Bab I-
Pada tahun 1982, kawan-kawan dari IRC yang balik bercuti musim panas dari UK telah membuat temujanji untuk menziarahi Ustaz Yahya Osman (yang kami panggil di belakangnya sebagai Akhuna Yahya) di Institut an-Nur, di Kota Bharu. Saya hanya sekadar turun ke Kota Bharu dalam menyertai mereka.
Ustaz Yahya adalah seorang tokoh yang dihormati di kalangan aktivis-aktivis Islam, semada dalam PAS, mahupun organisasi lain dalam dan luar Negara. Beliau dikenali di kalangan pimpinan tertinggi, ahli Maktab al-Irshad, bagi Ikwan di Masir. Walaupun susuk tubuhnya bersaiz kecil, bakat dan kebolehannya besar berbanding dengan tokoh-tokoh lain. Kelemahannya pula beliau tidak petah bersyarah dan dikatakan mudah ‘bengkeng; walaupun dalam banyak keadaan perwatakannya lembut dan sangat bersopan.
Pada pertemuan itu, Ustaz Ya telah menekan peri-penting istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau mendatangkan kisah Saiyyidina Rasulullah yang didatangi oleh bapa saudara kesayangannya Abu Talib. Abu Talib telah menyampaikan tawaran-tawaran dari pimpinan Quraish, termasuk tawaran kepimpinan kepada Rasulullah, lalu Baginda menjawab, “sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku sebagai tawaran agar aku meninggalkan urusan ini, aku tetap menolak sehingga Allah menentukan, semada aku binasa dalam memperjuangkannya atau akau memperolihi kejayaan”
Ustaz Ya kemudian membaca ayat 32 dari Surah at-Taubah yang menunjukkan sikap orang-orang munafiq dan lemah iman:
“Sekiranya ada keuntungan yang hampir dan perjalanan yang dekat, niscaya mereka akan mengikut engkau (Ya Rasulullah), tetapi dirasakan jauh bagi mereka perjalanan yang sukar itu, Nanti mereka akan bersumpah dengan nama Allah “sekiranya kami termampu, sudah tentu kami keluar bersamamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahuii tentang sesungguhnya mereka adalah golongan pendusta”
Terasa berderau darah saya ketika itu kerana penerangan Ustaz Ya itu agak tegas dan keras. Tiada istilah kompromi dalam peringatannya itu. Saya tidak memeluk sepenuhnya sikap yang dihujjahkan oleh Ustaz Ya. Saya diberitahu oleh rakan-rakan yang antara tokoh yang menganjurkan sikap yang lebih tegas daripada itu adalah Allahyarham Ustaz Wan Jamil dalam mukhayyam yang telah diadakan di Pulau Perhentian (antara yang hadar adalah Sdr. Dr Abdul Rahim Ghouse. Itu setakat yang masih diingati). Tetapi saya sedar itulah kefahaman yang dikongsi oleh ahli PAS yang menyebabkan mereka mampu sabar dengan kekalahan demi kekalahan dalam pilihanraya, dan inilah juga kefahaman yang telah menggerakkan ahli-ahli PAS untuk berkerja keras sehingga Pas mendapat kemenangan pada pilihanraya 1990 di Kelantan. Kata seorang daripada mereka: “ setiap malam keluar menjaja bulan”
Pada era itu, semangat juang PAS secara khusus dan semangat pemuda-pemuda aktivis lain telah dihangatkan dengan kuliah-kuliah Ustaz Abdul Hadi Awang, sehingga saya juga telah diheret sama oleh kawan-kawan yang balik bercuti dari UK untuk bersembahyang jumaat di Masjid Rusila. Sebagai orang muda ketika itu, kita bersemangat sungguh! Kawan-kawan UK itupun belum dipandang serong oleh sebahagian pemimpin PAS dek kerana mereka adalah anggota IRC.
