1-Baru-baru ini masyarakat kita memperkatakan isu isi ceramah TGNA di Manik Urai, yang katanya TGNA menyamakan Kominis dan Ajaran Ayah Pin dengan UMNO. Maka penyokong-penyokong UMNO naik angin marahnya, sehingga pemuda UMNO Kelantan telah membuat lapuran polis, sementara penyokong PAS tetap menyokong TGNA, sehingga apabila Mahyuddin Yasin mengatakan TGNA tidak perlu meminta maaf dengan UMNO tetapi perlu bertaubat kepada Allah kerana kenyataan itu, makin kencanglah penyokong PAS mempertahankan TGNA. Sehingga mereka mengatakan kenyataan Mahyuddin itu adalah tindakan orang jahil nak mengajar orang alim. TGNA, macam lazimnya, terus mempertahankan kenyataannya. TGNA mengibaratkan kenyataannya dengan peribahasa seperti rusa masuk kampong ; yang mana persamaan perbuatan lolor (terkendap-kendap) antara orang yang asing di sesuatu tempat dengan keadaan rusa yang sesat termasuk kampong; samanya hanya pada perbuatan lolor itu sahaja, dan ini telahpun memadai untuk dikatakan kepada orang tersebut seperti rusa masuk kampong!
TGNA memang diakui ramai sebagai seorang ahli balaghah dialek Kelantan yang tiada tandingnya. Tazkirah dan ceramahnya walaupun menyentuh tajuk yang agak kompleks dan rumit akan dimudahkan pemahaman untuk orang awam oleh beliau dengan begitu bersahaja. Kadang-kadang pemilihan perkataan dan istilah oleh beliau begitu menusuk pemahaman dan terlekat lama dalam pemikiran; adakah pemilihan perkataan dan istilah itu tepat mengenai sasaran maknanya atau keterlaluan dalam mempermudahkan sesuatu sehingga tersasar dari maksud yang selayaknya.
Polemik pengggunaan perkataan dan istilah oleh TGNA telah berlanjutan semenjak agak lama, tetapi yang mendapat liputan meluas di peringkat nasional adalah ketika beliau membela novel SHIT oleh Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad, kemudian ketika beliau menterjemahkan sifat Allah Al-Jabbar, termasuklah juga penggunaan istilah barua dan terompah kayu terhadap golongan berpendidikan agama dalam parti lawan.
TGNA bukan sahaja menggunakan perkataan dan istilah yang mampu menggugat ahli parti lawan, tetapi beliau juga pernah menyentuh sensitiviti golongan ulama pondok dalam beberapa isu yang berkaitan huraian aqidah berdasarkan aliran dominan Asya'ariyyah-Maturidiyyah dan tanggapan terhadap aspek kemanusian susuk Rasulullah. Tetapi hal ini tidak begitu merebak hangatnya kepada masyarakat luas kerana perbezaan ini diselimuti oleh sokongan pihak yang tidak bersetuju itu kepada parti yang sama. Alhamdulillah!
2-Saya teringat arwah ibu mertua pernah berkisah bagaimana Allahyarhamah Shamsiah Faqeh dan beberapa pemimpin PKM Melayu lain menghadiri diri dalam masyarakat kecil Pondok Lubuk Kawah, Temerloh. Tuan Guru Hj Abdul Rahman, pengasas pondok tersebut yang merupakan datok kepada ibu mertua saya, bukannya menyokong perjuangan PKM, tetapi ramai anak-buahnya yang terpengaruh dengan perjuangan PKM di atas dasar perjuangan membela nasib bangsa dan menuntut kemerdekaan. Menjadi suatu trend di kawasan Temerloh ketika itu di kalangan orang-orang yang bersemangat perjuangan untuk menyertai Golongan Haluan Kiri mengangkat senjata. Mereka telah mendapat pendedahan politik dan tiupan semangat daripada pelarian politik Indonesia dan cendiakawan Melayu tempatan (termasuk penulis dan pelakun veteran terkenal tanahair).
Kita hendaklah faham yang sebahagian pendukung Melayu Gerakan Haluan Kiri (termasuk PKM) adalah penganut Islam yang taat beribadat, contohnya sepupu Allahyarham bapa mertua saya, Almarhum Man Bukit, orang kanan Shamsiah Faqeh (Shamsiah sendiri adalah anak seorang ulama yang tersohor) ketika berjuang mengangkat senjata di dalam hutan Pahang adalah seorang yang menjaga ibadatnya. Kita semua juga tahu yang Almarhum Rashid Maidin mengakhiri hari-hari kehidupannya dengan mengajar kanak-kanak al-Quran.
Kominisme telah difahami oleh sebahagian besar penyokong Gerakan Haluan Kiri sebagai sistem politik dan ekonomi yang adil dan membela golongan yang tertindas; agaknya tidak jauh halnya dari sekarang ini apabila tidak sedikit golongan Islamis yang memahami demokrasi itu sebagai sistem politik dan sistem masyarakat yang terbaik. Faham-faham politik dan sistem sosial serta ekomomi ini dianggap tidak bertentangan dengan ajaran dan amalan agama, bahkan selari dengan ruh ajaran Islam. Di suatu masa dahulu, terutama di zaman pemerentahan Presiden Naseer di Masir, terdapat ilmuan-ilmuan Islam yang menulis tentang kesesuian ajaran Islam dengan dasar ekonomi sosialisma (ishtirakiyyah). Sehingga golongan ini menganggap Saiyyidina Abu Zar al-Ghifari sebagai seorang pengamal sosialisma. Sekarang ini pula terdapat ilmuan Islam yang menulis tentang kesesuaian ajaran Islam dengan dasar politik demokrasi. Mereka menyamakan parlimentary system dengan amalan syura dan peranan ahlu al halli wa al aqdi dalam Islam.
