Semoga Allah mempermudahkan saya untuk membuat catitan terhadap pesan-pesanan yang disampaikan oleh guru kami (semoga Allah mencucuri rahmat -Nya ke atas ruhnya, dan memanfaatkan kami dengan ilmu dan amalnya)yang sangat kami hormati. Saya bercadang untuk berkongsi kata-kata yang penuh kebijaksanaan yang pernah diungkapnya. Saya bimbang umur yang memamah saya akan mengakibatkan saya akan terlupa kepada pesanan-pesanannya, jadi sebelum itu terjadi saya berdoa agar Allah mempermudahkan saya untuk mencatit pesanan-pesanan beliau.
Pesanan 1: Jangan Ikut Tok-Tok Guru
Beliau acap kali memperingatkan kami supaya jangan mengikut tuan-tuan guru; kalau hendak ikut tuan guru mungkin sampai tuan guru mengggaru-garu dalam sembahyang, kitapun turut menggaru-garu dalam sembahyang sebagimana yang dibuat oleh tuan guru.
Apa yang kita wajib ikut itu ialah ajaran daripada Allah dan Rasul-Nya, serta pengajaran dari salaf as-soleh yang disampaikan oleh tuan-tuan guru baik secara lisan atau perbuatan. Jadi yang kita ikut itu adalah perentah Allah, sunnah Rasul-Nya serta jalan salaf as-Soleh melalui tuan-tuan guru kita.
Kita melaksanakan adab dalam hubungan kita dengan tuan-tuan guru dengan cara secermat mungkin, tetapi tidak menghalang kita untuk meletakkan kebenaran di atas segala sesuatu, termasuk mengatasi penghormatan kita terhadap tuan-tuan guru.
Apabila terdapat perkataan atau perbuatan tuan guru yang jelas secara zahir-zahirnya bertentangan dengan ajaran agama, maka kita mesti berusaha untuk mencari sandaran nas syari'at kepada perkataan dan perbuatan tuan-guru itu. Kemudian kita juga berusaha untuk memahami perkataan dan perbuatan itu berdasarkan takwil yang diterima syari'at. Sekiranya kita tidak menjumpai nas dan tidak dapat memberi takwil yang terpakai, maka kita sepatutnya tawaquf dari menyokong perkataan dan perbuatan tuan guru itu. Sekiranya memang jelas ianya bersalahan dengan ajaran agama, maka kita salahkan perkataan dan perbuatan tersebut walaupun ianya datang dari seorang tuan guru. Amanah ilmu dan kesetiaan kepada kebenaran yang ada pada kita itu mesti mengatasi sikap asobiyyah kepada tuan guru kita. Dalam waktu itupun kehormatan kita dan adab kita kepada tuan guru tersebut mesti dijaga.
Dalam Islam tiada ada kelas rahib (rahban) , yang ada adalah golongan ulama. ulama adalah pemegang amanah para rasul, mereka adalah pewaris Nabi. Ulama perlu diberi nasihah, sebagaimana yang disebut dalam hadith. Maksud nasihah kepada ulama, adalah dengan kita mengikuti ajaran yang disampaikan mereka kepada kita, beradab terhadap mereka, membesarkan kedudukan mereka serta menyapa dengan sopan tentang kegelinciran mereka, menyedari mereka adalah manusia yang mempunyai kelemahan-kelemahan manusiawi. Penghormatan kita terhadap mereka tidak dapat dicarikkan oleh kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka, dan penghormatan itu tidak pula membutakan kita daripada membezakan perkataan dan perbuatan mereka yang mereka sampaikan bersumberkan punca-punca ajaran agama daripada perkataan dan perbuatan mereka yang terdorong oleh perkiraan dan kelemahan manusiawi dalam diri mereka.
Tidak timbul sekali-kali dalam pesanan guru saya tersebut anjuran supaya kita membebaskan faham agama kita daripada huraian-huraian ulama muktabar dalam mazhab feqah, dalam pegangan aqidah ataupun ajaran kerohanian. Beliau sendiri adalah seorang yang sangat patuh-setia kepada huraian ulama mazhab Imam as-Syafi'ie, menolak anjuran bertalfiq (mencampuri qaul-qaul dari mazhab yang berbeza) dan sangat berpegang kepada kitab-kitab turath yang muktabar. Tetapi yang dianjurnya agar kita beribadat mengikut huraian mazhab Imam, memegang huraian aqidah dan mengikut perjalanan kerohanian berdasarkan faham bukan sekadar ikut-ikutan. Dan kita sedia menolak perkataan dan perbuatan seorang tuan guru sekiranya ianya bertentangan dengan ajaran agama
Semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang melimpah ruah.
No comments:
Post a Comment