Suasana fahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang-orang muda pada era itu bersifat harakiyyah yang agak terlebih. Semuanya mahukan haraki, hatta mahu belajar agama pun dengan ulama haraki. Sehingga melihat golongan orang tua kita sebagai golongan yang kurang memahami Islam yang syamil dan kamil. Kami diberi faham yang tujuan utama daripada penghayatan Islam adalah untuk menegakkan Negara Islam dan meruntuh jahiliyyah. Huraian aqidah dibincangkan pula berdasarkan huraian Rububiyyah, Uluhiyyah; yang dengan mudahnya dapat dihuraikan dan disyarahkan untuk mengatakan seorang itu masih syirik dari segi Uluhiyyah walaupun dia seorang muslim yang taat beribadat dan kental tauhid Rububiyyah-nya! Sehingga ada pula golongan terutama di kampong-kampong yang tidak memakan sembelih , tidak bersembahynag di belakang imam dan tidak beraqad nikah dengan orang yang berlawanan parti. Isu takfir di era itu perlu diakui memang benar, walaupun tidak meluas!
Kemudian masa telah berubah, Ustaz Ya pun kemudiannya menjadi ahli exco Negeri Kelantan dalam kerajaan Perpaduan Ummah. Saya pun tidak lagi menghadiri majlis-majlis seumpama itu selepasnya.
Sebelum era pimpinan ulama, antara slogan PAS yang kerap digunakan adalah alif, ba, ta :agama, bangsa dan tanahair. Kalau di Kelantan, ianya lebih popular dari slogan yang datang pada tahun 1090 iaitu “beri kain pakai, beri gula kacau, beri duit ambil, bila mengundi pangkahlah PAS”. Maksudnya PAS bertukar wajah dari wajah nasionalis-Islamis bertukar menjadi internationalis-Islamis. Perubahan wajah PAS ini dipengaruhi kuat oleh dua faktor yang berlaku hampir serentak; pendedahan meluas kepada pendekatan Islam Haraki dan semangat Revolusi Iran.
Hanya sekarang, mungkin sahaja banyak daripada ahli-ahli PAS yang datang selepas kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, tidak berkesempatan untuk berkongsi suasana yang hangat dengan semangat kefahaman yang sebegitu. Suasananya susah dan adventureous bagi aktivis parti, sehingga yang berkerja dengan pihak kerajaan telah ditukar keluar negeri atau ke kawasan-kawasan pendalaman.
Bagi menghadapi pilihanraya 1990, PAS telah mengemukakan konsep Tahalluf as-Siyasi; Konsep kerjasama politik dengan parti S46 dan parti-parti lain (peringkat awalnya termasuk dengan CCC). Bagaimanapun akibat strategi itu, beberapa pemimpin PAS, dari kalangan ulama telah menentang dan ada golongan kecil dari kalangan mereka yang keluar dari PAS dan membentuk Islah.
Kemudian PAS bekerja-sama dengan Keadilan dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, sehingga pada tahun 1999, PAS dapat menawan Terangganu selain mempertahankan Kelantan. Semenjak PAS terkeluar daripada BN pada tahun 1978, PAS sentiasa konsisten dalam mencabar pengaruh BN, semada bersendirian atau dalam pakatan parti-parti. Era ini mempamirkan kehebatan pimpinan Almarhum Ustaz Fadil Noor yang bersifat relatifnya sederhana dan terbuka.
Ekuran dari peristiwa penangkapan Anwar Ibrahim dan Reformasi serta banyak disokong oleh stail pimpinan Ustaz Fadil Noor, ramailah juga anggota-anggota NGO Islam menyertai PAS, bahkan mereka diberi kesempatan untuk mewakili PAS dalam pilihanraya dan menjawat pimpinan parti. Kemudiannya mereka merupakan golongan profesional yang lantang menyuarakan kepentingan-kepentingan PAS semada dalam ceramah mahupun tulisan. Kehadiran dan sumbangan mereka kepada PAS dialu-alukan.
Berikutan keputusan pilihanraya 2008 yang agak mengejutkan, banyak pihak dalam politik dan di luar politik yang mula berfikir di luar kotak fikiran yang lazim. Ada yang bimbang tentang kelangsungan ketuanan Melayu dan kedudukan agama Islam. Kebetulan memang terdapat usaha terancang oleh pihak tertentu yang bertujuan melanjutkan usia kerajaan pimpinan Pak Lah Badawi; maka bercambahlah idea muzakarah-muqabalah antara UMNO dan PAS di kalangan sekelompok kecil pemimpin tertinggi PAS dan UMNO.
