Guru saya yang amat dikasihi juga berpesan jangan dituntut ilmu dengan niat untuk hidup senang. Kerana apabila kita memiliki ilmu, kehidupan kita bukan akan bertambah senang, tetapi menjadi semakin rumit.
Tanpa ilmu kita tidak akan dibatasi oleh garisan sempadan halal-haram, tanpa perlu memikirkan resiko dan kesan akibat. Kita hanya bertindak sekadar ikut rasa dan kemahuan, dalam memenuhi kehendak kepentingan dan nafsu semasa. Sekiranya sesuatu usaha itu menatijahkan keburukan, maka hanya penyesalan dan kesedihan yang datangnya pun kemudian.
Orang bahagia tidak semesti hidupnya senang; Rasulullah adalah orang yang paling banyak berdoa untuk kebahagian dunia dan akhirat, bagindalah orang yang paling mustajab doanya. tetapi hidup baginda tidaklah sesenang kehidupan dalam perkiraan kita. Rasulullah ditimpa cabaran dan ujian yang sentiasa datang, Rasulullah menjalani kehidupan yang serba kekurangan dari segi kebendaan dengan reda dan tenang. Kehidupan Rasulullah lah kehidupan yang paling bahagia dan sempurna yang kita mahu tauladani.
Orang yang hidup mewah, kaya-raya , sihat wal afiat tidak semestinya bahagia. Bahagia itu hanya bererti apabila kita menunaikan tanggungjawab kita yang hakiki untuk sujud patuh kepada Allah. Kehidupan bahagia bukannya kehidupan yang mudah, tetapi terlalu banyak memerlukan perjuangan mujahadah yang sukar dan untuk menetapkan hati di atas zikir kepada-Nya.
Ulama menyebut hasanah fi dunya bererti rezki yang halal dan berkat, khusyu dalam sembahyang, ibadat yang diterima, anak-anak yang soleh, isteri yang solehah dan kehiudpan yang bermakna untuk dipersembahkan kepada Tuhan di akhirat kelak, hasanah fi ad-dunya menjadi ladang pertanian yang hasilnya akan dituai sebagai hasanah fi al-akhirah. Bukanlah hasanah fi ad-dunya itu adalah perkara lain yang tercerai daripada hasanah fi al-akhirah
No comments:
Post a Comment