[Saya membuat catitan ini khusus untuk seorang sahabat yang saya kasihi, barangkali kandungannya sesuai untuk rakan-rakan lain secara umumnya. Semangat saya ketika memulai catitan ini berdasarkan kasih-sayang, berlandaskan kasihan-belas; saya percaya pegangan yang saya nyatakan ini betul, tetapi mungkin ianya salah. Maka tegurlah saya sekiranya saya silap, semoga budaya tegur menegur secara kasih-sayang yang membawa kepada Tilik Rahmat daripada Allah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.]
19hb April 2013.
Selepas Jumaat .
Menemui saudara yang didoakan semoga kita sentiasa berada dalam kandungan kesejahteraan dan keampunan Allah.
Saya diberitahu oleh kenalan dan saya terbaca serta terlihat dalam media massa yang saudara begitu tekun dalam usaha saudara mengumumkan kepada masyarakat tentang keburukan DSAI. Termasuk dalam soal-soal akhlaq (moral) selain daripada faham pluralism dan liberalism yang dikaitkan kepada beliau.
Saudara tentunya sedar yang Islam mengajar kita agar menegakkan kebenaran serta mencegah kemungkaran . Allah menyifatkan ummah kita sebagai ummah yang terbaik kerana ciri-ciri ini di samping pokoknya ummah yang secara kolektifnya beriman kepada Allah.
Tentunya dalam soal-soal sebegini penting Islam mengajar kita keadahnya. Alhamdulillah Allah menganugerahi ummah ini dengan penurunan al-Quran yang 'menjelaskan bagi segala sesuatu'. Ringkasnya tatakerja mendedahkan keburukan seseorang itupun tentunya tertaaluk kepada apa yang digariskan oleh al-Quran dan dijelaskan dalam sunnah Rasulullah Sollalluhu 'alaihi wasallam dan athar salafuna as-soleh.
Kita tidak berhak mencarik maruah seseorang, menjatuhkan air-muka seseorang kecuali seizin syara'. Bahkan agama kita dibina di atas dasar an-nasihah. An-Nasihah antara lainnya bermaksud mengkehendaki apa yang terbaik, ikhlas , bertujuan kebaikan.
Secara umumnya memalukan peribadi seseorang itu, mencarik maruah peribadinya, memburuk-burukkan imej peribadi seseorang itu adalah perkara yang haram dalam agama kita. Memang terdapat pengkecualian kepada hukum umum ini. Bagaimanapun pengkecualian memerlukan sebab-musabab yang kukuh, menduduki kepastian, melintasi keberangkalian , tidak punya takwilan selain daripada apa yang kita faham bagi mengenepikan hukum umum. Apalagi kita semua sedar yang menjaga maruah menjadi salah-suatu perkara pokok dalam syara kita selepas menjaga agama, nyawa, aqal, harta dan keturunan.
1- Tuduhan salah laku Seksual.
Tidak mudah untuk kita menuduh seseorang itu terlibat dalam perbuatan zina dan liwat. Perkara ini disebut secara jelas dalam al-Quran yang tidak mempunyai kebatilan dan tidak punyai keraguan . Kita tidak memerlukan kepada sebarang takwilan dalam memahami Perentah Allah ini
لَّوْلاۤ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْراً وَقَالُواْ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ * لَّوْلاَ
جَآءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُواْ
بِالشُّهَدَآءِ فَأُوْلَـٰئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَاذِبُونَ * وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ فِي ٱلدُّنْيَا وَٱلآخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِي مَآ أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sekiranya ketika kamu mendengarnya (tuduhan seorang muhsan berzina/liwat) , selayaknya mukmin dan mukminat bersangka baik kepada (sesama) diri mereka sendiri , serta mereka mengungkapkan " ini adalah ifik (tuduhan bohong) yang jelas". Sekiranya mereka (mahu menuduh) ke atasnya, [maka syaratnya] datangkanlah 4 orang saksi. Maka sekiranya mereka tidak mendatangkan saksi-saksi tersebut, maka mereka itu di sisi Allah adalah orang-orang yang berbohong Kalaulah tidak kerana kurnia Allah atas kamu dan rahmat-Nya di dunia dan di Akhirat, niscaya kamu ditimpa azab yang besar kerana pembicaraan kamu padanya" [an-Nur: 12-14]
إِذْ
تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَّا
لَّيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّناً وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ
عَظِيمٌ * وَلَوْلاۤ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَانَكَ هَـٰذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ * يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثْلِهِ أَبَداً إِن كُنتُمْ مُّؤْمِنِينَ * وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلآيَاتِ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ * إِنَّ
ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَاحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ آمَنُواْ
لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي ٱلدُّنْيَا وَٱلآخِرَةِ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ
وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