Bab II-
Semua perjalanan dan perkembangan dalam pendirian dan arus di dalam PAS ini agak sukar untuk disambungkan secara licin dalam suatu bab, terutama di tengah-tengah perjalanan sejarahnya ianya disulami oleh kenyataan Tuan Guru Haji Hadi yang kemudian dimasyhurkan sebagai Amanat Haji Hadi, ianya dilatar-belakangi oleh kanta kefahaman yang melihat dunia hanya di dalam warna putih-hitam; tiada ruang kelabu untuk mengisi di antara keduanya. Buku Maulana Maududi dan As-Syahid Sayyid Qutb adalah makanan ruji ketika itu. Bahkan Ustaz Nakahie dan Ustaz Harun Taib, pimpinan ulama PAS yang tertonjol ketika itu telah menghukum haram kepada keadaan `berbilang jamaah’. Bagi mereka hanya kewujudan PAS sahaja yang syari’ie di negara kita ini, kumpulan-kumpulan Islam yang lainya tidak harus ada.
Sementara ustaz-ustaz yang telah transit di dalam kumpulan serpihan Islah kemudiannya menyertai UMNO pada tahun awal tahun 1990’an, mereka ini ketika memegang jawatan dalam PAS telah mengambil jalur yang keras dan keterlaluan dalam menyesatkan UMNO dan anggotanya. Terdapat orang awam yang termakan dengan corak pembawaan mereka. Hanyalah selepas mereka menyertai UMNO, mereka masih tetap mengekalkan sikap keras dan keterlaluan mereka, tetapi sasaran mereka kali ini adalah PAS dan pemimpinnnya. Dalam ceramah di bandar Pasir Mas sempena pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Ustaz Muhammad Nur Idris begitu lantang menyesatkan PAS, dan antara lain dia menyatakan yang beliau, Ustaz Mustafa Taib dan rakan-rakannya yang lain telah sedar tentang penyelewengan PAS dan menyertai UMNO, dan sedikit masa lagi Ustaz Harun Taib pula akan sedar dan akan bersama dalam UMNO. Sesuatu yang hampir mustahil pada fikiran kita di waktu itu kerana kita terbayangkan ketegasan yang terpamir pada sikap Ustaz Harun Taib. Mana mungkin Ustaz Harun Taib boleh berkompromi dengan UMNO, lagikan dengan gurunya, Tuan Guru Hj Abbas pun, beliau bertegas!
Apa yang satu masa dahulu dituduh sebagai pemahaman dan pemikiran yang tidak jelas (kerana pemikiran yang jelas ketika itu ialah anggapan jamaah aku memahami Islam secara syumul dan kamil, seakan Negara Islam dalam buangan, pemahaman yang lain itu tentunya tidak jelas) itu kini hampir menjadi arus perdana. Sudah tentu banyak kebaikannya yang dapat diharapkan dari perubahan ini, suasana yang agak jumud itu telah menjadi lebih anjal, kita sudah tentu tidak mendengar lagi kata-kata ceramah: ”hak cacang tak dang duk lagi dah jadi kafir, hak duduk tak dang cacang dah jadi kafir, kita kata hak dalang al-Qurang, hak dalang hadith, dia laung belawok!”. Ceramah dalam corak sebegini hanya tinggal dalam lipatan kenangan dan catitan sejarah. Begitu jugalah agaknya dengan aqad nikah yang terpaksa diulang secara tidak resmi, tidak makan sembelihan orang dari kumpulan lain, memulau majlis pengurusan jenazah, sembahyang dua imam.
