Monday, March 11, 2013

SEMANGAT PATRIOTIK VS PENGKHIANAT ; TRAGEDI LAHAD DATU

Rata-rata rakyat Malaysia, (agaknya dengan sediit pengecualian di Sabah dan segelintir kecil penyokong tegar pembangkang ) berkongsi  semangat dengan anggota-anggota pasukan  keselamatan negara yang memikul tugas di Lahad Datu: kedaulatan negara kita perlu dipertahankan.

Rata-rata rakyat sepakat yang pengkhianat-pengkhianat  negara mestilah dihukum setimpal dengan pengkhianatan mereka. Mereka mesti ditolak tanpa mengira siapa mereka, apa kedudukan mereka dan apa kepentingan mereka.

Apa lagi rata-rata rakyat sepakat sekiranya benar ada orang dalam, rakyat kita sendiri , yang sanggup mengkhianati negara, maka mereka mesti ditentang habis-habisan. Pengkhianatan mereka mesti diisytiharkan agar menjadi contoh tauladan pada masa hadapan.

Inilah masanya semangat patriotik rakyat kita begitu melonjak tinggi.  Stesyen Television pula acap benar menyiarkan lagu-lagu patriotik dan rakaman tiupan semboyan. Berderau darah dan menegakkan bulu roma. Suasana cukup kondusif untuk membariskan rakyat di dalam barisan yang sama, iaitu mempertahankan kedaulatan negara.

Sesiapa yang melawan gelombang ini hanya akan mensia-siakan usahanya sendiri, merugikan penat-lelahnya sendiri. Maka ramailah yang telah dan akan menumpang gelombang ini untuk menuju ke haluan masing-masing. Sehingga pengkhianat pun turut menumpang  gelombang ini sambil tangan menunding untuk menyalahkan yang lainnya

Maka dengan itu kita mahu menanyakan diri kita dan mencari jawaban kepada pertanyaan-pertanyaan yang timbul tanpa banyak terpengaruh dengan dakyah mana-mana pihak dalam mahupun  luar negara:

1- kenapa sempadan negara kita mudah sangat dibolosi oleh unsur-unsur yang membahayakan keselamatan dan nama baik negara?
Pembolosan sempadan negara bukan sahaja berlaku di Pantai Timur Sabah, sempadan dengan Kalimantan, sepanjang Sempadan Malaysia- Thailand, di Selat Melaka bahkan mungkin di KLIA  sendiri. Kita memang tahu pergerakan harian antara rakyat biasa di dua negara berjiran yang melakukan urusan perniagaan, urusan kekeluargaan  dan kehidupan yang melintasi sempadan setiap hari,  memang merupakan kelaziman  di mana-mana kawasan persempadanan .  Tetapi kita masih bertanya bagaimana ratusan tentera Sultan Kiram yang lengkap bersenjata dapat memasukki Sabah, sebagaimana kita juga dulunya bertanya bagaimana Altantuya dapat masuk negara kita tanpa sebarang rekod kemasukkan walaupun kita mempunyai sistem imbasan komputer yang canggih. Tahu-tahunya bila Altantuya sudahpun dibunuh secara kejam menggunakan bom c-4, tahu-tahunya  tentera Sultan Kiram siap bersenjata berada di Sabah dan membuat tuntutan. Sebagai rakyat yang mempunyai semangat patriotik, kita mahu sempadan kita dikawal dari anasir-anasir yang mendatangkan ancaman keselamatan.

Sekiranya sempadan kita ditembusi oleh anasir-anasir yang mampu menggugat keselamatan itu dibiarkan dengan sengaja, maka orang yang membiarkan pencerobohan anasir sedemikian itu adalah pengkhianat. Kita mempunyai pasukan risikan dari belbagai agensi, dan kebolehan serta kecekapan mereka memang antara yang terbaik bukan sahaja di rantau ini. Kita mempunyai peralatan dan kelengkapan yang canggih yang dapat mengesan gerak-geri awal sebarang aktiviti yang mencurigakan.

