Saya siarkan semula beberapa puisi lama untuk teman-teman yang sedang berhempas-pulas bersiap-sedia untuk pihanraya. Semoga puisi-puisi ini dapat menghibur dan meringankan sedikit kepenatan. Walaupun puisi-puisi ini dtulis dalam suasana politik yang sangat berbeza daripada suasana pada hari ini, tetapi kebijaksanaan yang disebut di dalam bait-baitnya masih berkaitan dengan suasana semasa.
TEKAD
Bila hati belum percaya
kepada kemenagan atau kekalahan
masih takut ragu-ragu
seribu berjuang kalah juga
Bila tekad penuh kudrat
menyala semangat tak padam-padam
mara membawa senjata perwira
barisan gagah pahlawan sejati
ini tekad pasti bererti
Aishak Norida (Abdul Ghani Ishak)
Utusan Zaman 1953
(m.s 106 :Puisi Baharu Melayu)
JANJI
Janji bukan bukti....
bukan semua janji berpadu
janji-kosong-bohong
kalau usaha tiada mengiring
Janji hanya menggula hati
dari dari gerakan dua bibir
lidah naik turun jadi alat
sedangkan hasilnya belum tentu
omong kosong - dogeng
Janji tidak semesti jadi..
janji lepas macam angin lalu
janji cuma alat penipu
hanya muslihat semata
Berani pasang janji
usaha tiada sekali
janji tinggal basi
dibawa angin pergi
Sebab janji bukan bukti
Mas (Muhammad Arif Ahmad)
Mastika 1951
m.s: 126 Pusi Baharu Melayu
[hari ini kita ada slogan Janji ditepati]
SIKAP
Tentukan sekarang juga
di mana kita- di mana mereka
kerana perbatasan telah nyata
tidak usah takut "dosa" yang tak ada
Kalau kita tunduk- mundurlah
dan masa berlalu percuma
yang usang tinggallah sahaja
simpan dalam gedung arca
Biarkan mereka mendabik dada
dan marilah kita berusaha
untuk semua di atas bumi ini
sampai mati dan lahir pula segala bayi
Perwira Jaya
Utusan Zaman 1954
m.s 134 Puisi Baharu Melayu
PUNCAK CITA
Suatu puncak gagah indah
dalam liputan awan memutih
damailah manusia yang tiba di situ
titik keadilan dan kemerdekaan
Tapi kita masih di perbatasan jauh
dengarlah dendang yang kaku
dan janji-janji yang selalu berganti
dengan kepalsuan yang bersalut budi
Tahun berlalu dan masih bisu
lagu yang membosankan telinga
nampak 'dia' enak-enak bercengkerama
bulan bercahaya dan puputan bayu
mata memerhati bintang dan langit biru
Kita terus kecewa
dan 'dia' terus minikmati bahagia kita
Itulah penindas manusia
yang akan kita tentang dengan penuh tenaga
M.Ghazali
1955
m.s 194 Puisi Baharu Melayu
YANG DIHARAPKAN
Keadilan atas seluruh kehidupan dan suara sekelian insan
itulah yang kita citakan dari kemerdekaan
Keadilan atas setiap keturunan dan kedamaian
itulah yang kita citakan dari kemerdekaan
Keadilan atas seluruh peraturan dan kebebasan
itulah yang kita citakan dari kemerdekaan
Kesetiaan dalam kecintaan pada watan
itulah yang diharapkan
S.Bahda (Daud Baharom)
Mastika 1960
m.s 258 Puisi Baharu Melayu
PENJARA JIWA
'Lah lama tinggal bertekun
dalam penjara gelap sepi
'lah penat sanubari 'ngelamun
menghadap gerbang besi
Di malam buta duduk berdoa
memohon rahmat dari Ilahi
meminta bebas dari ikatan
Alanglah degil jiwa ini
dia juga ingin lepas
bagia burung terbang tinggi
mengembara di dunia luas
Tidak disedari dinding penjara
masih kukuh berkunci baja
dijaga pengawal tegak menghina
Sabar, sabarlah jiwa
kalau semangat tetap bernyala
gerbang besi pasti terbuka
melepas impian ke alam nyata
Khaida
Mastika 1949
m.s 120 Puisi Baharu Melayu
PELITA YANG TAK PADAM-PADAM
Walau ribut taufan menderu
halilintar membelah menggegar bumi
walau gelap lembab membeku
di muka jalan medan bakti
Namun pelita menyala juga
didlam dupa hati nubari
bercahaya hidup bagai geliga
tak padam sampai abadi
Kini engkau rebah ke bumi
besok aku dikat paksa
berganti-ganti kita pergi
sampai akhir keturunan bangsa
Namun pelita tetap bernyala
berapi-apai merah membara
menjadi suluh hasrat bangsa
tak padam sepanjang masa
Walau jasad hidup merana
walau dihimpit ditindas ganas
pelita cinta 'kan hidup jua
menyinar jiwa hasrat bebas
Keris Mas (Kamaluddin Muhammad)
Mastika 1949
m.s 118 Puisi Baharu Melayu
[kita harapkan kita dianugerahi pemimpin seumpama ini]
No comments:
Post a Comment