(ingatlah) ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut kamu apa yang kamu tidak ada ilmu tentangnya. Dan kamu menganggapnya suatu yang ringan. Padahal di sisi Allah ianya adalah (maksiat) yang besar. Dan mengapa kamu tidak berkata ketika mendengarnya; "sekali-kali tidak layak bagi kami memperkatakan soal sebegini, Maha Suci Engkau (ya Allah), ini adalah pendustaan yang besar. Allah memperingatkann kamu agar jangan kembali memperbuat seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman, dan Allah menerangkan ayat-ayat (penjelasan) bagi kamu, Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Sesungguhnya orang-orang yang berita jahat [al-fawahish] itu tersiar di kalnagan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Sedangkan Allah Maha mengetahui dan kamu tidak mengetahui' [an-nur: 15-19]
Ada beberapa pengajaran yang kita dapat pelajari dari ayat-ayat dari Surah an-Nur ini:
1- Bersangka baik terhadap sesama Islam. Kita dianjurkan untuk mengambil sikap sekiranya mendengar berita tentang tuduhan sebegini untuk berkata: (1)"Ini adalah tuduhan bohong yang jelas nyata" dan (2) "kami tidak akan (memanjang ) bicara tentang perkara ini, Maha Suci Allah, ini adalah pembohongan yang jelas".
2- Tanpa mendatangkan 4 orang saksi , maka penuduh yang menuduh seseorang itu berzina dikira oleh Allah sebagai pembohong. Kalau dikira bohong di sisi manusia, itu masih kecil berbanding berbohong di sisi Allah kerana anggapan yang ada pada manusia tidak bersifat mutlak, tetapi apa yang di sisi Allah itu adalah mutlak. Semoga Allah menyelamatkan kita dari bencana yang sedemikian dahsyat ini.
3- Mereka yang terlibat dalam penyebaran berita tuduhan sebegini akan diazab oleh Allah di dunia dan di akhirat. Takutilah janji azab Allah ini.
إِنَّ
ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَاحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ آمَنُواْ
لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي ٱلدُّنْيَا وَٱلآخِرَةِ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ
وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang suka menyiarkan keburukan [al fawahish] di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di Akhirat, Dan Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui (perkara ayang sebenar) [an-Nur:19]
4- Mereka yang membawa berita tuduhan sebegini menganggap perbuatan mereka adalah suatu perkara , tidak berdosa atau sekira salah sekalipun, ianya dosa yang ringan, sedangkan perbuatan mereka itu besar dan berat di sisi Allah. Kerana perbuatan ini daripada dosa-dosa besar.(kabair)
إِذْ
تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُمْ مَّا
لَّيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّناً وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ
عَظِيمٌ
Ketika kamu menerimanya (tuduhan bohong ini) dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut kamu apa yang kamu tidak mempunyai ilmu, kamu mengira ianya ringan sahaja, sedangkan ianya di sisi Allah adalah perkara (maksiat) yang besar" [an-Nur:15]
5- Mungkin terdapat belbagai perspektif dalam menanggapi isu ini, maka Allah secara jelas menyebut " Allah menjelaskan (tibyan) kepada kamu ayat-ayat (penjelasan) , Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". perspektif dan andaian yang lain datang selepas beriman kepada apa yang disebut Allah pada ayat ini. Message Allah adalah benar dan tidak didatangi kebatilan dari penjuru mana sekalipun. Allah menyebut kita agar patuh kepada arahan-Nya dengan secara specific:
يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُواْ لِمِثْلِهِ أَبَداً إِن كُنتُمْ مُّؤْمِنِينَ * وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلآيَاتِ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Allah memberi kamu peringatan. supaya kamu tidak kembali melakukan seumpama itu (melakukan qazaf) untuk selama-lamanya, sekiranya kamu orang-orang yang beriman. Allah menerangkan untuk kamu ayat-ayat (penjelasan) , Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana [an-Nur 17-18]
6- Kebiasaannya banyak pihak yang terlibat dalam komplot maksiat sebegini, Allah menyebut:
لِكُلِّ ٱمْرِىءٍ مِّنْهُمْ مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلإِثْمِ وَٱلَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Bagi setiap seseorang daripada mereka (yang terlibat dalam penyebaran tuduhan zina dan liwat) mendapat bahagian dosa dari apa yang mereka usahakan, sedangkan yang berperanan penting (dalam maksiat qazaf ini) dari kalangan mereka , baginya azab yang sangat besar. [ayat 11 surah an-Nur]
Ayat-ayat ini sangatlah jelas, tiada kesamaran dalam memahaminya. Tuduhan untuk menthabitkan perbuatan zina atau liwat memerlukan empat orang saksi yang cukup syarat. Atau dalam feqahnya disebut sebagaimana yang terdapat dalam sunnah iaitu ikrar daripada yang melakukannya. Penghujjahan secara lain ditolak, kecuali penghujjahan itu membawa kepada pengakuan (ikrar) daripada sipelaku itu sendiri. Dalam kes klasiknya perempuan yang dirogol meraung meminta tolong kerana dirogol, lalu orang ramai berjaya menangkap silelaki yang dituduh dan dia mengaku yang dia memang merogol perempuan yang meraung tersebut. Maka hukum hudud dilaksanakan ke atas lelaki tersebut. Atau dalam kes baru, sekadar perbandingan kes umpama Chua Soi Lek, selepas tersebarnya VCD lucah itu, dia mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengakuan yang dia-lah lelaki di dalam VCD itu.