2- betulkah berlaku salah-guna kuasa dalam pembelian persenjataan dan alat- kelengkapan pasukan keselamatan kita yang mengakibatkan pembaziran jutaan Ringgit?
Kita tahu dalam mana-mana pertempuran sekalipun, maka persenjataan dan peralatan memberi sumbangan kepada kekuatan pasukan keselamatan kita. Kerana itulah negara mana sekalipun menghabiskan sejumlah besar wangnya untuk membeli persenjataan dan peralatan.
Sekiranya terdapat salah-guna kuasa, rasuah yang menyebabkan negara membeli peralatan pada harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya, atau negara tidak dapat membeli peralatan yang sebaik mungkin yang setimpal dengan belanja dikeluarkan, maka individu-individu yang menyeleweng itu memang pengkhianat kepada kedaulatan dan keselamatan negara. Bagaimana seorang rakyat yang setia kepada negara sanggup mengaut keuntungan secara yang tidak wajar daripada bidang yang sangat penting dan tanpa kompromi, iatu bidang pertahanan negara?. Jadi kita sangat mengharapkan agar penyiasatan yang terperinci dan meliputi sentiasa dijalankan oleh pihak yang berwenang kepada mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam pengkhianat sebegini. Kita merasa malu apabila tuduhan penyeleweangan pembelian senjata dan peralatan oleh negara kita umpama pembelian kapal selam Scorpene telah dibicarakan di mahkamah negara asing. Seakan-akan kita sendiri sanggup berkrompromi dengan pengkhianatan sebegini, tanpa mahu mengadakan penyiasatan dan membawa kes ini untuk diadili di negara kita,  sekiaranya  penyelewengan benar-benar wujud.

Kita masih ingat bagaimana DYMM Sultan Johor menzahirkan kekecewaan baginda apabila kenderaan RIV (rapid Intervention Vehicle) yang baginda hadiahkan kepada Kor Gerak Khas Tentera  berharga RM150 Ribu, sedangkan kenderaan yang sama telah dibeli oleh Kemneterian Pertahanan pada harga RM690 Ribu. Kalau baginda al-Sultan yang sepatutnya mendapat maklumat dengan cepat dan tepat pun murka, maka apa lagi kita rakyat biasa yang punya semangat patriotik ini mampu goyang kaki tanpa rasa meluat.

Persenjataan dan peralatan yang dibeli dengan wang negara ini diharapkan dapat menyelamatkan nyawa tentera kita. Kita tidak boleh membenarkan berlaku salah-guna kuasa dalam perkara seumpama ini. Kerana nyawa tentera, nyawa rakyat kita, keselamatan dan kedaulatan negara yang dipertaruhkan. Pengkhianat mesti diperangi habis-habisan. Jangan berpura-pura marah apabila pihak lawan berjaya memasukki negara, jangan berpura-pura sedih apabila nyawa tentera melayang, anak mereka ditinggalkan yatim, isteri mereka ditinggalkan janda sekiranya kita masih terus-menerus membiarkan pengkhianatan sebegini terus berlaku.

kita juga maklum bagaimana tender track LRT telah diberi kepada syarikat yang hampir sekali ganda lebih mahal, berbeza hampir separuh billion ringgit daripada syarikat pesaing yang mempunyai pengalaman kerja yang lebih luas dan menyakinkan. Kes ini disebut oleh pembangkang di bangunan parlimen, tetapi kita tidak tahu apa tindakan susulan yang telah diambil kerajaan untuk meluruskan keadaan.

Memang terdapat pengkhianat yang mengkhianati amanah negara, mengkhianati harta-benda negara. Lihatlah lapuran Audit Negara setiap tahun. Pengkhianatan kepada negara berlaku bukan sahaja di peringkat pertengahan bahkan mungkin di peringkat tinggi. Adakah terdapat daripada golongan pengkhianat ini yang berdegar-degar bercakap tentang semangat cintakan negara?.Inilah sebenarnya gerombolan pengkhianat yang telah membawa sel-sel barah yang mampu melumpuhkan kemakmuran negara.

