Tanpa pengecualian, semua orang beriman mahu menjalani kehidupan mereka berlandaskan suruhan Tuhan, menjauhi larangan Tuhan. Kita semua bercita-cita untuk patuh sepenuhnya kepada ketetapan Allah, serta sangat mengharap yang ketetapan itulah yang akan mengawal uruan batin kita, mengawal kehidupan peribadi kita, mengawal kehidupan berkeluarga kita, mengawal kehidupan bermasyarakat kita dan seterusnya. Kita akan berjaya untuk mengurus dan diurus secara yang dikehendaki Allah hanyalah kerana rahmat anugerah dari-Nya , apa yang kita sebut sebagai hidayah dan taufiq-Nya, bermula dari pengurusan dalaman kita; bagi mendapat keikhlasan dan lain-lain sifat hati yang terpuji sehingga kepada pengurusan bekerajaan dan urusan antara kerajaan termasuk peperangan. Subhanallah, Allah menganugerahkan kita hukum syara yang meliputi segala aspek kewujudan kita, soal aqidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayah dan tazkiyyatu an-nafs. Tiada yang tercicir.
Antara ketentuan syara yang Allah taklifkan ke atas kita ialah perlaksanaan hukum jenayah, ianya sebahagian daripada elemen yang sepatutnya terdapat dalam kerajaan dan negara Islam. Ianya bukan 'terasing' dari elemen-elemen Islam yang lain, bahkan ianya berhubung rapat tanpa terpisah dari elemen-elemen yang merupakan ciri-ciri pemerentahan Islam. Ianya juga mempunyai rukun, syarat, mani' (penghalangnya) sebagaimana perkara lain dalam feqah Islam. Sebagaimana sembahyang dan puasa serta lain-lain ibadat itu adalah kefarduan ke atas kita, Semua fardu ini mempunyai syarat wajibnya, syarat sahnya, rukunnya serta mani' -nya. Tetapi ianya bukan wajib 'aini di atas setiap orang Islam, ianya diwajibkan ke atas penguasa dan institusi yang berkaitan dengan pihak berkuasa.
Sembahyang walaupun ianya wajib, dan ianya ibadat yang membezakan antara iman dan kufur; ianya juga masih mempunyai syarat wajibnya umpama: syaratnya adalah berakal , baligh, Islam , suci dari haidh dan nifas, masuk waktu. Ianya juga mempunyai syarat sahnya: umpama suci dari hadath besar dan kecil, menutup aurat, menghadap qiblat, tidak bersentuh atau menanggung najis; selain ianya mempunyai rukun-rukunnya yang kita kenali sebagai rukun 13.
Katakan seorang itu mempunyai segala syarat wajib sembahyang, begitupun dia perlu terlebih dahulu mengangkat hadath, membersih diri dari najis, menutup aurat, menentukan arah qiblat dan mempelajari rukun-rukun sembahyang sebelum beliau menunnaikan sembahyang. Begitulah juga dengan ibadat dan ketentuan hukum syara' yang lainnya. Prerequisite -nya perlu dipenuhi, sehingga prerequisite itu turut menjadi wajib, kerana tanpanya, kefarduan itu tidak akan terlaksana.
Nah sekarang ini kita akui kewajiban melaksanakan hukum jenayah Islam tertanggung di atas pundak kita ummat Islam secara kolektif secara amnya, di atas pundak pihak yang berkuasa secara khususnya. Kita perlu mengakui kewajiban kita menyediakan pre-requisites bagi perlaksanaan hukum tersebut, Tidak memadai, sebagai contoh, bagi seorang ketua kerajaan untuk mendakwa yang kerajaan pimpinannya bersedia untuk melaksanakan hukum hudud, tetapi prerequisite untuk melaksanakan hukum tersebut tidak diperdulikan kecuali menyediakan enactment jenayah sejak 20 tahun yang lalu. Bagaimana mungkin akan sempurna perlaksanaan hukum tersebut untuk dilaksanakan dalam kerangka perundangan dan penguat-kuasaan yang ada sekarang ini, walaupun kita mendakwa kita punya enactment hukum jenayah syariah. Dakwaan sebegini mungkin menghampiri dakwaan pihak berkuasa di Masir pada peringkat awal pemerentahan Presiden Anwar Sadat , apabila kerajaan pimpinan beliau memasukkan perkara ke 2 dalam Perlembagaan Masir yang menyatakan bahawa sumber perundangan Masir berasaskan masdar syariat Islami (al-Quran dan as-Sunnah)
Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam meninggalkan kita dengan contoh ikutan yang baik, Allah memerentah Rasul-Nya untuk mengisytiharkan :
قل هذه سبيلى أدعوا ألى ألله على بصيرة أنا ومن اتبعنى وشبحان الله وما انا من المشركين
Katakan ya Rasulullah : "Inilah Jalan (agama)ku, kami mendakwah kepada Allah atas basirah, aku serta pengikutku. Maha suci Allah, dan bukanlah aku daripada golongan musyrikin".
