Yasmin Ahmad adalah seorang seniman yang kreatif dan berani. Keupayaannya menceritakan dan merakamkan pengalaman peristiwa-peristiwa dalam hidupnya dengan adunan yang telah mengasyikkkan kita . Kini masyarakat pula menceritakan kehidupan Yasmin dengan penuh keghairahan, semada menyanjung beliau atau mengutuk beliau.
Menyanjung beliau kerana kreativiti beliau berkarya, mesej 1Malaysia yang mendahului pengisytiharan PM Najib, keupayaan beliau melahirkan pelakun-pelakun hebat daripada orang kebanyakan.
Mengutuk beliau kerana pengubahan jantina beliau, 'keterlanjuran' beliau dalam mempamirkan dan meraikan pluralism kepercayaan dalam masyarakat. Nampaknya Utusan Malaysia mendahului media-massa lain dalam mengeritik hasil-kerja Yasmin. Tidak hairanlah karya beliau lebih dihargai dan dipuji di luar negara berbanding dalam negara sendiri.
Zulkifli seorang penyayi yang bersuara lunak dalam tahun 70 'an ber-metamorphosis menjadi Yasmin pengarah iklan dan filem yang sangat kreatif. Agak sukar kita temui seorang yang dapat mempertahankan outstanding performance-nya dalam 2 bidang yang berbeza dalam kapasiti jantina yang berbeza pula!
Lihatlah bagaimana kehidupannya dikiaskan dengan watak Orkid (nama jenis bunga semacam namanya sendiri juga) dalam filem arahannya, seorang anak perempuan yang tomboy (ya keliru tentang naluri jantinanya), dengan kecenderungan kepada nyanyian dan muzik (termasuk dalam Talentime), dengan permasalahan penerimaan masyarakat terhadap penganut agama yang berbeza religious sphere dalam Mualaf. Bagaimana keluarga yang western-educated menghayati nilai dan adab resam barat selepas kembali ke tanahair. Itulah dunia yang pernah terdedah kepada Yasmin. (saya harap apa yang saya sebut ini tidak lari dari hal yang sebenar kerana saya hanya banyak bergantng kepada pembacaan bukan tontonan)
Agaknya pendirian Allahyarham Ustaz Zulkifli Muhammad bersama Pak Samad Ahmad DBP untuk memilih novel Salina sebagai pemenang pertandingan novel dalam mesyuarat panel yang diadakan di Port Dikson perlu diingatkan semula. Ahli panel lain menolak pemilihan Salina kerana watak utamanya adalah seorang pelacur, nilai-nilai moral di dalamnya agak celaru. Tetapi Zulkifli Muhammad mempertahankan pemilihan Salina atas dasar jalan cerita dan lengguk bahasanya yang menarik, pemilihannya dinilai berdasarkan nilai-nilai seni sastera. Akhirnya pendapat Zulkifli yang diangkat. Adakah kita juga layak mengambil sikap yang sama terhadap karya-karya Yasmin sebagaimana sikap Zulkifli, itupun sekiranya kita tidak bersetuju dengan nilai-nilai yang ingin ditonjolkan oleh beliau?.
Kita tidak tahu secara persis metamorphosis Yasmin dari segi biologi-nya; kita serahkan kepada Tuhan perkara itu. Tetapi kisah hidup Yasmin adalah sesuatu yang memang real; bukan dogengan. Bagaimana agaknya seorang yang dilahirkan sebagai lelaki atau khunsa yang mempunyai naluri untuk menzahirkan dirinya sebagai perempuan?. Kemahuan itu terlalu kuat mendesak, dalam masa yang sama keterikatan kepada kepercayaan agama masih juga kuat. Agaknya terdapat beberapa pilihan, (1) tidak melakukan apa-apa tindakan- sebagaimana yang terdapat dalam kampong-kampong tradisional: lelaki yang bersopan dan lembut yang terkenal sebagai tukang masak atau tukang hias dan tukang jahit. (2)melakukan perubahan mengikut kemahuan serta merungkaikan ikatan-ikatan agama: termasuk menjadi pelacur atau tidak langsung memperdulikan ajaran-ajaran agama atau bertukar agama. (3) melakukan perubahan mengikut kemahuan tetapi masih berpegang kepada kepercayaan dan amalan agama; maka yang dicarinya adalah huraian-huraian agama yang dikira sesuai, contohnya tafsiran agama secara liberal dan akomodatif. (4) melakukan perubahan mengikut kemahuan dan meminggirkan amalan-amalan agama, agama sekadar formaliti untuk mengisi borang dan urusan-urusan resmi.
Alhamdulillah kita tidak dilahirkan dalam kondisi yang sebegitu, kita dilahirkan straight; entah apalah tindakan kita sekiranya kita dalam keadaan mereka yang tersebut. Belum tentu kita akan mampu memagarkan kemahuan yang sangat mendesak-desak itu dengan batasan-batasan syara', alhamdulillah kita selamat dengan rahmat Allah; sekali-kali bukan kerana kekuatan kerohanian kita dan ketajaman akal kita.
Kepada golongan yang mempunyai kecenderungan dan atau berada dalam kondisi sebegitu pula, kita perlu bertanya diri kita apakah kita telah cuba memahami keadaan (1)biologi mereka, (2) saikoloji mereka (3) up-bringing mereka; kerana ini akan membantu kita dalam mengklasifikasi punca kecenderungan mereka . Apakah kita telah cuba memahami syara' yang berkaitan dengan golongan khunsa secara khusus?. Apakah bentuk dakwah tarhib dan targhib-nya yang telah kita sampaikan kepada golongan ini?. Atau kita akan mengiyakan semua itu atas nama hak asasi manusia atau kita akan terus mengutuk mereka tanpa mengetahui perbuatan mengutuk kita itu sebenarnya membawa pahala atau mengundang dosa?
Yasmin merupakan titik renungan kepada kita, sebagai anggota ummah yang dibangkitkan untuk seluruh manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar serta beriman kepada Allah. Kita sebagai ummah yang menjadi bench-mark kepada akhlaq manusia lainnya. Kita yang melakukan sesduatu tindakan berdasarkan menjunjung Suruh Allah, bukan didesak oleh rasa kasih atau benci.
Allah mentakdirkan Yasmin meninggal dunia dalam umur yang relatifnya muda, ketika berada di kemuncak kerjaya kreatifnya, ketika mungkin beliau ghairah dan sangat bersemangat memandangkan konsepnya tentang 1 Malaysia kini ditutur oleh PM Najib sendiri. (ya sebagai contoh praktikal Zulkifli/Yasmin mengagihkan wang biasiswanya kepada kawan berbangsa cina yang tidak mendapat biasiswa ketika belajar di UK). Mungkin banyak perancangan dan idea Yasmin untuk memperkukuhkan konsep 1Malaysia.
Sekiranya Yasmin masih berada bersama kita dan masih berkarya. agaknya makin beranilah beliau melahirkan faham-fahamnya tentang kehidupan yang mempamirkan semangat 1Malaysia, semakin banyaklah trofi yang akan diraihnya, semakin kuatlah pula kutukan golongan yang mengutuk beliau. Tetapi Yasmin dan daya kreativitinya telah sampai ke station penamat. Beliau bertanggung-jawab di depan Tuhan tentang apa yang dipercayainya, tentang apa yang diamalnya dan kita pula pasti menyusul dan akan juga ditanya dan diperatnggung-jawabkan sebagaimana Yasmin dipertanggung-jawabkan tentang bagaimana kita mengenderai hidup kita.
No comments:
Post a Comment