Seandainya orang yang dituduh tidak mahu mengaku/ikrar walaupun dihadapkan dengan hujjah-hujjah teknikal selain daripada 4 saksi, maka kesalahannya tidak dapat dithabitkan dalam syara'. Maka apakah itu adil?. Memang keputusan itu adil kerana pada prinsipnya adalah "lebih wajar untuk melepaskan seseorang yang bersalah kerana terdapat sedikit keraguan daripada menghukum orang yang tidak bersalah", Lagipun hukum itu dilaksanakan oleh orang yang beriman kerana menjunjung perentah Allah, maka perentah Allah wajib dipatuhi. Kalau setakat itu yang Allah perentahkan kita, maka setakat itulah yang kita wajib laksanakan. Sedangkan balasan sebenar-benarnya milik Allah.
Apakah sekiranya dia bersalah, tetapi tidak mampu dibuktikan kesalahannya secara syari'ah yang ketat itu, maka apakah dia akan terlepas daripada hukuman?. Jawabnya ya dan tidak. Ya daripada hukuman sesama manusia secara langsung tetapi dia tidak terlepas daripada hukuman yang sebenar-benarnya dan seadil-adilnya dari sisi Allah di dunia dan Akhirat. Dan Allah-lah seadil-adil hakim.
Allah mengingatkan kita tentang hakikat ini:
يَسْتَخْفُونَ
مِنَ ٱلنَّاسِ وَلاَ يَسْتَخْفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ
يُبَيِّتُونَ مَا لاَ يَرْضَىٰ مِنَ ٱلْقَوْلِ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا
يَعْمَلُونَ مُحِيطاً * هَٰأَنْتُمْ
هَـٰؤُلاۤءِ جَٰدَلْتُمْ عَنْهُمْ فِي ٱلْحَيَٰوةِ ٱلدُّنْيَا فَمَن
يُجَٰدِلُ ٱللَّهَ عَنْهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَمْ مَّن يَكُونُ
عَلَيْهِمْ وَكِيل
Mereka (boleh) bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak boleh bersembunyi daripada Allah, sedangkan Dia (Allah) bersama mereka (ketika mereka melakukan pengkhianatan) ketika mereka membuat keputusan (perencanaan) rahsia yang Allah tidak redai, Adalah Allah Maha mengetahui secara mendalam apa yang mereka lakukan. Beginilah hal kamu, mereka yang kamu berdebat untuk membela mereka pada kehidupan dunia, maka siapa yang akan mendebat Allah bagi pihak mereka pada Hari Qiyamah?. Atau siapakah yang akan melindungi mereka (dari azab Allah)? [an-Nisa' 108-109]
Kita menentang perbuatan zina dan liwat kerana ianya maksiat. Allah memerentah kita agar mengingkari maksiat. Sejajar dengan itu jugalah, atas kefahaman itu jugalah kita menentang perbuatan qazaf [menuduh orang melakukan zina atau liwat tanpa cukup bukti secara syari'ie], ianya adalah maksiat yang besar. Maksiat yang dijanjikan Allah dengan azab di dunia dan di Akhirat. Maka wajib kita menentangnya, itu sekiranya kita menentang maksiat kerana menjunjung perentah Allah semata-mata. kita tidak mempunyai tujuan selain mahu menjunjung perentah Allah.
