PRU13 telah berlalu. Ianya berlalu dengan beberapa persoalan yang tidak selesai. Ia bukannya titik noktah bagi pergolakan politik di tanahair. Hanya ianya adalah tanda koma sebelum pergolakan-pergelutan yang berikutnya berlaku. Inilah yang saya dapat rasa: pergolakan antara parti-parti berbeza yang bertanding, pergolakan dalaman parti-parti itu sendiri. Sejauh mana gelombang dan ombak daripada percikan pergelutan ini mengenai orang awam macam kita, saya tidak dapat menelahnya.
Masyarakat kita semakin parah, isu agama telah disalah-gunakan oleh pihak-pihak yang bertanding tanpa rasa segan kepada Allah dan Rasul, asalkan dapat mengumpul sokongan. Kenyataan dalam bentuk ceramah dan posters yang mengaitkan hukum 'haram'., 'wajib menyokong', 'masuk neraka' , 'rosak aqidah',' menegakkan aqidah ahlu as-Sunnah' dan seirama dengannya dipasak kepada pengundi Melayu. Kepada pengundi Cina ditakutkan dengan 'bahayanya hukum hudud', 'kebebasan yang akan dirampas'. Isu kalimah Allah, fahaman pluralisme dan liberalisme dilaungkan tanpa ada kemahuan memahami persoalan yang sebenarnya. Orang-orang yang berjubah, berserban diarak ke sana kemari oleh kedua-dua pihak.
Seakan kedua pihak ini berjuang demi agama, demi bangsa dan kepentingan tanahair. Tidak ada yang mengatakan yang mereka berkempen untuk menaikkan diri mereka, untuk mempromote parti mereka, untuk menguasai kekuasaan di mana peringkat sekalipun, apa lagi untuk mengaku yang mereka mahukan kedudukan dan peluang kekayaan. Semuanya sangat luhur dan murni.
Sekiranya kita bertanya secara jujur: adakah kesibukan dan kegawatan ahli-ahli politik dan penyokong-penyokong mereka ini benar-benar serious menghayati perjuangan politik? Adakah mereka patuh mengikut piawaian yang mereka laungkan dalam ceramah dan risalah mereka?. Kita tujukan persoalan ini bukan kepada ahli politik yang bacul, bukan kepada yang kegemarannya sumpah seranah, bukan kepada sipenampal poster dan sipenaik bendera parti . Kita harus tanyakan kepada pimpinan dan idealist yang ada dalam parti masing-masing.
Semua tahu proses pemilihan dalam pilihanraya bertujaun untuk melantik ahli DUN dan parlimen. Untuk melantik ahli dewan legislative: untuk mewartakan dasar pentadbiran, untuk membubar peruntukan yang sedia ada, untuk menghulur cadangan-cadangan ke arah pembaikan negeri dan negara, untuk menegur di mana ada kelemahan, kealpaan dan keterlanjuran. Semua ini memerlukan mereka yang sekurang-kurangnya mampu memahami perbahasan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan subjek-subjek di atas, mereka yang punya idea untuk disumbangkan, mereka yang peka tentang urus-tadbir sesebuah kerajaan.
Sekiranya kita bertanya dengan merujuk kepada senarai nama-nama calon dari parti-parti yang didukung oleh kita orang Islam, orang Melayu; berapa peratuskah daripada calon yang bertanding dipilih atas dasar kemampuan mereka miliki yang melayakkan mereka menjadi anggota dewan legislative bagi sesebuah kerajaan? Jawabnya terlalu rendah. Sekiranya kita bertanya sekali lagi apakah kerana mereka dipilih berdasarkan keputusan survey atau pandangan penyokong akar-umbi parti setempat; jawabnya tidak semua. Ramai calon yang diputuskan untuk bertanding hasil daripada bisik-bisik individu sekeliling kepada pimpinan parti, lalu diiyakan, sama bulu dengan pemimpin. Ramai calon yang diputuskan untuk bertanding kerana mereka mempunyai kedudukan dalam parti. Itulah ciri 'winnable candidates' yang dimasyhurkan itu.
Isu dalam kempen juga tidak menjurus kepada kupasan tanggung-jawab yang bakal mereka pikul sekiranya mereka menang. Tidak banyak subjek yang serious dilontarkan, lebih banyak cakap-cakap mengejek antara satu sama lain yang kedengaran.
Nampaknya kebanyakan ahli-ahli politik bangsa kita tidak serious dalam tugasan pimpinan mereka. Mereka serious dalam menentukan kemeriahan kempen, mengaut sokongan pengundi, menentukan kemenangan mereka dengan apa cara sekalipun. Sehingga ada rakan dari kalangan ahli akademik mengingatkan: amalan demokrasi di barat bertujuan mencari orang yang layak untuk memimpin, sementara amalan demokrasi yang barat tinggalkan untuk kita bertujuan memecah-belah dan merosakkan sesama kita.
Seakan-akan perkembangan ini menakutkan kita dengan ingatan Rasulullah Sollallahu 'alahi wasallam : apabila amanah diberi bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kebinasaan'. Dan itupun kita masih tidak tahu sampai bila tradisi permainan politik tohoran ini akan terus berlangsung.
Pemimpin sepatutnya berpandangan jauh melebihi pandangan orang-orang biasa, kerana itu mereka mampu memimpin arah. Pemimpin sepatutnya cepat terasa dan mudah faham, kerana itu mereka mampu memberi petunjuk . Pemimpin sepatutnya berjiwa luhur dan sedia berkorban kerana itu mereka adalah obor penyuluh mencerah kegelapan.
Mungkin sahaja politik kepartian bukan Jalan yang mampu memimpin ummah, yang mampan mendaulat ajaran agama, yang berjaya menyatukan bangsa. Ayuh kita kembali mencari petujuk dari al-Quran, as-Sunnah dan athar salafuna as-Soleh.
No comments:
Post a Comment