Ustaz Harun Taib telah mengeluarkan kenyataan tentang kelakuan Dato Sri Nizar memegang lilin, katanya sepatutnya ia tidak harus dilakukan. Mengikut beliau, mungkin Nizar tidak terperasan tentang wujudnya ketetapan yang telah dibuat oleh Dewan Ulama Pas dalam kes seumpama ini.
Tidak harus dalam pengertian feqah bermaksud haram. Itu adalah jelas, Harun Taib bercakap tentang hukum, soal berkaitan dengan feqah atau mungkin juga soal aqidah. Penekanan kepada larangan penyerupaan dengan orang kafir ditekankan. Soal ini memang disentuh oleh para ulama kita dari zaman dahulu lagi. Pada awal kurun ke 20 telah timbul fatwa kafir kepada pemakai tali-leher, tie dan bow-tie, serta kepada pemakai topi yang bersudu (cap). Kerana semua pakaian tersebut di waktu itu masih merupakan syiar kepada bangsa yang tidak beragama Islam. Tetapi sekarang ahli akademik dalam bidang syariah, seperti Dr. Mahmud Zuhdi pun telah memakai tie dengan tanpa sedikit rasa bersalah! Sememangnya sebahagian daripada hukum agama berubah mengikut suasana dan persekitaran.
Begitu juga perbuatan menyambut birthday, valentine day, mothers' day, fathers' day, hari kemerdekaan, hari itu dan hari ini yang seumpamanya adalah sesuatu yang tidak disyariatkan oleh agama kita. Hari perayaan dalam Islam yang berulang-ulang setiap tahun hanyalah dua perayaan, 'aidu al-Adha dan 'aidu al-Fitri. Sehingga ada ulama yang menghukumkan bidaah sambutan hari-hari kebesaran lainnya seperti maulid ar-Rasul, isra mukraj dan nisfu sya'ban
Atau kita boleh katakan juga, agaknya Dr. Mahmud hanya mengambil kesempatan perbuatan Nizar itu untuk mencapai tujuan yang lebih besar. Seumpama Nizar menjadi anak yang dipikul oleh Dr. Mahmud, yang hendak disindir sebenarnya adalah mertua, yakni dalam kes ini adalah pihak kerajaan. Kita telah melihat bagaimana perayaan-perayaan yang sememang berbentuk dan bersemangatkan keagamaan secara khusus seperti krismas, deepavali, taipusam dan vesak disambut bersama oleh belbagai bangsa yang berlainan agama di atas nama perayaan kebangsaan dan ditaja oleh pihak kerajaan serta dihadiri oleh PM sendiri. Sehingga suatu masa dahulu memang dipopularkan konsep Xongsi Raya.
Bagaimana agaknya pendirian Dr. Zamri MB Perak menjelang krismas dan lain-lain perayaan keagamaan yang akan datang ini? Beliau secara pribadi telah sangat bersetuju dengan pandangan Dr. Mahmud (dalam kata lain, beliau telah masuk perangkap Dr. Mahmud) terhadap kelakuan Nizar yang sekadar memegang lilin, yang mungkin lebih merupakan tradisi orang cina dan barat dalam menunjukkan dan melahirkan simpati atau protes mereka. Tentu kita boleh agak yang Dr. Zamri tidak akan membuat kunjungan mesra kepada penganut-penganut agama lain, kerana beliau telah menerima fatwa Dr. Mahmud tersebut.
Bagaimana kalau kita perluaskan lagi perbincangan tentang larangan penyerupaan ini? .Sebagai contoh, tentu pengamal-pengamal demokrasi tahu yang undian secara meletakkan kertas ke dalam ballot-box bermula dari amalan gereja di zaman pertengahan ketika padri-padri memilih ketua padri. Apabila keputusan telah dikira dan dimuktamadkan , maka asap akan dikeluarkan dari cerowong sebagai tanda keputusan telah dicapai. Apa pula yang Ustaz Harun, Dr. Mahmud dan Dr.Zamri akan ulas? Atau mereka akan mengesyurkan kaedah cara buang undi yang berbeza daripada apa yang telah dijalankan selama ini?.
Apakah ideologi demokrasi itu sendiri, cara berfikir secara demokratis dan amalan demokrasi itu yang memang berasal dari peradaban Rom purba perlu dinilai semula dalam semangat agar kita berbeza dari golongan non-muslim? Sudah tentu cara berfikir serta nilai sesuatu peradaban jahiliah yang telah menjangkiti sebahagian ummah itu lebih parah dan merbahaya berbanding sekadar sesuatu perbuatan zahir, umpama memegang sebatang lilin dalam majlis memperingati dan memprotes terhadap tragedi kematian Teoh!