Guru kami dalam usahanya memahamkan kami tentang kesempurnaan syariat Islam pernah mengungkapkan: "Sesiapa yang mengatakan demokrasi sesuai dengan Islam, serupalah dengan orang yang mengatakan sistem kominis sesuai dengan Islam, kerana kedua-dua faham ini adalah rekaan manusia. Islam tidak memerlukan sistem lain untuk berdiri". Begitu pun, kita harus cermat membezakan diantara penganut faham demokrasi daripada pengguna democratic instruments dalam mencapai matlamat perjuangan masing-masing. Lihat antara lain tulisan yang menarik tentang hal ini: Democratic Islamists? oleh Erica Miller (2006) yang mengupas penglibatan golongan agama dalam politik tanahair kita.
Guru saya juga ketika mentafsirkan ayat 42 Surah al-Baqarah :
Dan jangan kamu pakaiankan (campur-adukkan) al-Haq (kebenaran) dengan kebatilan dan jangan kamu sembunyikan al-Haq sedang kamu mengetahuinya.
Mengikut beliau sekiranya Imam Ibnu Kathir mengatakan antara percampur-adukan al-Haq dan kebatilan pada zaman beliau adalah perlaksanaan undang-undang yang mengabungkan syariat Islam dengan peraturan Mongol oleh pihak penjajah tartar; mungkin sahaja di zaman kita ini pula ianya adalah percampur-adukan di antara Islam dan demokrasi. Saya tidak pernah berjumpa sebelum dan selepasnya seorang alim yang berpendidikan secara tradisional sepenuhnya tanpa pendedahan pendidikan moden yang memahami sistem-sistem politik,ekonomi dan sosial sebagaimana yang ada pada guru saya ini. Kalaupun beliau didedahkan kepada sistem-sistem politik moden ketika mengikut kursus pendek selama dua minggu pada tahun 1950'an di Makkah sekalipun , tetapi ketajaman pengamatannya telah jauh melangkaui pemahaman aktivis politik yang berpendidikan tinggi itu sendiri. Subhanallah!
3-Pemahaman guru saya itu tidak akan menjadi pemahaman arus perdana, hujjah penolakannya terhadap sitem-sistem yang bukan Islam itu juga sukar untuk difahami apa lagi untuk diterima oleh orang lain. Beliau pun tidak pernah berharap pemahaman beliau akan diterima ramai, baginya ini zaman yang penuh kecelaruan dan faham yang gharib itu tidak semestinya salah.
Saya rasa sekiranya pemuda UMNO memahami hujjah guru saya ini, tentunya mereka tidak akan melenting dengan kenyataan TGNA, bahkan mereka mungkin boleh menjawab secara bergurau: UMNO dan PAS 2x5, 5x2. Yang ketara bezanya hanyalah pada angka mana di depan dan angka yang mana di belakang.
Kita diajar oleh agama untuk mengatakan kebenaran, sehingga disifatkan seafdal-afdal jihad adalah berkata benar di depan penguasa yang zalim. Istilah penguasa itu, mengikut Maulana Abu Hasan an-Nadwi dalam tulisannya sebagai muqaddimah kepada buku tulisan Maulana Manzor Numani , juga bermaksud antara lainnya adalah aliran pemikiran yang dominan yang menguasai masyarakat ketika itu.
Kita diajar oleh agama kita agar tidak bersangka buruk terhadap kumpulan lain sesama Islam, kita raikan perbezaan selagi ada ruang dalam syara' untuk diraikan. Kita tidak memandang diri kita lebih baik daripada manusia lain, kerana kita tidak tahu bagaimana akhir hidup kita dan bagaimana akhir hidupnya, kita tidak tahu martabat seseorang di sisi Allah. Sekiranya kita menegur dan menentang kesalahan seseorang, bukan bererti kita merasa kita lebih baik daripadanya, tetapi kita melaksanakan kewajiban amru bilmakruf wa nahyu annil mungkar. Kita harapkan kita dan semua saudara kita akan dapat keampunan dan rahmat daripada Allah. Kita yakin syurga dan rahmat Allah Allah terlalu luas walaupun untuk semua.
Perbezaan politik, apa lagi politik kepartian, mungkin sahaja disebabkan perbezaan pendedahan dan pengalaman, mungkin didorong perbezaan keutamaan dan helah serta peluang, mungkin kerana pengaruh sekeliling dan kepentingan. Perbezaan ini tidak merupakan perbezaan yang mutlak, tetapi kewajiban menjaga akhlaq Islam dalam semua keadaan adalah ajaran Islam yang mutlaq, sehingga Rasulullah bersabda " sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlaq".
No comments:
Post a Comment