Apakah dibolehkan kita menuduh seseorang itu berzina dan melakukan liwat tanpa cukup bukti memandangkan dia sedang berusaha untuk menjadi pemimpin?. Sudah tentu kita tidak mempunyai hukum yang double-standard, diharamkan pada suatu pihak tetapi dihalalkan pada pihak yang lain. Kecuali terdapat nas-nas yang nyata dan sekukuh atau lebih kukuh daripada nas yang mengharamkan bagi membolehkan pengkecualian itu.
Bolehkan kita qiyas dengan hal-hal yang lain seperti boleh disebut kekurangan seseorang ketika ditanya oleh bakal pasangan hidup atau ketika minta fatwa atau bimbangkan kemudaratan yang membahayakan awam?. Jawabnya dalam semua soal ini , kita dilarang daripada berbohong yakni memperkatakan apa yang kita tidak yakini (hear say), kita dilarang daripada melakukan maksiat besar yang mewajibkan ke atas kita hukum hudud. Terutama apabila kita menuduh seseorang itu berzina atau liwat tanpa cukup bukti, kita dianggap di sisi Allah dan syara'-Nya sebagai orang yang fasiq, maka kesaksian kita tertolak selama-lamanya. Bagaimana mungkin berita daripada orang yang tertolak kesaksiannya dapat dipakai?
Implikasinya besar sekali, kesaksian kita tertolak selama-lamanya, itulah yang Allah sebut secara jelas di dalam al-Quran
وَٱلَّذِينَ
يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُواْ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ
فَٱجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلاَ تَقْبَلُواْ لَهُمْ شَهَادَةً
أَبَداً وَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْفَاسِقُونَ * إِلاَّ ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِن بَعْدِ ذٰلِكَ وَأَصْلَحُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang muhsanat (begitu juga lelaki yang muhsan) berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan, dan jangan kamu terima daripada mereka kesaksian selama-lamanya, mereka itu adalah golongan yang fasiq. Kecuali mereka yang bertaubat selepas itu dan memperbaiki diri mereka. maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyanyang. [an-Nur:4-5]
Ulama sepakat yang mereka ini dikira sebagai orang fasiq yang kesaksian mereka tertolak. Ulama feqah berselisih pendapat tentang taubat mereka yang terlibat dalam maksiat ini: (1) sekiranya mereka bertaubat dan membaiki diri mereka, kesaksian mereka selepas itu diterima. (2) sekiranya mereka bertaubat dan membaiki diri mereka, mereka tidak lagi dianggap fasiq , bagaimanapun kesaksian mereka ditolak sampai bila-bila. (3) sekiranya mereka bertaubat dan membaiki diri serta menjalani hukuman 80 sebatan, maka mereka tidak lagi dianggap fasiq dan kesaksian mereka diterima.
Betapa relevannya kisah yang dimuatkan oleh Imam Bukhari yang kemudiannya dipetik oleh Imam Ibn al-Kathir di dalam menafsir tentang hukum sumpah li'an pada ayat 6-10 Surah an-Nur. Saiyyidina Hilal bin Umayyah telah menuduh isterinya berzina dengan Sharik bin Sahma'.Rasulullah sollallahu 'alahi wasallam berkata kepada Hilal: "Buktikan (yang isterimu berzina), atau (sekiranya engkau gagal maka) hukum hudud di atas belakang engkau". Rasulullah sollallahu 'alahi wasallam mengulangi anca,man tersebut. Lalu Hilal berkata: "Demi Allah yang mengutuskan tuanhamba dengan kebenaran, sesungguhnya aku berkata benar, dan pasti Allah akan menurunkan ayat yang membebaskan aku hukuman tersebut". Lalu turunlah ayat-ayat berkenaan hukum sumpah lian.
Lalu Hilal bersumpah, apabila isterinya mahu mengulangi sumpahnya bagi kali ke 5, para sahabat berusaha menahan beliau kerana takutkan azab yang akan menimpa, beliau terdiam kemudian berkata: " aku tidak akan memalukan kaumku selama-lamanya", lalu beliau meneruskan sumpahnya.
Rasulullah sollallahu alahi wasallam bersabda : "periksalah anaknya, sekiranya mata anak itu seakan bercelak, berpunggung besar,berbetis yang besar, maka anak itu adalah bagi Sharik bin Sahma'."
