Monday, June 29, 2009

Dua Keburukan Yang Bertentangan

Dalam ungkapan lama, terdapat kata "sekiranya dua kelompok ini rosak, maka rosaklah manusia seluruhnya; dan apabila dua kelompok ini baik, maka baiklah manusia seluruhnya , iaitu penguasa dan ulama".

Ungkapan ini seakan-akan membayangkan bahawa jasad masyarakat sangat dipengaruhi oleh hatinya, hati masyarakat itu adalah golongan umara dan ulama. Kegelinciran kedua golongan ini bukan setakat mengakibatkan mereka akan tersembam, bahkan masyarakat ramai juga akan turut rebah.

Ulama yang jujur dan benar akan dapat mempertahankan kemurnian nilai-nilai agama dan amalan baik dalam masyarakat, setakat yang terdaya dalam keterbatasan mereka ketika masyarakat dibala'kan oleh penguasa yang zalim. Tetapi sekiranya ulama yang terseleweng, apalagi terikat kemahuan mereka kepada perkiraan dunia, maka siapakah lagi yang akan menjernihkan faham dan meluruskan amalan dalam masyarakat?

Ketika Maharaja Akbar memerentah India, baginda mengharamkan penggunaan nama Muhammad dan Ahmad, mengharamkan penyembelihan lembu. dan kemuncaknya memperkenalkan agama baru, Din Ilahi. Dalam kesukaran yang sedemikian itu, Allah telah membangkitkan seorang ulama yang tulus, Maulana Ahmad Sirhindi, yang mengajak manusia untuk kembali berpegang teguh dengan Tali Allah dan Jalan Rasul-Nya. Maulana Ahmad Sirhindi tanpa jemu dan takut mengajak ummah supaya melakukan islah dan beliau menunjukkan sifat yang sangat jelas yang beliau tentang itu adalah kemungkaran dan bid'ah dalam urusan agama, beliau tidak sedikitpun berkecenderungan untuk bertenggek bagi mendapat kekuasaan. Kesukaran yang dihadapi oleh ummah beransur ringan terutama selepas kematian Maharaja Akbar. Anaknya Jehangir dan cucunya Shah Jehan telah terkesan dengan dakwah yang dibawa oleh Maulana Ahmad Sirhindi, dan kemuncaknya adalah apabila cicitnya Aurengzeb menaiki takhta, baginda merupakan seorang pemerentah yang patuh kepada syariat, seorang ahli ibadat sehingga disebut sinis sebagai Namaz Ji ( master of prayers).

Kita sangat sukar untuk mengerti tabiat kejayaan usaha islah. Bagaimana agaknya kita dapat menerima kejayaan dakwah Saiyyiduna Ibrahim, walaupun kita sendiri menjadi saksi ke atas keberkesanaan dakwah baginda sehingga hari ini, yang telah dilakukan oleh baginda pada ribuan tahun yang lampau?. Kita semua tahu yang Saiyyiduna Ibrahim diperentah Allah agar menyeru manusia kepada ibadat Haji dari atas Jabal Qubais yang kontang, berseorangan melaungkan seruan. Rupa-rupanya laungan seruan itu telah disampaikan ke pelusuk-pelusuk yang sangat jauh. Manusia dari serata dunia menyahut seruan itu dan mendatangi Makkah dengan segala kesukaran perjalanan yang memenatkan.

Adalah suatu keburukan untuk memisahkan amalan dan aktiviti politik dari ajaran dan nilai-nilai agama. Apa lagi dari agama Islam, yang di dalam terkandung segala pengajaran. Imam al-Haramain mengatakan sekiranya syariat menuntut dan mengatur kaedah untuk mengurus orang yang sudah mati, sudah tentu syariat itu akan lebih menuntut dan mengatur kaedah untuk mengurus orang yang hidup. Pemisahan politik daripada sumber agama ini berlaku kerana dorongan sikap cintakan kehidupan dunia; sehingga tergamak meminggirkan dan kadang-kadang membuang terus ajaran-ajaran agama dari ruang-ruang kehidupan seharian. Agaknya aliran fahaman sebegini digelar secularism sekarang ini. Ianya dapat diklasifikasikan dari sikap hubbu ad-dunya (cintakan dunia) sehingga kepada pegangan ilhad menolak kewujudan Tuhan.