3- siapakah yang mencemar nama baik negara & memporak-perandakan keamanan? Adakah demi mendapat kuasa politik dan meraih pengaruh,  ada kumpulan yang sanggup mengadaikan keamanan negara, mecemarkan nama baik negara sendiri?.

Malaysia yang terkenal sebagai negara yang aman damai telah dicemari oleh catitan hitam Peristiwa Lahad Datu.Sebelum ini masyarakat Islam di Philippines terutama masyarakat Suluk melihat Malaysia dengan rasa kagum dan hormat, walaupun dakui ada isolated cases yang mereka merungut tentang layanan yang diberi oleh unit penguat-kuasaan negara kita. Itu perkara biasa. . Masyarakat dunia mengakui peranan Malaysia yang banyak membantu secara lansung dan tidak langsung usaha-usaha membela nasib masyarakat muslim di selatan Philippines. Tetapi dengan persitiwa berdarah Lahad Datu, semuanya telah terkambus oleh rasa marah dan mungkin dendam.

Negara kita telah mengusahakan perdamaian antara Manila dan MILF, dan sedang berusaha untuk mendamaikan Bangkok dan BRN di Selatan Thailand. Tetapi Peristiwa Lahad Datu mencemar  keyakinan masyarakat Islam serantau terhadap pimpinan negara kita. Masyarakat kita sendiri pun telah mencurigai saudara-saudara segama mereka dari daerah-daerah yang sepatutnya kita bantu.

Tentunya kita mahu pengkhianat kepada nama baik negara menerima hukuman yang setimpal. Masyarakat dunia juga mempersoalkan kenapa journalists dari media antarabangsa bahkan tempatan  yang biasanya dibenarkan membuat liputan hatta di medan garis depan peperangan antar-negarapun untuk membuat liputan tetapi ditegah dari memasuki kawasan operasi di Lahad Datu..Ini mampu menimbulkan telahan yang kurang baik terhadap ketelusan pihak berkuasa dalam menangani krisis ini.

Demi mengurangkan kerosakan kepada reputasi negara, sepatutnya terdapat arahan pihak berkuasa terutama Kementerian Penerangan yang mencegah media utama di negara daripada menunding jari, mencari 'kambing hitam', termasuklah membuat telahan yang Nur Misuari dan MNLF terlibat dalam tragedi ini. Dengan penyiaran berita-berita seumpama ini, kita hanya menambah bilangan orang yang membenci kita. Mungkin yang lebih parahnya sekiranya mereka buka maklumat-maklumat yang agak sulit tentang kita yang selama ini mereka simpan sebagai pengetahuan mereka sahaja. Bila timbul episod tuding menuding jari begini, tiada pihak yang untung kecuali golongan pengkhianat.

Kita tidak hanya dikhianati dalam  Peristiwa Berdarah Lahad Datu, bahkan kita mungkin telah lama dikhianati oleh manusia-manusia yang mengutamakan agenda peribadi, memperkayakan anak-beranak mereka sendiri, mendahulukan kepentingan gerombolan mereka mengatasi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Kita dikhianati oleh penyebar berita-berita fitnah, bohong dan andaian jahat  dalam media perdana dan media alternatif, sehingga maksiat yang sangat aib disebut dikhalayak awam tanpa segan silu bahkan telah diperdengarkan kepada anak-anak kecil. Kita disogok dengan belbagai gula-gula daripada menilai perkara yang sebenarnya. Kita ditudung dari melihat melihat sesuatu hal dengan objektif, kerana dipasak agar menerima penerangan yang sudah dimasak oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Kita semakin terpinggir dari mengamalkan akhlaq dalam kehidupan bermasyarakat

Marilah kita sanggahi pengkhianat negara walaupun apa 'pakaian luaran' mereka, walaupun secantik mana slogan mereka; marilah kita sanggahi pengkhianat negara yang sanggup melihat negara kita ternoda asalkan agenda mereka terlaksana. Biarpun mereka daripada kumpulan mana, tanpa beza !

No comments:

Post a Comment