Wednesday, January 2, 2013

Sejambak Puisi Nahmar Jamil Serta Puisi-Puisi Purba

Dunia Abad 21 Ini

Dunia abad 21 ini
milik Amerika dan Israel
penganas-penganasnya Islam

Penaklukan bertukar kepada demokrasi
kezaliman bertukar kepada mempertahankan diri
rompakan bertukar kepada nyawa ekonomi
kebebasan bertukar kepada kemurtadan agama, keluarga dan budaya

Yang terang-terangan dihebahkan
yang sembunyi-sembuyian sukar dipercayai
masjid tumbuh seperti cendawan
gereja-gereja tua sepi terbuang

Dalam samar dan kabus
suara-suara pedih menuntut tanggungjawab
pergolakan jiwa membekar ke satu jiwa
kesedaran terhadap akar, maruah dan hak
perjuangan dan perlawanan tidak mengenal noktah
keyakinan terhadap kebenaran masa hadapan
menjungkir-balik segala yang tidak terduga

Dunia abad 21 ini
warga mustaz'afin dunia
seperti kanak-kanak bogel
fikiran dikejib-kejib mata
percampuran realiti, dogeng, mimpi , kejutan
seperti permainan silap mata
kemudian ketawa pahit, kecut dan kentut

1429Hijrah
Nahmar Jamil

------------------------------------------------------------------
Perhantikanlah

Perhatikanlah kaumku sekelian
atas perbuatan yang dikatakan adil
perbuatan apakah dikatakan demikian
rupanya senjata , sendiri membedil

Malaya kita negeri terkaya
baik bijih serta kelapa
tetapi alangkah hiba
satupun tak ada di tangan bangsa

Perhatikanlah ! perhatikanlah!
dari sehari kepada sehari
nama Malaya pulanya diubah
British Malaya namanya diberi

Khazanah Malaya semuanya dicambah
untuk kekayaan mereka sempadan
betulah! kata pepatah
susu lembu, sapi dapat nama

Kalau begini jua selama-lamanya
haruslah Malaya mendapat bencana
elakkan mengata seboleh-bolehnya
supaya selesai segala bahana

Perhatikanlah-perhatikanlah

Asam Sin
Majalah Majlis
26 Ogos 1940

------------------------------------------------------

Adat Dunia

Sudah biasa tuan
dalam kerja dapat cubaan
yang benci
selalu mencaci
tetapi yang benar tetap kemuliaan
meskipun mulanya mendapat kehinaan

Memanglah nafsu tidak sunyi
dikuasai hasad di dunia ini
hilang budi
sebab dengki
kerana tak tahu apa erti
berbahas itu meninggikan pekerti

Dengarkan sahaja orang mencerca
hanya bayangan di dalam kaca
tak mengerti apa erti
yang terang bagi cahaya
dalam bahasan yang jadi punca

Memang juga sudah biasa
mengaku raja tahu bahasa
adat manusia
dalam dunia
apabila ditujukan jalan sempurna
disumpahnya engkau tak tahu bahasa

Tetapi patutkah engkau putus asa
lupa Tuhan yang lagi berkuasa
tak putus harapan
itulah kewajiban
tawakkal bekerja selalu masa
hanya Ilahi yang membalas jasa

Dan manusia tetap manusia
yang menjadikan dunia sia-sia
tidak dengki
sangat berbudi
Ialah Tuhan yanh kaya
yang bertempat di arah mulia

YS Darwis Amin
Suara Malaysia
22 Jun 1930



------------------------------------------

Catitan sut:

Penyair Nahmar Jamil adalah salah seorang penyair yang memberi kesan kepada minat saya terhadap puisi , saya mulai mengenal puisi beliau ketika saya masih di bangku sekolah melalui  puisi indanya Ku Cuba Bunuh Engkau:



|| Ku Cuba Bunuh Engkau ||

Kucuba bunuh engkau
tapi engkau tidak mati
kucuba bunuh diriku
tapi aku masih hidup

Ku cuba bunuh engkau
kerana engkau adalah kesedihan
kerana engkau mengenangkan perpisahan
kerana engkau isteriku

Kucuba bunuh engkau
engkau tidak mati
kerana engkau adalah sejarah
sejarah tidak mati