Apakah boleh dilaksanakan Islam secara menyeluruh, apa lagi di peringkat kenegaraan dalam acuan yang bukan Islami, seperti acuan demokrasi? Atau kita sekadar menumpang pentas yang ada dan dibenarkan oleh peraturan negara untuk menengahkan dan mempromosi dakwah agama kita kepada masyarakat?.
Ikhwan al-Muslimin telah membuat pendirian yang jelas yang mereka melibatkan diri dalam kancah pilihanraya sebagai civil party, bukan sebagai religious party. Dalam erti-kata mereka tidak mengagendakan perjuangan politik mereka di atas nama agama, malah dalam berpolitik, mereka mengikatkan diri mereka kepada aturan-aturan kenegaraan dan nilai-nilai kenegaraan sebagaimana yang ada di dalam sistem negara Masir. Mereka tawarkan kepada pengundi janji akan pertanggung-jawaban (reponsibilty) yang lebih, pentadbiran yang lebih efektif dan telus, pengelakkan daripad korupsi dan pembaziran, mengoptimakan resources , keadilan untuk semua dan lain-lain janji yang tangible. Mereka tidak menakutkan pengundi dan penyokong politik mereka dengan ancaman-ancaman azab Allah kerana tidak menyokong mereka atau kerana menyokong parti lawan.
Kerja-kerja untuk mendaulatkan Islam, mereka telah lakukan dan akan terus lakukan bukan di atas pentas kecil politik tetapi di atas kapasiti induk Ikhwan sebagai badan dakwah. Ikhwan hanya menggunakan pentas politik sebagai salah-suatu daripada pentas-pentas mempromosikan nilai-nilai yang berinspirasikan Islam , nilai-nilai yang bersesuaian dengan ajaran Islam dan sejarah rakyat Masir. (lihat artikel yang hampir 50 muka dalam Ikhwan Online). Disebabkan pendirian sebeginilah, penglibatan non-muslim dalam organisasi politik Ikhwan diterima, tetapi mereka tidak diterima sebagai anggota dalam badan induk Ikhwan, yang memang bersifat sebagai badan dakwah. Bahkan bukan semua anggota badan induk Ikhwan terlibat dengan kerja-kerja politik kepartian.
Pencatit masih teringat ketika mendengar seorang daripada hadirin telah bertanya kepada Mufti Masir, Syaikh Ali al-Jum'ah ketika rihat minum teh di sebuah hotel di Putrajaya beberapa tahun yang lalu. Beliau bertanya soalan yang seakan-akan jelas jawaban yang mahu didengarnya "apa hukum pemimpin Islam menghadirkan diri dalam perayaan krismas?". Syaikh Ali al-Ju'mah menjawab secara tafsil, iaitu kita kembali kepada qasad kehadirannya itu, (1)bukankan Rasulullah ketika sampai di Madinah telah bertanya orang Yahudi kenapa mereka berpuasa pada 10 muharam, lalu baginda dimaklumkan kerana mereka mengenang dan mensyukuri kejayaaan Saiyidina Musa selamat dari Fir'aun dan menyeberang Laut Merah. Lalu Rasulullah menyatakan yang kita lebih utama terhadap Nabi Musa daripada mereka, lalu baginda dan para sahabat pun berpuasa. (2) Islam tidak melarang kita meraikan jiran kita yang bukan Islam, tetapi dalam batas-batas yang tidak dilarang oleh syara. Menghadirkan diri ketika mereka bergembira itu termasuk dalam meraikan mereka. [ Begitu juga menyatakan simpati di atas kesedihan mereka ketika mereka ditimpa malang]. Bukankah Rasulullah sendiri bangun berdiri ketika mayat seorang yahudi diusung di depan baginda, ketika diberitahu oleh sahabat yang jenazah itu adalah seorang yahudi, Rasulullah menjawab dia juga adalah seorang manusia, selayaknya dihormati sebagai manusia. (3) Sekira kehadiran itu kerana ingin bersama dalam membenarkan kesyirikan mereka, dalam membesarkan dan syiar-syiar agama mereka, maka itu sudah tentu jelas haramnya dan boleh mengelincirkan aqidah seseorang.
Itulah lebih kurang apa yang saya masih ingat daripada jawaban Syaikh yang sangat alim itu. Orang yang bertanya nampaknya semakin tidak berpuas-hati, agaknya tujuannya tidak tercapai dan jawaban Syaikh menghala kepada arah yang di sebaliknya. Rakan saya seorang guru pondok, yang datang bersama untuk menumpang barakah para ulama yang hadir dalam perjumpaan tersebut, begitu kagum dengan jawaban Syaikh dan mengatakan itulah jawaban seorang faqeh!
No comments:
Post a Comment