Dalam dunia politik semenjak zaman dahulu-kala, kebanyakan ahli politik berkemahuan untuk:
1) mendapat kuasa,
2) mengekalkan kuasa,
3) menghapuskan saingan dalam kuasa
4) menggunakan kuasa yang ada
Sekiranya ada ahli politik yang tidak mempunyai kemahuan tersebut, dia seolah-olah canggung dalam dunianya. Sehingga itulah, dunia politik menjadi kotor kerana kemahuan-kemahuan tersebut kerap dikejar secara yang tidak wajar. Sehingga berlakulah pembunuhan, peperangan, tohmahan palsu, tipu-daya yang penuh kelicikan hampir di sepanjang sejarah manusia.
Manusia kerap terlupa tujuan asalnya menceburi politik, yang dikatakan untuk menegakkan agama, mendaulatkan negara, memartabatkan bangsa dan membela ibu-pertiwi atau menegakkan keadlan sejagat. Kerakusan kepada kuasa mampu membutakan dan memadamkan segala pertimbangan yang asal, itupun sekiranya tujuannnya yang asal adalah murni.
Sekiranya penceburan dalam arena politik pada hari ini tidak dikira sebagai perbuatan dosa di sisi Allah, walaupun yang berwajahkan kebajikan sudah dapat dikira cukup baik. Apalagi untuk dianggap sebagai amalan yang mendapat pahala di sisi Allah, yang merupakan sesuatu yang terlebih amat sulit. Keikhlasan dalam dunia politik adalah sesuatu sifat yang amat sukar dicari; sebagaimana ikhlas dalam pengertian yang diberi oleh Imam Nawawi yang mempunyai tiga peringkat: (1)peringkat ikhlas hamba abdi- yang melakukan sesuatu amalan kerana takutkan balasan azab dari Tuhannya semata-mata, (2) peringkat ikhlas pedagang- yang melakukan sesuatu amalan kerana tamakkan ganjaran keuntungan dari Tuhannya (3)peringkat lelaki- yang melakukan sesuatu amalan bukan kerana takutkan azab dan bukan tamakkan keuntungan bahkan semata-mata memenuhi peranan sebagai makhluk ibadat. Aduhai sukarnya untuk menjaga keikhlasan dalam ketiga-tiga peringkat ini dalam kehidupan kita.
Bagaimana sukar sekalipun untuk ahli politik, bagaimana sukar sekalipun untuk kita yang bukan ahli politik, apa yang mesti kita pahat dalam kesedaran kita adalah yang Allah jadikan kita sebagai makhluk ibadat. Untuk beribadat kepadanya semata-matanya. Jaya dan gagal kita dalam kehidupan kita diukur dari jaya dan gagalnya kita dalam menjalani kehidupan beribadat kepada Allah, dan erti kata kita sujudkan keseluruhan hidup kita dalam pengabdian kepada Allah.
Ketika Rasulullah dan para sahabat diasak hebat oleh tentera Quraish yang lebih besar jumlahnya dalam peperangan Badar, Rasulullah bermunajat kepada Allah agar Allah memenangkan ummah ini, sekiranya ummah ini terhapus, tiadalah lagi golongan yang akan beribadat kepada Allah. Baginda tiada memohon demi kesejahteraan politik kota-negara Madinah, tiada memohon demi kelangsungan ekonomi ummah. Seolah-olah munajat ini memberio isyarat kepada kita yang kelangsungan kita sebagai ummah bergantung atas kelangsungan ibadat kita.
Marilah kita secara sedar mempelajari semula cara-cara ibadah yang sahih sebagaimana yang sepatutnya kita warisi daripada Rasulullah melalui huraian ulama mukatabar, kita pelajari amalan-amalan baik yang perlu kita hiasi hati-hati kita selayak sebagai tempat tilik Allah, kita pelajari sifat-sifat buruk yang boleh mengotorkan hati kita , kerana ia menjadi punca terlindungnya kita dari cahaya kebenaran. Marilah kita hayati kemanisan bersama Allah dalam munajat kita kepada-Nya, melebih seronoknya daripada bersembang-sembang sesama makhluk. Marilah kita sedarkan diri kita yang dunia ini adalah persinggahan yang sangat sementara, serta ianya adalah terlalu hina untuk dijadikan tujuan dalam kehidupan berbanding dengan panjangnya perjalanan Akhirat dan kemulian yang Allah janjikan kepada hamba-hamba-Nya yang patuh.
Marilah kita usahakan, kita doakan agar kita akan mentabiatkan bangun di hujung setiap malam, membaca al-Quran setiap hari, serta berzikir kepada Allah dengan zikir yang banyak dan berselawat kepada Rasul yang mulia pada setiap kesempatan. Marilah kita renung dan menginsafi kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri kita.
Kerana semua inilah makna kehidupan, kerana inilah yang membezakan kita daripada golongan yang tidak beriman, kerana inilah kita singgah di dunia, Dari mihrab kesedaran ibadat sebeginilah kita, insyaallah, jika perlu akan memasuki siyasah, iqtisad, suluk dan aktiviti lainnya dengan hati yang sejahtera dan akan membuahkan manafaat kepada diri sendiri, ummah dan alam ini.
No comments:
Post a Comment