Friday, March 16, 2012

Apabila Kerajaani Ditadbir oleh Seorang Artis

Ronald Reagan adalah artis yang paling berjaya di dalam bidang politik sehingga beliau menjadi presiden Amerika selama 2 penggal, yakni paling lama dibenarkan dalam sistem politik Amerika. Usianya yang telah lanjut ketika bertanding telah dijadikan asset bagi beliau, bukannya suatu liability. Beliau memang seorang artis yang cukup berkesan dalam wataknya sebagai seorang tokoh utama politik.

Artis-artis lain yang mencebur diri dalam politik nampaknya tidak dapat menandingi kejayaan Reagan, mereka setakat berjaya menjadi senator atau gabenor. Begitu juga di negara-negara eropah, artis-artis, termasuk yang terlibat dalam pembikinan filem biru yang kemudiannya mencebur diri dalam politik tidak pernah sehingga kini dapat menjawat jawatan tertinggi di negara masing-masing. Begitu juga fenomena di India, Taiwan atau Jepun.

Di Malaysia pula, artis-artis setakat ini belum memegang apa-apa jawatan penting dalam mana-mana parti utama di negara, walaupun bukan sedikit daripada mereka yang telah memeriahkan lagi warni-warni politik negara.

Apakah sifat yang ketara ada pada artis, yang mungkin tiada pada kita orang kebiasaan?. Artis biasanya lebih mudah terasa di jiwa dan mereka lebih berkesan dalam meluahkan perasaan/emosi mereka berbanding kita. Baik mereka yang penyair, pelukis, pelakun, penyanyi atau atau anak seni lainnya. Bagaimanapun dalam penggunaan seharian, nampaknya 'artis' lebih digunakan untuk golongan yang terlibat dalam bidang hiburan umpama seni lakun, seni tari dan seni suara; yakni entertaining arts.

Baru-baru ini ada seorang pemimpin besar di kalangan kita yang membuat kenyataan yang dia suka sekiranya dia dianggap oleh masyarakat sebagai seorang artis, dia juga mempertahan golongan artis sebagai golongan orang yang baik-baik, hanya mereka ini telah disalah-fahamkan. Maka dalam tulisan ini saya sekadar menyebutnya dengan gelaran yang dia sendiri suka!

Beberapa episod yang telah berlaku memang menunjukkan pemimpin ini seorang yang berkesan dalam meluahkan emosinya (mungkin bertujuan membuat masyarakat jelas terhadap message yang ingin disampaikannya), hanya kita orang biasanya terasa amat terkilan terhadap kenyataan-kenyataan tersebut. Kita mengira-ngira kenyataan-kenyataannya itu adalah salah mengikut neraca ilmu yang ada sedikit pada kita.

Dia meluahkan faham dan emosinya dalam menterjemahkan Sifat-Sifat dan Af'al (perbuatan) Allah yang Maha Sempurna dalam ungkapan yang menghiris jiwa kita. Dia menerangkan 'sifat basyariyyah' (kemanusian) Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam secara yang melanggar adab dan penghormatan terhadap peribadi agong Rasulullah mengikut fahaman kita. Tetapi beliau tegas dan terus mempertahankan kenyataan-kenyataan beliau. Tiada satupun yang pernah kita dengar ditarik balik. Itulah watak seorang artis dalam dakwah, agaknya.

Ramai yang percaya apabila hemisphere kanan otak lebih dominan dari kiri , maka orang itu lebih ketara secara relatifnya dari segi luapan emosi , kecenderungan musik, warna, kreativiti dan gerak-hati. Sementara otak sebelah kiri pula dikatakan lebih kepada penguasaan bahasa, logik, nombor dan kemunasabahan. Kedua belah otak itu akan berfungsi, hanya yang mana akan lebih dominan. Walaupunbegitu , ramai tokoh-tokoh utama dalam kesenian yang juga merupakan tokoh utama dalam sains tepat, umpama tokoh klasikalnya ialah Leonardo Da Vinci. Atau ada penyair dan pencerita dari kalangan ahli perubatan dan kejuruteraan sehingga kini.

Sekiranya sebuah kerajaan diterajui oleh seorang artis, yang barangkali otaknya sebelah kanan lebih dominan; maka pemimpin itumungkin akan sangat berjaya dari segi perkara-perkara yang subjektif seperti membina imej dan hubungan awam yang menyakinkan. Tetapi barangkali dia akan ketinggalan dari segi ketelitian dalam urusan pentadbiran. Dia akan mengolah kata secara berkesan, tetapi lemah dalam mengolah angka. Pertimbangannya dalam membuat keputusan lebih berdasarkan pengaruh emosi dan isu-isu sentimental daripada fakta dan angka.(facts & figures).