Rasulullah telah mendakwah penduduk Makkah kepada mentauhidkan Allah, membina akhlaq, menjayakan kehidupan ubudiyyah, bersikap prihatin kepada anggota masyarakat, sedia patuh kepada Allah dan Rasul-Nya selama 13 tahun lebih . Natijah daripada penghayatan perkara-perkara yang mulia dan utama ini yang sudah terpacak kukuh dalam dada-dada ummat, Allah membuka kepada mereka jalan untuk bertapak di Madinah. Di Madinahpun perkara-perkara yang mulia dan utama ini masih menjadi asas kepada dakwah Rasulullah , masih menjadi intipati kepada dakwah Rasulullah. Sehinggakan Allah menyifatkan ummat ini sebagai ummat yang terbaik kerana ciri-ciri iman, mennyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar. Allah menyifatkan Rasululullah serta pengikutnya , yakni para sahabat adalah golongan yang tegas menghadapi orang kafir, berkasih-sayang sesama sendiri, terkesan pada wajah-wajah mereka tanda sujud kepatuhan mereka kepada Allah, seakan mereka adalah pohon yang akan mengeluarkan buah-buahan yang lebat pada ketika musimnya.
Allah menjanjikan mereka kerana keimanan mereka dan amal soleh mereka dengan kekalifahan di muka bumi, Allah gantikan ketakutan dan kebimbangan mereka dengan keamanan, Allah memperteguhkan kedudukan mereka sehingga mereka dapat menundukkan kuasa-kuasa besar di zaman mereka.
Mereka adalah sebaik-baik generasi, mereka disediakan oleh dakwah yang bawa oleh Rasulullah untuk menerima kebenaran dan kecenderungan mereka adalah untuk hidup di atas kebenaran. Maka dengan suasana yang sebegini apabila akhirnya turun ayat mengharamkan arak, mereka terus memecahkan tempayan-tempayan arak mereka. Apabila turun ayat untuk melabuhkan hijab perempuan, wanita-wanita mereka mencarikkan kain-kain untuk dibuat kain hijab. Secara umumnya, suasana masyarakat mereka cukup ranum untuk menerima sebarang perentah Allah dan Rasul-Nya.
Inilah dia Jalan Rasulullah dan pengikut baginda, walaupun ramai manusia yang tidak akan faham. Adapun penglibatan dalam jalan-jalan yang selain itu, bukanlah jalan yang ditunjukki oleh Rasulullah. Penglibtan kita dalam proses pilihanraya atau selainnya merupakan penglibatan kita dalam sistem non-Islami, kita sekadar menumpang sistem itu untuk melindungi dan mencari ruang untuk Jalan kita, yakni menjayakan kehidupan berdasarkan keimanan, amal soleh dan dakwah kepada Tauhid.
Agaknya bolehlah kita manafaatkan kisah yang terdapat di dalam sirah Rasululullah, yang mana baginda mendapat perlindungan dari institusi Arab jahiliyyah, iaitu institusi asabiyyah berdasarkan keturunan. Rasulullah dilindungi oleh Bani Hashim, walaupun mereka tidak menyetujui dakwah Rasulullah, mereka melindungi baginda kerana semangat asabiyyah kerana baginda adalah darah-daging mereka. Begitu juga Rasulullah ketika turun dari Taif telah dilindungi oleh seorang yang terkenal perkasa di kalangan ahli Makkah, bukan kerana dia beriman yang Rasulullah membawa kebenaran, tetapi itulah institusi masyarakat yang wujud ketika itu.
Tetapi janganlah pula kita terlalu asyik dengan tumpangan sementara kita, janganlah kita menghabiskan tumpuan dan tenaga di situ, janganlah kita menjadikan tumpangan sekunder itu sebagai manhaj dan matlamat utama kita. Yang akan membawa kita kepada rahmat kehidupan ditadbir oleh syara' bukanlah melalui jalan sekunder ini, tetapi mengikut Jalan yang ditunjukki oleh Rasulullah. Jalan dakwah dan Jalan menghayati kehidupan tauhid dan ubudiyyah. Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan tersebut.
Kembali kepada perlaksanaan hukum jenayah Islami, sudah tentu ianya adalah tuntutan agama sebagaimana tuntutan-tuntutan agama yang lainnya. Ia tidak sepatutnya digunakan sebagai bahan politik, kerana agama itu mengatasi kepentingan politik. Ia tidak perlu digunakan untuk menyesatkan golongan lain, tetapi bukan pula untuk menyalahkan kita sendiri kerana gagal melaksanakannya. Kita tidak perlu bertanya kepada golongan non-muslim, kerana asasnya mereka tidakpun menerima usul agama iaitu beriman kepada kebenaran Islam, mana mungkin mereka menerima kebenaran furu'nya , yakni hukum jenayah. Sebagaimana kita tidak bertanya mereka tentang kewajaran sembahyang, puasa, zakat dan haji kita.