Selepas perempuan itu melahirkan anaknya, ciri-ciri yang tersebut memang terdapat pada bayi itu. Rasulullah Sollallahu alahi wasallam bersabda: "Kalaulah bukan kerana keputusan sudah ditentukan pada Kitabillah, pasti aku akan menangani perempuan ini dengan kaedah yang lain".
Lihatlah walaupun Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam seorang yang maksum, yang diberi ilmu dan kasyaf tentang hakikat yang sebenar sekalipun masih terikat kepada nas al-Quran, walaupun ciri-ciri yang disebut baginda tidak sedikitpun lari, masih juga perempuan itu dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Kes itu ditutup sebagaimana yang dikehendaki oleh nas al-Quran.
Maka siapa pula kita untuk mengatakan kita punya evidences, kita mendengar sendiri dari orang-orang yang rapat dengan DSAI?. Sekiranya kita sendiri yang melihat perlakuan DSAI sebagaimana yang syara gariskan sekalipun, itu belum memadai untuk kita terlepas daripada hukuman had qazaf kecuali bersama kita ada lagi saksi-saksi cukup 4 orang.
Sekarang kita lihat pula apakah evidences yang begitu kukuh sehingga kita berani mempertaruhkan diri kita dengan hukuman had qazaf, sehingga tergamak untuk dianggap pembohong di sisi Allah, sehingga menjadi fasiq yang kesaksian kita tidak diterima sampai bila-bila?.
Tentunya kita tidak punya empat orang saksi Tentunya kita tidak mempunyai ikrar dari DSAI sendiri yang mengaku beliau melakukan maksiat tersebut. . Tetapi kita kata kita ada bukti DNA , kita ada rakaman CD, kita ada bisik-bisik dari sekelian jumlah manusia yang pernah rapat dengan DSAI, kita ada rekod polis, kita ada pengakuan mangsa.
Tentang DNA, tentu kita semua mengakui yang ujian yang dijalankan itu tidak sempurna, tidak mengikut procedures yang standard. ianya diambil dari samples yang berada di dubur mangsa, kemudian berada di dalam laci pegawai penyiasat. Hal-hal ini telah disebut dalam mahkamah. Bagaimanapun keputusan ujian itu mungkin masih tepat kerana ada kes yang dilapurkan iaitu DNA diambil daripada samples yang terdedah untuk sekelian lama masih relevan, iaitu samples yang diambil dari cecair dalam faraj mangsa rogol yang telah meninggal.Bagaimanapun itu adalah pengkecualian dan bukan kebiasaan dan tidak mengikut normal standard procedures. Apakah perkara yang diluar normal standard procedures dapat diterima sebagai evidences dalam syara' kita atau mana-mana undang-undang?. Saudara tentunya lebih tahu daripada saya.
Pengakuan mangsa liwat. Dia mengaku dipaksa dan dimagsakan oleh DSAI. Bagaimanapun dalam mahkamah DSAI dituduh yang dia melakukan hubungan seksual diluar tabie bukannya dia memaksa simangsa sebagaimana yang diwar-warkan sebelum ini. Bagaiamana pun mangsa tidak menafikan butiran tuduhan ini, bermakna dia mengaku di mahkamah (ikrar) yang dia melakukan maksiat liwat dengan DSAI. Atas pengakuannnya itu , bukankah atas zimmahnya dikenakan hukuman had zina?.
Persoalan seumpama ini telah dibincangkan oleh ulama feqah kita secara agak detail. Kita mungkin simpati dengan yang mengaku mangsa, kita juga wajib simpati dengan yang dituduh, dia juga mangsa tuduhan.
Kita menerima bisik-bisikan secara tertutup bahkan mendengar ceramah tentang salah-laku seksual DSAI secara terang-terangkan daripada mereka yang pernah rapat dengan DSAI sendiri. Bagaimanpun itu tentunya bukan hujjah yang diterima syara'. Bukankah dalam Surah an-Nur , secara terang menyebut mereka yang terlibat dalam peristiwa ifk (menuduh Saiyydatuna Aishah) itu adalah 'usbah (kelompok yang kurang daripada 40 orang) daripada kaum muslimin sendiri. Mereka ini mempunyai kedudukan agama yang jauh lebih tinggi daripada kita sekarang. Bagaimanapun para sahabat ini terlibat dalam maksiat tersebut, maka tidaklah luar-biasa jika yang menuduh secara bisik-bisik atau terang-terangan sekarang ini juga terdiri daripada 'usbah kepada DSAI sendiri.Agaknya kita boleh katakan that is the pattern of this mungkar. Allah memperingatkan kita tentang bahaya percakapan bisik-bisik:
لاَّ
خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ
مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاَحٍ بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذٰلِكَ
ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْراً عَظِيماً
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan yang menyuruh bersedeqah, atau kemakrufan, atau pengislahan di antara manusia. sesiapa yang melakukan sedemikian kerana mencari keredaan Allah, maka Kami (Allah) akan memberi kepadanya ganjaran yang besar [an-Nisa':114]
Tentang wujudnya CD yang menunjukkan seakan DSAI dalam perbuatan yang dituduh ke atasnya, tentu kita mampu bersepakat yang pengambaran sedemikian ada kemungkinan dilakunkan oleh orang lain. Dari segi teknikalitipun ada beberapa persoalan yang boleh menimbulkan keraguan. Apa lagi syari'ah Islam yang kita beriman sesuai untuk kesemua zaman tidak menerima bahan CD sebagai bahan utama pembuktian.
