Ini adalah tulisan awal dalam blog ini yang cuba melontarkan suatu perbincangan melalui suatu sudut yang tidak lazim tentang Kerajaan Perpaduan (UG). Ianya lontaran pemikiran tanpa matlamat, sekadar lintasan dalam cuba usaha memahami apa sebenarnya 'engine' yang mengerakkan usaha-usaha yang telah dibuat dan sedang dirancang untuk mencapai matlamat penubuhan UG.
1-Terangganu Factor:
Dalam PAS Terangganu, ramai maklum terdapatnya kem-kem pemimpin PAS yang berbeza tetapi mereka semua disatukan di bawah pimpinan TGHH. Perselisihan antara war-lords kem-kem ini agak ketara. Tetapi sekarang ini semua war-lords ini bersatu dalam usaha menjayakan UG. Sedangkan ketika al-Fadil Ustaz Harun Taib bertanding untuk jawatan timbalan presiden dulu, memang jelas ada war-lords dari Terangganu yang sanggup 'menikam dari belakang' Ustaz Harun Taib, sehingga beliau kecundang dan bertolak balik ke Kuala Terangganu sebelum pengumuman keputusan pemilihan dibuat.
Apakah common factor yang ada pada hari ini yang telah berjaya menyatukan war-lords ini? Kalau di Kelantan, aliran perdana pimpinan PAS negeri adalah aliran yang agak sederhana, berlainan pula dengan aliran perdana pimpinan PAS Terangganu, mereka meredah aliran keras. Mungkin kita masih ingat bagaimana terpesonanya kita dengan amanat Haji Hadi, bagaimana seronoknya kita mendengar cerita Ustaz Harun Taib dengan Tuan Guru Haji Abbas, bagaimana budak-budak alumni MISG lepasan USA yang berhasrat menubuhkan persatuan alumni mendengar fatwa Ustaz Bakar Cik. Bagaimana pimpinan kerajaan Kelantan pada awal 1990'an didesak oleh sebahagian pemimpinan PAS Terangganu agak melaksanakan hudud tanpa lengah.
Jadi apakah common factors yang telah menyatukan war-lords ini? Ini adalah agakan saja. Semua mereka ini mempunyai pengalaman mentadbir sebuah kerajaan negeri, yakni kerajaan Terangganu selama sepenggal. TGHH sebagai Menteri Besar dan yang lain-lainnya sebagai exco. Mungkin sahaja pengalaman mereka itu telah berjaya menyedarkan mereka betapa susahnya mentadbir sebuah kerajaan, malah lebih sukar untuk melestarikan pentadbiran kerajaan tersebut. Itu baru kerajaan negeri, maka logiknya tentu terlalu besarlah kesusahan mentadbir sebuah negara. Untuk menang sebuah pilihanraya tidaklah begitu sukar, terutama ketika PAS boleh menumpang arus popular semasa, umpama arus Reformasi pada tahun 1999 dahulu. Kemenangan itu dengan mudah dipatahkan oleh UMNO dalam pilihanraya berikutnya sebagaimana pada tahun 1961 dan 2004.
Berlainan dengan PAS Kelantan, dalam apa kelemahan yang ada pada mereka itupun, mereka merasakan untuk mentadbir sesebuah kerajaan tidaklah terlalu sukar atau berada diluar jangkauan. Mereka mentadbir Kelantan berbelas-belas tahun di zaman Datuk Muhammad Asri, mereka kembali mentadbir Kelantan di bawah TGNA untuk sekelian lamanya pula. Jadi untuk mentadbir negarapun mereka agak tidaklah begitu sukar sehingga tidak terpikul.
Inilah agaknya dua corak mentali yang berbeza, yang dibentuk oleh pengalaman dan dididik oleh sejarah mereka sendiri. Satunya keras tetapi performance-nya cepat patah-turun, yang satu lagi agak anjal tetapi dapat bertahan lama. Tidaklah menghairankan kenapa yang cepat-patah turun itu mudah hilang self-confidence-nya. Keperitan-keperitan masa lalu masih menghantui dalam sub-concious tanpa disedari. Sekiranya ada yang memberitahu yang mereka mempunyai self-confidence yang agak rendah, mereka akan menafikan sekeras-kerasnya . Mereka masih kelihatan dan bergaya macho, mereka memang tidak sedar yang mereka masih diusik oleh 'kuwung' kekalahan yang mudah dulu-dulu itu.
2-Kebimbangan Hilangnya Kuasa Melayu-Muslim.
Ini adalah suatu kebimbangan yang realistic; bukan direka-reka terutama apabila dilihat DAP semakin gagah di Parlimen dan di DUN negeri-negeri, walaupun PAS juga semakin gagah. Bahkan Menteri Besar PAS mentadbir 3 negeri.
Macam jugalah DAP, ketika kita mendengar slogan-slogan pemimpin mereka, seolah-olah tiada lagi penekanan kepentingan kepada mana-mana bangsa. Cita-cita murninya adalah untuk Malaysian Malaysia. Tetapi sebahagian tindak-tanduk politik mereka masih membayangkan yang mereka memperjuangkan kepentingan kaum-kaum tertentu.
PAS pun agaknya begitu juga, ketika TGHH berucap, dia pernah mengatakan seorang Cinapun boleh jadi PM bagi negara ini. Sedangkan Lim Kit Siang , secara realistinya akur yang PM negara ini hendaklah dilantik dari kalangan Melayu. Jadi rethorik-rethorik politik yang mengambarkan PAS telah mengatasi kepentingan lingkup bangsa itu adalah masih sekadar halawa telinga.