Akhir-akhir ini, tokoh-tokoh yang dulunya berpendirian keras seperti TGHH, Ustaz Harun Taib, Ustaz Bakar Chik (tokoh-tokoh bapa kalui dari Terengganu mengikut istilah seorang veteran UMNO kerana sikap bengkeng mereka) pula yang cenderung untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mereka merestui muzakarah ke arah kerjasama UMNO-PAS. Sikap merela lebih lunak berbanding tokoh-tokoh yang agak sederhana dahulunya. Contohnya, TGHH pernah dipetik akhbar sebagai mengatakan PAS boleh memerima seorang berbangsa cina asalkan dia seorang muslim sebagai perdana menteri, kini TGHH bercakap tentang kepentingan survival ummah Melayu dalam politik tanahair, ianya perlu diperkasakan dengan mengadakan kerajaan perpaduan.
Keputusan pilihanraya 2008, berserta terdapatnya tawaran dan rundingan dari pihak UMNO mungkin menjadi antara faktor yang membawa kepada anjakan pendirian sebahagian dari pemimpin PAS. Kalau dahulu, PAS akan memandang serong kepada hampir kesemua usul dan tindakan UMNO. Apabila Pak Lah melancarkan pendekatan pembangunan negara berdasarkan pendekatan Islam Hadari, TGHH pun menulis buku untuk menolak konsep Islam Hadari. Di peringkat bawah, ada penyokong PAS menganggap Islam Hadari itu sebagai ajaran sesat. Walaupun konsep Islam Hadari ada mempunyai penjelasan secara bertulis yang boleh dibaca dan dibahas oleh khalayak secara yang agak kemas berbanding daripada konsep Membanguan Bersama Islam yang dicanang oleh PAS, yang sebenarnya hanya tinggal slogan. Sebelum itupun memang PAS juga mengambil sikap kritikal terhadap penubuhan UIA atau Bank Islam atau penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, kata mereka ini adalah perlaksanaan Islam secara tampal-tampalan, ada yang mengatakan Islam Amerika! PAS konsisten dalam hal ini untuk jangka masa yang panjang. Mereka juga membangkang penangkapan penganut ajaran sesat di bawah ISA.
Perubahan sikap secara drastik inilah yang menyebabkan masyarakat yang mengikuti perkembangan PAS merasa agak pelik, seolah-olah ada yang tidak kena di mana-mana. Kenapa PAS tidak mengekalkan imej pembangkang, tetapi beransur berubah menjadi pembangkang yang constructive, bukan semua usul dan tindakan UMNO dan kerajaan yang perlu dibangkang dan diremehkan. Bangkanglah apa yang perlu dibangkang, dan sokonglah apa yang wajar didukung bersama. Kenapa hinggakan larangan penggunaan istilah Allah oleh orang bukan Islam pun perlu juga dibangkang?
Hayunan extreme dari rupa pembangkang yang tulin( semata-mata mahu membangkang) kepada sikap mahu menjadi penganjur dan pelopor kepada pembentukan kerajaan perpaduan, sikap mementingkan survival bangsa sehingga sanggup meretakkan ikatan Pakatan Rakyat tidak dapat menyakinkan masyarakat umum yang pemimpin PAS berfikir secara lestari, kecuali yang terbayang corak pemikiran yang terbatuk-batuk. Apalagi mengambil kira PAS bukanlah parti yang memerentah negara, alangkah mulianya anjuran ke arah Kerajaan Perpaduan itu sekiranya ditolak kedepan secara bersungguh-sungguh oleh parti yang memerentah. Tetapi ternampak alangkah kemaruknya pemimpin pembangkang kepada jawatan dan pangkat dalam kerajaan sekiranya mereka yang bersungguh-sungguh mahukan Kerajaan Perpaduan. Apalagi pihak yang menjadi tulang-belakang dan tenaga penggerak kepada Kerajaan Perpaduan dari kalangan pemimpin PAS tidak konsisten dalam kenyataan mereka. Awalnya menafi terdapatnya pertemuan sehingga mahu menyaman blogger tertentu sebagai pembuat fitnah, sekali ianya dikatakan adalah keputusan Dewan Syura kemudian dinyatakan ianya belum diputuskan oleh mana-mana mesyuarat parti, sekali masyarakat akan faham konsep Kerajaan Perpaduan, kemudian mengatakan ianya sekadar lontaran pemikiran sebagai pembincangan akademik. Al-Quran mengajar kita yang perkara benar itu antara lain dapat dikenal apabila kenyataan-kenyataannya tidak akan bercanggah dan menidakkan sesama sendiri.