Dari segi syara'nya tiada ada ijtihad pada perkara yang jelas nas-nya di dalam al-Quran dan hadith. Maka walaupun sejauhmana gagah pembuktian dengan CD sekalipun, ia masih tidak dapat digunakan. Apa tah lagi sekiranya kandungan CD itu sendiri mempunyai beberapa kelemahan, dan terdapat kemungkinan ianya diubah-suai untuk memenuhi tuntutan pihak tertentu.
Kita juga hairan bagaimana mungkin, badan Pesuruhjaya Multimedia atau polis belum dilapurkan bertindak ke atas penyebar bahan-bahan lucah sebegini. Bahkan ada akhbar utama yang menyiarkan gambar-gambar yang diambil dari kandungan CD tersebut, dan semua ini berlaku tanpa tindakan pihak berkuasa (yang diumumkan kepada orang awam). Apakah bala yang akan menimpa kita apabila penyebaran al-fawahish yang sebegini telah menular secara meluas ke dalam masyarakat- apakah bencana yang akan merempuh kita sekiranya kita meredai kesemua ini?.
Mungkin kita katakan pula yang kes sekarang ini, yang membuat tuduhan ini adalah mangsa bukannya pihak ketiga. Apakah Islam hanya membiarkan mangsa liwat secara paksa dianiayai tanpa hukuman ke atas penjenayah?. Itu pun sebenarnya telah terjawab dalam kitab-kitab feqah kita. Dalam kes ini kenapa mangsa tidak memprotes terhadap butiran tuduhan yang di dakwa atas DSAI? Kenapa dia tidak berkeras yang sebenarnya tiada elemen kerelaan hanya semata-mata dia dipaksa?.
Sebelum dan di atas semua andaian itu, pihak yang menuduh, atau pihak yang mempercayai tuduhan ini termasuk saudara perlu memberi jawaban yang mengatasi keraguan untuk menolak serta menafikan kenyataan mahkamah Dr. Thomas Hoogland pada 6hb jun 2011. Pakar bedah yang merawat DSAI pada tahun 2004 ini memberi kenyataan yang DSAI mengalami kerosakan saraf, mengalami stenosis yang menghalang sesetengah gerakan tulang belakangnya dan mengalami kerosakan pada sendi,arthritis yang tidak memungkinkan beliau beraksi sebagaimana yang dituduh oleh mangsa dan digambarkan dalam CD yang disebarkan itu. Kalau kenyataan ini tidak dinafikan secara yakin, maka secara andaian yang saudara ketengahkan adalah umpama abu yang berterbangan,
does not carry any weight. Sekiranya saudara mempunyai hujjah yang kuat untuk menafikan kebenaran kenyataan pakar bedah ini sekalipun, semua hjjah saudara itu masih tertakluk kepada ketentuan syari'ah.
Sekiranya kita menuduh DSAI tidak bermoral kerana tuduhan salah-laku seksual, apakah kita sendiri bermoral, apakah kita berakhlaq dengan melakukan qazaf terhadap beliau?. Apakah kita tidak sedar dan tidak punya perasaan takutkan Allah daripada murka-Nya, daripada janjian azab-Nya daripada dihitung-Nya sebagai pembohong dan digolongan sebagai orang fasiq oleh-Nya?
Tentang perkara yang sebenar, hakikat kejadian kita serahkan kepada Allah. Saya tidak berani untuk berikrar atau membuat pengakuan yang DSAI tidak terlibat atas sebarang salah-laku. Tetapi kita diajar agar patuh kepada syara'. Syara'-lah yang mengajar kita agar kita tidak menyebarkan tuduhan buruk ke atas orang Islam yang lain terutama dalam salah-laku seksual. Kita tentu sedar setiap seorang itu secara zahir syara'nya dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Maka kehormatan seseorang haram dicabuli. Tujuan utama catitan ini bukan untuk membela (menyatakan kelebihan dan kebaikan) DSAI, bahkan tujuan utamanya untuk meluruskan faham saudara berdasarkan tuntutan syara, sebagaimana yang saya fahami.
