Tulisan ini terlalu lambat untuk dicatit, kerana isu ini sudah sejuk daripada diperkatakan oleh anggota masyarakat. Ianya lambat kerana kesibukan otak saya baru-baru dengan beberapa tugasan yang perlu diselesaikan; umpama kata-kata "it is better late than never", saya catitkan juga apa yang menjadi perspektif saya dalam melihat isu ini.
1-Mat Indera memang seorang kominis, itu adalah suatu penilaian yang jelas apabila kita melihat catitan sejarah. Menidakkan Mat Indera sebagai kominis adalah suatu helah yang tidak berasas. Bukankah kita tahu yang Mat Indera mengikuti kursus anjuran Sekolah Marxist Malaya yang diselenggara oleh Alimin, pemimpin PKI dengan dibantu oleh beberapa tenaga tempatan?
Mat Indera memang seorang yang terdidik dalam pengajian Islam dan seorang yang menunaikan kewajiban ibadat dan amalan Islam yang lainnya. Dia adalah seorang kominis yang beragama. Dia seorang kominis dari segi faham politik dan ekonomi, seorang muslim dari segi pegangan Ketuhanan dan kehidupan beribadat. Ini adalah suatu yang bukan janggal pada masa itu.
Karl Marx adalah seorang kominis yang atheist, tetapi bukan semua kominis itu atheist. Dan bukan semua atheist itu kominis. Sebagaimana mana ada pejuang demokrasi yang atheist dan ada pejuang demokrasi yang beragama, begitu juga agaknya dengan kominisme. Di Negara China hingga sekarangpun ada pemimpin Parti Kominis China yang muslim, ada yang buddist , ada yang taoist dan lainnya. Kominis adalah sistem politik yang berasaskan teori ekonomi yang tertentu, sedangkan anutan agama dan rituals keagamaan mengisi ruang yang berasingan dari ruang itu.
Regimen ke 10 PKM adalah regimen Melayu, turut dianggotai oleh pejuang-pejuang nasionalis 'kiri' yang menentang 'penguasaan' bangsa-bangsa asing di Tanah Melayu, termasuk ketika itu mereka yang dari keturunan cina.
Siapa talibarut penjajah , siapa pula pengkhianat , siapa pula pengampu kuasa hanya ditentukan oleh perspektif pengkaji. Bagaimanapun kita perlu mencuba untuk memahami sesuatu perkembangan mengikut perspektif masa itu, bukan perspektif masa kita dan mengikut kepentingan kita sendiri.
Pada masa itu ianya tidak aib untuk seseorang aktivis mengaku memperjuangkan kominis sebagaimana tidak aibnya aktivis semasa mengaku memperjuangkan demokrasi . Faham dan amalan kominis serta faham dan amalan demokrasi serta faham sosialisme bukanlah dari ajaran agama kita, tetapi memang tidak sedikit dari kalangan ummah yang terpesona dengan faham-faham ini termasuklah golongan berpendidikan agama sehingga kepada tenaga pengajar di Universiti al-Azhar sendiri pada zaman awal Presiden Jamal Abd Nasser. Begitu juga memang ada di kalangan aktivis ummah yang mahu memanafaatkan ruang dalam sistem demokrasi di negara-negara yang mengamalkan sistem pilihanraya 'bebas' untuk memperjuangkan Islam; sebagaimana ada yang mahu memanafaatkan ruang dalam sistem kominisme di negara-negara yang mengamalkan sistem satu parti di negara kominis.
Mat Sabu memang pandai memancing isu yang mampu menjadi sensasi, kebolehan beliau ini mungkin menandingi kebolehan rakan semasa di ITM-nya dulu, iaitu Ibrahim Ali, sekarang pemimpin PERKASA. Ketepatan huraiannya tentang sesuatu isu itu tidak begitu mustahak, tetapi lontarannya itu telah mengakibatkan terbentuknya 'waves and ripples' yang berlanjutan. Isu ini dibahas oleh Prof sehingga ke kedai-kedai kopi, turut mendapat liputan meluas di media massa utama negara. Sedangkan isu yang lebih dasar dan yang lebih menyentuh kehidupan harian rakyatpun tidak mampu meninggalkan impact yang sedemikian. Sejarah Mat Sabu selama beliau terlibat dalm politik sangat berwarna-warni, dari warna yang gelap, samar sehingga warna yang terang cemerlang.
Perjuangan kominis sering kali dikaitkan dengan keganasan dan perjuangan dalam bentuk revolusi. Itu memang ada kebenarannya sebagaimana yang terdapat dalam pengalaman kita, tetapi keganasan bukan sinonim dengan faham kominis, bukankah kita memerhatikan keganasan yang berlaku di Iraq oleh pihak Amerika dilakukan atas nama demokrasi dan kebebasan manusia? Bukankah tahanan di Guatanamo telah dipersalah-lakukan oleh pihak Amerika atas nama kebebasan manusia sejagat? Bukankah revolusi juga telah dicetuskan oleh Khomeini, pemimpin agama aliran shiah?. Bukankah pula di Nepal dan beberapa negara lain parti Marxist menyertai pilihanraya secara amannya?
Ketika Tun Husein Onn megambil alih pimpinan negara berikutan kematian mengejut Tun Razak di London, beberapa orang kanan Tun Razak telah ditangkap kerana mereka adalah kominis. Itulah versi resmi kerajaan Malaysia. Mereka ditahan, mereka membuat pengakuan di dalam TV, dan semua ini dilakukan secara terang dan resmi oleh pihak kerajaan sendiri. Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Ghazali Syafi'ie. Gambarannya adalah Perdana Menteri Malaysia, Tun Razak telah dikelilingi secara sangat rapat dan intim oleh agen-agen kominis, hanya secara resminya Tun Razak sendiri tidak pernah dikatakan sebagai seorang kominis! (walaupun ada pihak yang menentang Tun Razak sanggup mengandaikan yang Tun terpengaruh dengan konsep ladang communal sebagaimana yang disarankan dalam tulisan Lenin ketika mewujudkan FELDA).
Dato Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) sebelum pilihanraya pada akhir 1990'an telah menolak cadangan Keadilan untuk meletakkan Dr.Syed Husein Ali sebagai calun bagi parlimen Kota Bharu dengan alasan Dr.Syed Husein adalah seorang yang berfahaman sosialis, yang disifatkan oleh TGNA sebagai 'adik sedikit pada kominis'. Sekalipun benar Dr.Syed Husein Ali mempunyai faham sosialisme, tetapi tidak pernah kita ketahui beliau menyeru kepada keganasan dan perjuangan senjata. Kita dengar yang kebebasan beliau dicerobohi dengan ditahan dibawah Akta ISA.
Kita hanya menanti sikap 'istiqamah' dari TGNA dalam isu kenyatanan Mat Sabu tentang Mat Indera... Atau TGNA sudah ada pandangannya yang baru tentang pendukung faham-faham 'kiri'?
No comments:
Post a Comment