Bab III
Dalam muktamar PAS 2009. isu yang hangat dibincangkan menjelang muktamar adalah penerusan Pimpinan Ulama. Datuk Muhammad Daud Iraqi, selaku Ketua Dewan Ulama membawa usul yang mahukan jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang daripada 3 naib presiden mestilah dilantik dari kalangan ulama, Dewan Ulama menerima usul ini tanpa bahas.
Rakyat Malaysia tidak pernah sebelum ini menyaksikan pimpinan-pimpinan PAS dan tokoh-tokoh lain diberi ruang yang banyak dan istimewa dalam media-massa arus perdana, terutamanya Utusan Malaysia untuk melahirkan pendirian masing-masing dalam isu pimpinan dan arahtuju parti. Seolah-olah terbayang Utusan Malaysia ketika itu adalah wadah terpenting yang memperjuangkan ketulenan perjuangan PAS serta mempertahankan Pimpinan Ulama; melebihi peranan akhbar resmi PAS Harakah.
Sebaik sahaja impian Dewan Ulama menjadi kenyataan di dalam muktamar ini, iaitu jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang daripada naib-presiden terdiri daripada ulama, maka fenomena sahut-menyahut di antara pimpinan PAS dan UMNO ke arah kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan pun semakin rancak. Kemuncaknya Datuk Sri Najib mengatakan PAS ikhlas dalam mahukan mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Di sambut oleh Nasharuddin dengan lapang dada dan akan melapurkan kenyataan itu kepada Presiden Parti yang berada di luar negera dengan seberapa segera.
Dikuti dengan perkembangan yang anti-climax, Datuk Nik Abdul Aziz, Murshidu ‘Am mengamuk, sehingga menyarankan Nasharuddin masuk UMNO sahaja sekira mahu berkerjasama dengan UMNO dengan membentuk Kerajaan Perpaduan. Tiba-tiba kenyataan-kenyataan pimpinan PAS seolah-olah telah mengenakan reverse-gear; tiada lagi hasrat kepada pewujudan Kerajaan Perpaduan, tetapi isu Kerajan Perpaduan ini ditohmahkan pula sebagai mainan jahat media milik UMNO yang hendak melihat perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat dan dalam organisasi PAS. PAS di mana-mana peringkat pimpinannya sekalipun belum pernah bermesyuarat berkenaan isu ini telah ditegaskan oleh setiausahanya, Mustafa Ali dan disebut sekali lagi di parlimen oleh Abdul Halim Ab. Rahman. Walaupun banyak pokok yang telah tumbang , jangan disangka taufan menganas, rupanya angin pun tiada bertiup. Betul kah begitu?
Apa lagi akan berlaku, berapakah lagi selekoh yang akan diambil oleh pimpinan PAS, dalam isu ini, adakah terdapat round-about di depan sana yang belum dapat ditentukan?. Manakala kita orang awam melihat segala ini dengan penuh minat sehingga mengalahkan minat kebanyakan kita dalam menyaksikan perlumbaan formula-one. Itulah politik.
Rupa-rupanya hanya mereka yang mempunyai darah politik sahaja yang boleh memahami lengguk politik, kita yang tidak mempunyai darah jenis itu hanya sekadar memerhati, cuba memahaminya dari jauh. Tentu ianya tidak salah, sebagaimana kita yang tidak pandai bermain bola tetapi berminat untuk menilai dan mengeritik pemain-pemain profesional kelas dunia. Tidak seorangpun pemain-pemain tersebut yang marah dan mengatakan apa hak kita untuk mengeritik mereka?. Kalau tidak mahu dinilai dan diberi pandangan oleh orang-orang di luar gelanggang, baik saja ahli-ahli politik dari parti mana sekalipun jangan keluar rumah dan jangan keluarkan sebarang kenyataan, barulah dia selamat daripada membuat sesuatu yang orang boleh salah baca dan salah tafsir
No comments:
Post a Comment