Dalam soal ini tidakkah kita terfikir yang kita bukan sahaja memalukan seorang saudara kita secara yang tidak syarie bahkan kita memalukan keluarga beliau, kita memalukan kenalan beliau. Kita sebarkan al-fawahish secara meluas dalam masyarakat. Aduhai beraninya kita mencarikkan apa yang Allah perentah kita peliharakan; yakni maruah muslim yang lain.
Jalan keluar dari perangkap maksiatnya ini tidaklah mudah. Terutama penglibatan sebahagian kita telah begitu sebati, maklumat telah banyak kita sebar-luaskan. Kita dikelilingi oleh rakan-rakan yang berkongsi pendirain seumpama kita. Walaupun ianya sukar, kita wajib mencari Jalan keluar. Tiada ada pilihan. Jalan keluarnya adalah dengan bertaubat secara terbuka sebagaimana kita terlibatpun secara terbuka. Kita perlu memohon maaf daripada setiap mereka yang menjadi mangsa kepada perbuatan kita . Masa untuk bertaubat belum terlambat. Orang Islam tidak perlu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sebagaimana saya mula catitan ini dengan mengatakan saya percaya fahaman saya ini betul, mungkin ianya salah , maka betulkan saya sekira saya salah sebagaimana saya mahu membetul pendirian saudara. Kerana kita semua tidak akan tertahan azab Allah di dunia dan di akhirat.Kerana kita semua mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya
Insyaallah saya akan membuat sedikit catitan tentang isu pluralisma, liberalisma yang sudah tentu perlu kita jelaskan kesesatannya dan perlu kita berusaha menyelamatkan ummat daripada tergelincir padanya.
Semoga catitan saya ini membawa manafaat kepada diri saya sendiri, memenuhi sebahagian daripada tuntutan persahabatan, memberi manafaat kepada sahabat yang saya sangat kasihi , menambah kasih sayang antara kami, serta ada kebaikannya untuk rakan dan taulan yang lainnya.
Wallahu 'alam.
Alhamdulillah atas nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam atas Junjungan Nabi Pilihan, ahli keluarga baginda yang bergermelapan iman, para sahabat baginda yang tauladan ikutan,
Petang Sabtu;
20hb April 2013.
1.Minta Anwar sumpah laknat kes sodomi dan cinadoll,2.wan Azizah tunjuk jam Omega kes video seks,3. hantar video pada pakar dan dedahkan hasil kajiannya 4. Anwar ambil tindakan saman fitnah terhadap Dato T.
ReplyDeleteKami bukan nak jadi hakim nak hukum Anwar dan bukan juga nak tuduh Anwar ,cuma nak kepastian je supaya tak terjebak dalam kancah subahat dan menzalimi mangsa yg daif seperti Saiful.
Tulisan tuan berkenaan cara yang dijuruskan oleh Islam didalam menangani isu fitnah dan sebagainya adalah tidak disangkal sama sekali. Tuan juga amat jelas tentang perkara tuduhan2 liwat dan seumpamanya, perlu diperhalusi dari sudut syarie. Namun, cara 'kesungguhan' tuan menyokong pandangan tentang DSAI agak keterlaluan yang membuatkan pembaca (seperti saya) yang mahukan pandangan objektif, ilmiah dan neutral, terpaksa meragui agenda sebenar didalam penulisan tersebut. Tuan juga dilihat amat bijak menyelitkan ayat2 yang menyelamatkan diri sperti ..."Saya tidak berani untuk berikrar atau membuat pengakuan yang DSAI tidak terlibat atas sebarang salah-laku."... walaupun 5 perenggan sebelumnya telah didedikasikan dengan pembelaan yang menyebelahi DSAI. Tuan juga bersungguh2 cuba membuktikan keseimbangan pandangan tuan dengan menulis..."Tujuan utama catitan ini bukan untuk membela (menyatakan kelebihan dan kebaikan) DSAI, bahkan tujuan utamanya untuk meluruskan faham saudara berdasarkan tuntutan syara, sebagaimana yang saya fahami".