Atau mana mungkin sekiranya kita tidak melatih diri kita untuk patuh kepada maqasid as-syariah yang enam itu pada peringkat peribadi, menjaga kehormatan agama , jiwa, aqal, keturunan, maruah dan harta, kita akan mampu membina masyarakat yang akan menjayakan perlaksanaan hukum tersebut. Kita mungkin hanya mampu bercakap tentang perlaksanaan hukum Islam, kita persalahkan orang lain sedangkan kita tidak pula mendukungnya sepenuh jiwa raga kita.
Lihatlah dalam sistem yang non-Islami, apabila didakwahkan yang dadah itu terlalu buruk, dipanggil najis, masyarakatpun bersedia untuk menerima hukuman bunuh untuk pengedar dadah. Bagaimana kominis itu dianggap jahat dan mengancam, maka sesiapa yang dikaitkan dengan faham kominis ditahan tanpa bicara. Jadi adakah kita sudah dakwahkan keindahan dan keadilan syara Islam sehingga paling kurang ummah ini bersedia dan menunggu-nunggu untuk diurus berdasarkan syara? Atau kita sekadar menakut-nakut penyokong parti lawan agar tidak terus bersama parti mereka atau demi menghalang ahli kita dari meninggalkan parti kita.
Sikap mencemuh golongan lain kerana mereka tidak memperjuangkan hukum jenayah Islam serta mencanangkan yang golongan kita sendirilah yang wira dalam isu ini mungkin merupakan suatu keterlanjuran. Kita dituntut untuk berusaha agar kita diurus berdasarkan syara', agar masyarakat kita juga diurus berdasarkan syara', begitu juga kita tidak reda untuk diurus selain daripada hukum yang Allah sendiri meredainya; tetapi untuk menggunakan isu perlaksanaan hukum jenayah Islam untuk mencemuh orang lain adalah isu yang lain.
Allah mengajar kita agar kita mentauhidkan-Nya tanpa sebarang sekutu, kita isytiharkan permusuhan kepada sembahan-sembahan selain daripada Allah. Tetapi Allah melarang kita daripada mencemuh sembahan-sembahan golongan kafir, nantinya kerana cemuhan kita itu mereka akan bertindak-balas dengan mencemuh Allah tanpa ilmu. Penentangan kita kepada kesyirikan itu wajib diperkukuhkan sekukuh-kukuhnya, contohnya mercu tertinggi kesyirikan adalah kehadiran berhala. Kerana itulah kita tidak sekali-kali reda dengan kehadiran berhala-berhala di dalam di negeri kita, apa lagi kita tidak reda serta marah kepada pihak yang membenarkan wujudnya berhala-berhala besar di negeri kita sewenang-wenangnya . Tetapi kita tidak pula menyumpah seranah berhala-berhala tersebut walaupun kita memang membenci kehadiran berhala-berhala yang merupakan kemuncak mercu bagi segala maksiat, yakni mensyirikkan Allah.
Kembali kepada isu hukum jenayah Islam, kita tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan menimbul tindak-balas oleh golongan-golongan lain yang secara zahirnya akan merosakkan aqidah mereka tanpa mereka sedar atau akan memburukkan lagi keadaan. Apalagi timbul polemik yang disaluti rasa kebencian, tanpa pertimbangan ilmu dan kepentingan praktikal yang akan menguntungkan agama dan ummah. Bahkan polemik yang akan tambah menyerabutkan lagi suasana dan menimbulkan kesalah-fahaman yang semakin menebalkan terhadap hukum Islam itu sendiri. Sepatutnya ada hal-hal yang kita perlu 'let us do the talks' bukannya 'let us talk the do's'. Lisan al-hal afsahu min lisan al-maqal.
Tersangat penting untuk kita kembali merenung tafsiran ayat 108 Surah al-An'am. Marilah kita darah-dagingkan kebijaksanaannya dalam kehidupan kita. Semoga kita dianugerahi Allah dengan keikhlasan dalam hidup beragama dan jauhi Allah kiranya kita dari penyakit hati yang parah umpama hubbu ar-riasah (kegilaan untuk menjadi pemimpin) , hubbu al-jah (kegilaan untuk mendapat kemasyuhuran) dan hubbu ad-dunya. Ya Allah selamatkan kami, jauhilah kami dari azab. Amin
my earlier comments not approved
ReplyDelete