Ku cuba bunuh diriku
aku masih hidup
kucuba bunuh kesedihan
kesedihan menghitam segala-galanya

Engkau adalah sejarahku, dik
seperti sejarah manusia lainnya
sejarah adalah kenangan dan pengalaman
sejarah menyorot kesilapan dan kebenaran

Perpisahan kita kerana sengketa
setiap manusia dengan sengketanya sendiri
sengketa tidak dapat dielakkan
kegagalannya perpisahan

Perpisahan kita penyayat kalbu
kerana kasih sedang membunga
lalu patah tangkainya
oleh ribut ganas bernama nasib

Aku dapat merasakan hangatnya air matamu
aku dapat merasakan hangatnya air mataku
bagaikan tiada bertemu kembali
bagaikan entah ke mana...

Ya duka itu di mana-mana
duka kita kerana perpisahan
duka Vietnam kerana peperangan
duka Palestin kerana penindasan

Sia-sia kucuba bunuh engkau
kerana engkau tidak mati
kerana engkau adalah sejarah
sejarah tidak mati


Nukilan Nahmar Jamil, Perlis 30 Sept 1970
(Dewan Sastera, Mac 1970)
Begitu indah beliau rakamkan keperitan  perasaan beliau. Sehingga ke hari ini, saya masih dapat mengingati sebahagian daripada bait-bait puisi beliau ini. Puisi dari zaman ini yang juga masih saya ingati sebahagiannya adalah tulisan Zurinah Hassan

Aku sepatutnya malu menulis surat cinta kepada-Mu

Aku sepatutnya malu menulis surat cinta pada-Mu
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkari-Mu
Kau mungkin tidak bersedia menerima
Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
”tidak Ku beri ilmu
melainkan sedikit sahaja”
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kakiMu
apakah Kau sedia memaafkan
carik-carik dikepakku?
Atau apakah Kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jari-Mu?
Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan beban
sehingga tiba ada keluasan laut-Mu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?
Atau apakah Engkai sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan mataMu?
Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih pada-Mu
Zurinah Hassan; 
Mingguan Malaysia [1976]

Waktu di bangku sekolah, saya sememangnya tidak belajar subjek sastera, kecuali apa yang terdapat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris pun yang kita pelajari adalah English For Communication. Hanya minat saya telah mendorong saya membaca puisi-puisi  W.S Rendra dan Amir Hamzah yang terdapat di dalam perpustakaan sekolah.

Puisi Nahmar Jamil Abad 21 merakamkan suasana percaturan sosio-politik antarabangsa secara bersahaja. Lihatlah apa yang disebut oleh Nahmar, Amerika dengan slogan dan janji demokrasi telah memusnahkan negara Iraq dan Afghanistan. Apakah kebebasan dan keharmonian yang dapat dinikmati oleh rakyat Afghanistan dan Iraq selepas kemasukan Amerika?. Atas nama demokrasi dan kebebasan rakyat-rakyat kedua negara ini telah disembelih saban hari. Di atas nama demokrasi dan kebebasan tahanan  disiksa di Gautanamao Bay. Janji dan harapan hanyalah bayangan oasis pantulan cahaya matahari di gurun yang gersang,

Lihatlah bagaimana Amerika membuat kenyataan terhadap perkembangan yang berlaku di Masir di bawah pimpinan Presiden Mursi, Amerika mengharapkan agar Mursi mengambil kira pandangan pihak yang menentang beliau secara rundingan, tetapi apakah Amerika sendiri mengambil kira pandangan penduduk Iraq dan Afghanistan yang mencanggahi kepentingan Amerika?.

Dalam konteks yang sama seawal 1940 lagi Asam Sin dalam puisinya 'Perhatikan' meminta kita melihat keadilan yang ditegakkan oleh kuasa barat di tanah air kita.Keadilan untuk kepentingan mereka,

YS Darwish Amin memberi kita dorongan pada tahun 1930 lagi agar meneruskan perjuangan, walaupun memang perjuangan itu mempunyai kegetiran dan kepahitannya. Kita kita punya tekad bahawa yang benar akan tegak, yang batil akan tumbang.Kita tentukan pendirian, untuk sama tegak atau sama tumbang




No comments:

Post a Comment