Saturday, February 23, 2013

Rupanya Politik Telah Menunjukkan Wajahya II

                                      SAMA SEBANGSA
                                    (Nukilan Masuri Salikun)


Kenapa kita sakit
memandang orang naik
nampak orang bangkit
mencapai nama baik
kita iri
kita benci
kita khianati
kita keji

Mengapa semangat ini datang
jawabnya mudah
sebab kita pantang memandang
orang jaya kita kalah

Kalau kita tak dapat rebut
seperti dia membuat
jangan kita ribut
membuat khianat

Biarlah dia memanjat
ke jinjang tangga mahligai
kita pun turut terpandang
sebab antara dia dan kita
sama-sama sebangsa

1946-48
AWAN PUTIH
Petikan daripada Buku
Puisi Baru Melayu (1942- 1960)
Selenggaraan Ali bin Hj Ahmad.
DPB, 1961


Aduhai penyakit yang disebut lebih 50 tahun yang lalu masih lagi benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Dan ianya lebih ketara dalam bidang politik kepartian.

Bagaimana mahu dirawati penyakit yang terdapat dalam masyarakat yang luas, apabila penyakit sesama sendiripun ditambah racun?. Politik koperat memintas menggunakan istilah ilmu pengurusan, politik tok lebai menggunakan istilah ilmu dari kitab, politik orang kampong menggunakan istilah perbualan kedai kopi. Tetapi maqasidnya tetap sama: "kenapa dia, tidak yang lain, tidak aku sendiri, tidak kelompok kami?".

Ada seorang rakan memberi perumpamaan cerita kerbau dan kucing. Yang buat kerja berpenat lelah  dan berlumpur berjemur panas di padang kerja kerbau . Memang itu kerja kerbau.

Apabila hasil hampir mahu dituai, kenduri meraikan hasil pun dirancang. Di rancang kenduri yang akan meriah sekali, maklumlah dijangka hasil kali ini luar biasa banyaknya.

Rancang punya rancang untuk memeriahkan kenduri itu, ramailah jemputan yang dikira akan hadir. Lauk pauk semuanya diambil kira agar kenduri berjalan lancar. Maka sepakatlah ahli mesyuarat yang kerbau tadipaling layak di sembelihkan untuk dibuat gulai kawah, sebagai lauk utama kenduri kelak.

Maka kerbau yang berjasa itupun akan disembelih. Matinya mati baik, jasanya akan disebut. Lalu kenduri itupun dijangka meriah. Alim dan lebai akan dijemput untuk majlis kesyukuran, Di rumah dapur , alim kucingpun dapat merantah lauk daging kerbau. Kucing memang makan lauk. Memang itu kerja kucing. Memang alim-alim kucing......

Jadi kerbau jangan nak berangan untuk  meraikan kenduri kesyukuran, kerana ianya terlebih dahulu akan dikorbankan untuk dibuat lauk. Itulah peranan kerbau. Buat kerja berat dan disembelih sebagai lauk kenduri kesyukuran.

Lain pula peranan kucing, dia memang jarang keluar rumah. Duduknya didapur , kerap mencuci bulunya yang sudah cuci tidak tersentuh lumpur tidak berpanas terik matahari. Bila kenduri kesyukuran, dia akan mendapat bahagian, walaupun dia kelihatan tidak tamak untuk makan. Dia memang kelihatan alim. Dia berada di tengah rumah dan di dapur....

Siapakah bernasib kerbau dan siapa pula berperanan kucing dalam politik?




No comments:

Post a Comment