Ibn Khaldun dalam Muqaddimah mengatakan seorang Nabi yang dikuatkan oleh wahyu dan mukjizat masih memerlukan dukungan bangsanya dalam memartabatkan dakwah dan Islam, maka apa lagi kita yang tiada diturunkan wahyu dan tidak punya mukjizat, sudah tentu lebih memerlukan dukungan asabiyyah kaum kita. Dalam al-Quran sendiri terdapat lebih daripada 50 ayat yang merakamkan para anbiya menyeru ' Ya qaumi' (wahai kaumku!). Tetapi semua ini dalam rangka hairaki, Islam mesti berada di atas segala pertimbangan yang lainnya.
Bagaimanapun sekiranya kita teliti jumlah DUN dan parlimen yang dimenangi oleh calun-calun Melayu-Muslim dari UMNO, PAS, PKR di Semenanjung bagi pilihanraya 2004, iaitu pilihanraya kemuncak kegemilangan UMNO berbanding dengan pilihanraya 2008, iaitu pilihanraya tercoruk UMNO; maka kita akan dapati kerusi yang dimenangi oleh calun Melayu-Muslim tidak berkurangan. Sekadar kawasan-kawasan bertukar parti! Yang jelas berkurangan hanyalah kerusi UMNO.
Kenapa pengurangan kerusi UMNO mesti dikhuatiri? Selama ini UMNO lah dihumban dengan segala punca-punca kelesuan Islam di tanah-air? Hairan ketika UMNO kuat, UMNO dicerca sebagai satu-satunya penyebab kelemahan Islam dan Melayu. Tetapi ketika UMNO lemah pula, timbul kebimbangan kepentingan Islam dan Melayu akan terhakis! Ini adalah mantiq kelas tinggi, kita orang awam tentu tidak akan mampu memahaminya.
3-Peribadi Anwar Yang Meragukan
Round pertama Anwar dituduh dengan tuduhan jenayah Liwat, TGHH menulis kitabnya Qazaf. Buku itu secara indirect menyokong Anwar yang mendakwa dia dianiayai oleh suatu komplot konspirator politik yang jahat dan melanggari batas-batas perundangan. Memang nampak dengan jelas yang tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Anwar itu keterlaluan untuk diterima oleh akal yang sihat. Antaranya, Anwar dituduh meliwat seorang Sindi(bai), Anes Munawwar, tarikh kejadian yang penting itu berlaku boleh berganjak-ganjak, bahan bukti DNA yang dirakamkan pada tilamnya yang diarak berhari-hari keluar masuk mahkamah kemudiannya dianggap tidak relevan dan lain-lain kejanggalan.
Tetapi agak berlainan pada round kedua, ada rakan-rakan Anwar sendiri yang mula ragu-ragu dan mungkin merungut "kot-kot, mungkin". Inilah bahananya, apabila kita ulang-ulangi phrase yang sama berkali-kali, ada manusia akan menelannya.
Tambahannya pula Anwar juga kelihatan selesa dalam majlis-majlis antarabangsa yang ada hubung-kait dengan kuasa-kuasa besar dunia. Anwar ditawarkan kedudukan yang agak istimewa yang tidak pernah terbayang akan ditawarkan kepada mana-mana pemimpin dari negara ini. (Agaknya sekiranya pemimpin-pemimpin lain ditawarkan dengan tawaran yang diberi kepada Anwar, mereka juga bukan sekadar tidak akan menolak bahkan akan diisytiharkan dengan penuh kemegahan dalam media-massa kita tanpa sebarang prejudice). Timbul pula kebimbangan Anwar adalah alat kuasa asing yang sengaja diimplant untuk merosakkan masa hadapan negara tercinta ini!
Jadi bagi mereka Anwar tidak patut diberi peluang untuk mengetuai pentadbiran negara walaupun sehari. Kalau sekiranya kita bertanya bagaimana pula dengan barisan pemimpin negara yang ada sekarang ini, adakah mereka bersih, adakah akhlak mereka tiada cela, adakah kefahaman Islam mereka lebih baik daripada Anwar? Adakah mereka tidak diumpan oleh kuasa-kuasa besar dengan komisyen yang lumayan dalam transaksi antara negara?
Apakah sifir yang kita hendak pakai: (1) kita bimbang, kita syak, kita rasa ada kemungkinan Anwar kot-kot begitu dan begini..... (2) sedangkan kita tahu yang ada pemimpin penting negara kita yang masih tidak bersih sepenuhnya dari tuduhan jenayah, kita tahu komisyen yang diterima oleh individu yang mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin kita agak terlalu tinggi, kita tahu tentang itu dan ini....... Apakah sifir logik yang kita hendak pakai, adakah munasabah kita guna pertimbangan yang kot-kot (walaupun tidak syarie) dan kita ketepikan apa yang kita tahu.....
Kalaulah begitu pertimbangan kita, maka munasabahlah kita bersama-sama usahakan UG, kita padukan parti-parti yang ada agar tidak ada lagi parti pembangkang (mungkin lepas ini tidak ada lagi pilihanraya? kerana banyak bahayanya dan inilah sebenarnya punca segala perpecahan). Demi perpaduan ini, kita korbankan perpaduan dalaman parti. Alangkah syahdunya pengorbanan ini!
No comments:
Post a Comment