Keadaan bertambah ketara sekiranya dia dikelilingi oleh para penasihat, ahli keluarga dan pembantu yang juga otak kanan mereka lebih dominan. Maka apabila dia mendepani permasalahan, dia berucap dalam nada mencari salah dan lemah pihak-pihak lain, lebih ditekankan daripada mengaku kekurangan sendiri serta daripada mengusulkan cadangan-cadangan yang praktikal untuk membaiki keadaan.

Sekiranya berdepan dengan masaalah bekalan air umpamanya, maka dia akan menyebut yang TNB juga perlu disalahkan kerana gangguan bekalan letrik, kerajaan Persekutuan dipersalahkan kerana kekurangan dana. Yang perkenan olehnya untuk dilantik bagi mengurus krisis air adalah bukan calon yang dari segi teknikalnya terbaik, bahkan dikira kesetiaan kepada parti di kalangan calon-calon yang ada.

Sehingga ada sebahagian jawatan-jawatan yang dilantik telah diisi oleh mereka yang tidak memahami secara memadai dalam bidang yang mereka dilantik, mereka dilantik berdasarkan kriteria yang mereka adalah pejuang-pejuang yang berjasa kepada parti . Maka tidak banyaklah peningkatan prestasi yang dapat kita harapkan dari budaya yang sebegini. Semoga kita dijauhkan Allah dari tindakan meletak amanah bukan ke atas ahli-ahlinya, tindakan yang akan mengundang kebinasaan sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam.

Artis juga biasanya mempunyai kecenderungan untuk menjadi selebriti, dia dipuja dan dijadikan idola oleh ramai dalam masyarakat. Sebagai manusia biasa, siapa pun jika tidak mengawal ketat dirinya akan seronok apabila disanjung dan akan kecut perut apabila dikritik. Kadang-kadang peminat-peminatnya pula terlepas pandang realiti watak dan pencapaian sebenar artis kerana terpesona dengan watak-watak yang dibawa dan ditonjolkan di alam keseniannya. Bahkan bagi sebahagian peminat tegar, mereka tidak dapat menerima sebarang kenyataan pihak lain yang bernada negatif terhadap artis pujaan mereka, artis pujuan itu diletakkan di tahap mengatasi kritikan.

Pemimpin yang mempunyai otak yang sebelah kanannya dominan sememangnya perlu diimbangi dengan mereka yang mempunyai otak sebelah kiri yang dominan, Dia perlu dikelilingi dan bertukar-tukar pandangan untuk mengadun dan menghasilkan yang terbaik hasil gandingan keartisannya dengan fact & figures golongan teknikal. Rakyat tidak setakat disuap dengan retorik slogan serta konsep umum tetapi rakyat juga ditunjukkan perancangan yang realistik berdasarkan fakta dan angka yang dapat digarap secara ilmiyyah.

Sementara al-Quran mengajar kita supaya kita melantik golongan yang mempunyai tabiat 'kekuatan dan amanah', 'yang mempunyai accountability yang tinggi dan amanah', 'yang mempunyai kelebihan dan kekuatan pada susuk tubuh serta kelebihan ilmu'. Ciri-ciri ini mengatasi kriteria aktif atau tidaknya seseorang itu dalam parti tertentu. Sokongan terhadap mana-mana parti boleh dan mudah berubah-ubah mengikut keadaan dan kepentingan tetapi tabiat(habit) adalah suatu yang relatifnya kekal.

Kalau dilihat kepada ketaksuban dan sokongan terhadap parti yang suatu masa dahulu ada pada Dato Mustafa Taib, Ustaz Muhammad Noor Idris, Tuan Guru Haji Abdullah Saamah dan kelompok sedemikian, maka sukar untuk kita bayangkan yang kemudiannya mereka yang pernah terkenal dengan sikap keras dahulunya menentang parti tertentu akan berhujjah membela parti tersebut dengan segala helahnya.

Rasanya belum terlambat untuk kita semua mengimbangi secara berkesan dan seoptima-nya kekuatan otak sebelah kanan dengan kekuatan otak di sebelah kiri pada diri kita, pada masyarakat kita dan pada kerajaan kita. Keseimbangan itu perlu untuk kita menentukan perjalanan kita berada di atas Jalan Yang Lurus. Semoga kita akan terus -menerus mendapat pertunjuk dari Allah, kita mendapat pengajaran dari al-Quran dan as-Sunnah. Kita bergerak dengan mengetahui arah tujuan yang jelas , bukannya berdasarkan letupan emosi dari masa ke semasa berdasarkan tindak-balas kita terhadap sesuatu keadaan yang sentiasa berubah-ubah

Semoga Allah mengampuni kekurangan dan keterlanjuran kita dalam segala urusan kita. Semoga kepentingan agama dan ummah akan mengatasi kepentingan diri, keluarga, kelompok politik dan lain-lain perkiraan duniawi. Semoga Allah menganugerahi kita kebijaksanaan sebagai-mana yang dianugerahi-Nya kepada para rasul, sidiqin dan solihin

No comments:

Post a Comment