Begitu juga adalah suatu keburukan untuk meng-agamakan apa-apa yang tidak mempunyai sumber daripada agama, apalagi dengan sesuatu yang ruhnya bertentangan dengan ajaran agama secara terang-terangan. Islam datang sebagai agama yang lengkap dan sempurna daripada Allah, ia tidak perlu kepada tempelen-tempelen asing yang dikenakan secara paksa ke atasnya, lalu mahu dianggap tempelen itu sebagai sebahagian daripada ajaran dan amalan Islam itu sendiri.

Pesan guru kami ketika membincangkan hadith yang mengumpamakan Agama Allah sebagai bangunan; nabi-nabi terdahulu masing-masing meletakkan bata-bata kepada bangunan, Rasulullah datang melengkapkan bata untuk mengisi semua kelopongan. Maka bangunan agama itu telah sempurna, tanpa sebarang lopong. Sekiranya hendak dibawa masuk faham dan amalan lain yang bukan bersumberkan ajaran Islam ke dalam struktur agama, maka ada bata-bata yang sedia ada yang perlu dirombak dari bangunan, untuk menyediakan lopong kepada bata yang diimpot itu menempel kepada bangunan agama.

Dalam tamaddun kristian, terdapat apa yang dikenali sebagi Protestant Works Ethics, iaitu ajaran yang menganjurkan yang kesenangan, kemewahan, kekayaan di dunia ini adalah sebenarnya mengejar kebaikan di dunia yang didakwa dituntut dalam ajaran kristian. Tiada lagi konsep berpada-pada dengan kehidupan dunia. Seakan-akan ketinggian di dunia bukanlah anti-thesis kepada kehidupan kerohanian dan ketinggian di akhirat. Sekurang-kurangnya mengikut Fritjof Chapra, dalam bukunya The Turning Point, inilah ajaran yang menjustifikasikan kerakusan yang berlaku di barat sehingga mengakibat kerosakan kepada masyarakat dan alam.

Amaran Rasulullah tentang kita ummah ini yang akan mengikut ummah kristian dan yahudi sehingga ke lubang biawak memang berlaku dalam semua segi, bermula daripada pemikiran dan pembawaan perseorangan sehingga kepada sistem bermasyarakat dan berkerajaan. Agak sumbang sekarang ini untuk berbicara tentang penghayatan konsep zuhud dan qanaah atau kehinaan kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat, walaupun dalam majlis-majlis keagamaan.

Malangnya faham dan nilai-nilai asing yang diimpot ke tengah-tengah ummah ini telah dipakaikan make-up untuk mengambarkan yang faham dan nilai-nilai ini adalah faham dan nilai-nilai Islam. Islamization Prosess telah cuba dilakukan termasuk kepada perkara-perkara yang jelas ruh dan zat-nya bukan Islami, inilah adalah petaka yang sangat parah menimpa ummah. Satunya sikap meminggirkan agama, keduanya perkara-perkara yang asing pun ingin dipersembahankan dengan wajah yang diberi make-up Islami.

Secara tidak sengaja kita menerima saranan musuh-musuh kita yang kononnya Islam itu jauh daripada sempurna, apa tidaknya satunya ia dipinggirkan kerana sikap sekular, keduanya seakan-akan agama masih memerlukan unsur-unsur luar untuk melengkapi ajarannya.

Dalam hadith Sahih Muslim, Rasulullah dilapurkan berdoa ketika tahajud baginda agar Allah memberi baginda pertunjuk dalam apa-apa yang diperselisihkan di kalangan manusia. Marilah kita hidupkan semula amalan doa itu terutama ketika ramai daripada ummah ini sedang berada di persimpangan tiga, satunya lurus, satunya kanan dan satunya kiri. Ya Allah selamatkanlah kami, sejahterakan hati kami!

1 comment:

  1. "analysis is the critical starting point of strategic thinking"...well done sheikh...ambo harap banyak lagi ilmu-ilmu akan dikongsi dalam blog nie..

    ReplyDelete