يهدى ألى النار ,وأن الرجل ليكذب حتى يكتب عند الله كذابا
Sesungguhnya benar itu menunjuk kepada kebajikan, dan sesungguhnya kebajikan menunjuk kepada syurga. Dan sesungguhnya seorang lelaki akan berlaku benar sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang amat benar. Dan sesungguhnya pembohongan itu membawa kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Dan sesungguhnya seorang lelaki akan berbohong sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang amat pembohong.
(Bukhari-Muslim).
Allah memerentah kita agar bergabung diri dengan golongan yang berada di atas kebenaran, golongan yang menjunjung kebenaran, golongan yang menghayati kebenaran:
يا أيها الذين أمنوا اتقوا الله وكونوا مع الصادقين
Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan beradalah bersama dengan orang-orang yang benar.
Allah melarang kita berada bersama dalam perbincangan yang memperkatakan subjek yang bertentangan dengan kebenaran:
فلا تقعدوا معهم حتى يخوضوا فى حديث غيره أنكم أذا مثلهم
Jangan kamu duduk beserta mereka sehingga mereka berbincang perkara yang selainnya, sesungguhnya sekiranya kamu tidak melakukan sedemikian, kamu adalah sama dengan mereka
Kalau dulu pendustaan hanya banyak tersebar melalui lidah, tetapi sekarang pendustaan merebak dengan maraknya umpama api yang membakar jerami kering melalui media semasa umpama internet. Pendustaan yang menjadi semakin canggih, seakan-akan wujudnya suatu kemahiran tertentu, wujud skim yang tersusun dalam merancang dan menyebar kepalsuan. Kita menjadi makin terlupa dosa penipuan, kita semakin lalai dari azab akibat kebinasaan. Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
كبر خيانة أن تحدث أخاك حديثا هو لك به مصدق وأنت له به كاذب
Besarnya perbuatan khianat sekiranya engkau sampai kepada saudara engkau suatu berita yang dia percaya benarnya berita tersebut, sedangkan dengan cerita tersebut engkau membohonginya (Bukhari dalam al-Adab Mufrad, Abu Daud, Baihaqi)
Sekiranya kita mengambil berat perentah Allah dalam soal-soal sebegini, kita secara peribadi akan menjadi lebih sejahtera di dunia dan akhirat, masyarakat kita menjadi lebih tenteram:
فلا تطع المكذبين ودوا لوتدهن فيدهنون ولاتطع كلا حلاف مهين هماز مشآء بنميم مناع للخير معتد أثيم عتل بعد ذالك زنيم أن كان ذا مال وبنين أذا تتلى عليه اياتنا قال أساطير الأولين شنسمه على الخرطوم
Jangan kamu ikuti golongan pendusta. Mereka mengharapkan kamu bersikap berjinak-jinak dengan mereka, oleh itu merekapun akan berjinak dengan kamu. Dan jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah dan berakhlaq hina. Mereka yang suka mencaci dan ke sana ke mari menyebar hasutan. Yang amat suka menghalang kerja-kerja kebajikan, yang keterlaluan dalam membuat durjana. Yang kejam, selain itu daripada itu yang telah terkenal kejahatannya. (Kerana) dia mempunyai banyak harta dan anak-pinak (maka dia melakukan perkara-perkara yang terlarang). Apabila dibacakan atasnya ayat-ayat Kami (ayat al-Quran), dia berkata: "ini adalah dogeng-dogeng orang dahulu-kala". (Orang yang sedemikian sifat itu akan didedahkan kehinaannya) nanti Kami (Allah) akan kenakan tanda (umpama tanda pada haiwan) di atas belalainya (di atas batang hidungnya). (al-Qalam: 8-16)
Sekiranya, peringatan daripada Allah dan rasul-Nya tidak memberi kesan apa-apa kepada kita, maka paling kurang kita mungkin masih mengingati kisah untuk anak-anak yang telah kita dengar ketika kecil-kecil dahulu, kisah tentang seorang anak yang ditugaskan untuk menternak biri-biri di padang ragut. Setelah beberapa lama sunyi berseorangan, dia telah berteriak "serigala-serigala", orang kampong bergegas-gegas datang untuk menolong, tetapi mereka dapati anak itu hanya berbohong. Selang berapa lama, kerana kesunyian budak itu mengulangi lagi permainannya, dia berteriak "serigala-serigala". Sekali lagi orang kampong keluar bergegas-gegas dan hanya mendapati anak itu sekali lagi berbohong, Sehingga suatu hari serigala benar-benar datang menyerang biri-biri ternakannya, dia melolong-lolong "serigala-serigala". Orang kampong yang mendengar lolongannya tersebut hanya mengeleng-ngeleng kepala , kerana menyangka budak itu berbohong lagi.
Itukan anak kecil yang tidak langsung berniat untuk merosakkan maruah orang lain, dia sekadar bosan dan merasa kesunyian berada di padang ragut berseorangan; sekarang ini kita telah terlalu banyak mendengar lolongan "serigala-serigala" dari golongan dewasa yang menjadi pengembala bagi masyarakat kita, mungkin sangat niat mereka pun tidak semudah niat anak pengembala dalam dogeng tersebut. Kitapun secara spontan akan terus mengeleng-negeleng kepala apabila mendengar lolong-lolongan pengembala-pengembala dewasa tersebut sambil terus berkata : "orang tua itu dah mula merapu semula".
No comments:
Post a Comment