Masyarakat ramai tertunggu-tunggu untuk melihat perjalanan dan arahtuju yang akan diredah oleh pelopor Kerajaan Perpaduan. Nampaknya semakin hari, isu ini semakin berkecamuk. Sebagai contoh, ada tokoh yang bercakap, kemudian dia arah supaya orang lain tutup mulut, kemudian dia sendiri pula yang buka mulut.
Perkembangan politik hari ini ini juga telah membuka semula lembaran sejarah tokoh-tokoh PAS pada suatu masa dahulu, tokoh yang telah meninggalkan kita dan tokoh yang masih aktif dalam politik. Macam-macam cerita yang menarik, yang berceritanya pula adalah golongan veteran yang dulunya juga sama muda dengan tokoh-tokoh yang menjadi watak-watak dalam cerita. Antaranya:
(1)Cerita selepas PAS dinyahkan daripada BN, ada tokoh yang tidak mahu meninggalkan kerusi yang disandangnya dalam kerajaan BN. Ada yang terus kekal dalam jawatan dan ada pula yang terpaksa ditarik-tangan untuk dipulangkan ke negerinya.
(2)Cerita ada tokoh yang kini kembali aktif dalam politik yang telah menghadiri mesyuarat di JKR 10 , rumah kediaman resmi MB Kelantan, pada era yang sama. Dikatakan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Dr. Mahathir, yang dijemput adalah tenaga-tenaga yang dikira dapat membantu dalam meruntuhkan kerajaan PAS di Kelantan.
(3)Cerita bagaimana ada golongan pensyarah Nilam Puri yang sebelumnya memegang jawatan-jawatan penting dalam Dewan Ulama PAS telah menyertai BERJASA dan berkerja melawan PAS.
(4)Cerita bagaimana peritnya pimpinan PAS yang tidak mampu menangani gelombang fitnah yang datang bertalu-talu; sehingga terdapat rusuhan jalanan dan ada rumah pemimpin PAS dikepung. Kemudiannya PAS kalah teruk dalam pilihanraya
(5)Cerita bagaimana gigihnya tenaga-tenaga PAS yang setia kepada parti membina semula kekuatan parti itu, keperitan mereka dalam usaha mereka yang tidak diketahui oleh golongan muda yang datang selepas 1990 di Kelantan.
Inilah masa yang sangat sesuai bagi penulis dan pengkaji untuk merakamkan kisah-kisah yang menarik itu sementara aktivis veteran, saksi hidup kepada kejadian-kejadian itu masih bersama kita. Sebelum ini banyak kisah-kisah seperti ini telah disorok, kerana takut-takut ada tokoh yang akan diaibkan sedangkan mereka masih merupakan tonggak penting kepada parti.
Hendaknya jangan ditambah kuah kepada nasi cerita sebagaimana sepatutnya. Tetapi catitkan apa yang sebenarnya sahaja. Masih teringat ungkapan penyair Nahmar Jamil: Aku cuba bunuh dirimu, tapi engkau tidak mati, kerana engkau adalah sejarah, sejarah tidak mati
No comments:
Post a Comment