ReplyDeleteBagi seorang pembaca neutral, tulisan2 sebegini adalah mengelirukan. Namun, saya yakin bahawa tuan tidak keliru sama sekali didalam mempersembahkan mesej yang tuan mahu berikan.
Bagi saya, tujuan tuan sebenarnya adalah utk menghentikan publisiti tuduhan2 keatas DSAI, dengan menggunakan landasan syarie dan hukum-hakam. Bagi mereka yang yakin bahawa DSAI itu bersalah, tuan turut meminta mereka bertaubat (secara terbuka??); yang mana, kenyataan sedemikian boleh ditafsirkan bahawa tuan telah yakin yang DSAI tidak bersalah. Bukankah pada perenggan sebelumnya tuan nyatakan yang tulisan tuan ini bukan untuk membela? Bukankah tuan juga menyatakan dalam perenggan yang sama bahawa tuan tidak berani berikrar yang DSAI tidak bersalah? Disamping itu juga, tuan tidak lansung menyarankan bahawa DSAI, isteri dan anak2 beliau juga perlu bertaubat jika DSAI sememangnya melakukan perkara sedemikian. Sekiranya penulisan tuan diolah sebegini cara, mungkin adalah lebih baik kerana tuan sendiri sebenarnya tidak tahu/ yakin bahawa DSAI adalah totally innocent.
Sekiranya tuan benar2 inginkan penyatuan bangsa dan agama dikalangan kita, saya harap tuan gunakanlah ruangan sebegini dengan lebih objektif. DSAI sudah pun menjadi sejarah didalam PRU13 ini. Kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan dari se-bangsa dan se-agama dgn kita. Tegurlah saudara2 kita diatas sana dengan teguran yang membina. Ajaklah saudara2 kita disini supaya bersatu dan sama2 kita kurangkan pengaruh orang2 kafir yang mahu memerintah negara islam kita ini.
Sememangnya, negara Islam kita sekarang ini ada kekurangannya, namun, kekuatannya juga ada. Half cup full and half cup empty.. I choose to build on the half cup full and I hope to get people like you to do the same.
Sekiranya saudara perhatikan apa yangs saya tulis, saya tuliskan untuk seorang rakan rapat saya secara khusus, yang mungkin jika ada maka pengajarannya dapat dimanafaatkan oleh orang awam.
DeleteTidak sekali-kali saya mengatakan DSAI pada hakikatnya tidak bersalah, kerana kita tidak tahu perkara sebenar. Tetapi saya tegaskan yang syari'at agama kita mengajar hatta sekiranya kita melihat perbuatan zina dengan mata kepala kita sendiri pun, masih syara' memerlukan 3 orang saksi selain kita untuk menthabitkan perbuatan zina. Sekiranya tidak cukup 4 orang saksi, sekiranya kita mengwar-war yang seseorang itu berzina,maka kita boleh dijatuhkan hukum qazaf. Perkara ini jelas di dalam ayat-ayat dalam Surah an-Nur.
Saya sebutkan yang kita menentang zina atau liwat kerana keduanya maksiat, kita menentangnya kerana Allah memerentah kita untuk menentangnya. Janganlah kerana menentang suatu maksiat, kita sendiri sanggup pula melakukan maksiat yang lain yang Allah memerentah kita agar menentangnya juga.
Dari mana tuan dapat andaikan yang saya tidak pernah menyatakan kepada DSAI agar beliau menarik balik pendirian beliau, atau tidak pernah meminta beliau agar bertaubat?. Paling kurang bacalah keseluruhan entries yang berkaitan yang ada dalm blog ini, kemudian saudara boleh jatuhkan hukuman.
Saya mengkehendaki kebaikan untuk Datuk Najib,kebaikan untuk Mahyuddin, untuk DSAI , sebagaimana saya harapkan saudara2 saya mendoakan dan mengharapkan kebaikan untuk saya, agar sya dapat berhabiskan nyawa saya di atas iman, agar saya hidup di atas syari'at.
Dalam tulisan di atas, saya menggunakan hujah al-Quran, maka sekiranya saya salah pada mana-mana kefahaman terhadap mana-mana ayat yang saya naqalkan, maka wajib saudara betulkan saya. Sekiranya saya benar dalam kefahaman saya. maka wajib saudara akur kepada kebenaran kerana kebenaran itu mengatasi saya dan saudara, mengatasi kepentingan kita semua.
Janganlah kebencian kita terhadap sesuatu pihak menyebabkan kita tergelincir dari petunjuk al-Quran, jangn juga kita assume itu dan ini apabila terdapat nas yang jelas dalam syara'