Wednesday, February 13, 2013

Rupanya Politik telah Menunjukkan Wajahnya

                                               Saudara Politik


Mereka pernah sekapal
tersungkur dalam ribut terhempap layar
berpeluk, mereka bersumpah sehala
betapa pun mengancamnya

Di daratan keakraban sempat merangsang
mereka sedar nikmat dan kebijaksanaan

Masa menguji abadi
mencabar segala
memandulkan nadi hingga

Satu senja, cengal tumbang atas jeti
masing-masing sengaja tuli
bermulalah satu kesangsian

Jika ia tak menghormati dasar
ia tidak menghormati diri
kewujudan kehilangan erti

Perhubungan menjadi jeti patah

Dan cengal rebah berselerak jengkala
mereka kembali alpa, lara dan buta
mereka pernah sekapal
kini telah terbakar

(A.Samad Said 1993: 11-12)
.


Pak Samad telah merakamkan rupa persahabatan dalam gelanggang politik. Persahabatan yang dibina di atas kepentingan kuasa dan pengaruh itu biasanya tidak kekal, kerap tidak mengenal erti persahabatan sejati.Ia berbentuk volatile yang panas hangat dan dingin sejuk mengikut isu dan kepentingan.

Bila berada di landasan politik yang berbeza , maka kata nista yang dikemuka. Apabila peribadi itu juga berada di landasan yang sama, maka kata puji yang dihidang. Apabila kepentingan kita dipinggir kawan, kita akan makan dia secara sembunyi perlahan-lahan. Dan apabila ada ruang peluang, kita akan ganyang dia tanpa belas kasihan.

Politik punya rumpun rasa serta kata yang berbeza, kerap tidak mempunyai hati perut. Pujinya melangit, cercanya menhenyar bumi. Kerap orang poltik buta warna, kecuali warna cermin-matanya. Semuanya dilihat melalui cermin warna itu, sehingga putih hilang serinya, hitam kelabu gelapnya.

Badiuzzaman Said Nursi  mengucap penuh kebijaksanaan "aku minta berlindung dengan allah daripada syaitan dan politik (kepartian)"........



No comments:

Post a Comment

Post a Comment